Wednesday, May 20, 2020

PENGAJARAN KISAH PEMUDA YANG MEMEGANG JANJI DIQISAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika Khalifah Umar dan para sahabat sedang bermusyawarah di bawah pokok kurma, tiba tiba beliau didatangi dua orang pemuda sambil mengapit seorang pemuda yang diikat tangannya. Lalu seorang daripada pemuda itu berkata, "Wahai Khalifah, tegakkanlah keadilan buat kami."

Umar terkejut, lalu bertanya apakah yang berlaku. Kedua-dua pemuda tersebut merupakan adik beradik, manakala yang terikat tangannya adalah pembunuh ayah mereka. Mereka mahukan pembunuh tersebut dihukum mati mengikut hukuman Qisas.

"Unta lelaki ini merosakkan tanaman ayahku, lalu ayahku bunuh unta itu kerana ayahku marah kebunnya dirosakkan. Pemuda ini kemudiannya membunuh ayahku yang telah tua." kata pemuda pertama.

"Benarkah tuduhan terhadap kamu?" Tanya Umar kepada pemuda yang tangannya diikat.

"Benar, wahai khalifah." Kata pemuda tersebut dengan perlahan.

"Aku datang daripada sebuah tempat pedalaman yang jauh dari sini, memikul amanah kaumku, untuk menyelesaikan satu urusan. Setibanya aku di satu tempat, aku ikat untaku untuk berehat sebentar. Tidak lama selepas itu, aku kembali ke tempat untaku, tetapi ia tiada di sana. Aku mencarinya, lalu menemui seorang lelaki tua membunuhnya dan sedang melapah dagingnya." dia bercerita.

"Lalu aku sangat marah dengan tindakannya, aku hunuskan pedang lalu kubunuh dia. Aku menyesali perbuatanku yang dihasut oleh syaitan ketika aku marah," Kata pemuda itu lagi.

Pemuda itu bersedia menerima hukuman. Khalifah bersimpati tetapi keadilan perlu ditegakkan. Manakala kedua dua lelaki adik beradik tersebut tetap mahukan nyawa dibalas nyawa.

"Wahai khalifah, jalankanlah hukuman untukku. Tapi aku memohon satu permintaan." Kata pemuda tersebut.

Dia menceritakan urusan kaumnya belum selesai. Dia harus pulang dan diminta penangguhan hukuman selama 3 hari sebelum hukuman qisas dijatuhkan. 

"Siapakah yang akan menjamin kamu kembali ke sini? Adakah kamu mempunyai rakan, atau saudara mara di sini, yang boleh menjamin kau tidak mungkir janji? Tanya khalifah Umar kepadanya.

Tidak ada orang mengenalinya, malah dia juga tiada saudara di Madinah. Namun, tiba tiba Salman al-Farisi datang dan menjamin pemuda tersebut, agar pemuda itu dapat menyelesaikan urusan amanah kaumnya terlebih dahulu sebelum menjalani qisas.

"Biarlah aku menjaminnya," Kata Salman.

Khalifah Umar terkejut, dan marah kepada Salman, kerana Salman tidak mengenali pemuda tersebut. Andainya dia berbohong dan melarikan diri, tentu nyawa Salman menjadi galang gantinya. Namun Salman tetap yakin pemuda itu memegang janjinya. Pemuda tersebut dilepaskan dan diberikan masa 3 hari seperti yang dimintanya. 

Pada hari ketiga selepas kejadian tersebut, semua orang di kota Madinah menanti kesudahan peristiwa tersebut. Pemuda yang dihukum bunuh masih tidak kelihatan selepas pulang ke kampungnya. Semua orang bimbang dan gelisah, apakah Salman akan menjadi ganti kepada hukuman qisas pembunuhan tersebut.

Lewat petang sebelum matahari terbenam, akhirnya kelihatan tubuh pemuda tersebut berjalan terhuyung hayang dari kejauhan. Apabila sampai di hadapan khalifah, dia menceritakan kejadian yang menimpanya.

"Maafkan aku wahai Amirul Mukminin. Rupanya urusan kaumku mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan. Sebaik sahaja selesai, aku terus memecut dengan kudaku ke sini, tetapi ia keletihan sebelum tiba di sini, dan kutinggalkan ia di dalam perjalanan. Aku berlari sehinggalah aku sampai juga ke sini." katanya.

"Mengapakah engkau masih datang ke sini, menghantar nyawamu, sedangkan engkau boleh sahaja lari menyelamatkan diri?" Umar bertanya kepadanya. 

Lalu dijawab pemuda itu, "Aku datang kembali ke sini, agar jangan ada yang mengatakan dalam kalangan Muslimin, tiada orang yang berpegang kepada janjinya." katanya sambil tersenyum kepada khalifah Umar.

