Saturday, January 23, 2010

Menyauk Ikan Di Parit Jiran

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lama sebelum saya masuk ke sekolah menengah, kegemaran saya ialah memancing, atau lebih tepat lagi, menyauk ikan semilai. Di sesetengah tempat, ia disebut ikan laga. Di tempat saya, ia sinonim dengan nama ikan lawan. Warnanya cantik, terutama ikan jantan. Kelibatnya mengembangkan sirip apabila berdepan ikan jantan lain sangat menghiburkan. Dietnya hanya nyamuk kecil. Ikan ini mudah dibela. Biasanya saya bela dalam botol air badak, atau botol Horlick yang ditemui di tepi kedai runcit. 

Saya selalu mencari ikan lawan di parit jiran, iaitu rumah Pak Ngah Tamin belakang rumah.  Parit itu selari dengan jalan raya utama yang menjadi penghubung masyarakat kampung ke pekan  terdekat. Di parit yang lebarnya 2 meter itulah tempat saya menyauk ikan. Kekadang jika bernasib baik, saya boleh dapat ikan puyu atau sepat. Anak haruan yang kemerah-merahan sepanjang satu inci juga boleh ditangkap dengan penyauk  yang asalnya penapis plastik.

Saya jarang mengajak adik-adik lelaki menyertai aktiviti menyauk. Pertama, menyauk ikan tak boleh ramai-ramai. Ikan 'akan lari' jika suasana bising. Kedua, leceh  jika adik beradik ikut sama. Terpaksa jaga dan pantau mereka. Jadi, untuk mengelakkan situasi ini, saya selalunya pergi secara rahsia supaya tak diketahui kedua-dua orang adik lelaki yang hampir sebaya.

Satu hari, saya leka menyauk sehingga tak menyedari ayah balik melalui jalan raya depan rumah Pak Ngah Tamin. Ketika ayah balik dengan motosikalnya, dia ternampak kelibat saya sedang terbongkok-bongkok di tebing parit menyauk ikan. Ketika dia menongkat motor pun, saya tak sedar. Saya leka dengan dunia saya. Saya leka menyauk ikan lawan.

Memang sudah menjadi tabiat ayah, dia merenung perbuatan anak tanpa menegur. terlebih dahulu Tapi tenungan itu sudah cukup memberi maksud kepada saya. Melompat saya  memanjat tebing tinggalkan penyauk apabila menyedari ayah berada di tepi parit memerhatikan perbuatan saya.

Apa lagi, ca alif but, cabutlah. Saya tak tunggu, terus lari balik ke rumah menunggu saat-saat dihukum. Sebagai hukumannya, ayah ambil rotan dan bahagian punggung menjadi sasaran. Selepas itu, mak pun menasihati saya supaya tak buat perkara itu lagi.

"Entah ada ular, tebuan tanah ke, dekat-dekat situ... Bahaya, kamu tau?" kata mak.

Bila dikenangkan kembali, syukurlah tak terjadi perkara buruk ketika zaman nakal dahulu. Apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak lelaki, saya dapat rasakan kebimbangan mak dan ayah terhadap perbuatan saya dahulu.

Thursday, January 21, 2010

Mujur Cikgu Pun Mati Sama!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tragedi lemas melibatkan 6 orang termasuk seorang guru baru-baru ini memang mencetuskan kesedihan terutama kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

"Wang tidak boleh ganti nyawa anak saya kerana dia seorang pelajar yang cemerlang," luah Yeoh Cheong Hean, ayah kepada Brandon Yeoh yang maut dalam tragedi perahu naga terbalik Ahad lalu.

"Brandon berminat menjadi perekacipta serta mahu melanjutkan pelajarannya ke Jerman selepas SPM nanti. Malah beliau telahpun belajar bahasa Jerman dan saya menyokong cita-citanya itu tetapi kini semuanya hanya tinggal kenangan," katanya.

Pada kejadian pagi Ahad lalu, semua mangsa dari Sekolah Tinggi Chung Ling ditemui lemas apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum pada jam 8.45 pagi.

Mereka yang terkorban ialah guru sekolah yang juga penasihat pasukan Chin Ai Fang, 28, dan lima pelajar iaitu Jason Ch''ng, 17, Goh Yi Xiang, 15, Brandon Yeoh, 17, Cheah Zi Yun, 17, dan Yong Xiang, 16.

Seramai 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.

Andai kata guru berkenaan selamat daripada tragedi tersebut, tentulah dia menjadi sasaran Kementerian, Jabatan dan ibu bapa. Kita boleh menerima semua ini sebagai takdir, tetapi alasan untuk guru itu 'melepaskan diri' tidak ada, sebab ketika kejadian, aspek keselamatan memang tidak ditititkberatkan.


