Wednesday, December 9, 2009

Antara Arak dan Tapai

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


“Arak ialah Alkohol dlm bentuk ethyl alcohol dan merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia dihasilkan oleh sel2 ragi atau yeast yg bertindak ke atas karbohidrat yang terdpt dlm buah2an atau biji2an.”

Definisi arak sebenarnya ialah: Sesuatu yang mengandungi alkohol yang memabukkan dan dikenali juga dengan panggilan minuman keras.

Semua arak mengandungi alkohol dari jenis ethyl alkohol atau pun nama lainnya etanol tetapi etanol semata-mata adalah bukan arak kerana tidak ada pun arak yang terdiri semata-mata hanya etanol. Tambahan pula etanol selain boleh dihasilkan dari proses penapaian ragi / yeast , ia juga boleh dihasilkan di dalam makmal tanpa melibatkan langsung proses penapaian.

Secara umumnya, arak boleh di kategorikan kepada:
1.   Bir mengandungi 6% alkohol etanol
2.   Wain yang mengandungi 10-20% alkohol etanol
3.   Wiski yang mengandungi 35% alkohol etanol

Apa yang diharamkan oleh Islam adalah arak yang mana arak ini terdiri daripada air, karbohidrat (glukos), mineral, vitamin dan etanol iaitu sejenis alkohol.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Ibn Umar mafhumnya:
“Daripada Ibn Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; semua yang memabukkan adalah arak, dan semua yang memabukkan adalah haram”.

Jumhur ulamak mengelaskan arak sebagai najis. Apabila arak ini dikategorikan sebagai najis, apa yang najis bukanlah etanol sahaja yang terkandung di dalam botol arak tetapi apa yang dihukumkan najis adalah juga keseluruhan arak yang terdiri daripada air, karbohidrat, mineral, vitamin dan etanol. Air di dalam arak adalah najis dan begitulah juga vitamin yang terkandung di dalam arak. Sekiranya diasingkan air daripada minuman arak yang 100% terdiri hanya air, ia adalah tetap di katakan najis kerana air ini berasal dari najis arak. Sekiranya etanol dari arak ini diasingkan lalu menjadi 100% etanol, ia tetap najis kerana berasal dari najis arak. Namun sebarang etanol yang diperolehi selain daripada arak, ia adalah tidak najis. Kebanyakan alkohol di makmal tidak diperolehi daripada arak.

Nasi yang dimasak pada tengahari atau petang apabila dibiarkan semalaman lalu di makan keesokan harinya, ia sudah melalui proses penapaian dan mengandungi sedikit alkohol. Alkohol di dalam nasi ini boleh diasingkan melalui proses penyulingan. Persoalannya adakah nasi yang berusia hampir 24 jam ini dihukum sebagai haram kerana mengandungi etanol?? Hukumnya tetap halal dan masih harus dimakan kerana nasi ini tidak memabukkan hatta kalau dimakan sebanyak 3 pinggan.

Tapai pulut dan tapai ubi sangat sedap  sekali. Ia dibuat dengan memasak pulut atau ubi sehingga masak dan setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian ia dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Menjadilah makanan ini tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.
               
Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan.  Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Daripada penjelasan ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi  air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir?

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal  kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai dengan kuantiti banyak  pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari ini, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, insya-Allah muka peminumnya akan menjadi kemerahan dan kepala mula pening. Inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.

Bagi mereka yang ingin sekali minum arak, mereka selalu berhujah “saya tahu bir memabukkan tetapi kalau saya minum sedikit bir pastinya ia tidak memabukkan”.

Persoalan seperti ini adalah persoalan yang diajarkan oleh syaitan semoga manusia minum bir.

Jumhur ulamak telah memutuskan bahawa “setiap yang apabila diminum banyak memabukkan, maka sedikit pun adalah diharamkan.” Berdasarkan ketetapan ini maka bir adalah diharamkan sama ada ia diminum sedikit atau pun banyak.

Terdapat minuman bir tanpa alkohol dan adakah minuman ini diharuskan?? Dari penjelasan saya di atas telah dinyatakan bahawa minuman arak adalah najis. Najis ini merangkumi segala komponen arak ini termasuk air, glukos, etanol, vitamin dan segala garam galiannya. Sekiranya arak yang terbentuk ini disuling untuk mengeluarkan segala alkohol etanolnya sehingga tidak ada lagi baki etanol dalam arak ini, umat islam tetap tidak boleh minum arak tiada alkohol ini kerana ia adalah tetap dihukumkan sebagai najis. 

Pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Ipoh pada 11-14 April, 1984, Majlis Fatwa telah mcngambil keputusan tentang alkohol iaitu:
1.      Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu daripada arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum Berdasarkan keputusan ini, pembuatan Mousy dan Malt Extract adalah haram.

2.      Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3.      Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4.      Tapai halal dimakan

5.      Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boIeh dimakan.
6.      Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan dimaafkan.

Apa yang perlu ditegaskan berhubung keputusan majlis fatwa nombor 4 di atas yang mengatakan bahawa tapai halal dimakan adalah tidak mencukupi atau tidak lengkap. Memanglah tapai yang berusia 2-4 hari adalah halal dimakan dan tidak memabukkan tetapi tapai yang dibiarkan pada suhu bilik melebihi 5 atau 6 hari adalah haram dan memabukkan. Namun tapai yang dibeli dan  disimpan di dalam peti sejuk insya-Allah boleh terus dimakan walaupun berusia  seminggu kerana proses penapaian oleh ragi / yeast adalah teramat perlahan apabila disimpan di dalam peti sejuk kerana suhunya yang rendah.

Apa yang menarik sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam ialah apabila arak ini telah bertukar kepada cuka, ia menjadi halal semula. Bermula sebagai halal iaitu pulut dan ubi serta tapai, kemudian ia bertukar kepada haram apabila menjadi minuman memabukkan namun apabila ia bertukar kepada cuka, ia kembali halal walau pun di dalam cuka ini mengandungi sedikit etanol yang masih belum sempat bertukar.

Karbohidrat kanji (halal) => glukos (halal) => etanol (sedikit halal banyak haram) => cuka (halal)

Saya harap perkongsian maklumat ini dapat menjelaskan kepada kita tentang perbezaan hal ini.
Sumber: Halaqah.net

Sunday, December 6, 2009

Kekalahan Chelsea Satu Petanda?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perlawanan antara dua kelab kaya dan elit dalam EPL malam tadi, iaitu Manchester City vs Chelsea memang dinanti oleh peminat mereka, termasuk peminat pasukan tangga kedua, iaitu Manchester United.

Shay Given, penjaga gawang Ireland yang mewakili Man City dianggap wira apabila menyelamatkan penalti lewat Frank Lampard  dan serangan bertali arus Chelsea dalam 10 minit terakhir permainan.



Carlos Tevez, bekas pemain Man U turut menyumbang gol kemenangan

Chelsea mendahului melalui gol sendiri bekas pemain Arsenal, Emanuel Adebayor. Pemain tersebut membalas kesilapannya apabila menyamakan kedudukan dan kemenangan pasukan pimpinan Mark Hughes itu disahkan melalui gol Carlos Tevez pada minit 56.

Apakah kekalahan ini petanda Chelsea kembali ke rentak perlahan? Harapnya tidak, sebab perlawanan liga masih panjang. 

Seloka ini khas untuk para penyokong Chelsea dan mereka yang anti- Manchester United.

Garang wajah Carlo Ancelotti, mengharap tuah berdepan City,
firasatnya boleh dibenam pasukan ini, seperti pasukan lain sebelum ini.


Bola di padang ke sana ke mari, barulah nampak malang si Chelsea,
Drogba tak menjadi, pemain lain apatah lagi, tanda kalah semakin pasti.


10 Minit sebelum tamat, pemain Chelsea datang semangat
Penalti diambil oleh Frank Lampard, tapi sayang bola tak tepat.

Kepada Rashid di Kuala Berang, Imran di Bachok dan rakan lain yang anti Man U, terimalah kekalahan ini.

Hahahahahahahahahahahaha....

Saturday, December 5, 2009

Indonesia Merasai Bahang Kehilangan Pengaruh Di Asia Tenggara?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selain daripada e-akhbar tempatan, saya gemar melayari Kompas.com kerana  beritanya masih dalam lingkungan yang difahami, cepat dan menyeluruh, biarpun kekadang tidak tepat 100%, terutama melibatkan negara kita.