Orang ramai yang melihat kejadian tersebut terus bertakbir dan menangis. Khalifah berasa terharu dengan kesungguhan pemuda tersebut. 

Mata Umar berkaca-kaca, sambil menahan sedihnya, lalu ia bertanya kepada Salman, "Mengapa engkau bersungguh-sungguh untuk menjamin orang yang baru sahaja engkau kenal, wahai Salman?”
Lalu Salman menjawab, “agar nanti jangan sampai dikatakan, di kalangan Muslimin, sudah tidak ada lagi rasa saling percaya dan mau menanggung beban saudaranya.”

Mendengar jawapan Salman, khalayak yang menyaksikan peristiwa itu bertakbir lagi sambil menangis dan terharu dengan sikap Salman yang tulus.

Dua orang pemuda yang menuntut keadilan terhadap ayahnya tiba tiba melaungkan, "Saksikanlah wahai muslimin, kami telah memafkan saudara kami itu!" Kata mereka sambil menangis dan berulangkali melaungkan takbir.

Orang ramai menjerit kegembiraan. Khalifah Umar terkejut dan bertanya,  "Apakah maksudnya semua ini?"

"Agar nanti jangan sampai dikatakan, di kalangan Muslim, sudah tiada lagi orang yang mahu memberi kemaafan kepada saudara seagamanya." Kata seorang daripada pemuda itu.

Pengajarannya, sikap berbaik sangka dan memafkan kesalahan orang lain boleh menjadikan hubungan ummah kuat dan padu.    



Tuesday, May 19, 2020

RAMADHAN 1441 DALAM SUASANA PKPB

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, Selasa 19 Mei 2020, bersamaan  26 Ramadhan 1441. Ini bermakna, Ramadhan sudah ke penghujung. Entah bila kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan, tapi sama-samalah kita berdoa, agar kita dapat bertemu dengan Ramadhan tahun tahun berikutnya.

Ramadhan kali ini begitu berbeza dengan sebelumnya. Ini juga Ramadhan pertama selepas Sani, adik kandung saya pergi buat selama-lamanya pada 18 Disember lalu. Sayu dan pilu mengenangkan kami pernah menikmati kehidupan bersama, membesar dan melalui kehidupan sebagai adik beradik yang penuh suka duka.

Ramadhan kali ini juga tiada solat jemaah di masjid dan surau. Tiada majlis iftar setiap maghrib di surau Taman Wazir atau Masjid Batu 10 Lekir. Ibadah solat dan berbuka puasa dibuat di rumah masing masing, selaras dengan arahan pihak kerajaan kepada rakyat seluruh negara, demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Covid-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 lalu, kini mencatat 4,801,943 kes seluruh dunia dengan 318,481 kematian. Data daripada Universiti John Hopkins turut mengesahkan Amerika Syarikat mendahului carta kes dan kematian berbanding negara lain dengan lebih 1.5 juta kes dan 90 ribu nyawa rakyatnya melayang akibat virus tersebut. Ia diikuti oleh Rusia, Brazil, United Kingdom, Spain Itali dan Peranchis. (sehingga tarikh 18/5/2020)

Di negara kita, normal baharu dijadikan rutin dalam kehidupan. Antaranya, penjarakan sosial sekurang kurangnya 1 meter, elakkan berada di tempat sesak dan memakai topeng mulut jika berada di luar rumah. Rakyat juga diingatkan mencuci tangan, dan luangkan masa bersama keluarga di rumah jika tiada keperluan di luar. 

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah menggariskan bahawa sambutan aidilfitri dihadkan hanya pada hari raya pertama, dengan tiada kunjung mengunjung seperti tradisi kebiasaan kita. Malah, pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Satu kereta hanya boleh memuatkan 4 orang penumpang  
termasuk pemandu daripada satu keluarga. 

Biarpun sambutan Ramadhan dan Syawal kali ini berbeza daripada sebelumnya, kemeriahannya tetap terasa. Semua ini ada hikmah yang tersembunyi. Namun ia perlu dinikmati dan bukan dibenci. Mungkin inilah sambutan perayaan paling unik dan tidak berulang pada masa hadapan.   

