Sunday, October 12, 2008

Shah Rukh Khan Dapat Gelaran Datuk

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Shah Rukh Khan dijangka terima Datuk bulan depan-BH 11 Oktober 2008

MELAKA: Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan dijadual datang ke Melaka bulan depan bagi menerima gelaran Datuk yang dianugerahkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob sempena sambutan Harijadi ke-70, hari ini. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kedatangan Shah Rukh Khan akan diuruskan dengan bantuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Aku tersenyum sinis membaca berita ini. Nak gelak pun ada, hairan pun ada juga. Bercampur baur. Tapi yang jelas, rasa tidak puas hati terhadap berita ini dapat aku nyatakan:

Pertama, siapalah yang memilih SRK untuk menerima gelaran ini? Atas sebab apa? Besarkah jasanya kepada pembangunan Melaka, atau Malaysia?

Kedua, SRK akan gunakan gelaran ini dalam promosi filemnya? Rasanya tidak. Seperti Datuk Michelle Yeoh, yang hanya gunakan gelaran itu apabila pulang ke Malaysia. Tapi dalam kes Michelle Yeoh, dia adalah aktres Cina kelahiran Ipoh, Perak. Kalau dapat gelaran pun, patutlah. Tapi SRK? Lahir di India, membesar di India dan hanya sekali dua ke Malaysia untuk penggambaran filem.

Ketiga, aku rasa gelaran Datuk sebenarnya sudah tiada nilai, sebab terlalu ramai yang boleh dapat, dan mudah diberi. Seingat aku, gelaran 'Sir' diberi kepada Alex Ferguson, pengurus Manchester United oleh Ratu England setelah kelab bola sepak itu berjaya merangkul tiga gelaran semusim. MANU menjadi Juara Liga 1998-1999, Juara FA dan mengalahkan Bayern Munich untuk mengungguli trofi Liga Juara-juara di musim yang sama.

Sultan Abu Bakar, yang memerintah Johor juga, pernah dapat gelaran Sir, tetapi ketika itu, Tanah Melayu di bawah pengaruh Empayar British. Lagipun, baginda telah mentadbir negeri Johor dengan mengguna pakai kaedah pentadbiran British.

Apa logiknya SRK diberi gelaran Datuk? Aku hairan dengan sikap orang kita, yang begitu mengagungkan orang lain berbanding rakyat sendiri.


Agaknya, tak lama lagi, mungkin Lewis Hamilton, pemandu McLaren dalam perlumbaan F1, akan turut disenaraikan untuk menerima gelaran Datuk.

Siapa tahu, Brad Pitt turut diberi anugerah ini satu hari nanti. Kalau aku diminta memberi cadangan penerima gelaran Datuk, aku akan cadangkan Maria Sharapova, Park Ji Sung,dan Harrison Ford. Tentu hebat bunyinya, Datuk Harrison Ford, Datuk Park Ji Sung.

Pada hal, kenapa tidak berikan sahaja gelaran itu kepada rakyat negara ini yang menyumbang pengetahuan dan bakat, seperti Zulkilfi Haron (Pencipta Kereta Hantu di Rawang).

Selalunya, kita hanya akan beri gelaran apabila mereka sudah tiada. Contohnya, P Ramlee, menerima gelaran Tan Seri selepas meninggal dunia. Pelik, kan?



Friday, October 10, 2008

Isteri Najib Lebih Berkuasa?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Membaca posting terkini Dato' A Kadir Jasin mengingatkan aku tentang cerita rakan lama yang kini bermastautin di Australia, Kamal namanya. Semasa kami bertemu awal tahun 2007, dia bercerita pengalaman di bumi orang. Banyak perkara suka duka dia di tempat orang.


Satu ceritanya yang cukup menarik untuk kukongsi ialah ketika dia dalam penerbangan ke Eropah, dan transit di KLIA dari Brisbane. Dalam pesawat, Kamal terdengar bunyi suara perempuan bising-bising marahkan pramugari.


Rupa-rupanya, itu adalah suara Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Dato' Seri Najib Tun Razak.


