Thursday, December 31, 2009

"Allah" Kini Bukan Milik Eksklusif Orang Islam?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selama hidup saya, saya mengenali nama Allah sebagai Tuhan Yang satu-satunya, Tiada Tuhan Yang Disembah, Melainkan Dia. Tiada anak, tiada roh kudus atau konsep Trinity.

Selama saya membesar sebagai Muslim, saya tidak pernah mengetahui bahawa orang bukan Islam, khususnya penganut Kristian merujuk tuhan mereka sebagai Allah. Mungkin juga kerana 'kejahilan' saya tentang agama tersebut, sehinggalah satu lagu penyanyi Indonesia yang dikenali di Malaysia, iaitu Agnes Monica. Satu lagunya yang tak saya tahu tajuknya, merujuk Tuhan Kristian sebagai Allah.

Ia menimbulkan polemik dalam kalangan akhbar negara ini. Bagaimanapun isu itu tidak terhenti di situ sahaja. Rupanya, sejak sekian lama golongan pemuka Kristian negara ini, yang diterajui oleh paderi yang mempunyai hubungan rapat dengan Pertubuhan Kristian Sedunia berpusat di Rom, berusaha mendapatkan kebenaran kerajaan agar istilah "Allah" juga dianggap merujuk tuhan mereka.

Lalu, apa kesudahannya?

Mahkamah putuskan perkataan 'Allah' boleh digunakan Herald Catholic Weekly (Berita Harian online 31 Disember 2009)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, sebentar tadi memutuskan bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam penerbitan Herald Catholic Weekly.

Hakim Datuk Lau Bee La membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik. Permohonan bagi semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan Herald Catholic Weekly itu dikemukakan oleh Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam.

Pada 16 Februari lalu, Pakiam, sebagai penerbit akhbar berkenaan, mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan semakan semula penghakiman selepas permohonan serupa pada 2008 dianggap bersifat akademik berikutan tamatnya tempoh sah permit penerbitan itu pada 31 Disember 2008.


Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Pakiam yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden, pertama dan kedua.


Pakiam, antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang beliau menggunakan perkataan 'Allah' dalam He-rald Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan 'Allah' bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam saja. 


Ironisnya, keputusan mahkamah itu dibuat oleh seorang hakim bukan Islam, yang tentu sahaja jahil tentang agama Islam. Malam ini, sambutan perayaan tahun baru diadakan di seluruh negara, dengan konsert dan hiburan mendominasi ruang-ruang yang ada.


Jauh di sudut hati saya, saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku, dan saya anggap mereka yang menyambut kedatangan tahun baru ini seolah-olah bagai meraikan kejayaan Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam yang menang dalam rayuannya.

Lalu, di manakah kita sebenarnya? Mana dia jaguh-jaguh yang kononnya ingin mempertahankan Islam? Mahu berpeluk tubuh? Masih mahu bertolak ansur? Kerana terlalu bertoleransilah, agama dan hak kita semakin terhakis.

Allahuakbar! Allahuakbar! Moga orang Islam bersatu kembali demi agama kita.

Wednesday, December 30, 2009

Pengalaman Berniaga Semasa Dulu

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Disebabkan bukan keluarga senang, mak dan ayah sentiasa menggalakkan kami, anak-anaknya untuk berusaha lebih. Misalnya semasa belajar, ayah akan mengulang kata-katanya.

"Ayah tak ada harta. Kamulah harta ayah. Ayah bagi kamu peluang untuk belajar, tapi kamu tak boleh mengulang. Kamu gunalah peluang itu sebaiknya."

Mak pula selalu menggalakkan kami menjual apa yang boleh. Pernah saya menjual nangka, kemudian dicucuk dengan lidi seperti sate. Setiap lidi mengandungi tiga ulas nangka. Lalu saya dan adik akan mengelilingi kampung menjual nangka.

"Nangka! Nangka!" saya menjerit sambil mengayuh basikal tua.

Sani atau Oun akan duduk di belakang memegang bakul nangka. Kadang kala habis dijual, ada kala sebaliknya.