Cuba baca berita ini, dan tafsirkan, bagaimana pandangan Indonesia terhadap kita. 
Malaysia Sukses Gelar "Air Show" Berkat Belajar dari Indonesia
 
Prayitno Ramelan dan bukunya, Intelijen Bertawaf: Teroris Malaysia Dalam Kupasan.
Sabtu, 5 Desember 2009 | 14:35 WIB
Laporan wartawan KOMPAS.COM Wahyu Satriani Ari Wulan

JAKARTA, KOMPAS.com — Dalam kurun 20 tahun terakhir, Malaysia dan Singapura sukses menggaet sekitar 60 persen pangsa pasar industri kedirgantaraan dari Paris dan Inggris. Ini terjadi sejak dua negara ini menjadi tuan rumah pameran peralatan pertahanan dalam lingkup maritim dan kedirgantaraan atau luar angkasa serta peralatan sipil lainnya (The Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition/LIMA). Padahal, ajang ini biasanya digelar di Paris dan Inggris.
Demikian disampaikan mantan Kepala Staf TNI Angkatan Udara Marsekal (Purn) Chappy Hakim saat peluncuran buku Intelijen Bertawaf: Teroris Malaysia Dalam Kupasan karya Prayitno Ramelan, di Apartemen Essence, Jakarta.
"Malaysia dan Singapura telah menyelenggarakan sepuluh kali air show, dan merebut pangsa pasar sekitar 60 persen dari Paris dan Inggris yang berpindah ke Malaysia dan Singapura," kata Chappy, Sabtu (5/12).
Chappy mengatakan, masyarakat dunia telah familiar dengan penyelenggaraan LIMA yang digelar di Langkawi, Malaysia pada tahun ganjil, dan pada tahun genap digelar di Singapura. Pasalnya, jadwal air show ini telah masuk dalam kalender global. Chappy menilai hal ini ironis karena sebenarnya Malaysia dan Singapura belajar penyelenggaraan LIMA dari Indonesia pada tahun 1980-an lalu.
"Yang menyedihkan, mereka (Malaysia dan Singapura) menyelenggarakan air show setelah Indonesia menyelenggarakan air show tahun 1980-an dan setelah itu Indonesia tak lagi menyelenggarakannya," pungkasnya.

ULASAN SAYA;

Kejayaan penganjuran LIMA saban tahun menjadikan Malaysia dicemburui. Itulah hakikatnya.

"Jabulani" Beraksi Di Piala Dunia 2010!

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Inilah Jabulani yang menanti untuk disepak Jun 2010 nanti

Undian Piala Dunia 2010 yang dijadualkan berlangsung 11 Jun sehingga 11 Julai telah pun selesai di Capetown, semalam. Keputusannya, ada skuad pilihan yang berada dalam saingan selesa, manakala  pasukan Brazil, termasuk dalam kumpulan G yang dianggap 'grup maut'.

Apakah kumpulan maut? Ia diistilahkan sebagai kumpulan yang mempunyai lebih daripada dua pasukan kuat. Brazil selaku bekas juara dunia, akan bermain menentang Portugal, bekas juara Eropah, yang mempunyai pemain termahal dunia, Ronaldo.(Itu pun jika Ronaldo tak cedera). Kumpulan G turut disertai Korea Utara dan Ivory Coast, yang kedua-duanya memang diketahui mempunyai kekuatan tersendiri.

Pasukan lain, bagaimanapun tidak melalui jalan mudah ke pusingan berikutnya. Kita nantikan sepak mula di Afrika Selatan Jun depan.

2010 World Cup draw

Group A: South Africa, Mexico, Uruguay, France
Group B: Argentina, South Korea, Nigeria, Greece
Group C: England, USA, Algeria, Slovenia
Group D: Germany, Australia, Ghana, Serbia
Group E: Netherlands, Japan, Cameroon, Denmark
Group F: Italy, New Zealand, Paraguay, Slovakia
Group G: Brazil, North Korea, Ivory Cost, Portugal
Group H: Spain, Honduras, Chile, Switzerland
sumber; BBC Sports

Bola Piala Dunia 2010 yang direka dan dikeluarkan oleh Adidas telah diperkenalkan dalam majlis yang sama. Ia dipanggil "jabulani", yang bermaksud  untuk kemeriahan dalam bahasa Zulu. Terdapat 11 warna yang berbeza mewakili 11 pemain dalam setiap pasukan bola sepak. Ia juga adalah bola rasmi ke-11 Adidas dalam Kejohanan Piala Dunia, di samping simbol 11 bahasa rasmi yang digunakan di Afrika Selatan.