Jadi, lebih berbaloi dia juga menjadi mangsa tragedi tersebut.


Monday, January 18, 2010

Fitnah Di Hati

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Fitnah di hati? 
 
Bukan mudah dan senang untuk menghindarinya. Mujahadah yang tinggi diperlukan bagi menghapuskannya dari jiwa. Terkadang diri dibuai impian dan angan yang menggunung, namun sedarlah diri. Di mana kaki berpijak, di mana segala urusan qada' qadar telah ditentukan oleh Allah yang Maha Berkuasa.

"Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan hawa nafsunya." Sabda Rasulullah S.A.W.

"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." Surah Al-Baqarah: 191


Di antara penyebab terjerumusnya seseorang ke dalam fitnah:
* Kesediaan hati menerimanya.
* Mendahulukan pendapat peribadi di atas hukum syarak.
* Menerima jawatan yang tidak mampu dilaksanakan.
* Sibuk berbicara tanpa bekerja.

Di antara kesan fitnah:
* Membuat manusia lupa terhadap kebenaran yang sebenarnya.
* Menipiskan agama.
* Menghilangkan akal.
* Tidak mendengar nasihat.

Di antara penyelamat dari segala fitnah:
* Tidak menuntut hak dalam urusan dunia.
* Faham terhadap agama.
* Melepaskan diri dari fitnah dan sebab-sebabnya.
* Tidak memegang jawatan dalam fitnah.
* Berdoa agar terjaga dari kejahatannya.
* Hati mengingkari fitnah tersebut.
* Beramal soleh.
 Moga memberi manfaat kepada kita.

Friday, January 15, 2010

Ketatkan Pemberian VOA

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kebanjiran 'pelancong' India dan China ke negara ini ada kaitan dengan kewujudan jaringan untuk mereka bertapak di negara kita. Asalnya, menggunakan visa pelancong atau belajar, tetapi 'hilang' apabila tiba di Malaysia. Tidakkah kita bimbang dengan situasi ini. KDN dalam siaran akhbar baru-baru ini menyatakan lebih 40,000 orang warga India dari wilayah Chennai datang sebagai pelancong dan kemudian tidak dapat dikesan oleh Jabatan Imigresen.

Situasi ini berbahaya untuk keselamatan negara. Mereka boleh sahaja menyusup dalam kalangan warga negara kita yang berketurunan India dan Cina. Menurut seorang rakan India saya, slanga dan dialek Tamil 'pelancong lesap' ini tidak sama dengan dialek Tamil tempatan. Justeru, mudah untuk mengenal pasti mereka.

Persoalannya, apakah pemberian VOA sahaja yang menjadi faktor? Usaha kerajaan memansuhkan VOA untuk pelancong India tidak boleh dianggap usaha mengahalang kemasukan pelancong luar ke negara ini. SPRM juga harus menjalankan siasatan menyeluruh agar tiada unsur rasuah dalam menangani masalah ini. Pihak berkuasa seperti PDRM, Imigresen dengan kerjasama RELA dan PGA boleh menjalankan rondaan berterusan di kawasan-kawasan 'panas', sekaligus merencatkan imigran tidak sah ini daripada bebas berada di Malaysia.

Dipetik daripada Utusan Online

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Pengeluaran visa ketibaan (VOA) kepada pelancong dari negara yang dikesan paling banyak menyalahgunakan kemudahan itu seperti India, China dan benua Afrika mungkin dihentikan.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, kajian terperinci mengenainya sedang dibuat dengan mengambil kira kepentingan faktor pelancongan dan keselamatan negara.
Katanya, ketika ini pemberian VOA kepada beberapa negara terutama yang terlibat dengan konflik dalaman serta miskin seperti Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka telah pun dihentikan.
‘‘Kerajaan sedang mengkaji kemudahan VOA yang pada asalnya diwujudkan untuk menjana industri pelancongan tetapi malangnya disalahgunakan oleh sebahagian pelancong,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri mendedahkan mengenai 39,046 warganegara India yang ‘hilang’ di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan negara.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran yang dibuat pada Jun lalu.
Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya dihentikan terus VOA kerana lebih banyak mendatangkan keburukan.
Menurut mereka, Malaysia tidak wajar berbangga dengan peningkatan pelancong tetapi pada masa sama beban jenayah yang dicetuskan oleh golongan itu terus meningkat dan mengancam negara.
VOA diperkenalkan pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia.
Sehingga akhir 2008, iaitu selepas kira-kira dua tahun diperkenalkan, kerajaan mendapati hampir 30 peratus daripada 251,908 visa yang dikeluarkan telah disalahgunakan.
Ia membabitkan lebih 70,000 pelancong yang kebanyakannya berasal dari negara-negara berkonflik dan miskin.
Mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk mencari pekerjaan atau transit sebelum ke negara lain terutamanya Australia dan New Zealand.
Warganegara India, Pakistan, Bangladesh, China dan Sri Lanka adalah antara yang dikenal pasti paling ramai menyalahgunakan visa tersebut.
Tambah Mahmood, selain menumpukan pada kepentingan industri pelancongan, kajian itu juga tidak akan sesekali berkompromi dengan tahap keselamatan negara.
‘‘Kita mahu pastikan hanya pelancong berkualiti sahaja memasuki negara ini dan mengelak mereka yang bakal membawa impak buruk.
‘‘Memang diakui hanya negara kita sahaja yang memberikan VOA kepada pelancong semasa tiba di pintu masuk,” katanya.

