Sunday, November 29, 2009

Adik Nak Balikk...

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah menjadi rutin masyarakat di sekitar Batu Rakit, mengadakan majlis kurban atau disebut 'ghebang' di kawasan berdekatan rumah. Ada juga 'ghebang' dilakukan di masjid, tetapi jumlahnya terhad.

Pagi hari raya kedua, kami bercadang ke Pangkalan Atap, membantu Ayah Ngah dan Cek Ngah Yang menguruskan kurban seekor kambing dan lembu. Tetapi dua tiga orang anak saya 'mengekor' termasuk Nuha, yang bongsu.

Awalnya, dia tak kisah, tak takut pun. Tetapi apabila melihat lembu yang ditambat mula agresif, Nuha jadi takut. Dia mula buat hal, nak balik dan tak mahu tengok lembu kurban.

"Adik nak balik. Adik takut.." Katanya ketika dalam dukungan saya.


Keterangan foto (dari atas: Ayah Ngah memegang tali memastikan lembu bersedia disembelih; Tukang sembelih bersedia dengan pisaunya; Abang Long memisahkan kulit lembu; Bapa mertua melapah daging dan tulang.

Walaupun dipujuk, anak kecil ini 'tetap' dengan pendiriannya. Disebabkan dia asyik dengan rengekan takutnya, terpaksalah dia dihantar pulang dahulu. Selepas itu, barulah saya dapat menumpukan perhatian membantu melapah daging kurban.Saya bersama adik ipar, Shahrul dan Mie 'bertugas' di bahagian memotong daging yang telah dilapah.

Sangat besat pengertian kurban dari sudut agama Islam. Memanglah penat melapah dan memotong daging kurban, tetapi ia menyeronokkan. Apatah lagi ia bukan selalu kami lakukan secara bersama.

Sebelum pulang, Cek Ngah Yang mengajak kami makan dahulu di rumahnya. Gulai ayam kampung, katanya.

Apa lagi, 'sorru' la...

Thursday, November 26, 2009

Syukur, Banjir Kian Menyurut

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


 Foto ehsan Mstaronline
 
Menjelang aidil adha esok, nampaknya cuaca di kawasan yang ditimpa musibah banjir sudah mula menyurut. Biarpun begitu, beberapa pusat pemindahan di negeri-negeri yang terlibat masih mempunyai penghuni, tetapi kebanyakannya sudah mula berpindah balik ke rumah masing-masing.

Moga cuaca memberi ruang untuk umat Islam menyambut Aidil adha.

Selamat melakukan ibadah Kurban, dan salam lebaran aidil adha untuk semua.

Maaf zahir dan batin.

Wednesday, November 25, 2009

Moga Roh Abang Rashid Tenang Di Barzakh

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya sedang memantau anak-anak menyiapkan latihan musim cuti ketika Wan, anak seorang jiran datang ke rumah pagi semalam.

"Ayah dah tak ada, cikgu!" riak wajahnya serius dan nampak sedih. Dia datang bersendirian dengan motor.

"Tak ada? Biar betul, Wan. Jangan main-main."Ujar saya ketika membuka pintu pagar.

Dia menolak untuk masuk ke rumah. Berita yang dikhabarkannya itu mengejutkan.

"Ayah dapat serangan jantung, jenazah masih di klinik. Cikgu tolong beritahu jiran lain."

Rupanya, jiran saya telah dijemput Allah. Betullah Abang Rasyid sudah meninggal dunia. Baru 53 tahun, dia sudah kembali ke barzakh.Sudah takdirnya meninggal dunia pada usia begitu.

Saya bukan setakat mengenalinya, malah mengajar anak-anaknya. Aziz, anaknya yang bekerja di Perodua, manakala Arfah, yang masih belajar di sebuah kolej sedang dalam perjalanan ketika Wan datang memberitahu hal itu.  Arif yang masih di tingkatan 4, adalah pemain kriket sekolah, yang turut sama berada di klinik menguruskan keperluan yang belum selesai.

Arwah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 15 tahun lalu. Pagi semalam adalah pagi terakhir dia solat subuh. Selepas solat, dia berasa penat tiba-tiba. Pada awal serangan jantung, dia masih boleh bercakap. Kemudian keadaannya semakin nazak. Dia muntah sebelum sempat dibawa ke klinik, dan meninggal dunia dalam perjalanan ke sana.

