Tuesday, May 26, 2009

Tiga Orang Jadi Yatim Dalam Seminggu Ini.

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika mengajar di kelas tambahan asrama, aku menyemak kehadiran. Rupa-rupanya seorang pelajarku tidak hadir sebab 'cuti mengejut' kerana ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sekembalinya dia ke sekolah, aku berbual dengannya. Agak tenang dia menjawab soalan yang kuajukan.

"Ayah selalu berbasikal di sekitar Manjung," katanya.

"Malam itu, ayah mengadu sakit dada, tak lama kemudian rebah. Mak dan abang bawa ke hospital, tapi ayah dah tiada sebaik tiba di wad kecemasan." ujarnya berhati-hati.

Aku terkesima. Muda lagi ayahnya. Sekitar 51 tahun. Orangnya aktif. Tapi serangan jantung tak mengenal usia.

Kisah kedua, muridku yang tingkatan 3. Ayahnya bekerja di ladang, terjatuh dari trak pikap Storm, dan cedera parah di kepala. Empat hari koma di wad kecemasan, akhirnya menghembuskan nafas akhirnya di sisi isteri tersayang. Pelajar yang bakal menghadapi PMR Oktober ini, yatim sekelip mata.

Kisah ketiga, yang terbaru. Bapanya nelayan, tetapi memang ada rekod sakit jantung. Ketika bangun awal pagi untuk ke laut, dia mengadu kepada isterinya, yang dadanya sakit.

Ketika berjalan ke bilik air, dia rebah dan kejang. Sempat dibawa ke hospital, tetapi hanya sempat bertemu pintu wad sahaja. Malaikat Izrail lebih pantas menjalankan tanggungjawabnya.

Dalam seminggu ini, tiga orang pelajarku kehilangan ketua keluarga yang menjadi tonggak rezeki keluarga. Simpati rasanya, tetapi berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Moga Allah memberi rahmat ke atas roh mereka.

Dadaku kekadang sakit. Bimbang juga.

3 comments:

  1. Salam Sdr.

    Ajal dan maut akan menjemput sesiapa saja dengan perintahNya tidak kira di mana dan bila.

    Semua kita mesti mengingati kedatangannya tanpa perlu diundang.

    ReplyDelete
  2. Pakdin, yerlah..

    Beringat-ingatlah. Pakdin, merokok ker? Kalu yer, eloklah berhenti.

    ReplyDelete
  3. Mudah-mudahan anak murid cikgu Izzudin dan keluarga mereka tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...