Thursday, January 14, 2010

Merokok Jadi Tabiat Melayu Singapura?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menurut BERNAMA, Melayu Singapura Kuat Merokok
 
SINGAPURA: Jumlah Melayu Singapura yang merokok mengatasi jumlah perokok daripada kaum Cina dan India di negara ini, kata Kementerian Kesihatan.
Kementerian berkenaan berkata jumlah perokok Melayu adalah sekali ganda melebihi dua kaum itu.
Lelaki Melayu berusia 30 hingga 39 tahun merupakan golongan paling ramai menjadi perokok iaitu 49 peratus berbanding 19 peratus kaum Cina dan 12 peratus kaum India, kata kementerian itu di parlimen Singapura.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu bagaimanapun berkata jumlah perokok wanita di negara ini hanya berjumlah satu angka peratusan, tetapi daripada jumlah keseluruhan, wanita muda Melayu yang merokok berjumlah 14 peratus.
Kementerian itu berkata lebih separuh daripada perokok wanita berusia bawah 29 tahun dan kadar merokok dalam kalangan mereka meningkat dengan ketara daripada lima peratus pada 1998 kepada sembilan peratus pada 2007. Kata kementerian itu walaupun jumlah perokok di Singapura adalah antara yang terendah di dunia, tetapi usaha melalui Program Kawalan Merokok Nasional yang dilaksanakan sejak 1970an berjaya mengurangkan jumlah perokok di negara ini daripada lebih 25 peratus kepada bawah 14 peratus sekarang.
Jumlah rakyat Singapura yang merokok sekarang ialah kira-kira 360,000 orang, kata kementerian itu.
Walaupun jumlah itu kecil berbanding di negara lain, kementerian berkenaan meminta kerajaan terus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan usaha mengekang tabiat merokok seperti mengenakan kadar cukai yang tinggi bagi tembakau.
Selain itu, beliau turut akan mengemaskini peraturan kawalan tembakau dari semasa ke semasa, mengenakan larangan merokok di tempat awam, menyediakan khidmat bantuan berhenti merokok dan mendidik rakyat Singapura tentang bahaya merokok.
Kementerian itu berkata ia juga melaksanakan kempen antimerokok secara berterusan yang ditumpukan terhadap lelaki Melayu.- BERNAMA

Ulasan saya:

Di Malaysia, remaja Melayu jaguh perokok baru. Maknanya, dalam 5-10 tahun lagi, jumlah perokok dewasa di Malaysia akan bertambah, mungkin melebihi peratus perokok Melayu di Singapura. Kita nak bangga?

Tuesday, January 12, 2010

Kerja Sementara

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selepas SPM dulu, saya berpeluang bekerja sementara menunggu keputusan. Antaranya ialah kerja di Pejabat Pos sebagai tukang sisih kad raya. Kerjanya tak susah, hanya perlu sisihkan kad raya ikut alamat negeri dan luar negeri. Pejabat Pos memang perlukan pekerja untuk tempoh menjelang raya sahaja. Raya puasa dan Tahun Baru Cina adalah dua perayaan yang sibuk, dan orang ramai gemar mengirim kad raya pada waktu itu.

Kerja seperti ini tak memerlukan saya bercakap. Lagipun, ketika itu, siapalah nak layan budak lepasan SPM. Jurang umur yang agak jauh dengan posmen menyebabkan saya hanya menumpukan kerja menyisih kad.