Pada tahun 1986, saya, ayah, Sani dan Oun menonton perlawanan yang diadakan antara pukul 2.00- 4.00 pagi. Untuk menanti waktu perlawanan, mata memang tak tahan, sudahnya kami tertidur. Bila bangun pagi, ayah yang tahu keputusan kalah menang perlawanan itu. Kami malu sendiri apabila disindir oleh ayah.. Bancuh kopi, pasang ubat nyamuk, tapi akhirnya tidur depan TV.

"Tak usahlah siksa diri, bukan kamu yang tengok TV, TV yang tengok kamu.." nasihat ayah.

Begitulah kenangan kami bersama ayah. Ketika itu, kami menonton pun pada hujung minggu. Kalau hari sekolah, memang tak ada peluang. Dalam kejohanan tersebut, Maradona memacu Argentina menang menjadi juara biarpun dibayangi kontroversi 'tangan tuhan'.

Piala Dunia mempunyai sejarah yang tersendiri, di samping kenangan terhadap peminat bola sepak. Bagi negara yang menyertainya, ia adalah satu penampilan eksklusif. Berada dalam kalangan 32 pasukan berkenaan, dianggap pencapaian yang menjadi kebanggaan seluruh negara.

Itulah kuasa bola sepak. Bagi yang tidak berminat, ia tidak menganggapnya sesuatu yang berbaloi. Tapi bola sepak mempunyai peminat di seluruh dunia. Istilah bola membolosi gawang yang digunakan dalam semua bahasa ialah 'gol' yang dibunyikan dalam pelbagai dialek tapi masih bunyinya sama.

Thursday, December 3, 2009

Fazdil (Fatine) Membuka Mulut..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Blog Mazidul pun sudah mengulasnya. Saya hanya mengambil sebahagian daripada petikan berita Mstaronline tentang pondan Malaysia, Fatine yang 'berkahwin' dengan lelaki mengikut undang-undang keluarga di UK.

Fatine Takut Pulang Ke Malaysia

 
Fatine (kiri) bersama 'suami'nya, 
Ian Young semasa perkahwinan mereka. 
-Foto FACEBOOK
 
LONDON: Transeksual warga Malaysia, Mohammed Fazdil Min Bahari berasa takut untuk pulang ke Malaysia ekoran reaksi negatif yang timbul daripada tanggapan salah berhubung perkahwinannya dengan seorang warga British.
Katanya, dia telah menerima banyak emel dan komen orang ramai yang mengkritik dan menuduhnya menghina kerajaan Malaysia.
Mohammed Fadzil atau Fatine kesal kerana orang ramai tidak memahami tujuannya datang ke United Kingdom (UK) adalah semata-mata untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya.
Katanya, dia tidak boleh berbuat demikian di Malaysia kerana masyarakat mengkaitkan perkahwinan mereka dengan isu agama.
"Saya takut untuk pulang ke tanah air. Saya bimbang akan keselamatan saya," katanya yang mengulas tentang laporan akhbar tersebut yang didakwa memberikan gambaran kurang tepat mengenai kisah percintaan mereka sehingga mencetuskan reaksi negatif.
Bercakap pertama kali selepas akhbar The Sun di London mendedahkan berita itu, Fatine berkata dia tidak tahu hendak membuat apa-apa lagi kerana keluarganya telah memutuskan hubungan dengannya.
"Saya telah menghabiskan masa berjam-jam membuat panggilan telefon untuk memohon kemaafan. Saya amat menyayangi mereka tetapi saya tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku," kata jurusolek artis berusia 36 tahun itu.
Fatine yang berasa kesal dengan laporan tersebut yang didakwanya telah memutarbelitkan kisah cinta mereka sedangkan mereka tidak berniat untuk menghina masyarakat Melayu.
"Mereka juga telah menyiarkan nama bapa saya, sedangan itu sebenarnya tak perlu. Ibu saya pula berasa takut untuk meninggalkan rumah sekarang," tambahnya.
Fatine kesal kerana masyarakat Melayu berasa tersinggung ekoran perkahwinan mereka, walhal mereka cuma ingin hidup bersama di UK memandangkan mereka tidak boleh berbuat demikian di Malaysia.
 
