Tuesday, January 31, 2017

Trump: Presiden Amerika Yang Tidak Waras?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dalam tempoh dua minggu selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden sebuah negara yang paling berkuasa, Donald Trump telah membuat beberapa tindakan luar jangkaan. 

     Beliau dilaporkan memecat hampir semua diplomat AS di luar negara (yang dilantik oleh Barack Obama), serta mengotakan janjinya menandatangani arahan eksekutif presiden tentang imigran. Rakyat atau pelarian daripada 7 buah negara Islam telah dilarang memasuki AS, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

     Tindakannya mendapat kecaman dalam dan luar negara. Malah, pegawai kerajaan juga tidak sependapat dengannya. Namun, Trump sangat keras kepala, sehingga sanggup memecat Pemangku Peguam Negara, Ketua Imigresen dan Ketua Kastam yang bercanggah pandangan dengannya. 

     Menurut berita Agensi, sesetengah pakar psikologi mula mempersoalkan kewarasan mental Presiden berusia 74 tahun itu, yang dibimbangi akan bertindak lebih gila dan melampaui batasan manusia normal. 

     Terbaru, Dr John D Gartner berkata, Trump 'mengalami sakit mental berbahaya dan tidak layak menjadi presiden.' Dr Gartner percaya, Trump menunjukkan tanda 'narsisisme malignan' ditakrifkan sebagai campuran narsisisme, gangguan personaliti antisosial, bersikap agresif dan sadisme dalam Kamus Psikiatrik Campbell. 

   Narsisisme pada hakikatnya adalah satu daripada diagnosis umum Trump daripada pakar psikologi. "Narsisisme menjejaskan keupayaannya untuk melihat realiti, justeru anda tidak boleh menggunakan logik untuk memujuk seseorang seperti itu. "Tiga juta wanita berarak? Ia tidak mampu meraih simpatinya. Penasihat mengatakan pilihan dasarnya tidak berkesan? Beliau juga tidak peduli," kata pakar psikologi klinikal, Dr Julie Futrell kepada akhbar NY Daily News. 

     Pada Disember lalu, tiga profesor terkenal psikiatri menulis surat kepada bekas Presiden Barack Obama menyuarakan kebimbangan mendalam mereka berhubung kestabilan mental Trump. 

"Gejala ketidakstabilan mental dilaporkan secara meluas, termasuk rasa hebat tidak realistik, sikap gopoh, terlebih sensitif terhadap sedikit kritikan dan jelas ketidakupayaan untuk membezakan antara fantasi dan realiti, menjurus kami mempersoalkan kelayakannya terhadap tanggungjawab amat besar di Rumah Putih," kata Profesor daripada Sekolah Perubatan Harvard dan Universiti California menulis kepada Obama. Mereka menggesa Obama mengarahkan satu 'penilaian penuh perubatan dan neuropsikiatri (gangguan fungsi otak)' ke atas Trump ketika itu. 

     Sejurus pilihan raya, kumpulan digelar Citizen Therapists Against Trumpism diwujudkan, disertai ribuan pakar psikologi. Mereka menerbitkan manifesto memberi amaran berhubung psikosis (penyakit mental teruk) dialami Trump: "Menyalahkan dan menghapuskan kumpulan penduduk yang dilihat sebagai ancaman, termasuk pendatang dan minoriti agama; menjatuhkan maruah; menghina dan merendahkan lawan dan kritik; mencipta kultus Lelaki Gagah yang jelas tanpa rasa takut dan penuh kemarahan; berjanji menyelesaikan masalah kami jika kami mempercayainya; mencipta semula sejarah dan bimbang sedikit terhadap kebenaran dan tidak melihat keperluan pujukan rasional." 

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/242364


Thursday, January 19, 2017

POSKAD..

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila anak bongsu saya, Nuha meminta saya membelikan poskad untuk kerja bahasa Inggeris di sekolahnya, saya fikir ia satu permintaan yang biasa, dan mudah untuk saya uruskan. 