Semasa di UPM, matlamat mengumpul wang untuk Lawatan Sambil Belajar ke Medan mendedahkan saya dengan pengalaman berniaga makanan. Saya dan rakan lain seperti Odin Bundel, Jagung, Balok, Keri, Nin, Mas, dan lain-lain telah membuka gerai burger di kafetaria Kolej 5. Berniaga cara ini lebih mudah, tetapi kena buang sifat malu.

Kami juga mengambil kesempatan Pesta Konvo tahun 1993 untuk menempah tapak gerai di Bukit Ekspo. Kami berniaga makanan basah seperti nasi ayam, nasi goreng, mi goreng dan seumpamanya. Pengalaman ini berharga kerana pernah terjadi peristiwa lucu buat saya ketika melayan pelanggan. Saya agak 'gabra' untuk mengira harga makanan tetapi lebih mudah menerima tempahan.

Setelah pelanggan makan, dia memanggil saya, "Tolong kira, dik," katanya.

Saya yang sedia gabra tak boleh mengelak, kerana rakan lain juga sibuk dengan kerja mereka. Kali pertama kira, dah salah. Pelanggan itu tak puas hati, lalu menyuruh saya mengira sekali lagi.

Kiraan kali kedua, berbeza dengan yang pertama, malah lebih mahal pula. Pelanggan lelaki itu mula meninggi suara, dan meminta saya mengira sekali lagi.

Waktu itu, malu bukan kepalang. Saya kira dan siap bagi diskaun. Barulah dia tersenyum, sebab bayarannya 'amat murah'.

Selepas peristiwa itu, saya nekad berada di bahagian dapur, dan tidak melayan pelanggan.

Bila terkenang semua itu, saya senyum sendiri. Tapi pengalamannya tak boleh dilupakan.

Monday, December 28, 2009

Mi Udang Kuala Sepetang


Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Blog Mazidul, pengacara TV3 yang sinonim dengan rancangan 360, pernah menceritakan kehebatan mi udang Mak Jah di Kuala Sepetang.

Kebetulan saya diarahkan ke Matang, Taiping untuk tugasan pasukan pemeriksa SPM. Peluang tersebut saya gunakan untuk singgah menikmati mi udang Mak Jah.

Saya datang pada waktu tengah hari, dan ramai pengunjung yang sedang menikmati mi udang tersebut. Hemat saya, tentulah ia hebat, sebab itulah ramai pengunjung sama ada bersendirian atau berkeluarga yang singgah di situ. Dari bandar Taiping, jaraknya lebih kurang 12 km. Di belakang warung tersebut, ada sebuah masjid yang membolehkan pengunjung menunaikan solat dengan mudah.

Suasana di situ agak santai tetapi bersih. Saya mencuba mi udang biasa (mi udang istimewa, udangnya lebih besar) dan semangkuk mi tersebut sudah memadai untuk orang berperut kecil seperti saya.

Apa yang boleh saya nyatakan, ia berbaloi dengan harga. lebih daripada itu, gerainya bersih dan suasananya menyenangkan.

(Maaf tiada foto untuk menyokong pandangan ini)

Sunday, December 27, 2009

Tak Takut Naik Bas?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bagi kebanyakan orang, menaiki bas ke satu-satu destinasi adalah satu keperluan, malah dianggap lebih selamat dan mudah tiba ke tempat yang dituju.

Di negara kita, umum mengetahui sikap pemandu negara ini. Jalan raya yang cantik, tapi minda kita masih di takuk lama. Buktinya, kemalangan jalan raya di negara kita berada di tahap yang membimbangkan.  Kejadian terbaru ketika masyarakat beragama Kristian menyambut Krismas, negara dikejutkan dengan kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres dua tingkat. Jumlah yang terbunuh mengejutkan. 10 orang mati dan semuanya berada di tingkat bawah bas malang tersebut.

