Thursday, March 24, 2022

MENJELANG RAMADAN YANG BAKAL HADIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramadan menjelma lagi. Alhamdulillah, bersyukurlah atas nikmat rezeki, kesihatan dan kesempatan yang Allah berikan, tidak terhitung banyaknya. Dalam tempoh 10 hari lagi, kita akan didatangi bulan yang penuh rahmat, berkat dan keampunan iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pada bulan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

صدق الله العظيم

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa"

Sebagai Muslim, marilah kita mengambil peluang ini menguatkan azam untuk beramal ibadah dan merebut pahala dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah. Antara amal ibadah yang perlu kita lakukan di bulan yang mulia ini ialah:
  1. Menambah amal ibadah umpamanya memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Qur'an, berzikir, bersembahyang fardhu berjemaah di masjid, qiamulail dan seumpamanya.
  2. Mendalami ilmu agama khususnya dalam perkara ibadah puasa seperti hukum-hukum puasa dan adab-adabnya. Antara adab-adab tersebut adalah seperti menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa seperti menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.
  3. Memperbanyakkan amal bersedekah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن عبدالله بن عباس كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون فى رمضان، حين يلقاه جبريل، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان، فيدارسه القرآن، كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة (رواه الإمام البخاري)

Maksudnya:

Daripada Abdullah bin Abas, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ialah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan disaat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam di bulan Ramadhan untuk mengajarkan Al-Qur'an. Kedermawanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam melebihi angina yang berhembus.

Berpuasa juga meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan. Ini kerana, dengan tubuh badan yang sihat akan memudahkan kita menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain seperti solat sunat Terawih, qiamulail, membaca Al-Qur'an, iktikaf dan sebagainya. Antara perkara-perkara kesihatan yang perlu dititikberatkan semasa di bulan Ramadhan ialah:

Pertama: Memilih dan menyediakan makanan daripada sumber yang halal dan bersih. Bagi mereka yang terlibat dalam penyediaan dan pengendalian makanan, sama ada untuk kegunaan sendiri atau berurus tenaga. Pastikan makanan itu hendaklah daripada sumber yang halal lagi baik dan bukannya dari sumber yang syubhah. Ingatlah kepada peniaga-peniaga bahawa tujuan berniaga bukan sahaja untuk mengaut keuntungan akan tetapi lebih utama adalah untuk mencari keberkatan rezeki hasil perniagaan tersebut.

Kedua: Mengamalkan makanan yang seimbang dan bersederhana. Membanyakkan meminum air putih dan kita juga disunatkan bersahur bagi mendapatkan keberkatan.

Ketiga: Meneruskan aktiviti-aktiviti harian yang menjerus kepada kegiatan fizikal seperti senaman ringan dan sebagainya mengikut kemampuan masing-masing kerana ibadah puasa bukan penghalang untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja harian tersebut.

Keempat: Berpuasa merupakan satu latihan yang amat berfaedah untuk mengatasi tabiat merokok dan perokok-perokok boleh mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk berazam berhenti merokok. Agama Islam melarang keras umatnya dari melakukan apa jua perkara yang boleh membinasakan diri.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 195:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

صدق الله العظيم

"Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu sahaja menjerumus diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan"

Menjelang 1 Ramadhan ini, marilah kita sama-sama membuat persiapan dengan sebaik-baiknya sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Ambilah peluang di bulan ini, dengan melipat gandakan amal ibadah dan mengamalkan cara hidup sihat. 

Isilah ruang dan masa yang ada dengan melakukan perkara-perkara kebajikan kerana belum pasti pada tahun yang akan datang, kita dipertemukan lagi untuk menikmati bulan Ramadhan. 

Semoga dengan tibanya Ramadhan pada tahun ini, kita akan dapat melaksanakan amal ibadah dengan sempurna dan diterima serta mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Ahlan wa sahlan, Ya Ramadan.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...