Kerja lain selepas STPM, saya bekerja di kilang cetak baju. Kalau tak salah, nama syarikat cetak baju itu, GOBI Enterprise. Rasanya, sekarang dah tutup. Lagipun, premis tempat saya bekerja hanya disewa. Saya dan seorang rakan lagi bertugas mencetak baju T. Kerjanya tidaklah sebosan kerja menyisih kad, sebab saya mempunyai rakan bersembang. Lagipun kerjanya membolehkan saya bergerak di sepanjang meja cetak.

Cuma, kalau tersalah cetak, saya terpaksa mengulang cetak baju tersebut. Tidak lama selepas bekerja di GOBI, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UPM. Hasil menyimpan duit sepanjang bekerja di situ, saya dapat juga mengambil lesen motosikal.

Semasa cuti semester tahun 1, saya bekerja lagi sementara menunggu masuk ke tahun 2. Kali ini, saya bekerja sebagai kerani di sebuah resort di Teluk Batik, Lumut. Pengalaman berdepan dengan pelbagai orang membantu mengasah bakat komunikasi saya. Hampir dua bulan, saya dapat mengumpul wang untuk mengambil lesen memandu kereta.

Sunday, January 10, 2010

Kenangan Di Asrama

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semasa bersekolah menengah tahun 1988-1990, saya menginap di asrama. Ia mengujakan, apatah lagi bagi pelajar di sekolah luar bandar seperti saya.  Waktu itu, kemudahan di asrama jauh lebih selesa berbanding di rumah. Tidak seperti hari ini, kehidupan dan keselesaan di rumah menjadikan ramai pelajar suka 'memerap' di rumah berbanding di asrama.

Semasa bulan Ramadhan, tahun 1988, ketika kami di Tingkatan 5, empat orang kawan  menyelinap masuk ke asrama puteri. Tujuannya untuk mencuri seluar dalam, dan coli. Tentu tak masuk akal, tapi itulah yang terjadi. Kumpulan empat orang rakan kami ini memakai baju silat, dan menutup muka 'ala ninja'. Ketika mereka menceroboh masuk, kami di dorm masih tidur dan tak sedar apa. Menjelang waktu bersahur, mereka menggayakan 'cat walk' di hadapan kami dengan memakai coli dan seluar dalam yang dirembat dari bilik dobi aspuri.

Sangat kelakar dan kami ketawa hingga sakit perut dibuatnya. Rupa-rupanya, peristiwa mereka menceroboh masuk ke asrama puteri telah dihidu oleh warden. Kami semua diarahkan berkumpul pagi itu juga. Semua warden membuat siasatan. Ada saksi, iaitu pelajar perempuan yang melihat kelibat lelaki berbaju hitam keluar dari bilik dobi aspuri. Semasa sesi soal jawab, semua senyap membatu.

Demi menjaga persahabatan, maka kami yang tidak terlibat turut sama 'menyimpan rahsia'. Menurut perjanjian lisan kami selepas acara 'cat walk' ialah, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Kononnya, begitulah.

Semuanya bagai tiada bukti, sehinggalah warden mengarahkan pekerja  sokongan memeriksa bahagian atas siling yang berlubang. Ketika itu, peluh jantan membasahi muka. Apa tidaknya, semua coli dan seluar dalam yang dicuri itu, disembunyikan di atas siling. Mengucap panjang pengetua dan warden melihat hampir dua plastik pakaian dalam ditemui di atas siling.

Akhirnya, pengetua membuat keputusan untuk menghukum semua pelajar tingkatan 5 dengan membuang kami dari asrama. Ketika itu, kami sudah mula mencongak-congak untuk membuka rahsia. Tapi dalam masa yang sama, hati kawan yang 'meninja' itu perlu dijaga.

"Alamak, SPM dah dekat, aku tak nak gagal sebab benda ni. Aku tak buat," bisik seorang rakan.

"Aku pun," saya berbisik kepadanya. Kami saling berpandangan ke arah empat rakan yang menceroboh tadi. Mereka dengan selamba bagai tiada rasa bersalah.

Melalui teknik Penolong Kanan, Cikgu Md Radzi Jabar, akhirnya, semua yang menceroboh dapat dikenal pasti dan dibuang asrama. Selamatlah kami yang tidak terlibat.

Hari ini, Penolong Kanan itu sudah menjadi Pengarah Pelajaran Perak. Beliau mungkin sudah lupa akan peristiwa ini, tapi, saya masih ingat. Begitu juga dengan penghuni dorm C, asrama putera SMK Ahmad Boestamam tahun 1988.

Moralnya ialah, jangan lakukan perkara gila pada waktu remaja, kerana ia mungkin menjejaskan masa depan.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...