Tuesday, August 11, 2009

Krakatao Yang Menanti Masa..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

dipetik daripada Berita Harian




LEBIH seabad menyepi selepas meluahkan lahar yang memakan ribuan korban, gunung berapi Krakatau kini kembali mempamerkan isyarat membimbangkan penduduk berhampiran dan saintis yang mengagak letusannya kali ini mungkin lebih dahsyat.

Dengan ketinggian 356.76 meter dari aras laut Selat Sunda, gunung berapi paling menggerunkan itu sedia menggegarkan muka bumi ini sekali lagi. Kali terakhir ia memuntahkan lahar pada 1883 yang menyaksikan lebih 36,000 orang terkorban, sekali gus mengubah cuaca dan suhu global selama lima tahun selepas itu.

Letusan amat dahsyat dan bencana yang ditinggalkan begitu mengerikan dan tidak mampu ditandingi kerosakan dilakukan gunung berapi zaman moden, malah letusan menakjubkan Gunung St Helen di Amerika Syarikat pada 1980 masih terlalu kecil dibandingkan dengan amukan Krakatau.

Hampir 126 tahun sehingga baru-baru ini sejak Krakatau pertama kali menunjukkan tanda-tanda ia aktif semula, gambar menakjubkan berjaya dirakamkan membuktikan saki baki gunung berapi yang satu ketika dulu tersergam lebih gagah berbanding sekarang mula menggelegak dan lavanya melimpah ruah.

Kini, selepas hampir seabad setengah berlalu, ramai mula tertanya-tanya adakah penduduk dunia bakal berdepan dengan kuasa menakutkan Krakatau sekali lagi. Apatah lagi ia megah menunjukkan isyaratnya - lahar jingga terang disembur ke udara, asap hitam tebal bercampur dengan awam dan kesuraman malam digugat dengan sinaran merah.



“Ramalan gunung berapi semakin baik tetapi kita tidak mampu meramal sepenuhnya letusan yang besar dan luar biasa kerana ia memang luar biasa,” kata Pengerusi Sains Bumi di Universiti Durham, Profesor Jon Davidson, juga pakar gunung berapi yang mengkaji amukan terdahulu Krakatau.

Rekod rasmi menunjukkan ketika kejadian pada 1883 itu, bersama-sama tsunami setinggi 36 meter yang dicetuskan, memusnahkan 165 kampung dan pekan, merosakkan dengan teruk 132 kampung lagi dan meragut 36,417 nyawa.

Selepas 150 tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera di Indonesia semakin padat, dengan petani ditarik ke kawasan itu kerana tanahnya yang subur. Tidak sukar membayangkan beratus ribu bakal menemui ajal jika satu lagi letusan kuat berlaku.

Namun, wujud keraguan jika Krakatau meletus sekali lagi dengan kekuatan sama, impaknya akan jauh lebih dahsyat berbanding yang disaksikan pada abad ke-19.


“Gunung berapi mengulangi letusan seperti pada 1883 banyak kali. Pandangan biasa ialah Krakatau akan sekali lagi menjadi amat bahaya apabila mencecah saiz seperti pada 1883. Namun kini ia dua kali lebih kecil,” kata Marco Fulle, saintis dan pakar kaji bintang dan pakar gunung berapi kelahiran Itali yang merakamkan gambar itu.

Bagaimanapun, tiada jaminan dapat diberi sama ada satu lagi letusan tidak akan berlaku pada masa terdekat. Dalam kejadian pada 1883, kapal Jerman, the Elizabeth, melaporkan melihat debu dan asap menyelubungi pulau Krakatau pada ketinggian lebih 11,000 meter ke udara pada pagi 20 Mei. Menyusul beberapa bulan selepas itu, hanya ada asap, bunyi bising dan semburan debu. Masalah itu tidak mendorong penduduk tempatan meninggalkan kawasan berkenaan, sebaliknya pertunjukan bunga api semula jadi itu menjadi tarikan.

Semua itu berubah serta merta selepas tengah hari 26 Ogos apabila kejadian pertama siri letusan besar menyemburkan serpihan abu panas sehingga 35,000 meter ke udara dan kemudian pada jam 5.30 pagi keesokan hari, empat letusan besar menenggelamkan dua pertiga daripada kepulauan itu.

“Ia adalah keberkesanan campuran magma dan air laut yang menjadikan letusan itu amat berkuasa. Air dapat memasuki ruang magma dan hasilnya, kepulauan itu musnah sama sekali,” kata Profesor Davidson.

Pada asalnya setinggi 816 meter, Krakatau tenggelam sedalam 249 meter ke dalam laut. Seorang mangsa yang terselamat menceritakan saat tsunami melanda pada pagi itu.

“Kami melihat satu benda hitam yang besar datang ke arah kami. Ia amat tinggi dan tidak lama kemudian kami menyedari ia air laut. Pokok dan rumah dihanyutkan. Kami berlari menuju ke satu tempat. Keadaan amat kelam kabut dan seorang demi seorang dihanyutkan air,” katanya.

Beberapa tahun selepas itu, persekitaran Krakatau senyap sunyi. Bagaimanapun, pada 1927, wap dan batu dilihat menggelegak di dalam air dan tidak lama kemudian Anak Krakatau muncul dari dalam laut. Kini, Anak Krakatau menggegar semula. Letusan cukup menakutkan hingga menyebabkan berlaku ribut petir.

Namun bagi sebahagian yang lain seperti Prof Davidson masih curiga satu lagi letusan besar akan berlaku tidak lama lagi.

“Tidak terdapat cukup magma. Daripada melakukan ramalan seperti ini, saintis lebih bertanggungjawab melakukan apa yang terdaya untuk meminimumkan risiko penduduk yang tinggal berhampiran. Kami semakin baik dalam perkara itu,” katanya.

Menjadikan peristiwa pada 1883 sebagai iktibar, penduduk di Selat Sunda cuma boleh berharap dan berdoa semoga kali ini saintis betul kerana ketentuan Allah tidak boleh diduga.

Info

  • Krakatau memiliki kuasa letupan 13,000 kali lebih kuat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

  • Purata suhu global berikutan letusan itu jatuh sebanyak 1.2 darjah Celsius

  • Lebih 90 peratus mangsa Krakatau maut akibat tsunami

  • Letupan dapat didengar sehingga 3,040 kilometer ke Perth dan 7,200 kilometer ke Sri Lanka.
  • No comments:

    Post a Comment

    Jejak yang ditinggalkan

    MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

    Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...