Tuesday, May 12, 2020

KUIH SEPIT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kuih Sepit, atau nama lainnya, Semprong, Sapit, kue Belanda, atau kuih Kapit, adalah snek tradisional di Malaysia dan beberapa negara termasuk Indonesia dan Brunei.
Dahulu, awal bulan puasa, kami menunggu nunggu mak buatkan kuih ini. Mak sediakan bancuhan, dan kami adik-beradik tolong pukul telur, jaga api, cari sabut kelapa, dan juga kawalan mutu (QC). Biasanya yang terlibat dengan QC tak puasa sebab masih belum sekolah (kalau dah masuk sekolah rendah, dikira wajib puasa πŸ˜œπŸ™„πŸ˜†)
Kuih sepit yang kehitaman, terlalu garing atau tidak sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu semasa raya, dijamu kepada unit QC yang sedia menanti dengan penuh sabar. πŸ˜†πŸ˜œ
Alangkah indahnya kenangan waktu itu. Kini semua jenis kuih untuk raya, mudah diperolehi, pesan sahaja atau dapatkan di mana mana pasaraya.

Saturday, May 2, 2020

RAMADHAN DI BUMI SELAMA (2017-2018)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tahun 2017 dan 2018, saya dan cikgu Musa Aziz berkelana di bumi Selama, memikul amanah dengan tanggungjawab baharu yang besar sebagai pengetua. Sejak itu, bermulalah pengalaman kami menikmati suasana bulan Ramadhan jauh daripada keluarga tersayang. 

Saya masih ingat lagi betapa sederhananya kami berbuka puasa di rumah sewa pada minggu minggu pertama puasa di Selama. 

Ditemani rasa sunyi berbuka puasa di rumah sewa, pelawaan pengerusi surau, abang Harun untuk berbuka di surau Taman Nesa, kami  terima dengan tangan terbuka.

Majlis berbuka di surau Taman Nesa agak mudah. Orang pun tak begitu ramai. Mungkin dalam 10 hingga 15 orang dalam satu masa. Para jemaah akan bertahlil dahulu sebelum waktu berbuka puasa. Juadahnya hasil sumbangan orang ramai atau individu tertentu. Bukan setiap hari ada iftar di surau Taman Nesa, tapi kami rasa seronok dapat iftar  bersama jemaah lain. Sekurang-kurangnya, tidaklah sunyi.  

Keadaan agak berbeza dengan surau Taman Merdeka. Mulai 2018, kami banyak ke surau Taman Merdeka sebab ia lebih dekat dengan rumah sewa. Kami juga dah serasi dengan jemaah di sana, kerana sering solat maghrib dan isyak berjemaah. Apatah lagi Haji Ibrahim Miharbi, orang kuat surau tersebut kerap pelawa kami berbuka di surau yang letaknya hanya 500 meter daripada rumah sewa kami. 

Di surau Taman Merdeka, jemaah lebih ramai, dan meriah. Juadahnya juga menarik dan pelbagai πŸ˜‚ Paling saya ingati, solat tarawih boleh melangkau masa hingga jam 11 malam, sebab kawasan di situ ramai kalangan pesara yang cukup bersemangat melaksanakan ibadah. 

Dr Azrul, yang senasib dengan kami, bertugas di Hospital Selama dan berulang hujung minggu dari Ipoh, turut serta semasa iftar di surau TM. 

Kini, semuanya tinggal kenangan. Entah bila lagi, kami dapat menikmati saat saat berbuka puasa bersama jemaah di sana. 

Terima kasih warga Selama, banyak kenangan saya dan Chor Musa melalui Ramadhan dua tahun yang begitu mencabar😊😊
πŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ˜‚

Thursday, April 30, 2020

RUTIN BAHARU SEPANJANG PKP

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ibadah sepanjang bulan Ramadhan semasa tempoh PKP ini memberi makna yang begitu besar kepada kita. Selain berbeza daripada kebiasaan, ibadah seperti solat tarawih dilakukan di rumah bersama ahli keluarga. Hal ini tentunya memberikan peluang mengukuhkan hubungan kekeluargaan, selain dapat menyantuni ahli keluarga. 

Sejak PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020, beberapa perubahan nyata berlaku dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Antara aktiviti besar yang dihentikan adalah solat Jumaat dihentikan sementara (setakat ini sudah 8 kali), manakala solat fardhu berjemaah di masjid dan surau seluruh negara ditangguhkan sehingga satu tarikh yang dimaklumkan.

Sepanjang bulan Ramadhan, s
olat terawih dilakukan di rumah, dan suami menjadi imam terawih di rumah. (Alhamdulillah anak anak lelaki saya boleh berganti ganti menjadi imam). Manakala semua aktiviti  keagamaan dihentikan sementara waktu.


Dari segi ekonomi, hampir semua premis perniagaan ditutup seluruh negara, dan anggaran kerugian RM2.3 billion sehari. Kerajaan telah memberi kelonggaran rakyat yang berhutang dengan bank ditangguhkan pembayaran hutang selama tempoh 6 bulan. Kerajaan juga telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Prihatin khusus menangani wabak diperkenalkan.


