Sunday, January 31, 2010

Motor Besar

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Petang semalam, ketika membersihkan halaman rumah, saya terdengar dentuman kemalangan di jalan utama, berdekatan rumah. Pasti kemalangan berlaku, fikir hati saya. Saya bergegas berlari menuju ke tempat kemalangan. Kelihatan beberapa buah motor besar dan penunggangnya memberhentikan kenderaan.
 
Foto hiasan Kawasaki ER6
Sebuah motosikal berkuasa 600 cc, Kawasaki ER-6 terbaring di tengah jalan, manakala penunggangnya sempat menyelamatkan diri. Syukurlah kemalangan tersebut tidak serius. Hanya motosikal yang agak teruk, tetapi penunggangnya, seorang Melayu berusia dalam 30-an, cedera ringan di lutut dan bahu. Khabarnya mereka dalam perjalanan dari Teluk Batik, Lumut. Kumpulan 30-40 buah motosikal jenis yang sama ini, berkonvoi sejak pagi tadi dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Konvoi motosikal besar ini bukan calang-calang lagaknya. Lengkap dengan "full face", jaket dan aksesori keselamatan di lutut, saya jangkakan mereka sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk memenuhi impian berkonvoi saban minggu. Fork motor yang bengkok khabarnya RM1300. Tayar sebiji RM650.

Jika saya berhasrat memiliki sebuah daripada jenis ini, saya mesti ada kesanggupan untuk berbelanja besar untuk memuaskan kehendak hati. Rasanya, tak sampai ke tahap itu, sebab banyak lagi komitmen untuk perkara lain, yang lebih memerlukan.


Saturday, January 30, 2010

Pengalaman Berdepan 'Bomoh Teran'

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ketika ayah sakit dahulu, saya berusaha membawanya berubat secara tradisional, selain perubatan moden. Satu hari, kami mendapat khabar seorang bomoh yang boleh mengubat pesakit lumpuh akibat strok. Tempatnya di Changlun, Kedah. 

Saya mengambil cuti demi memenuhi hajat ayah. Awal pagi lagi kami berdua bertolak ke destinasi. Perjalanan hampir lima jam dipenuhi dengan sembang-sembang ayah dan saya. Sekurang-kurangnya, inilah masa untuk kami berbual berdua. Ayah kelihatan ceria, sebab dia menaruh harapan untuk sembuh seperti asal.

Kami tiba hampir jam 11 pagi. Ketika itu, rumah berkenaan dipenuhi beberapa orang lelaki dan wanita. Semuanya Melayu, dan pastilah tujuannya sama dengan kami. Bomohnya berselempang kain kuning dan rumah teres satu tingkat itu kelihatan menyimpan misteri. Semua tingkap rumah ditutup rapat, hanya pintu utama yang dibuka. Manakala jiran pula tidak menunjuk muka. Tak mengapalah, mungkin semua jirannya bekerja pagi itu, fikir saya.

Sementara menunggu giliran kami, saya melihat cara rawatan dibuat. Pesakit wanita akan dilayan lebih mesra oleh bomoh lelaki pertengahan umur itu. Kadangkala, gelak tawanya mengundang rasa jengkel di hati. Ayah yang berkerusi roda, memandang saya dengan penuh makna. Saya hanya mendiamkan diri. Setiap pesakit wanita dirawat dalam tempoh antara 20-30 minit. Bahagian anggota wanita yang sakit akan diurut menggunakan krim sapuan yang dibuat sendiri oleh bomoh itu. Ada yang diurut di kaki, ada juga yang diurut di perut.

Disebabkan ruang menunggu dan rawatan berdekatan, dapatlah saya mendengar butiran perbincangan 'pengeras' dengan jelas. Ada pesakit yang diminta menyediakan kain kuning berisi pulut dan diikat di tiang seri rumah. Ada juga pesakit wanita  yang diminta datang ke rumah bomoh untuk mandi tolak bala setiap malam Jumaat selama tiga kali. Peliknya, semua permintaan itu dipenuhi dan dipersetujui oleh pesakit berkenaan.

Apabila tiba giliran kami, bomoh itu melihat kaki ayah. Pegang pun tak seberapa. Setelah diurut lebih kurang 10 minit, dia menyatakan ayah perlu datang sekurang-kurangnya tiga kali untuk membuang saka.

Saka? 

Terkejut kami, kerana selama ini ayah tak pernah tahu dia mempunyai saka. Sudahlah didakwa ada saka, ayah diminta datang tiga kali untuk rawatan susulan. Bukannya mudah, dan tidak pula dekat jaraknya. Kami juga diminta membeli krim sapuan berharga RM30 di samping pengeras wang tunai. Krim itu kononnya boleh membuang saka jika diurut dengan betul.

