Siapa yang tidak mengenali Paklah? Beliau adalah Perdana Menteri yang mungkin paling pendek tempoh perkhidmatannya. Pengumuman beliau semalam untuk tidak bertanding pada pemilihan Mac 2009, membuktikan Paklah tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO. Ini bermakna, Paklah akan melepaskan jawatan sebagai PM selepas itu. Penggantinya, kemungkinan besar Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri sekarang.
Aku bukanlah ahli politik, jauh sekali untuk menyertai pemilihan peringkat cawangan mahupun bahagian. Sebagai pendidik yang diberi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, tidaklah keterlaluan jika aku membincangkannya bersama rakan setugas.
Melarang guru daripada membicarakan soal politik, adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Baru-baru ini, seorang ahli parlimen 'menasihatkan' guru agar tidak berbicara soal politik di sekolah. Melampau betul. Ia memberi gambaran seolah-olah guru tidak mampu berfikir seperti manusia biasa. Apa salahnya berbicara soal politik untuk mencanai minda? Dosa besar apakah hingga guru tidak boleh berbicara tentang pentadbiran negara? Soal kepartian, rasanya sudah cukup matang untuk dibicarakan oleh guru. Memang memalukan jika hal ini dipolemikkan kerana ia merendahkan tahap keupayaan guru berfikir .
Hakikatnya, semasa SITC (kini UPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada 1922, ia telah melahirkan golongan guru yang mencetuskan gerakan penentangan terhadap penjajah Inggeris.
Siapakah Ibrahim Yaakub, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, dan Mohd Isa Mahmud? Merekalah pejuang yang tulen, menentang penjajah melalui ilmu pengetahuan yang digarap, lalu membentuk semangat juang yang mantap dan menyedarkan masyarakat Melayu yang ketika masih lena dibuai mimpi.
Akhirnya, melalui gerakan semangat guru-gurulah, masyarakat di Tanah Melayu akhirnya mendapat kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.
Berbalik tentang Paklah, rasanya beliau tidak mampu mencapai tahap kecemerlangan seperti zaman Tun Dr Mahathir. Tun meletakkan kayu ukur yang tinggi semasa meninggalkan kerusi PM kepada Paklah. Tun berjaya meletakkan Malaysia di barisan negara yang wajar dihormati. Kecacatan Tun tetap ada, tapi Tun berjaya meraih sokongan rakyat. Itulah sebabnya semasa era reformasi 1998, BN masih menguasai dua pertiga majoriti. Tun boleh berbangga semasa mengundur diri dari arena politik tahun 2003.
Paklah pula bagaimana? Menjelang pengundurannya Mac 2009, tiada apa yang boleh Paklah banggakan.
Paklah dihenyak dan dipersalahkan oleh Tun, yang bertanggungjawab meletakkannya di kerusi PM. Tindakannya membatalkan jambatan bengkok sukar difahami oleh Tun sendiri. Kewujudan Wilayah Iskandar di Johor gagal meraih sokongan rakyat negeri itu. Perisytiharan wilayah ekonomi di Utara dan Timur masih tidak membekas apa pun.
Tidak cukup dengan itu, BN kehilangan 4 buah negeri kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Mac lepas. Beberapa pihak termasuk dalam kalangan MT UMNO menyelar kelemahan Paklah sebagai punca BN gagal mendapat tempat di hati rakyat.
Paklah juga dikatakan menjadi penyebab munculnya HINDRAF. Malah, kejatuhan saham sekarang juga, kononnya ada kaitan dengan kelemahan Paklah mentadbir negara.
Langkah tidak popular Paklah, seperti menaikkan harga minyak sehingga menyebabkan inflasi yang teruk dalam tempoh 3 bulan. Ia memberi bebanan kepada rakyat marhaen. Harga susu, tepung, beras dan baja naik mendadak, menyebabkan orang kampung semakin terhimpit dek tekanan ekonomi yang membengkak.
Biar apa pun alasan Paklah, majoriti rakyat tidak menangisi pengundurannya.
Apakah Najib ada kuasa magik yang mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN? Mampukah keadaan negara kembali aman dan terkawal seperti dahulu? Mungkinkah Anwar mempunyai jalan penyelesaian, atau sekadar beretorik dengan janji untuk kesejahteraan rakyat? Masa dan keadaan akan menentukan.
Harapan aku,.. Masa depan negara ini jangan dilacurkan untuk kepentingan diri. Siapa juga pengganti Paklah, MESTI ingat perkara ini.