     Saya kemudiannya mencari poskad di kedai buku dan pasar raya sekitar Manjung. Malangnya ia sukar dicari. Sungguh. Rupanya poskad tidak lagi dijual di merata rata kedai seperti zaman saya remaja dahulu. Selama ini saya tak kisah pun dengan poskad sebab kini masyarakat lebih selesa bertanya khabar melalui media sosial.

   Saya mengimbau kenangan zaman remaja, ketika poskad dan aerogram (surat dilipat menjadi sampul) berada pada kemuncaknya. Ketika itu, surat kiriman dan kad (termasuk poskad) adalah medium utama untuk berhubung. Ia dianggap kemudahan yang murah biarpun lambat. Purata poskad mengambil masa tiga hari untuk sampai kepada penerima dalam negara, dan tiga hari lagi untuk mendapat balasan daripada penerima. Maknanya satu minggu masa untuk kitaran kiriman itu dilengkapkan. Jika poskad dikirimkan kepada sahabat pena luar negara, tempohnya lebih lama. 

   Satu daripada kegemaran saya adalah melukis kartun dan saya manfaatkan dengan menghasilkan kad serta poskad sendiri. Tambahan pula saya berasa lebih puas menghasilkan poskad berilustrasi kartun buatan sendiri. Ada rakan sekolah dan kolej yang mengupah saya melukis kad khas untuk mereka. Tentulah saya tidak menolaknya kerana selain mendapat upah, saya rasa bakat saya dihargai oleh rakan taulan. 

   Jadi, apabila Nuha ketiadaan poskad, saya membuat keputusan menghasilkan poskad khas untuknya. Namun, apabila dia membawanya ke sekolah, ramai pula rakannya yang berkenan dan saya terpaksa membuat beberapa keping poskad tambahan untuk mereka, dengan sedikit bayaran. 

   Malangnya, semua bayaran tersebut menjadi milik mutlak Nuha. Dia tersenyum dan gembira dengan 'hasil jualannya' memang untung besar. Tapi saya berasa puas kerana berasa bakat saya dihargai semula, biarpun oleh rakan-rakan anak saya.   

Tuesday, January 17, 2017

CABARAN MENURUNKAN BERAT BADAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Berat badan saya tidaklah melampau. Dengan ketinggian 172 cm, berat badan sekitar 80 kg masih lagi dikira tidak termasuk dalam golongan obesiti. Bagaimanapun, sejak kurang berkayuh, saya mengalami perubahan pada bahagian perut. Saya risau perut semakin ke depan. Berat badan bertambah dengan cepat. Bahgain pinggang mula membesar. Ini sudah tentu tidak baik untuk saya. 

    Lebih mencabar lagi saya kerap makan nasi dengan jumlah yang agak banyak. Kadang kala, malam pun saya makan nasi lagi. Kalau amalan ini berterusan, ia boleh menyebabkan saya mengalami obesiti. Saya tak mahu ini berlaku. Obesiti akan mengundang lebih banyak masalah kesihatan pada saya. Antaranya, risiko penyakit 3 serangkai (sebenarnya saya ada potensi berdasarkan sejarah keluarga)

    Apatah lagi pada usia 40-an seperti saya, pemakanan dan gaya hidup sihat perlu menjadi keutamaan. Saya bertekad untuk tahun 2017, saya akan  melakukan perkara berikut:

1. Mencapai berat badan antara 70 - 73 kg
2. Mengurangkan makan nasi, terutama pada waktu malam. Amalkan diet yang ringan seperti makan buah-buahan dan kurma.
3. Kembali kerap berkayuh, sekurang-kurangnya 50 km seminggu
4. Berkayuh waktu malam adalah pilihan jika tak sempat pada waktu siang.
5. Banyakkan solat malam dan kekalkan hubungan baik dengan semua orang.

Bolehkah semua ini dilakukan? 