Orangnya tak banyak bercakap, tapi mudah tersenyum. Al-Fatihah untuk Abang Rasyid, moga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Tuesday, November 24, 2009

Perodua Alza, Satu Penilaian Peribadi.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada tarikh 23 November 2009, syarikat pengeluar kereta kedua negara telah melancarkan model MPV terbaharu iaitu Perodua Alza. Model ini berkapasiti enjin 1500cc dikeluarkan di kilang Perodua di Rawang, menggunakan teknologi terkini khususnya adaptasi teknologi robotik Toyota.

Umum sudah mengetahui bahawa Perodua adalah usahasama dengan Daihatsu, anak syarikat Toyota, pengeluar kereta utama dunia sekarang. Tidak dapat tidak, sentuhan Toyota dalam melahirkan generasi MPV tempatan, pasti merancakkan industri automatif negara.


Alza menanti untuk dipandu uji

Semalam, saya sempat ke pusat pameran Perodua di Seri Manjung. Orang ramai, seperti juga saya teruja untuk melihat lebih dekat kelebihan Alza. Pengenalan harga yang berdaya saing pasti memberi pilihan kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan nilai terbaik setanding pelaburan mereka.

Daripada pemerhatian saya, ia adalah model Myvi yang dipanjangkan chasisnya. Lampu hadapan dan kemasan dalamnya menarik, tetapi ruang untuk penumpang agak sempit berbanding Livina dan Citra. Ia memang kalah kalau dibandingkan dengan Avanza, sebab ruang Avanza lebih luas terutama bahagian tempat duduk belakang. Seorang rakan yang bersaiz sederhana, cuba duduk di belakang, tetapi kakinya kelihatan tidak selesa.

"Sempitlah belakang ni,"katanya memandang saya.


Dashboard mendapat sentuhan Passo Sette
 
Tempat mengisi barang Alza juga terhad, tetapi tarikannya ialah enjinnya yang sangat berkuasa. Ia menggunakan enjin yang sama dengan Avanza iaitu model 3SZ-VE. Dengan tubuh yang kecil, ia lebih  pecutan dan menjimatkan minyak.

Secara peribadi, saya kira Alza tak dapat menandingi MPV lain termasuk Proton Exora yang nyata lebih luas dan besar.  Apatah Exora mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna, dan pengenalan harga Exora untuk 'Basic Model' di bawah RM58,000 baru-baru ini, pasti merancakkan persaingan dengan pelancaran model Alza. Strategi Exora sebenarnya bukan sahaja dari segi harga, tapi ia mempunyai kelebihan lain yang boleh dipertimbangkan oleh pembeli.
 


Alza
Exora
Livina 1.6
Avanza 1.5
Rondo
Innova
Kerb Weight
1,150kg
1,422kg
1,245kg
1,120kg
1,563kg
1,575kg
Length
4,205
4,592
4,420
4,150
4,545
4,580
Width
1,695
1,809
1,690
1,630
1,800
1,770
Height
1,620
1,691
1,590
1,695
1,650
1,755
Wheelbase
2,750
2,730
2,600
2,655
2,700
2,750
Track (F)
1,475
1,542
1,470
1,415
1,573
1,510
Track (R)
1,465
1,530
1,475
1,425
1,569
1,510
Fuel Tank
42L
55L
52L
45L
55L
55L
Power (hp)
104hp
125hp
104hp
108hp
142hp
134hp
Torque (Nm)
136Nm
150Nm
150Nm
141Nm
189Nm
182Nm
kg/Nm
8.45
9.48
8.3
7.94
8.27
8.65
Sumber: Paultan.org


Perodua Alza 1.5L Standard M/T
Solid – RM55,490
Metallic – RM55,990
S. Metallic – RM56,190
Perodua Alza 1.5L Standard A/T
Solid – RM58,490
Metallic – RM58,990
S. Metallic – RM59,190
Perodua Alza 1.5L Premium M/T
Solid – RM60,490
Metallic – RM60,990
S. Metallic – RM61,190
Perodua Alza 1.5L Premium A/T
Solid – RM63,490
Metallic – RM63,990
S. Metallic – RM64,190

Monday, November 23, 2009

Menipu Atau Tidak, Peranchis Tetap Layak Ke Afrika 2010

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kontroversi bola terkena tangan penyerang Peranchis, Theiry Henry dalam play-off menentang Ireland baru-baru ini memang menguji kemampuan FIFA. Apa tidaknya, dua orang kuat FIFA, iaitu Sapp Blatter dan Michel Platini  mengambil sikap senyap berhubung perkara tersebut.

