Tuesday, March 29, 2022

Rasuah Di Malaysia: Isu Yang Semakin Membarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Januari 2022, laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia tahun 2021, meletakkan negara ini jatuh ke kedudukan 62, berbanding 57 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut secara langsung meletakkan imej Malaysia sangat tidak baik dalam pengurusan rasuah.

Sama ada kita setuju atau tidak, hakikat pembabitan beberapa indiidu dalam isu 1MDB, dakwaan terhadap kepimpinan negara dalam beberapa isu rasuah dan penyelewengan, termasuk kes mahkamah melibatkan pegawai kerajaan, ia membuktikan kepada kita isu rasuah di Malaysia sudah semakin tenat. 

Adalah amat malang, Malaysia mempunyai pelbagai sumber semulajadi dan potensi, semakin jauh ditinggalkan dalam bidang ekonomi, berbanding negara lain di Asia Tenggara. Kita semakin jauh di belakang Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Pengurusan sumber yang tidak seimbang, ditambah dengan isu rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik dan agensi penguatkuasa, menghambat rakyat menjadi terhimpit dan tersiksa. Kesannya, ia menjejaskan pelaburan luar ke Malaysia, memberikan persepsi negatif kepada negara dan mengakibatkan negara dipandang serong. 

Sebagai contoh, pembalakan hutan yang berleluasa, mengakibatkan banjir besar di beberapa negeri awal tahun 2022. Namun begitu, pihak berkuasa menyatakan ia berpunca daripada hujan lebat berterusan yang luar biasa. Dengan isu 1 MDB yang masih belum selesai, ditambah dengan imej SPRM yang tercalar dengan dakwaan pegangan saham oleh pegawai kanannya baru baru ini, sedikit sebanyak ia memberi konotasi isu rasuah di Malaysia semakin memburuk. 

Walaupun Islam mengharamkan rasuah, mereka yang terlibat tidak berasa bersalah melakukannya. Jika tiada usaha tuntas di peringkat kerajaan dan penguatkuasa untuk membanteras rasuah, segala perancangan negara akan menjadi sia-sia. 

Saya melihat kepimpinan Indonesia di bawah Pak Jokowi, sangat berusaha ke arah memajukan negara tersebut dan mengurangkan rasuah dalam birokrasinya. Hasilnya kini, Indonesia sekarang semakin dihormati dan disegani. Banyak pelabur asing termasuk dari Malaysia yang menanam modal di sana. Malah, beberapa syarikat pelabur asing yang sebelum ini membuka kilang di Malaysia, sudah beralih arah ke negara tersebut, kerana kos buruh yang rendah dan isu rasuah yang semakin dapat ditangani dengan baik. 

Diharapkan kepimpinan negara dapat berbuat sesuatu untuk mengatasi isu rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa dan pemimpin politik di negara ini. Buat rakyat Malaysia, janganlah memilih parti atau pemimpin yang terlibat dengan isu rasuah. Mereka tidak akan berubah sikap, kerana sekali terjebak, selamanya mereka akan terus bergelumang dengan rasuah, tanpa rasa bersalah.         

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...