Insyaallah, saya boleh lakukan. Segalanya terpulang kepada saya sendiri. 

(Post ini untuk memotivasikan diri sendiri)


Wednesday, January 11, 2017

ATIF FAIZI MENGHADIRI TEMUDUGA KE MTD

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Anak kedua saya, Atif Faizi sangat berminat dengan dunia ketenteraan. Selepas tamat PT3 2016, dia menyatakan minatnya untuk menyambung pelajaran di Maktab Tentera Diraja, sebuah sekolah elit khas untuk mereka yang cekal dan berjiwa kental. Bukan mudah untuk menyertai maktab elit ini, fikir saya. Namun saya menghormati keinginannya, dan sebagai bapa, tentulah saya memberikan sepenuh sokongan terhadap impiannya itu. Dengan susuk tubuh yang tinggi lampai, saya yakin Atif Faizi atau lebih mesra kami panggil dia Yang, mampu melalui temuduga MTD nanti. 

Apabila keputusan PT3 diumumkan, borang memohon masuk MTD secara online diisi. Dia dipanggil temuduga selama seminggu mulai 4 Januari hingga 10 Januari 2017. Awal pagi 4 Januari, kami bertiga: Saya, abangah (Afif Wajdiy) dan Atif  menyusuri lebuh raya yang sunyi ke Sungai Besi, Kuala Lumpur. 
Calon wajib bertali leher ketika hadir temuduga

Jumlah yang dipanggil mencecah lebih 900 orang

Calon dikumpulkan sebelum dibawa ke penginapan

MTD hanya khusus kepada pelajar lelaki lepasan tingkatan 3


Atif dan rakan-rakan yang sama-sama hadir temuduga

Kami menziarahi Kakyong di Dengkil
Kami tiba di Masjid Seri Petaling untuk solat subuh sebelum ke MTD yang terletak di Kem Tentera Sungai Besi. Kira-kira 7.30 pagi kami menjejakkan kaki buat kali pertama di blok baharu MTD yang serba indah. 

Saya bertemu dengan Mejar Norli, dan Encik Sharif yang merupakan tenaga penting dalam melaksanakan temuduga ini. Menurut Encik Sharif, lebih 900 orang dipanggil berdasarkan permohonan dan syarat kelayakan akademik, tetapi bukan semuanya hadir. Mereka pernah menerima sekitar 300 orang calon sedangkan tempat yang ditawarkan antara 200 - 250 orang. Lebih ramai calon, ia lebih kompetitif dan peluang untuk mendapat calon yang benar-benar layak lebih tinggi. Pelajar MTD dipanggil "BOY" layak menerima elaun khas RM100/sebulan di samping pakaian disediakan oleh pihak Kementerian Pertahanan.  Lebih menariknya, lepasan MTD yang mempunyai kelulusan akademik yang baik boleh menyambung pengajian peringkat tinggi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terletak bersebelahan dengan maktab.

Selesai di sana, kami tidak menunggu lama kerana esoknya saya kembali bekerja. Kami tinggalkan Atif Faizi dengan rakan-rakan baharunya, dan terus ke Dengkil menziarahi Kakyong di sana. 

Friday, January 6, 2017

RASUAH LAGI..

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Apabila membaca berita SPRM menyerbu dan menahan seorang Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) di Kementerian Kemanjuan Luar bandar dan Wilayah, saya mengeluh sendirian. Membaca hasil rampasan 'harta' KSU tersebut sudah menyebabkan saya menelan air liur. Bukan kerana teringin memiliki harta haram tersebut, tapi saya rasa kecewa, marah dan tertipu dengan sikap penjawat awam yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut harta secara haram. Mereka tanpa rasa malu membeli pelbagai kemewahan yang tak sepatutnya dimiliki oleh penajwat awam.  