Sepanjang perjalanan pulang, saya dan ayah membuat keputusan untuk tidak lagi ke sana. Apatah lagi, cara rawatan yang mencurigakan, menyebabkan kami sependapat bahawa bomoh itu tidak lain adalah 'Bomoh Teran' atau lebih tepat lagi, bomoh penipu.

Monday, January 25, 2010

Apa Yang Anda Takut Semasa Kecil Dahulu?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Tangan si kecil saya berdepan ayam belanda

Saya sering kali membawa anak bongsu menaiki motosikal meronda di sekitar kawasan kejiranan.  Motor pusaka arwah ayah yang masih boleh berbakti sering saya tunggang bersama anak-anak. Si bongsu saya, amat takut melihat seekor ayam belanda  yang ada di laluan ke surau. Ayam belanda itu pula manja tetapi mukanya agak hodoh. Barangkali, itu yang menyebabkan anak kecil saya sedikit takut. Tetapi setelah melepasi ayam tersebut, dia merengek untuk melihat semula ayam belanda itu.Itulah yang selalu dimintanya saban petang. Adakala sempat saya membawanya melihat ayam tersebut, adakala sebaliknya.

Semasa kecil dahulu, saya mempunyai rasa takut terhadap seorang lelaki tua yang tinggi lampai. tinggal di sebelah rumah kami. Mungkin kerana susuknya yang tinggi itu, dia dipanggil "Pak Mat Hantu Raya". Dia tinggal bersendirian ditemani anak saudara. Kononnya dia pernah menikah tetapi selepas bercerai muda, dia langsung tidak kahwin-kahwin. Perasaan takut saya terhadapnya semakin hilang apabila saya meningkat remaja. Ada juga orang kata, dia memang membela hantu raya. Tapi kami yang berjiran dengannya tak pernah mengalami peristiwa pelik atau terserempak hantu belaannya.

Kesimpulannya, setiap orang pasti ada ketakutan terhadap sesuatu semasa kecilnya.. Anda bagaimana?

Elakkan Penghinaan Dalam Penulisan Di Blog

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya tak mahu mengulas mengenai kemelut penulisan Adukateruna terhadap institusi raja, khususnya Sultan Johor. Pasti ramai yang telah mengulasnya. Pihak polis pun, khabarnya memantau blog peribadi yang menghina institusi sultan.

Apa yang ingin saya tegaskan, penulisan di blog tidak sepatutnya menjadi arena untuk menghina mana-mana sultan, khususnya yang telah mangkat. Penulis blog tersebut khabarnya sudah pun memohon maaf dalam blognya. Hal ini menyentuh sensitiviti institusi kesultanan. Saya pasti jika Adukateruna berada di Thailand, dia sudah pasti dihukum lebih berat sebab rakyat Thailand sangat menyanjung rajanya.

Sebagai rakyat di negara berdaulat yang menyokong isntitusi raja, saya berharap apa yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar.

Salam untuk semua blogger. Teruskan penulisan berkualiti dan berhemah.

Saturday, January 23, 2010

Menyauk Ikan Di Parit Jiran

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lama sebelum saya masuk ke sekolah menengah, kegemaran saya ialah memancing, atau lebih tepat lagi, menyauk ikan semilai. Di sesetengah tempat, ia disebut ikan laga. Di tempat saya, ia sinonim dengan nama ikan lawan. Warnanya cantik, terutama ikan jantan. Kelibatnya mengembangkan sirip apabila berdepan ikan jantan lain sangat menghiburkan. Dietnya hanya nyamuk kecil. Ikan ini mudah dibela. Biasanya saya bela dalam botol air badak, atau botol Horlick yang ditemui di tepi kedai runcit. 

Saya selalu mencari ikan lawan di parit jiran, iaitu rumah Pak Ngah Tamin belakang rumah.  Parit itu selari dengan jalan raya utama yang menjadi penghubung masyarakat kampung ke pekan  terdekat. Di parit yang lebarnya 2 meter itulah tempat saya menyauk ikan. Kekadang jika bernasib baik, saya boleh dapat ikan puyu atau sepat. Anak haruan yang kemerah-merahan sepanjang satu inci juga boleh ditangkap dengan penyauk  yang asalnya penapis plastik.

Saya jarang mengajak adik-adik lelaki menyertai aktiviti menyauk. Pertama, menyauk ikan tak boleh ramai-ramai. Ikan 'akan lari' jika suasana bising. Kedua, leceh  jika adik beradik ikut sama. Terpaksa jaga dan pantau mereka. Jadi, untuk mengelakkan situasi ini, saya selalunya pergi secara rahsia supaya tak diketahui kedua-dua orang adik lelaki yang hampir sebaya.

