Monday, April 3, 2023

WARGA MANJUNG PANIK BEKALAN AIR TERPUTUS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Jumaat 31 Mac 2023 tersebar mesej di media sosial tentang kebocoran paip loji air di Teluk Kepayang, Bota. Loji ini membekalkan air bersih kepada hampir semua kawasan di Manjung. Menurut Lembaga Air Perak (LAP), kerosakan ini bakal menjejaskan pengguna di Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir, Kayan, Pangkor dan Lumut. Pengguna dinasihatkan berjimat dan bersedia berdepan gangguan air yang berlaku.  

Pada awalnya masyarakat hanya beranggapan kerosakan loji bersifat sementara dan selesai dalam masa beberapa jam. Sebelum ini pun gangguan air pernah berlaku dan ia dapat diselesaikan oleh staf LAP dengan cepat. Keadaan tenang dan berjalan seperti biasa.  Malah ada dalam kalangan netizen menganggap ia gurauan April Fool's yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

Namun rupa-rupanya kali ini kebocoran paip utama di loji Teluk Kepayang serius dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki. LAP kemudiannya mengeluarkan notis memaklumkan baikpulih paip bocor mengambil masa sehingga lebih daripada 3 hari. LAP juga meminta bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan negeri lain membantu menangani bekalan air terputus melibatkan hampir 100 ribu pengguna di Manjung.
 
Suasana panik tercetus di Manjung apabila rakyat menyedari bekalan air ang terputus ini mungkin berlanjutan berhari hari. Pada pagi Sabtu 1 April 2023, ramai pengguna sudah berpusu-pusu mencari air mineral sebagai stok minuman di kedai runcit dan pasar raya. Ada juga yang mengambil kesempatan pulang ke kampung atau ke luar daerah untuk cuti hujung minggu. 

Menjelang pagi Ahad 2 April 2023, keadaan sudah semakin parah. LAP telah menghantar lori tangki bagi mengagihkan air kepada penduduk yang terkesan. Tersebar di media sosial rakyat pelbagai kaum di Manjung berbaris panjang membawa bekas untuk menadah air. Suasana ini sebenarnya sangat asing dan luar biasa di Manjung. Pada petang Ahad, lori tangki yang disewa oleh LAP parkir di Dataran FAMA Lekir. Ramai penduduk termasuk saya menadah air dengan bekas masing masing. Ia satu pengalaman yang tidak saya lupakan. Dalam keadaan berpuasa pada bulan Ramadhan keputusan bekalan air adalah tempoh menguji kesabaran.      

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...