Tuesday, November 22, 2022

KEPUTUSAN PRU 15: BENCANA ATAU LABA BUAT RAKYAT?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 19 November 2022, seluruh negara berpesta menghadapi PRU ke-15. Tiga parti politik terbesar yang merupakan gabungan parti utama menyusun strategi memikat hati pengundi dengan pelbagai kaedah dan  cara. Barisan Nasional ditunjangi UMNO, MIC dan MCA; Pakatan Harapan membariskan PKR, DAP dan Amanah, manakala Perikatan Nasional disertai oleh PAS, Bersatu dan Gerakan. 

Sebanyak 222 kerusi parlimen seluruh negara dipertandingkan, manakala negeri Perlis, Perak dan Pahang turut mengadakan pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri serentak pada tarikh 19 November. 

Saya dan isteri mengundi di SKKDSK dan kami pergi pada sebelah petang bagi mengelakkan berbaris panjang. Anak-anak juga berpeluang mengundi kerana mulai PRU 15 mereka yang berusia 18 tahun ke atas layak mengundi secara automatik. Mereka juga teruja untuk mengundi kali pertama.

Saya tidak menjangkakan mana mana parti gabungan ini mendapat majoriti kerana banyak pihak meramalkan tiada yang mendapat majoriti mudah. Jauh di sudut hati saya mengharapkan parti yang dapat membentuk kerajaan, dapat memastikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Inilah matlamat dan perjuangan yang selari dengan pendirian saya. Namun kita perlu redha dan akur dengan ketentuan Allah. Saya juga redha dengan apa juga keputusan yang rakyat buat dalam PRU kali ini. 

Keputusan PRU sudah kita ketahui seperti yang dikeluarkan oleh SPR. Pakatan Harapan yang kononnya dapat majoriti mudah (mengikut ramalan Rafizi Ramli) hanya mendapat 83 kerusi, diikuti rapat oleh Perikatan Nasional yang mendapat 73 kerusi dan BN mendapat 30 kerusi. Pencapaian BN adalah yang terburuk sejak PRU 1955. Ia tidak lagi menjadi pilihan rakyat terutama orang Melayu. 

Keadaan menjadi tidak menentu kerana keputusan PRU kali ini tidak memberikan isyarat penubuhan kerajaan majoriti. Begitu juga dengan DUN Perak yang mencatat PH mendapat 24, BN 9 kerusi dan PN mendapat 26 kerusi. Akhirnya Saarani Mohamed membuat keputusan mengejutkan dengan menyertai gabungan bersama PH kerana dijanjikan jawatan MB. Keputusan ini mengecewakan rakyat negeri Perak yang pernah melalui mimpi ngeri pemerintahan 11 bulan pada 2008 yang penuh kacau bilau. Namun ADUN Kota Tampan tersebut tentu mempunyai naratif dan justifikasi yang menyebabkannya berbuat demikian. 

Sehingga posting ini ditulis, kita masih belum mendapat keputusan siapakah perdana menteri dan manakah gabungan kerajaan yang memerintah Malaysia.  Apa pun yang berlaku, rakyat harus berlapang dada dengan situasi yang berlaku. Jangan hendaknya ada yang menangguk di air keruh dan melakukan anarki sehingga menjejaskan keamanan negara.  

KEPADA ALLAH KITA MOHON PETUNJUK DAN PERLINDUNGAN

 

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...