"Hang tau, punyalah cerewet Rosmah ni," kata Kamal sambil menghirup teh ais di gerai Rojak Manjung ketika itu.


"Aku ingat apalah riuh rendah. Rupanya, dia marah kat pramugari. Tapi Najib cool aje. Terus ke Business Class. Rosmah ni, cengey, kuat bergaya. Tak tinggi mana, ketot je. Suaranya tak padan dengan badan."


Kami ketawa bersama mengenangkan Rosmah.


Perbualan kami tentang isteri Timbalan Perdana Menteri itu, terhenti setakat itu. Banyak lagi cerita lain yang kami kongsikan pada petang itu. Kamal pulang ke Australia tidak lama selepas itu. Entah bila lagi aku bertemu dengannya.


Apabila membaca posting Dato' KJ dalam blognya, beliau menyebut 'isteri' sebanyak dua kali. Aku rasa, Dato' KJ bukan orang baru dalam dunia kewartawanan. Mungkin dia bukan generasi Rahim Kajai atau Ishak Hj Mohammad, tapi pandangannya kritikal. Cuma, tidak sekritikal Allahyarham Tan Sri Samad Ismail.


Posting terbaru beliau membuatkan aku terfikir, adakah kita sekarang, terlepas dari mulut biawak, masuk ke mulut buaya?


Ferdinand Marcos, bekas Presiden Filipina, mati dalam keadaan hina, setelah ditolak oleh rakyatnya. Satu daripada puncanya ialah , di tengah-tengah ekonomi Filipina ketika itu yang membebankan rakyat, isteri Marcos, Imelda membelanjakan berjuta-juta peso Filipina untuk aksesori pakaian dan kasut mewahnya.


Apabila mengenangkan isteri bekas presiden Filipina itu, aku terfikir juga gaya Rosmah yang tak jauh dari gaya Imelda marcos yang terkenal dengan borosnya.


Tidak adil untuk aku menilai tanpa mengenali siapa Rosmah. Tapi orang seperti Dato' KJ mempunyai hubungan unik dengan golongan aristokrat. Pastilah maklumat itu bukan sembarangan maklumat.


Teringat aku isteri MB Perak, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin, tak silap aku, Datin Seri Fatimah namanya. Baik perilakunya, sopan gayanya. Pertemuan secara spontan di Masjid Seri Manjung selepas solat Asar bulan Julai lalu membuktikan isteri MB itu berhemah tinggi.


