Monday, July 11, 2011

Apakah Nilai Silaturahim Kepada Kita?

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

SILATURAHIM adalah satu sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan. Ada banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturahim bsukanlah suatu ikatan yang diutamakan dalam diri setiap individu.


Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu membunuh nenek atau datuk.


Malah, yang paling menyayat hati seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada nilainya.


Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.


Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati.


Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”


Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah. Ibu bapa juga adalah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah.

Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa.


Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa.


Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara.


Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya.


Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah.


Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan.


Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?”

Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”


Selain ibu bapa, kita juga harus menjaga silaturahim sesama jiran. Jiran tetangga adalah kerabat paling hampir dengan keluarga kita.


Malah, hubungan rapat dan mesra yang terjalin kadangkala melebihi sanak-saudara yang mempunyai pertalian darah dengan kita.


Allah memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat atau jauh.


Ini jelas sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisaa’, ayat 36, bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.”

Dpadankan daripada artikel dalam Halaqah


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...