Tentulah saya juga rasa tindakan berani SPRM ini agak mengejutkan. Ini kerana sebelum itu. bekas  Pengarah SPRM (Operasi) menempelak kerajaan khususnya SPRM yang didakwa tidak tegas melaksanakan penguatkuasaan berterusan. 

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Bahri Mohamad Zain, 58, menyatakan kekecewaannya terhadap siasatan kes SRC International (SRC) yang tidak dibenarkan dibawa ke mahkamah oleh 'pihak atasan'.

Sebagai rakyat, saya juga rasa kecewa dengan SPRM yang membuat kenyataan sebegitu. SPRM seolah-olah hilang ketelusan, apabila pegawai-pegawai terbaiknya bersara atau dipindahkan ke unit lain tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Apa sebenarnya yang berlaku, SPRM? Jangan hilang integriti!

Monday, December 26, 2016

SAYA PINDAH SEKOLAH SEBAB 'KENA PUKUL'?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi tadi, ketika singgah di pasar Sungai Tiram, saya ditegur oleh seorang bapa pelajar.
"Cikgu dah pindah?"
"Ya, sejak 2014.."
"Betul ke cikgu pindah sebab kena pukul dengan waris pelajar?" Tanya dia lagi.
Pertanyaan itu benar-benar mengundang kejutan di hati saya. 
"Mana tau?" Saya cuba mengorek jawapan. Sebenarnya, berita ini pernah saya dengar sebelum ini, tapi saya tak sangka ia masih bertebaran dan 'dipercayai'.
"Ramai yang kata, cikgu pindah sebab ada waris pelajar pukul cikgu dalam masjid.."
Kata-katanya menyebabkan saya ketawa kecil. 
"Cikgu jangan nak selindung,..  kalau betul, bagitau saya. Biar saya ajar orang tu." Katanya dengan wajah serius. 
"Siapa yang pukul saya?" Saya tanya dia semula.
"Habis tu, cikgu tak kenal?" 
"Bukan tak kenal, tapi saya sendiri tak tahu cerita ni.. Jangan percayalah bang." Kata saya lagi.

Saya menenangkan dia, lalu menceritakan sepanjang saya bertugas di Lekir hampir 20 tahun, memang saya ada ambil tindakan keras kepada pelajar yang melangar peraturan sekolah, namun tidak pernah sekalipun waris pelajar memukul saya seperti yang didengarnya. 

Seingat saya, ada dua peristiwa saya didatangi oleh waris pelajar kerana mengambil  tindakan disiplin terhadap anak mereka. Pertama, seorang ibu pelajar memarahi saya kerana merampas telefon bimbit anaknya.  Dia datang dan meninggikan suaranya di bilik guru. Saya terpaksa meninggikan suara dan menggertaknya supaya tinggalkan kawasan sekolah kerana cubaan mengugut. Sebenarnya kalau permintaan dibuat dengan beradab, saya pasti akan pulangkan telefon tersebut. Telefon itu kami simpan hingga hujung tahun, dan ia tidak dituntut oleh ibu tersebut sehinggalah saya berpindah dari sekolah tersebut. 
.Kedua, seorang bapa, bekas banduan yang tidak puas hati kerana anak lelakinya dirotan di punggung. Kesalahan anaknya agak berat, iaitu meraba tubuh pelajar perempuan. Malangnya, si bapa tidak mahu mendengar penjelasan saya. Dia hanya mengulang ayat bahawa dia tak takut dipenjarakan, dan mempersoalkan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah terhadap anaknya. Bagi meredakan keadaan, saya memujuknya duduk dan bersembang bagaikan kawan. Akhirnya saya tahu bahawa dia memang kaki samseng. Saya tak berurusan dengannya lagi kerana selepas itu anaknya dibuang sekolah sebab kerap tidak hadir.

Tapi, apabila mendengar kisah 'kononnya' saya dipindahkan ke sekolah lain kerana 'dipukul oleh waris pelajar', saya rasa geli hati dan sedikit lucu. Mana tidaknya, saya sendiri tak tahu yang saya 'telah dipukul oleh waris pelajar'. Setahu saya, komuniti Lekir rata-rata amat baik dan mesra dengan saya. Saya sendiri sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Lekir sejak 1998. 