Satu hari, saya leka menyauk sehingga tak menyedari ayah balik melalui jalan raya depan rumah Pak Ngah Tamin. Ketika ayah balik dengan motosikalnya, dia ternampak kelibat saya sedang terbongkok-bongkok di tebing parit menyauk ikan. Ketika dia menongkat motor pun, saya tak sedar. Saya leka dengan dunia saya. Saya leka menyauk ikan lawan.

Memang sudah menjadi tabiat ayah, dia merenung perbuatan anak tanpa menegur. terlebih dahulu Tapi tenungan itu sudah cukup memberi maksud kepada saya. Melompat saya  memanjat tebing tinggalkan penyauk apabila menyedari ayah berada di tepi parit memerhatikan perbuatan saya.

Apa lagi, ca alif but, cabutlah. Saya tak tunggu, terus lari balik ke rumah menunggu saat-saat dihukum. Sebagai hukumannya, ayah ambil rotan dan bahagian punggung menjadi sasaran. Selepas itu, mak pun menasihati saya supaya tak buat perkara itu lagi.

"Entah ada ular, tebuan tanah ke, dekat-dekat situ... Bahaya, kamu tau?" kata mak.

Bila dikenangkan kembali, syukurlah tak terjadi perkara buruk ketika zaman nakal dahulu. Apabila sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak lelaki, saya dapat rasakan kebimbangan mak dan ayah terhadap perbuatan saya dahulu.

Thursday, January 21, 2010

Mujur Cikgu Pun Mati Sama!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tragedi lemas melibatkan 6 orang termasuk seorang guru baru-baru ini memang mencetuskan kesedihan terutama kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

"Wang tidak boleh ganti nyawa anak saya kerana dia seorang pelajar yang cemerlang," luah Yeoh Cheong Hean, ayah kepada Brandon Yeoh yang maut dalam tragedi perahu naga terbalik Ahad lalu.

"Brandon berminat menjadi perekacipta serta mahu melanjutkan pelajarannya ke Jerman selepas SPM nanti. Malah beliau telahpun belajar bahasa Jerman dan saya menyokong cita-citanya itu tetapi kini semuanya hanya tinggal kenangan," katanya.

Pada kejadian pagi Ahad lalu, semua mangsa dari Sekolah Tinggi Chung Ling ditemui lemas apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum pada jam 8.45 pagi.

Mereka yang terkorban ialah guru sekolah yang juga penasihat pasukan Chin Ai Fang, 28, dan lima pelajar iaitu Jason Ch''ng, 17, Goh Yi Xiang, 15, Brandon Yeoh, 17, Cheah Zi Yun, 17, dan Yong Xiang, 16.

Seramai 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.

Andai kata guru berkenaan selamat daripada tragedi tersebut, tentulah dia menjadi sasaran Kementerian, Jabatan dan ibu bapa. Kita boleh menerima semua ini sebagai takdir, tetapi alasan untuk guru itu 'melepaskan diri' tidak ada, sebab ketika kejadian, aspek keselamatan memang tidak ditititkberatkan.


Jadi, lebih berbaloi dia juga menjadi mangsa tragedi tersebut.


Monday, January 18, 2010

Fitnah Di Hati

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Fitnah di hati? 
 
Bukan mudah dan senang untuk menghindarinya. Mujahadah yang tinggi diperlukan bagi menghapuskannya dari jiwa. Terkadang diri dibuai impian dan angan yang menggunung, namun sedarlah diri. Di mana kaki berpijak, di mana segala urusan qada' qadar telah ditentukan oleh Allah yang Maha Berkuasa.

"Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan hawa nafsunya." Sabda Rasulullah S.A.W.

"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." Surah Al-Baqarah: 191


Di antara penyebab terjerumusnya seseorang ke dalam fitnah:
* Kesediaan hati menerimanya.
* Mendahulukan pendapat peribadi di atas hukum syarak.
* Menerima jawatan yang tidak mampu dilaksanakan.
* Sibuk berbicara tanpa bekerja.

Di antara kesan fitnah:
* Membuat manusia lupa terhadap kebenaran yang sebenarnya.
* Menipiskan agama.
* Menghilangkan akal.
* Tidak mendengar nasihat.

Di antara penyelamat dari segala fitnah:
* Tidak menuntut hak dalam urusan dunia.
* Faham terhadap agama.
* Melepaskan diri dari fitnah dan sebab-sebabnya.
* Tidak memegang jawatan dalam fitnah.
* Berdoa agar terjaga dari kejahatannya.
* Hati mengingkari fitnah tersebut.
* Beramal soleh.
 Moga memberi manfaat kepada kita.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...