Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Saya suka membaca atau menonton kisah kisah yang memberikan inspirasi. Sebelum ini, ada beberapa posting saya mengisahkan kisah benar dalam masyarakat dunia yang menarik untuk dikongsikan di sini.
Kisah inspirasi, biasanya menggambarkan perjalanan hidup seseorang dan memiliki mesej moral yang kuat sehingga mempengaruhi orang lain. Dengan adanya kisah inspirasi, secara tidak langsung pembaca juga menjadi bermotivasi, dan mempengaruhi tindakan mereka kerana rasa semangat dan percaya diri yang kuat.
Ada satu kisah yang menarik tentang perjalanan dalam sebuah kereta api. Seorang remaja lelaki berusia 20-an melihat keluar dari jendela kereta api berteriak, "Ayah, lihat pokok-pokok di belakang! Ia mengejar kita."
Ayah tersenyum, sambil memintanya bertenang.
Ada pasangan muda yang duduk berhampirannya, melihat sikap keanak-anakan pemuda tersebut dengan kasihan. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang pemuda tadi dengan pandangan sinis.
Tiba-tiba dia menjerit lagi, "Ayah, lihat awan berlari bersama kita!" Dia menunjuk-nunjuk ke langit.
Wajah pemuda itu kelihatan sangat ceria dan memandang ke serata alam, sejenak ke atas, sekejap ke hadapan sambil mengomel sendirian. Matanya tidak lepas daripada memandang kecantikan dan keindahan sepanjang laluan kereta api tersebut.
Pasangan penumpang yang daripada tadi melihat obsesi pemuda itu, beranggapan dia seorang pemuda yang tidak sempurna akalnya. Lalu si lelaki pun memberanikan diri berkata kepada lelaki tua itu, "Maafkan saya, sepatutnya tuan bawa anak tuan ini bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Kasihan, kerana dia seolah olah baharu melihat dunia. Tidakkah anda rasa bersalah membiarkan dia terus menerus obses dengan alam sekeliling?"
"Bayangkan apa terjadi jika dia terus bersikap begini, pasti orang lain pelik dengan sikapnya." Kata lelaki itu lagi.
Lelaki tua tersebut hanya diam dan memandang wajahnya dengan sambil tersenyum.
"Apakah tuan tidak membawanya untuk rawatan sebelum ini?" Dia bertanya lagi.
Orang tua itu senyum dan berkata dengan perlahan, "Tuan yang budiman, kami baharu saja pulang dari hospital mata."
Dia menyambung lagi, "Anak saya buta sejak lahir, dan kami menanti selama 20 tahun, kalau kalau ada orang yang sudi menderma mata untuknya. Baru baru ini ada penderma mata yang baik hati mendermakan sepasang mata yang sesuai untuknya."
"Pihak hospital telah berjaya menggantikan matanya yang buta dengan mata penderma tersebut. Hari ini, balutan matanya dibuka dan dia baharu saja mendapatkan penglihatannya hari ini.” Kata lelaki tua tersebut, menyebabkan pasangan penumpang tersebut terkesima dan terdiam.
Kesimpulannya, setiap manusia, memiliki jalan cerita dalam kehidupan masing - masing. Jangan kita menilai orang sebelum anda benar-benar mengenali mereka. Bersyukurlah dengan nikmat penglihatan yang Allah berikan, kerana ia percuma dan sangat bernilai.
No comments:
Post a Comment
Jejak yang ditinggalkan