Pada 2006, kemalangan ngeri bas dari Kelantan ke KL di Merapoh, Kuala Lipis meragut 14 nyawa. Begitu juga kemalangan bas di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) pada Mac 2007 yang meragut nyawa insan tidak berdosa. Pada Ogos 2007, satu kemalangan berlaku di PLUS berdekatan Bukit Gantang, turut meragut lima nyawa insan yang menjadi harapan keluarga.

7 Disember 2008, kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dari Ipoh ke Johor Bahru meragut 10 nyawa. Contoh kejadian tersebut berlaku kerana kelalaian manusia. Sebagai orang Islam, kita mempercayai Qada' dan Qadar, tetapi itu bukan alasan untuk membiarkan keadaan ini berterusan. Menyalahkan takdir semata-mata, tanpa melihat dari sudut yang kecuaian pemanduan adalah tindakan yang tidak bijak.

Apa yang perlu dinilai kembali adalah struktur bas dua tingkat, adakah ia benar-benar selamat untuk mengangkut penumpang? Persoalan ini harus dipertimbangkan sewajarnya oleh LPKP dan Kemneterian Pengangkutan. Hal ini kerana jumlah kematian akibat kemalangan melibatkan bas dua tingkat sangat besar jumlahnya.

"Saya terlelap." kata pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera.

Menurut Ketua Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd Rodzi Rejab berkata, siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.

"Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
                                                                                                             (disesuaikan daripada Mstaronline)

Pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tapi apa juga tindakan selepas ini, ia tidak dapat menghidupkan kembali insan yang terkorban dalam nahas tersebut.

P/S: Dulu, kemalangan bas sering dikaitkan dengan Syarikat Bas Naeila, sehingga menyebabkan orang ramai takut menaiki bas berkenaan. Akhirnya syarikat tersebut tutup setelah tidak mendapat kepercayaan orang ramai. Adakah Sani Ekspres juga akan mengalami nasib yang sama? 

Thursday, December 24, 2009

Cetusan Hati Kendalian Jamal Jamaluddin

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bagi pendengar SINARFM, nama juruhebah Jamal Jamaluddin tak perlu diperkenalkan lagi. Dia lebih dikenali sebagai JJ, adalah seorang daripada DJ SINARFM yang mempunyai tarikan tersendiri. Rancangan kelolaannya "Cetusan Hati" sangat diminati oleh kumpulan pendengar pelbagai lapisan, sama ada pasangan kekasih, atau suami isteri.

Lazimnya, dalam masyarakat Melayu, kita agak kekok untuk menyatakan kasih sayang kepada pasangan secara terbuka. Sukar untuk mendengar suami menyatakan kasih dan sayangnya kepada sang isteri, sebaliknya ia hanya dizahirkan melalui perbuatan.


Tetapi JJ berjaya mengubah suasana itu. Jika anda tidak pernah mengikuti Cetusan Sinar. Dengarlah, dan sertailah sama. Buat panggilan dan JJ akan mencadangkan anda memberi 'Ganda 23'..

Cetusan Hati akan dihentikan seketika pada pukul 11 malam selama 3 minit, untuk selingan berita bola, termasuk gosip EPL. Pada hemat saya, JJ juga peminat Man U, sebab selalunya dia akan sebut "Manchester Uuuuuuuuuunited.."

JJ, samalah kita.

PMR: Berhasilkah Sasaran Kamu?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Khusus untuk pelajar dan calon PMR 2009, hari ini 24 Disember 2009 adalah hari penting untuk kamu. Selama belajar 3 tahun di sekolah menengah, kamu menduduki PMR dan keputusannya kamu peroleh hari ini.

Sudah bersedia? Datanglah ke sekolah dengan pakaian yang bersopan. Mohonlah restu ibu bapa sebelum meninggalkan rumah. Bersedialah menerima apa juga keputusan dalam PMR. Jika banyak yang kamu usahakan, banyak jugalah yang kamu peroleh. Sebaliknya, jika kamu tidak bersungguh-sungguh semasa menjawab PMR, jangan salahkan guru atau orang lain.


Kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, tahniah. Ini langkah awal untuk lebih cemerlang. Kepada calon yang kurang elok keputusannya, jangan patah semangat. Gagal PMR bukan bermakna gagal dalam hidup. Manusia boleh berjaya jika belajar daripada kesilapannya.

