Saturday, March 14, 2009

Masa Cuti, Masa Kerja..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Semalam, aku berbual dengan rakan-rakan di kantin. Ada dua orang guru praktikum yang turut serta, Yazid dan Sham.

Kami bersembang tentang cuti yang bakal bermula. Sebenarnya, cuti hanya untuk pelajar. Guru tidak bercuti. Guru tertakluk kepada Perintah Am dan arahan Pengetua, sebagai ketua jabatan.

Ramai juga yang mengadakan kelas tambahan masa cuti. Aku juga bertugas mengikut jadual yang sudah ditetapkan. Bagi yang bujang seperti Yazid dan Sham, sudah tentu ada perancangan sendiri.

"Mujur juga kita ada masa bercuti," kata Mior.

"Mengapa pula?" aku meminta penjelasan.

"Ada rakan yang jadi jurutera (di sebuah syarikat carigali minyak), gaji memanglah besar, tetapi merungut kerana masa bersama keluarganya terhad." katanya sambil menghirup teh.

"Sebenarnya, ada kos melepas," kataku.

"Iyalah, kita mungkin dapat suatu perkara, dalam masa yang sama kita juga kehilangan satu benda. Tak semua kita boleh dapat dalam dunia ini." kata Ustaz Amin menambah. Ustaz Amin adalah contoh yang boleh aku ikuti. Anaknya, Munqeedz memperoleh 10A dalam SPM baru-baru ini, sekaligus menjadi pelajar terbaik sekolah. Cara Ustaz Amin mendidik anak-anak, wajar dijadikan contoh.

Benarlah, memang kita patut bersyukur dengan apa yang Allah beri. kekadang, kita terlalu mengejar keduniaan, sehingga kita 'kehilangan' masa untuk bersama keluarga.

Kelmarin aku berjumpa bekas murid, yang dulunya jurutera di sebuah kilang.

"Tak bolehlah cikgu, kalau masa bujang, bolehlah bekerja hingga lewat malam." katanya.

Dia sudah pun tamat KPLI dan lebih suka kerjaya guru, sebab mudah bersama anak isteri, dan lebih penting, ada masa untuk menguruskan keluarga.

Tak mengapalah, asalkan dia tidak menganggap kerjaya guru sebagai pilihan akhir, sebab jika mengajar ada kadar, yang merana nanti adalah anak murid satu generasi.

Friday, March 13, 2009

Perbincangan Dalam Kumpulan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.
Ada guru yang suka menggunakan kaedah talk and chalk. Tambah malang lagi, penyampaian sehala dalam kelas menyebabkan daya fikir murid terbantut.

Pelbagai kaedah boleh digunakan oleh guru untuk memastikan P&P berjalan lancar. Satu kaedah yang sering digunakan oleh guru untuk mengelakkan kebosanan ialah Perbincangan Dalam Kumpulan (PDK). Lima atau enam kumpulan kecil boleh diwujudkan dalam sesebuah kelas. Ketua kumpulan mestilah dilantik daripada pelajar yang berwibawa.

Perbincangan secara positif melalui kumpulan sebaya

Peralatan yang perlu biasanya kertas majong, pen marker dan akhbar. Melalui kawalan guru, pelajar boleh membincangkan tajuk yang diberi. Jika masa mencukupi, benarkan mereka buat pembentangan. Ada yang berani bercakap di hadapan, dan ada juga yang pertama kali berucap, menyebabkan dia gelabah tiba-tiba.

Tapi PDK selalunya memberi impak positif. Pelajar lebih seronok kerana mereka boleh berkongsi pandangan dengan rakan lain secara sihat.


Wednesday, March 11, 2009

Dup Dap Dup Dap Dup Dap Dup Dap.....

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Entah apalah di fikiran pelajar-pelajar yang mengambil SPM 2008 yang lalu. Esok, keputusan SPM akan diumumkan secara rasmi.

Tentulah degup jantung pun semakin kencang. Dulu, semasa aku nak ambil keputusan, berjanji nak pergi bersama-sama dengan rakan, balik pun sama-sama. Tapi bila dah dapat, kawan yang dapat keputusan tidak sebaik aku, akhirnya pulang dulu, sebab malu, katanya.

Sebenarnya, gagal atau lulus hanyalah di sekeping kertas. Yang penting, jika gagal, belajarlah daripada kegagalan, supaya kita menang satu hari nanti.

Buat semua pelajar SPM 2008, moga anda berjaya mendapat keputusan yang baik...

Jika menangis pun, biarlah yang menitis itu, air mata gembira dan kesyukuran..


Mentafsir Mimpi

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Awal pagi ini, aku terjaga selepas mimpi sesuatu yang agak membimbangkan. Aku bermimpi rumah mak dimasuki ular. Ularnya besar-besar. Peliknya, anak-anak aku berada di rumah mak, dan ketika aku cuba menghalau ular-ular tersebut, seorang anakku (Adil Hilmi) dipatuk di kakinya. Lantas, cepat-cepat aku membawanya ke hospital, dan tiba-tiba aku terjaga..