Dalam perlawanan di Paris itu, Peranchis layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Jun 2010 setelah Henry menolak bola ke arah William Gallas, seterusnya menyumbat masuk bola ke gawang Ireland. Sebelum itu, bola tersebut sudah jelas terkena tangan Henry yang cuba mengawalnya daripada keluar.

Kemenangan 1-0 sudah memadai untuk Peranchis layak ke Piala Dunia berdasarkan peraturan gol di tempat lawan. Ini bermakna, Peranchis akan menyertai 31 lagi pasukan negara yang beraksi di pentas tersebut.

Eric Cantona, lagenda bola sepak Manchester United, menyelar tindakan Henry, manakala Zinadine Zidane, bekas pemain Peranchis yang pernah menjulang Piala Dunia, tetap mempertahankan Henry sebagai 'tidak menipu'.

Henry pula, ketika mengulas kontroversi tersebut, menyalahkan pengadil, yang didakwanya gagal melihat dan menyedari kesilapannya. Dia juga tidak menafikan perbuatannya, tetapi tetap beranggapan ia di luar kawalannya ketika itu.

Beberapa perkara yang perlu kita fikirkan:

1. Jika aksi tangan Henry gagal menyebabkan jaringan gol, ia tentu tidak menjadi berita panas.

2. Ireland memohon diadakan play-off kali kedua. Kalau pemain Ireland yang melakukannya, adakah Peranchis berdiam diri? Tentu tidak..



3. Bola sepak dianggap sangat penting di sesetengah tempat, sama seperti rakyat Malaysia yang sangat suka menonton Liga Perdana Inggeris, walhal seorang pun pemain Malaysia tiada dalam mana-mana pasukan.



2. Pemain Malaysia guna tangan selama 90 minit pun, belum tentu dapat ke Piala Dunia....Hehehehe..

Sunday, November 22, 2009

Masyarakat India Memperkasakan Pendidikan, Melayu Masih Harap Bantuan?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


'Satu Keluarga , Satu Simpanan' Untuk Keluarga India (Mstaronline)
 
KUALA LUMPUR: Dengan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka tetapi tempat terhad di instituti pendidikan awam, MIC menggesa ibu bapa kaum India menyimpan wang untuk pelajaran anak-anaknya.
Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan Skim "Satu Keluarga, Satu Simpanan" bagi memastikan masa depan anak mereka terutamanya apabila mereka layak memasuki universiti tempatan atau berhasrat melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Beliau berkata melalui usaha MIC, Kooperasi Didik (Kop Didik) telah ditubuhkan yang kini mempunyai 34,220 anggota dengan pelaburan berjumlah RM5.7 juta untuk pendidikan anak-anak mereka.
"Minat di kalangan ibu bapa untuk menyimpan bagi keperluan pendidikan anak-anak mereka kian meningkat," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Kop Didik di sini hari ini.
Selain Kop Didik, dana Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) yang dikenadalikan MIC telah mengeluarkan hampir RM90 juta pinjaman pelajaran dan geran, kata beliau.
Beliau berkata Kop Didik juga melancarkan Skim Penyimpanan Pendidikan Tinggi yang kini mempunyai 2,252 anggota berdaftar dengan pelaburan bernilai RM3.3 juta. Kop Didik juga mengambil perlindungan insuran dengan sebuah syarikat insuran tempatan bagi memastikan anak-anak mereka akan mendapat faedah.
"Kita (MIC) akan terus memberikan keutaman terhadap pendidikan dan penyimpanan untuk masa depan anak-anak kita," tambah Samy Vellu. BERNAMA

ULASAN SAYA:

Masyarakat India di Malaysia nampaknya semakin menyedari kepentingan menabung untuk pendidikan anak-anak. Pada awal 90-an, pemimpin yang sama menerima pandangan perwakilan MIC agar setiap keluarga India memastikan anak-anak mereka menjadi doktor. 