Saya pindah pun selepas pihak PPD Manjung berasakan tempoh perkhidmatan hampir 20 tahun di sekolah yang sama adalah terlalu lama bagi seorang guru seperti saya. Saya juga redha dengan perpindahan ini kerana saya perlukan suasana baharu yang dapat menjana idea baharu di tempat baharu. 

Apa yang saya pelajari daripada kisah ini, adalah khabar angin akan sentiasa dimainkan oleh golongan yang suka memanipulasikan spekulasi, dan mereka yang tidak menyaisat mudah terpedaya dengan momokan seperti ini. 

Wednesday, December 21, 2016

DAMAILAH DI SANA, CIKGU ZUL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat perkhabaran kematian empunya nama Ahmad Zulkiply Mohd Yassin, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Zul melalui aplikasi whatsapps yang dihantar oleh rakan. Cikgu Zul dikatakan meninggal dunia dalam pesawat ketika penerbangan ke Poland menziarahi anaknya di sana.  

Ingatan saya terus menerpa memori kami bersama-sama mengajar di SMK Batu Sepuluh, Lekir, Sitiawan kira-kira 20 tahun lalu. Saya mula-mula melapor diri pada tanggal 3 Julai 1995, dengan perasaan gemuruh dan bimbang. Sebagai guru muda yang baharu 'posting', tentulah saya mempunyai perasaan sedemikian. Selepas pertemuan dengan pengetua, Cikgu Mohd Shukor Shariff, Cikgu Zul adalah orang kedua yang saya temui. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat dan sedikit sebanyak tips yang diberikannya memberi keyakinan kepada saya untuk mendidik anak bangsa yang rata-ratanya masyarakat luar bandar. 

Sejak itu, saya jadikan Cikgu Zul sebagai mentor dan pakar rujuk saya dalam urusan kerja. Ini kerana hubungan Cikgu Zul dengan masyarakat setempat agak baik. Biarpun kelihatannya tegas, beliau amat dihormati pelajar. Kelab bola sepak kegemarannya Leeds United, iaitu tempatnya belajar TESL selama dua tahun. Ada dia tunjukkan foto dan baju kelab tersebut kepada saya. Hubungan kami tidak lama kerana pada tahun 1999, Cikgu Zul mendapat tawaran menjadi pensyarah di IPG Perlis. Sejak itu, kami jarang sangat berhubung, dan dia juga jarang pulang ke Manjung kerana bermastautin di negeri tersebut. 

Pada 2013, Cikgu Zul datang ke sekolah kerana rindu pada rakan lama, katanya. Saat itu saya melihat badannya semakin kurus, kesan daripada diabetes yang dihidapi. Namun dia tetap ceria berbual dengan kami dan mengimbau pengalaman semasa kami sama-sama menghadapi kes pelajar histeria pada tahun 1995-1996.  

Apabila menerima berita kematiannya dalam pesawat, ia serentak dengan berita kematian Khir Adnan, staf sokongan SMKBS yang sama-sama bertugas dengannya dahulu. Bagai telah berjanji, kematian mereka pada tarikh yang sama, tetapi di tempat yang berbeza. Saya sempat menziarahi jenazah Encik Khir di Pasir Panjang, manakala jenazah Cikgu Zul diberitakan dibawa pulang dari Poland pada hari Khamis atau Jumaat minggu ini. Segala urusan dibuat oleh Kedutaan Malaysia dan jenazah dijangka tiba ke tanah air selepas penerbangan selama 17 jam. 

Kematian itu sudah pasti, dan tidak akan dilewat atau dipercepatkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa. Damailah kau di sana, kekanda Ahmad Zulkiply Mohd Yassin. 
Alfatihah.   

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...