Monday, August 8, 2022

MENANTI KAPAL LCS TLDM YANG MASIH BELUM SIAP SEJAK 2011

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Model Kapal LCS Malaysia


Skandal terbesar pembelian aset pertahanan negara adalah tempahan 6 buah kapal Littoral Combat Ship (LCS). Tiada satu pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan mengikut jadual walaupun  kerajaan telah membayar lebih RM6 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikeluarkan baru baru ini mengesahkan kegagalan BNS menyiapkan dan menyerahkan kapal LCS tersebut kepada TLDM sebagai 'end user' Sehingga Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. Namun bayangan sebuah pun tidak dapat disiapkan oleh syarikat yang berpangkalan di Lumut tersebut. 

Lebih mengejutkan, laporan itu turut mendedahkan terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” dedah laporan PAC setebal 247 muka surat.

Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi pada 8 Julai 2011 tanpa merujuk kepada pihak TLDM terlebih dahulu.

Selain itu kerajaan 'gagal' mengesan masalah kewangan syarikat tersebut apabila terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion sekali gus bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Kedudukan kewangan BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan apabila setakat 2018, hutang syarikat itu kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah RM956 juta.

Malah laporan itu menyatakan peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion, dan lebih 15 peratus telah pun usang. Laksamana Tan Seri Dr Abdul Aziz Jaafar yang ketika itu Panglima Tentera Laut turut menggambarkan keadaan pada ketika itu sesuatu yang pelik kerana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa sepenuhnya diberikan kepada BNS.

BNS juga mengeluarkan kenyataan menyatakan semua pilihan bagi pembinaan 6 buah kapal berkenaan adalah tertakluk kepada penilaian serta verifikasi mereka, bukannya TLDM.

Khabarnya SPRM sudah mempercepatkan siasatan dan akan menyegerakan pendakwaan. Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS. Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.

Rakyat sedang melihat apakah kerajaan sedang berusaha bersungguh sungguh untuk menyelesaikan isu pembinaan kapal yang entah bila akan siap. Indonesia dan Filipina kini sudah dibekalkan dengan kapal generasi baharu yang canggih. Singapura sudah jauh meninggalkan kita dari segi teknologi dan aset pertahanan. 

Inilah  akibatnya apabila pemimpin terlibat dengan rasuah. Kedaulatan negara hampir tergadai dan pembelian kapal LCS menjadi bahan lawak negara luar. 


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...