Pada awal 2000, ketika Melayu berbalah dan bertelingkah, ramai pelajar bangsa India dihantar ke Ukraine dan Russia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Mereka juga turut dihantar ke Indonesia. Sekarang, jika kita ke hospital kerajaan, doktor-doktor kaum India yang masih muda bergaya dengan stetoskop  dan fail, memenuhi wad untuk menjalankan tugas merawat pesakit.

Persoalan bangsa tidak boleh dirujuk sebagai racisme, kerana bagi saya, sebagai orang Melayu-Muslim, kita sepatutnya mempunyai iltizam meningkatkan keupayaan bangsa, khususnya melalui pendidikan. 

Hari ini, kaum India melalui politik telah berjaya mengambil peluang ini, sedangkan orang Melayu menjadi jaguh gejala sosial. Fikirkan. 

Saturday, November 21, 2009

Saman Untuk Keadilan?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Keluarga mangsa jambatan runtuh tuntut RM105 juta (Utusanonline)


KETIGA-TIGA ibu bapa mangsa mati lemas akibat jambatan runtuh di Kuala Dipang bergambar selepas memfailkan saman ganti rugi berjumlah RM105 juta di Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.


IPOH 20 Nov. - Bapa tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang pada hujung bulan lalu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta.
Mereka terdiri daripada K.Mageswaran, K.Vasudevan dan T.Nathan - masing-masing bapa kepada mendiang M.Dava Dharshini, 11; V.Divyashree, 12; serta N.Dina Deve, 11.
Setiap plaintif terbabit menuntut ganti rugi am RM35 juta daripada 10 defendan yang dinamakan dalam saman tersebut.
Turut dituntut adalah ganti rugi khas RM19,120, ganti rugi teladan RM100,000, faedah lapan peratus bagi jumlah penghakiman, kos dan relif-relif lain.
Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan; guru besar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Perak.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar (MDK); Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Komandan Kem 1Malaysia Kuala Dipang.
Defendan-defendan lain ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.
Writ saman difailkan melalui firma guaman, Tetuan A. Sivanesan & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 26 Oktober lalu, tiga murid terbabit menyertai 298 murid tahun empat, lima dan enam dari seluruh Kinta Selatan mengikuti Perkhemahan 1Malaysia selama empat hari di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan.
Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, pada masa kejadian, kawasan itu dipercayai gelap gelita dan tidak ada lampu besar dipasang untuk keselamatan murid.
Mereka mendakwa, keadaan itu menunjukkan wujudnya kecuaian kerana jika ada lampu besar, kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai boleh dilihat dengan jelas serta mempunyai peluang lebih baik untuk menyelamatkan diri atau diselamatkan.
Plaintif turut mendakwa, tidak ada seliaan atau kawalan yang baik di jambatan oleh pihak penganjur sedangkan penggunaannya perlu diawasi dengan menentukan bilangan murid yang boleh menggunakan kemudahan itu pada satu-satu masa.
Murid-murid juga didakwa tidak dilengkapi jaket keselamatan ketika menyeberangi sungai, guru-guru tidak terlatih untuk mengendalikan kem dan tiada doktor atau pegawai perubatan disediakan untuk keselamatan peserta kem tersebut.
Plaintif turut mendakwa jambatan gantung tersebut tidak diperiksa oleh MDK dan JKR Perak bagi memastikan ciri-ciri keselamatan telah dipatuhi.
Kematian kanak-kanak tersebut juga amat menyedihkan plaintif sehingga mengugat ketenteraman mereka sekeluarga selain mengalami kerugian.

ULASAN SAYA:

Sebagai orang Islam, kita menerima tragedi ini sebagai takdir, biarpun ia pahit untuk ditelan. Unsur kecuaian boleh diambil kira, tetapi jika tujuannya untuk mendapat keuntungan daripada kematian  mangsa tragedi, ia tidak sepatutnya berlaku.

Saya bimbang ini memberi kesan negatif kepada kepada usaha guru untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti luar bilik darjah pada masa hadapan. Sewajarnya guru berasa bimbang kerana takut disaman oleh ibu bapa dan penjaga pelajar.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...