Oh,... mimpi rupanya. Ada rasa lega, tetapi ada juga rasa bimbang. Selepas solat Tahajud, aku memohon dijauhkan mala petaka ke atas keluarga.

Mungkin juga aku penat. Mungkin juga terbawa-bawa celoteh kelakar Wak Tabib dalam SINARFM semalam. Mungkin juga mainan tidur.

Kata arwah mak, mimpi buruk sebab tak basuh kaki. Pesannya lagi, kalau selepas azan subuh, itu memang dari syaitan. Tapi aku mimpi waktu dinihari, sebelum subuh... Apa maknanya?

p/s: Ada sesiapa boleh mentafsir mimpi?

Tuesday, March 10, 2009

Apa Beza Murid Bandar dan Desa?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Di Bandar, muridnya terdedah kepada banyak perkara; misalnya dari segi pakaian, gaya rambut, cara pergaulan, lebih 'ke hadapan' berbanding murid kampung. Teringat masa bersekolah di SMKAB dahulu. Rata-rata rakan dari luar bandar seperti Kayan, Sungai Tiram, dan Lekir, biasanya datang dengan bas Rafie, atau bas Cikgu Yaakub (arwah). Baju mereka, baik lelaki mahupun perempuan, putih kekuning-kuningan, sebab laluan untuk balik ke rumah tidak bertar.
Jika cuaca elok, debu-debu tanah merah melekat di baju. Tapi jika hujan, kasut-kasut mereka penuh bersalut tanah liat.

Murid bandar, biasanya akan mendapat kemudahan tuisyen (kelas tambahan) kerana keluarga mereka mampu. Murid di sekolah luar bandar selalunya hanya setakat belajar di sekolah. Dalam hal ini, kekadang tidak adil jika ada guru yang mengajar di sekolah, sekadar 'melepaskan batok di tangga'. Sebaiknya, gunakanlah masa P&P di sekolah sebaik mungkin, sebab bukan semua pelajar mampu ke kelas tambahan.

Murid bandar, mudah mendapat pelbagai kemudahan, sama ada akses internet, perpustakaan awam, mahupun sumber maklumat lain. Bagaimanapun, murid luar bandar masih boleh mendapat kemudahan berkenaan melalui usaha KPM menyediakan Makmal Komputer.

Dalam mencapai tahap pendidikan yang sempurna, teras ke-6 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ialah merapatkan jurang pendidikan.

Rasanya, jurang tersebut boleh dirapatkan melalui penyamarataan sistem pendidikan. Selain itu, sistem berorientasikan peperiksaan harus diubah kepada kemahiran dan minat. Tetapi, siapa yang minat? Ibu bapa hari ini lebih suka melihat jumlah 'A', dan anak akan dianggap 'pandai' jika banyak memperoleh 'A'..

Monday, March 9, 2009

Kembali Memegang Amanah Warden..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Mulai Mac 2009, aku kembali memegang amanah sebagai warden asrama. Sudah agak lama aku tinggalkan aktiviti asrama, meskipun pernah memegang jawatan ini pada 2001 hingga 2005.

Pengalaman menjadi warden sebenarnya adakala menyeronokkan dan sebaliknya. Bagaimanapun, tugas sebagai warden menuntut satu pengorbanan yang luar biasa. Jika dibandingkan dengan elaun yang diberi, memanglah tak berbaloi, tetapi ini adalah tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul bersama, demi kelangsungan generasi masa depan.

Hari ini, semua warga asrama dan warden menyambut Maulidur Rasul 1430H di sekitar asrama. Selepas solat subuh, warga asrama berkumpul di Medan Budi untuk menyertai perarakan dan salawat. Mereka dipecahkan mengikut kamar masing-masing, dengan pakaian seragam mengikut kamar dan sepanduk yang dibuat sendiri.

Ceramah Ustaz Ahmad Zamri Husin dari PPD Manjung berkisar tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Selepas itu, warga asrama yang menjawab soalan kuiz akan menerima hadiah. Pada sebelah petang, Biro Kerohanian mengadakan beberapa pertandingan seperti berzanji, syarahan, tilawah dan seumpamanya. Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat pelajar dan menambahkan keyakinan mereka membentuk jati diri.

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan program ini berjaya menarik minat warga asrama mengenali Muhammad bin Abdullah, tokoh tersohor yang telah mengembangkan Islam sehingga dikenali oleh dunia hari ini.

Sunday, March 8, 2009

Beginikah Bahasa Melayu Ditalkinkan?

ihsan Teranungkite
Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Jauh di sudut hati, aku sedih dengan nasib Bahasa Melayu di bumi Malaysia ini.

Memetik kata-kata Pak Samad (Sasterawan Negara-A. Samad Said), "..rupa-rupanya, begini caranya untuk menyelamatkan bahasa,..."

Sebaknya rasa, apabila seorang tokoh bahasa dan sasterawan yang cuba mempertahankan bahasanya, bersama pulahan ribu rakyat, diusir, disembur dan diloyakan dengan bom asap yang memualkan...

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...