Thursday, October 9, 2008

Undurnya Paklah, Tenangkah Keadaan?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Siapa yang tidak mengenali Paklah? Beliau adalah Perdana Menteri yang mungkin paling pendek tempoh perkhidmatannya. Pengumuman beliau semalam untuk tidak bertanding pada pemilihan Mac 2009, membuktikan Paklah tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO. Ini bermakna, Paklah akan melepaskan jawatan sebagai PM selepas itu. Penggantinya, kemungkinan besar Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri sekarang.
Aku bukanlah ahli politik, jauh sekali untuk menyertai pemilihan peringkat cawangan mahupun bahagian. Sebagai pendidik yang diberi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, tidaklah keterlaluan jika aku membincangkannya bersama rakan setugas.
Melarang guru daripada membicarakan soal politik, adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Baru-baru ini, seorang ahli parlimen 'menasihatkan' guru agar tidak berbicara soal politik di sekolah. Melampau betul. Ia memberi gambaran seolah-olah guru tidak mampu berfikir seperti manusia biasa. Apa salahnya berbicara soal politik untuk mencanai minda? Dosa besar apakah hingga guru tidak boleh berbicara tentang pentadbiran negara? Soal kepartian, rasanya sudah cukup matang untuk dibicarakan oleh guru. Memang memalukan jika hal ini dipolemikkan kerana ia merendahkan tahap keupayaan guru berfikir .
Hakikatnya, semasa SITC (kini UPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada 1922, ia telah melahirkan golongan guru yang mencetuskan gerakan penentangan terhadap penjajah Inggeris.
Siapakah Ibrahim Yaakub, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, dan Mohd Isa Mahmud? Merekalah pejuang yang tulen, menentang penjajah melalui ilmu pengetahuan yang digarap, lalu membentuk semangat juang yang mantap dan menyedarkan masyarakat Melayu yang ketika masih lena dibuai mimpi.
Akhirnya, melalui gerakan semangat guru-gurulah, masyarakat di Tanah Melayu akhirnya mendapat kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.
Berbalik tentang Paklah, rasanya beliau tidak mampu mencapai tahap kecemerlangan seperti zaman Tun Dr Mahathir. Tun meletakkan kayu ukur yang tinggi semasa meninggalkan kerusi PM kepada Paklah. Tun berjaya meletakkan Malaysia di barisan negara yang wajar dihormati. Kecacatan Tun tetap ada, tapi Tun berjaya meraih sokongan rakyat. Itulah sebabnya semasa era reformasi 1998, BN masih menguasai dua pertiga majoriti. Tun boleh berbangga semasa mengundur diri dari arena politik tahun 2003.
Paklah pula bagaimana? Menjelang pengundurannya Mac 2009, tiada apa yang boleh Paklah banggakan.
Paklah dihenyak dan dipersalahkan oleh Tun, yang bertanggungjawab meletakkannya di kerusi PM. Tindakannya membatalkan jambatan bengkok sukar difahami oleh Tun sendiri. Kewujudan Wilayah Iskandar di Johor gagal meraih sokongan rakyat negeri itu. Perisytiharan wilayah ekonomi di Utara dan Timur masih tidak membekas apa pun.
Tidak cukup dengan itu, BN kehilangan 4 buah negeri kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Mac lepas. Beberapa pihak termasuk dalam kalangan MT UMNO menyelar kelemahan Paklah sebagai punca BN gagal mendapat tempat di hati rakyat.
Paklah juga dikatakan menjadi penyebab munculnya HINDRAF. Malah, kejatuhan saham sekarang juga, kononnya ada kaitan dengan kelemahan Paklah mentadbir negara.
Langkah tidak popular Paklah, seperti menaikkan harga minyak sehingga menyebabkan inflasi yang teruk dalam tempoh 3 bulan. Ia memberi bebanan kepada rakyat marhaen. Harga susu, tepung, beras dan baja naik mendadak, menyebabkan orang kampung semakin terhimpit dek tekanan ekonomi yang membengkak.
Biar apa pun alasan Paklah, majoriti rakyat tidak menangisi pengundurannya.
Apakah Najib ada kuasa magik yang mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN? Mampukah keadaan negara kembali aman dan terkawal seperti dahulu? Mungkinkah Anwar mempunyai jalan penyelesaian, atau sekadar beretorik dengan janji untuk kesejahteraan rakyat? Masa dan keadaan akan menentukan.
Harapan aku,.. Masa depan negara ini jangan dilacurkan untuk kepentingan diri. Siapa juga pengganti Paklah, MESTI ingat perkara ini.

Wednesday, October 8, 2008

Nak Naik Pangkat Memang Susah..


Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Pagi-pagi lagi, Shahrol, anak muda yang bekerja di pejabat mencari aku. Rupa-rupanya nak beri surat daripada Kementerian.

"Urgent surat ni, cikgu.. Saya kena serah pada cikgu cepat."

Aku membelek surat itu, lalu........

"Alamak, Kursus PTK DG44. Di Pulau Pinang, seminggu sebelum cuti." Hatiku bagai direnggut. Pada waktu begini, aku perlu berada di sisi anak murid sebelum menghadap SPM. Tetiba, kena kursus. Wajib hadir pulak tu.

Kalau tolak, lain kali susah nak dapat peluang. Kalau terima, banyak juga yang perlu aku fikirkan.
Mujur juga ada Broadband. Aku cari bahan di web yang dimaklumkan rakan, dan berjumpa dengan beberapa maklumat yang berguna untuk kursus nanti.
Entahlah. Semuanya rezek anak-anak. Kalau ada, luluslah, kalau tidak, terima sebagai pengalaman. Bukankah pengalaman itu guru yang terbaik?