Fatine sedar orang-orang Melayu 
memegang nilai-nilai tradisional dan 
tidak dapat menerima orang sepertinya".

Fatine sedar orang-orang Melayu memegang nilai-nilai tradisional dan "tidak dapat menerima orang sepertinya". Bagaimanapun, dia berharap keadaan akan beransur reda.
Fatine "berkahwin" dengan Ian Young, 30, pemilik syarikat penyelenggaraan hartanah dalam satu upacara sivil Mei lalu, menghadapi tindakan dihantar pulang ke Malaysia selepas permohonannya untuk mendapatkan visa 'Leave to Remain' ditolak oleh Pejabat Dalam Negeri ekoran foto "salah".
Permohonan kedua yang disertakan foto berukuran pasport berlatar belakang putih dan bukannya biru telah dikemukakan untuk pertimbangan semula, namun permohonan itu juga telah ditolak Oktober lalu.
Pasangan itu baru mengemukakan permohonan buat kali ketiga untuk mendapatkan 'Right to Family Life (hak untuk kehidupan berkeluarga)' di bawah Akta Hak Asasi Manusia di Britain.
Pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, Jabatan Imigresen berkemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Fatine.
Ini kerana katanya, pihaknya memandang serius kes rakyat Malaysia tinggal melebih tempoh di luar negara.
Young bagaimanapun menegaskan permohonan Fatine masih sedang diproses oleh Agensi Sempadan UK. Justeru, katanya, Fatine tidak sepatutnya dikategorikan dalam golongan yang tinggal terlebih tempoh di UK.
"Setahu saya, pihak berkuasa tidak dibenarkan menahannya buat masa ini," katanya.
Ekoran laporan tersebut yang tidak memaparkan perkara sebenar, Young mendakwa, orang ramai beranggapan cerita mereka merupakan satu penghinaan kepada Islam sedangkan mereka tidak berniat berbuat sedemikian.
Fatine (duduk) kesal kerana orang ramai tidak memahami tujuannya datang ke United Kingdom (UK) adalah semata-mata untuk bersama dengan lelaki yang dikasihinya.
"Kami cuma mahu berkahwin, hidup bahagia bersama. Satu-satunya cara kami dapat berbuat demikian adalah di UK," kata Young.
Tambahnya, laporan tersebut juga seolah-olah menggambarkan mereka menghina undang-undang Islam.
"Ekoran gambaran sedemikian, saya berasa kami akan berada dalam keadaan bahaya jika kami cuba tinggal di Malaysia," ujarnya.

Bahaya? Di mana bahayanya? Apakah Fatine berasa tidak selamat jika pulang ke Malaysia? Sebenarnya, jiwa Fatine yang kacau sebenarnya. Moga dia kembali ke pangkal jalan. 

Wednesday, December 2, 2009

Rokok 20 Batang Sekotak Mulai Jun 2010! (Kempen Anti Rokok)

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Gambar hiasan :-)

 
Isu merokok seakan-akan klise dalam masyarakat kita. Biarpun pelbagai kempen diadakan, jumlah perokok semakin bertambah. Malah, jumlah remaja yang terlibat dalam gejala ini juga tidak menyusut. Kebanyakannya, pelajar sekolah, anak muda belasan tahun yang masih berharap wang saku ibu bapa. Mereka berlagak bagai orang dewasa merokok di tandas sekolah, perhentian bas dan tempat awam.

Menyedari kegagalan kempen TAK NAK! yang pernah diadakan dahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak melarang penjualan rokok kurang daripada 20 batang sekotak. Mulai Jun 2010, rokok yang dikeluarkan oleh syarikat rokok di negara ini mestilah berjumlah 20 batang sekotak dan tidak kurang daripada itu.

Kempen Tak Nak yang dilancarkan oleh 
PM terdahulu gagal menyedarkan generasi muda

Menurut Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan, larangan penjualan rokok kurang daripada 20 batang sudah diwartakan sejak 2004 lagi, tetapi kerajaan mengambil kira rayuan pengilang dan syarikat rokok untuk menangguhkannya selama enam tahun.

