Friday, March 18, 2022

PERANG RUSSIAN-UKRAINE MEMBERI KESAN LANGSUNG KEPADA BEKALAN MINYAK DUNIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Di tengah-tengah Perang Rusia-Ukraine yang berlanjutan hampir sebulan sejak 24 Februari lalu, dunia Eropah dan AS mula menerima kesan kenaikan harga minyak yang menjadi bahan api utama sektor ekonomi. Eropah sebenarnya menerima 40%  bekalan minyak daripada Russia. Sudah pasti sekatan ekonomi yang dilakukan terhadap Russia, menjejaskan pengeluaran minyak dan bekalan ke benua tersebut.  

AS pula mempunyai hubungan yang tidak stabil dengan Arab Saudi, sejak Putera Mahkota Muhamad bin Salman mendominasi pemerintahan negara pengeluar minyak terbesar dunia itu. Sejak beberapa tahun lalu, hubungan AS-Arab Saudi sedikit terjejas, akibat beberapa dasar dan keputusan AS yang tidak berpihak kepada Arab Saudi.

Riyadh kini menunjukkan minat untuk menyumbang ke arah memajukan proses de-dolarisasi ekonomi dunia. Selama ini urusniaga minyak ditentukan melalui USD, dan ia lebih banyak membawa keuntungan kepada AS. Menurut laporan baru-baru ini, kerajaan Saudi sanggup berdagang minyak dalam mata wang Yuan China. Langkah ini tentu menjadi tamparan hebat terhadap kuasa kewangan Amerika, yang menjadikan matawang USD sebagai asas keselamatan monetarinya.

Menurut Wall Street Journal (WSJ), dalam artikel yang diterbitkan pada hari Selasa, 15 Mac, Riyadh sedang mempertimbangkan untuk memperdagangkan jualan minyaknya dalam Yuan China. Ia juga memaklumkan bahawa pelan penetapan harga sedemikian telah dibangunkan selama enam tahun, dan dipercepatkan baru-baru ini sebagai reaksi terhadap tekanan kuat yang dikenakan oleh kerajaan Biden terhadap Arab Saudi. 

Hubungan AS dengan Arab Saudi juga telah berubah, dengan Biden menganggap negara teluk tersebut bukan sekutu rapat, sebaliknya hanya rakan ekonomi. Telah diketahui China adalah pengimport minyak mentah terbesar dunia dan mereka menawarkan banyak insentif yang menguntungkan kepada negara pengeksport minyak.

Seperti yang dijangkakan, kesan berita itu terhadap pasaran kewangan adalah serta-merta. Nilai Yuan luar pesisir telah meningkat dengan ketara berbanding dolar di seluruh pasaran Asia, menjana banyak jangkaan pelaburan dalam mata wang China. Kesannya dijangka lebih besar dalam beberapa minggu akan datang, memandangkan konflik ketegangan Eropah Timur dan konflik semasa, Riyadh mempunyai senario yang ideal untuk mendedahkan kepada umum dan memajukan langkah-langkah kewangannya bagi mengurangkan dolar tanpa menunggu senario yang semakin memburuk.

Malah, percaturan Arab Saudi kelihatan menarik dan mempunyai nilai ekonomi yang strategik pada masa ini. China membeli lebih satu perempat daripada eksport minyak besar-besaran Riyadh dan sejak 2018 telah menawarkan satu siri kontrak berharga yang lumayan. Tambahan pula, kerjasama nampaknya semakin meningkat dalam kedua-dua arah. Sebagai contoh, Saudi Aramco milik kerajaan mengumumkan minggu lepas bahawa ia akan membantu membina penapisan minyak baharu di timur laut China dengan kapasiti untuk mengeluarkan 300,000 tong sehari. 

Nampaknya, Beijing melihat Riyadh sebagai sekutu tenaga utama untuk projek Inisiatif Belt and Road (BRI), dan, sebaliknya, Riyadh melihat BRI sebagai peluang besar untuk pelaburan jangka pendek yang menguntungkan. Dalam pengertian ini, penetapan harga dalam Yuan akan menjadikan hubungan kedua dua negara ini semakin dominan dalam kerjasama ekonomi dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam mengurangkan kebergantungan terhadap standard USD.

Jelas sekali, di sebalik kepentingan ekonomi, kita tidak boleh mengabaikan aspek geopolitik yang terbina dalam hubungan ekonomi yang semakin padu antara kedua dua negara. Pentadbiran AS di bawah Biden, nampaknya selesa mengekalkan pendirian tidak mesra Saudi. Contohnya tahun lalu, Biden menghentikan sokongan AS untuk kempen Saudi terhadap pemberontakan di Yaman. Biden mengekalkan pendirian menganggap Arab Saudi rejim yang tidak demokratik, yang melakukan kempen ketenteraan yang ganas terhadap pemberontak Houthi. 

Konflik di tanah Ukraine juga menambahkan kemelut ukuran dagangan ini, kerana terdapat trend global ke arah multipolarisasi pada beberapa peringkat, termasuk ekonomi dan kewangan. China menentang boikot ekonomi ke atas Rusia. Malah China meningkatkan perkongsiannya dengan Moscow, dan penggunaan Yuan adalah penyeleaian jangka pendek kepada sekatan barat terhadap Russia. Barat mungkin melaksanakan langkah paksaan terhadap Beijing agar tidak membantu Russia. Jadi, Arab Saudi memanfaatkan situasi ini untuk mengukuhkan laluan pasaran baharu, dengan harga dagangan dalam Yuan, sekaligus memenuhi kepentingan China, negara rakan kongsinya – termasuk seluruh BRI – dan BRICS. 

Dengan senario global hari ini, Barat akan berdepan  wujudnya berbilang piawaian monetari, tanpa ruang lagi untuk bergantung  kepada Dolar Amerika. Tidak dapat dinafikan bahawa dolar akan bersaing dalam urus niaga antarabangsa, bukan sahaja dengan Yuan, tetapi juga dengan mata wang lain dan aset digital, seperti mata wang kripto. 

Jelas sekali, Washington perlu menilai semula hubungan baik dengan Riyadh pada masa hadapan, agar tidak kerugian, seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...