Tuesday, October 7, 2008

Menghayati Semangat Raya 3

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Hari raya bukanlah masa untuk melepak di rumah dan menonton TV. Memang rancangan-rancangan TV hebat dan menarik. Tetapi budaya kunjung mengunjung dan ziarah semasa hari raya sepatutnya menjadi amalan.

Aku, Sani dan Oun serta keluarga masing-masing mengunjungi Pak Anjang Juri di Seri Manjung. Di sana, kami dapat juga bertemu dengan Ark, Idris dan Azlan yang akan pulang lewat petang nanti. Bukan mudah nak bertemu dengan sepupu, kerana masing-masing sudah ada komitmen kerja dan keluarga.

Kami ke Batu 3, bertemu Makngah Itam dan Pakngah Ramli. Ini jugalah destinasi arwah ayah tiap kali raya, dan kami hanya meneruskan tradisi itu.

Sejak kematian Amril dalam tragedi letupan di Kilang Gandum, jelas kelihatan tiada keceriaan di wajah kedua-dua orang tua itu.

"Dah tak seronok, Ein.. teringat kat arwah." Makngah Itam meluahkan kerinduannya.

Aku hanya menjadi pendengar pasif apabila dia bercerita tentang kelibat Amril serta dua cucunya. Rupanya, sejak kematian Amril, Makngah juga putus hubungan dengan cucu dan menantunya. Mereka sudah tak lagi duduk di rumah belakang. Entah apa sebabnya, tapi Pakngah Ramli nampaknya begitu terkilan dengan sikap menantunya yang menyisihkan mereka.

"Tak mengapalah, satu hari nanti, dia akan jumpa Pakngah juga, sebab kereta masih nama arwah," kata Pakngah sambil merenung jauh ke laman rumah. Paling mengecewakannya, raya ini hanya sejam dia dapat bersama 2 orang cucunya itu. Itupun setelah Pak Ode Yunus yang membawa mereka ke situ. Walhal, antara rumahnya dan rumah besan, jaraknya hanya sepenanak nasi.

Kami ke rumah Ayahlang Rahman, tidak jauh dari situ. Hampir terlajak aku ke Damar Laut kerana dah terlalu lama tak ke sini.

Rupanya, Maklang kini sudah bermadu. Berita itu disampaikannya dengan linangan air mata. Seperti biasa, kami hanya boleh menjadi pendengar dan memberi sokongan moral kepadanya.

Iyalah, perempuan mana yang suka dimadu? Lelaki mungkin rasa teruja, tetapi kalau tak boleh berlaku adil, cukuplah beristeri seorang.

Ayahlang sendiri, sejak berkahwin muda, langsung tak kisah makan minum anak-anaknya di sini. Kasihan aku kepada Maklang, kerana diperlakukan begitu. Mujur juga Kaklang dan Linda membantu. Umi juga khabarnya nak berhenti tingkatan 6 jika berjaya dalam temu duga SPA minggu depan.

Destinasi kami yang terakhir ialah rumah Abang Enai, itu pun terpusing-pusing Oun mencari lorong di Taman Samudera. Kak Ina isterinya biarpun suri rumah sepenuh masa, bijak menyusun atur hinggakan rumah yang sederhana itu menampilkan kelainan dekorasi.

Kami berpecah dengan aku balik ke rumah sementara Oun dan Sani mengunjungi Pakcik Endan di Cangkat Cermin.

Esok dah mula bertugas, dan aku nekad untuk berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal ini. Arwah mak sudah jadikan ia tradisi, dan selalu ingatkan aku tentang betapa ganjaran pahalanya seolah-olah berpuasa selama setahun. Moga-moga mak dan ayah tenang di sana. Amin.

Monday, October 6, 2008

Menghayati Semangat Raya 2

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Singgah ke Kg Baru, mengimbau semula kenangan bersama orang yang tersayang. Pakco, Makco nampaknya semakin memanjat usia tua. Begitu juga Makngah Jemah, yang masih mesra menyambut kedatangan kami. Abang Hashim, Abang Kazim masih lagi di sini dan sempatlah kami bermaaf-maafan sebelum mereka pulang ke Selangor.