Dari segi sosial, PKP menetapkan penjarakan sosial antara individu dalam jarak 1 meter. Tiada perhimpunan dan berkumpul dibenarkan, termasuk budaya bersalam tangan tidak dibenarkan buat waktu tersebut.


Dalam bidang pendidikan, semua institusi pendidikan seluruh negara, sama ada tadika, sekolah mahupun universiti ditutup serta merta. Guru dan pensyarah mengajar dan pelajar belajar dari rumah. Secara langsung, pembelajaran atas talian menjadi semakin penting.


PKP juga menyaksikan agensi keselamatan negara seperti PDRM dan ATM diberi peranan yang sangat penting dalam memastikan keberhasilan mengawal PKP. Dalam tempoh PKP dilaksanakan, PDRM merekodkan peratus jenayah dan kemalangan menurun 70%.


Selain itu, lebih 3000 kawalan dan sekatan jalan raya seluruh negara diadakan bagi membendung pergerakan rakyat ke sana, ke sini tanpa kawalan. 


Dari segi kesihatan, pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia, dengan Amerika Syarikat, sehingga kini mencatat peratusan kes dan kematian tertinggi diikuti beberapa buah negara Eropah seperti Sepanyol dan Itali.


Tentunya wajah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah menjadi popular dalam kalangan rakyat. Beliau diangkat menjadi antara ikon individu penting yang berpengaruh di dunia semasa PKP. Petugas kesihatan pula  menjadi barisan hadapan dan individu paling kritikal menangani wabak berkenaan kerana terlibat secara langsung merawat pesakit wabak tersebut.


Fenomena rakyat memakai mask dan sanitizer apabila berada di luar, dan memastikan penjarakan sosial apabila berada di luar rumah adalah pemandangan biasa sekarang.


Kesimpulannya, semua yang dilakukan ini demi keselamatan dan kesihatan rakyat. Ia memberi pengajaran yang sangat penting kepada kita semua.

Saturday, April 25, 2020

Motor Ayah


Nama penuh: Honda C70
Nama panggilan: Honda Lampu Bulat/ Triple A's/ Cap Ayam/ Motor Atuk
KP: AAA7960
Tahun didaftar:1977 (Sijil Lahir hilang entah di mana)
Tenaga: 70 Cc
Warna kulit asal: kelabu
Makanan: Petrol ron95
Pendidikan: UPM (tak tamat pengajian-sempat dua semester je) πŸ˜‚πŸ˜‚
Pengalaman manis: tahun 1992, naik Ekspres Rakyat dari Ipoh ke Stesen Keretapi Sultan Abdul Samad, bergerak ke UPM Serdang selepas transit di Taman Cempaka... (Jauh woooo...)😜
Sejarah perkhidmatan:
1977- 1986 berkhidmat membawa tuan asal bekerja- Lumut, Sitiawan, Pantai Remis dan sekitar Manjung. Zaman gemilang ketika menjadi kenderaan utama keluarga Ali Hassan- dinaiki 4-5 orang dalam satu masa. 
Pernah terlibat dengan kemalangan terbabas di jalan Beruas dan beberapa kemalangan kecil yang lain.
Kini bertugas ringan ke masjid dan pasar berdekatan (faktor usia lanjut)
Hubungan dengan pemilik sekarang:
Kawan baik sejak kecilπŸ˜‰
Prinsip hidup: Berbakti Selagi Diperlukan
😁😁πŸ€ͺ
Keadaan kesihatan sekarang:
Tak boleh jalan jauh, semput...

Sunday, April 12, 2020

BANTUAN KEMANUSIAAN ANJURAN ALUMNI SMKBS LEKIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi Sabtu 11/4/2020, saya menyertai alumni dan bekas pelajar SMKBS Lekir dalam usaha membeli barangan keperluan asas. Antaranya adalah beras, telur, tepung, gula dan seumpamanya yang akan diagihkan kepada ahli komuniti Lekir yang memerlukan bantuan semasa PKP tahap 2. 

Menyaksikan sendiri kesungguhan anak anak muda ini, rasa bangga  di hati melihat mereka berusaha membantu masyarakat, bermula dengan kutipan sumbangan, hinggalah kepada mengagihkan bantuan. Tulang belakang usaha murni ini adalah Arif Rashid, Yusredzan Adha dan Asyraf Arab. 

Pengagihan sumbangan akan diadakan pada pagi esoknya, Ahad 12/4/2020, dengan kerjasama RELA dan Angkatan Pertahanan Awam, seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa. Kami berpecah kepada dua pasukan bagi memudahkan urusan penghantaran. 

Terima kasih kepada para dermawan dan penyumbang yang turut menjayakan program ini. 

Insyaallah, usaha ini akan diteruskan menjelang Ramadhan nanti.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...