Wednesday, November 9, 2022

SELAMAT TINGGAL SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat panggilan daripada pihak PPD Manjung meminta saya hadir ke sana pada 25 Oktober 2022. Rupanya saya menerima amanah baharu sebagai pegawai School Improvement Partners (SIP+) di Pejabat Pendidikan Daerah Manjung berkuatkuasa 17 Oktober lalu. Saya mohon penangguhan kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan sebelum berpindah tempat bertugas. 

Saya diberi ruang menangguhkan kerja sehingga 3 November dan dikehendaki mula bertugas di PPD Manjung pada 7 November 2022.  Sebagai kakitangan kerajaan, saya akur dengan arahan yang diberikan. Saya mengimbau kenangan semasa mula mula masuk ke SMKPTLDM. Tentunya ia satu memori manis yang saya ingat ke akhir hayat. Ketika masuk pangkalan Lumut sebagai pengetua pada 12 November 2020, negara sedang dilanda pandemik Covid 19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sekolah dan institusi pengajian tinggi. Suasana ketika itu sangat sunyi dan asing buat saya. 

Saya bersyukur sebab diterima dengan baik di sekolah ini. Memberi khidmat kepada anak anak warga pangkalan Lumut adalah satu penghargaan buat saya. Saya juga mendapat sokongan padu para guru dan staf sekolah yang baik budi. Kita merupakan pekerja dan makan gaji, sama seperti kakitangan awam yang lain. Kita semua sama, sebagai hamba Allah, sebagai penjawat awam yang ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan. 

Jika ada pun perbezaan kita hanya jawatan yang dipikul. Yang membezakan kita cuma, nama jawatan. Sebagai pengetua, saya ketua jabatan yang bertanggungjawab memastikan operasi sekolah dilaksanakan seperti ketetapan yang dibuat. 

Hakikatnya, apa pun nama kerjanya, kita akan menghadap Yang Maha Esa dan perlu menjawab atas amanah yang diberikan kepada kita. 

Perkara paling sukar dilakukan apabila kita ingin mengubah sesuatu yang sudah menjadi budaya. Tidak kira sama ada ia baik atau sebaliknya, perubahan yang dibawa selalunya diberikan reaksi yang pelbagai oleh subordinat.  Ada yang menerima, ada yang sebaliknya. 

Saya selalu ungkapkan kepada sahabat sahabat penolong kanan dan guru kanan, sama-sama kita memberi perkhidmatan yang terbaik kepada SMKPTLDM, membentuk pasukan kerja yang sehaluan dan seiringan. 

Terima kasih buat seluruh warga sekolah yang telah bersama-sama saya untuk tempoh 2 tahun yang penuh suka duka. 

Tidak dilupakan, pasukan staf di pejabat yang sentiasa bekerja bersama saya bagi memastikan kelancaran semua urusan pentadbiran. Terima kasih kepada KD Malaya khususnya Mejar Dailami yang bertanggungjawab menjaga sekolah dalam pangkalan. 

Terima kasih atas khidmat bakti semua yang tidak kenal erti lelah bagi tiap tugasan yang dilaksanakan. 

We still have a long journey to go. 
Sepangkalan Boleh!

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...