Thursday, March 25, 2021

SUKAN GUSTI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perlawanan gusti Hulk Hogan vs Undertaker 1991

Gusti adalah sukan tempur tanpa senjata yang popular. Semasa zaman awal remaja pada awal 80-an, saya kerap menonton siri gusti di televisyen. Ia adalah rancangan TV kesukaan masyarakat dan sangat terkenal waktu itu.  Ketika itu, pita video siri gusti boleh disewa dari kedai sewa video. Kedai kedai makan kerap menayangkan siri gusti bertujuan menarik kehadiran pelanggan. Ketika itu, RTM turut menayangkan rancangan gusti World Wrestling Federation (WWF) yang menampilkan penggusti kegemaran ramai.  Antara bintang gusti yang saya ingat adalah Hulk Hogan, Randy 'Macho Man', Undertaker dan Shawn Michael.

Bintang bintang gusti ini mempunyai karektor jahat, baik, sombong, ego dan seumpamanya. Kebanyakannya berbadan sasa, ada juga yang bertopeng dan bertatu. Apa yang menarik, mereka mempunyai teknik yang tersendiri untuk memastikan populariti mereka berterusan. Contohnya, Hulk Hogan, awalnya akan dibelasah teruk oleh lawannya, sehinggalah dia mengangkat tangannya ketika dalam keadaan lemah. Waktu itu, peminat sudah tahu, Hulk Hogan akan melawan kembali lawannya tanpa belas kasihan. Pada akhirnya, Hulk Hogan menang dan ia memberi kepuasan kepada penonton dan peminatnya. 

Shawn Michael, penggusti yang bertubuh kecil tetapi mempunyai teknik menjatuhkan lawan yang hebat. Begitu juga Randy Macho Man Savage, yang ditemani pengurusnya yang jelita, Miss Elizabeth. Sesuai dengan gelarannya, Randy kelihatan gagah, egois dan sedikit angkuh. Miss Elizabeth pula hanya menguntum senyuman dan kurang bercakap ketika Randy beraksi di pentas gusti. Randy mempunyai teknik kunci kaki yang menyebabkan lawannya kalah. 

Kebanyakan penggusti yang saya kenali dahulu, adalah 'pelakon hebat' yang mengikut skrip yang diarahkan. Walaupun pukulan dan cara mereka melanyak lawan nampak realistik, hakikatnya mereka berlakon dan teknik yang digunakan adalah profesional. Melompat dan menghenyak lawan, menampar, memukul serta mengunci yang digayakan sebenarnya sudah dirancang dan dilakukan mengikut cara yang profesional. 

Namun ada juga kes penggusti yang mengalami kecederaan parah semasa perlawanan. Ia membuktikan gusti adalah sukan berbahaya dan berisiko. Lebih malang lagi apabila teknik dan gaya penggusti dicontohi oleh anak-anak kecil dan remaja. Ia boleh mengakibatkan kecederaan dan membawa maut. 

Minat kepada rancangan gusti hari ini sudah saya tinggalkan. Kebanyakan penggusti yang saya kenali, semakin dimamah usia, ada juga yang meninggal dunia dek penyakit jantung, dadah, bunuh diri, dibunuh dan pelbagai sebab lain.  Antaranya adalah Miss Elizabeth, pengurus Randy Macho Man yang mati akibat dadah berlebihan pada tahun 2003. Malah Randy Macho Man juga mati pada 2011 akibat serangan jantung. Selain itu, beberapa nama penggusti kegemaran saya dahulu yang telah meningal dunia adalah Rick Rude, Roddy Piper, Umaga, Andre The Giant, Bam Bam Bigelow, Chris Benoit, Ultimate Warrior dan Owen Hart. 

Saya pun sudah menginjak usia 50 tahun ini. Kenangan menonton gusti dahulu kadangkala dirindui. Hakikatnya, penonton diperbodohkan dengan aksi dan drama yang dilakonkan oleh para penggusti profesional tersebut. Sekarang, kedai kedai makan juga sudah banyak pilihan untuk menarik kedatangan pelanggan. Hari ini, mungkin hanya kedai di kampung kampung saja yang masih menayangkan siri gusti kepada pelanggan-pelanggan usia emas. 

Anda boleh tonton video penuh Hulk Hogan dan Under Taker di sini 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...