Ini menimbulkan persoalan, apakah tindakan ini akan mencapai matlamat mengurangkan jumlah perokok? Kerajaan, sebenarnya menghadapi dilema untuk mengatasi masalah rokok. Dalam satu keadaan, jumlah perokok yang bertambah akan menjejaskan kesihatan rakyat. Malah kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk merawat pesakit yang diakibatkan oleh gejala rokok.

Dari satu sudut yang lain pula, kerajaan menerima cukai rokok pada kadar yang sangat lumayan. Semakin ramai orang membeli rokok, makin bertambah pendapatan kerajaan. Sebatang rokok pada asalnya hanya menelan kos antara 15 sen hingga 25 sen. Selebihnya adalah cukai kerajaan. Kos termasuk cukai itu sanggup dibayar oleh perokok demi memastikan jantung dan paru-paru mereka sentiasa diisi dengan asap dan nikotin secara berterusan.

Perokok tegar sudah lali dengan apa juga larangan dan tegahan. Kita harus fokuskan kepada remaja yang masih muda. Itulah yang patut menjadi keutamaan kerajaan. Satu daripadanya, ialah menaikkan harga rokok sehingga RM60 sekotak. Ini mungkin mengurangkan keinginan mereka membeli rokok, tetapi bagi yang sudah ketagih, mereka akan terdorong untuk menghisap rokok berkualiti rendah yang lebih murah. Akibatnya, rokok seludup akan menjadi pilihan kepada perokok muda.

Hakikatnya, usah meletakkan beban gejala rokok terhadap kerajaan semata-mata. Masyarakat terutamanya, perlu bertindak proaktif memastikan generasi muda kita hari ini tidak terlibat dengan gejala ini. Hari ini, budaya menegur anak jiran tetangga yang melakukan kesalahan tidak lagi diamalkan.Kalau ada pun, ibu bapa remaja yang ditegur bersikap negatif mempertahankan tindakan anaknya. Bagaimanapun kita perlu bersikap kolektif; bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Usaha tegur menegur ini akan mengurangkan beban pihak guru mengawal pelajar terutama di luar kawasan sekolah.

Ibu bapa, seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Selain itu, terapkan nilai 'benci rokok' kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Selain itu, berdoalah, agar anak-anak kita tidak terlibat dalam ketagihan najis rokok. (Bolehkah saya menggunakan istilah 'najis rokok'?)

Jika anda perokok, berhentilah. Jika pasangan anda perokok, anda juga adalah perokok pasif, yang mana kesannya sama atau lebih lagi daripada perokok aktif. Berhati-hati dengan najis rokok.

Coretan Aidil Adha......

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kami sekeluarga pulang beraya di rumah mertua sehari sebelum Aidil Adha. Di pertengahan simpang ke hala Simpang Pulai, berita di SINARFM memaklumkan tanah runtuh di Kenyir, menyebabkan saya membuat pusingan menghala ke Grik.  Dari Grik, kami melalui Jeli dan tiba di Batu Rakit selepas 11 jam perjalanan. Semuanya gara-gara tanah runtuh di kawasan Tasik Kenyir. Saya tidak sanggup menanggung risiko berpatah balik jika berada di sana.

Malam menjelang raya, saya mendapat perkhabaran daripada Oun, adik lelaki yang kini menetap di Batu Pahat, Johor. Anak keempatnya lahir malam sebelum raya. Dinamakan AHMAD ADIB ADHA. Saya doakan dia menjadi sebijak ibunya, dan sekacak ayahnya.

Hari raya di Terengganu nampaknya lancar dan meriah. Majlis kurban diadakan di sana sini, dalam keadaan cuaca cerah. Menjelang hari Tasyriq ke-3, hujan mula mencurah kembali. Semasa pulang ke Perak semalam, hujan berterusan sejak pagi, sehinggalah melepasi sempadan Kelantan. Di kawasan Tasik Banding, cuaca panas dan hanya mendung  di beberapa tempat.

Hentian kami di Masjid Grik agak sibuk dengan musafir dan pengembara yang sehaluan. Selepas melepaskan penat, kami teruskan perjalanan yang masih berbaki 3 jam. Akhirnya, kami tiba sebelum maghrib.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...