Aku sempat melakar laluan peta ke INSTEP Batu Rakit untuk memudahkan Abang Joey, Salleh dan Shukor ke sana petang nanti. Rupanya Shukor dapat tawaran kursus 6 bulan di sana, sebelum diserap ke pelantar minyak di Laut China Sela
tan.

Menziarahi Pak Andak yang sudah terlalu uzur, menyentuh perasaanku. Teringat detik-detik bersama arwah ayah yang kubela hampir dua tahun. Pak Andak Rojis pada telahanku, semakin menghampiri penghujung usia. Tiada banyak yang dapat dilakukan, kerana selera makannya sudah tertutup, dan mukanya semakin cengkung berbanding semasa Ramadhan lalu.

Pada sebelah petang, bekas murid sudi berhari raya di teratakku. Bermula dengan kedatangan Ady Fitri, Azim, Firdaus dan Razan, yang disusuli oleh Farez, Nuar, Mat Bear, Ain, Hidayah, Eida, Bab, Zai dan yang lain-lain, yang sudah merancang ke rumahku awal lagi.

Banyak peristiwa menarik pernah kami lalui bersama, khususnya ketika aku menjadi Ketua Warden di asrama SMKBS 4-5 tahun yang lalu.

Hubungan mesra dengan mereka kuharap kekal sampai bila-bila. Entah siapalah yang akan mengajak aku makan 'nasi minyak'dahulu, tak tahulah. Tapi yang kutahu, Mat Bear dan Ain mempunyai perancangan sama seperti Farez dan Puteri. Doakan ajelah....

Lewat malam, aku mendapat satu panggilan telefon.

"Kami dah termasuk ke Gua Musang ni, camne?" suara Abang Joey memecah kebuntuan.

"Gua Musang? Bagaimana boleh ke Gua Musang? Kalau ke Terengganu melalui Grik, tak perlu masuk Gua Musang. Pasti Abang Joey tersalah masuk simpang." Aku meneka.

"Ya,lah, kami dah silap ni, tapi abang akan masuk ikut Ciku, ada panduan daripada budak jaga pam minyak," kata Abang Joey.

Ciku? kalau masuk Ciku, tentu masuk Aring, lalu ikut Kenyir. Huh, kawasan tu, siang pun sunyi, apatah lagi malam.

Aku doakan mereka selamat tiba.

Menghayati Semangat Raya

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada raya tahun ini, aku dapat juga 'menyinggah' di rumah Ayah Teh, rumah Rusdan, rumah Toksu Wan Sareh, dan rumah Cekda Wan Aini. Kami bergerak dengan tiga buah kenderaan ke rumah Ayahcik di Kg. Binjai Rendah, sebelum singgah di Kubang Jela untuk menziarahi sanak saudara Bak. Syukur, dapat juga aku bersua saudara mara sebelah sini sebelum pulang ke Perak Pada raya ke-3.

Perjalanan balik ke Perak juga satu cabaran. Melalui tasik Kenyir masuk ke Felda Aring, bukanlah perjalanan yang sibuk. Maklumlah, ramai yang masih beraya pada raya ke-3, tapi aku tetapkan perjalanan pada waktu begini kerana jalan kurang sesak. Setibanya di RR Gua Musang, niat untuk berehat dan solat terpaksa dibatalkan kerana terlalu banyak kenderaan bersimpang siur. Rupanya anak perantau Kelantan yang menggunakan laluan Kota Bharu-Gua Musang sudahpun memenuhi segenap sudut parkir kereta.

Aku tiada piliham lain, kecuali membawa anak-anak ke KFC Gua Musang dan menikmati makanan di pekarangan sebuah surau yang berdekatan. KFC tersebut tutup pada waktu tengah hari! (Yang aku tahu, KFC buka sepanjang waktu siang)

Nyaris Avanzaku mencium bontot Wira semasa kami di Batu Gajah, dek pemandunya sibuk dengan telefon bimbit. Menyirap juga darah aku, tapi syukurlah tiada apa yang buruk berlaku. Kami selamat tiba di Lekir sebelum maghrib.

Syukur padaMu, yang menyelamatkan perjalanan kami..

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...