Jangan lupa, jumpalah guru-guru dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana apa yang berlaku adalah dalam ketentuan-Nya, " Kamu merancang, Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.." (Al-Quran)

Tuesday, December 22, 2009

Gempar Lagi Pasal Enjin!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PUTRAJAYA: Kisah pelik berlaku lagi di Malaysia. Kali ini, dengan slogan "Enjin RM50 juta Boleh!" telah mengejutkan negara apabila sebuah enjin pesawat pemintas F-5E bernilai RM50 juta hilang sejak 2007.  Kes ini bagaimanapun menyebabkan beberapa pawang dan ahli silap mata turut hairan kerana 'kehilangan' enjin jet tersebut  tidak dapat dikesan awal. TUDM dalam kenyataan awalnya mengesahkan kehilangan enjin tersebut berlaku pada 2007 dan hanya disedari baru-baru ini setelah dibuat siasatan dalaman.

Seorang bomoh yang terkenal di pedalaman Pahang, En. Sengkuang bin Malaon, mengesahkan enjin tersebut dilarikan oleh orang bunian. Ketika diajukan soalan, beliau dengan menaruh keyakinan orang bunian telah mengambil enjin tersebut ketika waktu malam.
"Saya pernah melihat sekumpulan bunian cuba mencuri kepala kereta api di Stesen Kuala Lipis, tapi kerana saya ada di situ, mereka terus melarikan diri." katanya sambil mengurut-ngurutkan janggutnya. Beliau tidak mahu mengulas lanjut, sebaliknya mengambil sikap tunggu, lihat dan goyang kaki sahaja.

Seorang tabib Cina, Master Koo Thee Poo yang ditemui di Kepong, tidak menafikan kewujudan makhluk  asing yang sangat berkuasa sehingga membolehkan enjin pesawat tersebut hilang tanpa dapat dikesan pihak berkuasa.
"Ayya, gua talak yakin itu enjin ada lagi maa... Dia sulah pigi langit maa..."

Master Koo Thee Poo tidak yakin ini kes pertama dan terakhir. Beliau menjangkakan akan ada lagi enjin  bersaiz mega yang akan dirampas oleh makhluk asing tersebut. Dia menjangkakan enjin tersebut akan digunakan oleh makhluk asing untuk mengkaji kejuruteraan masyarakat bumi.
"Lu tengok aaa... Itu enjin kapal selam pun boleh hilang maa.. Lu tunggu la." katanya berbisik kepada wartawan sebelum mengakhiri perbualannya.

Presiden Gabungan Ahli Gilap Mata Sentul, En. Manadaki a/l Kupalabaran ketika ditemui mengesahkan perbuatan itu tidak dilakukan oleh ahli-ahlinya.

"Mana ada? Saya pun boleh hilangkan enjin kereta control saja, enjin kereta pun tabley buat lagi!" Ujarnya dalam telefon ketika dihubungi petang kelmarin. Beliau agak marah dengan dakwaan mengatakan ada ahlinya terlibat dalam kes kehilangan enjin bernilai RM50 juta itu.

"Saya ada cakap sama itu TUDM, itu enjin jet kena mandi bunga, belakang dia orang tarak percaya.. Sekarang, apa suda jadi?" katanya seakan-akan kesal dengan apa yang berlaku.

Seorang amah Indonesia yang enggan dikenali berkata, "Pak, saya bisa menghilangkan barang kecil di rumah majikan saya. Enggak pernah saya hilangkan enjin, Pak... Besar bangat itu." katanya sambil menjuihkan bibir.

Lanjutan kehilangan ini, beberapa pihak telah disiasat dan bakal diambil tindakan. Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, sebuah lagi enjin jet jenis yang sama dikhuatiri telah dibawa ke Eropah dengan modus operandi yang sama.

Berita ini telah dibawa ke meja pengarang, tetapi di'reject' kerana tak cukup syarat. Hehehehe...



PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...