Monday, March 26, 2018

KENDERAAN: DULU DAN SEKARANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Kereta, motokar atau dalam bahasa Indonesia, disebut mobil, adalah kenderaan yang paling banyak berada di jalan raya Malaysia hari ini. Dengan anggaran jumlah kenderaan di Malaysia meningkat 7% setiap tahun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan data pendaftaran kenderaan di Malaysia, yang dikumpul sehingga 30 Jun 2017,  mencatat keseluruhannya 28,181,203 unit kenderaan. Setelah dikira, ini bersamaan dengan 0.88 kenderaan bagi setiap individu di negara ini.

   Jika dibandingkan dengan tahun 2015, jumlahnya dicatatkan sebanyak 26,301,952 buah, dan pada tahun 2010, jumlah kenderaan yang didaftar adalah 20,188,565 buah menjadikan perbezaannya dengan jumlah tahun 2017 adalah 7,992,638 buah.
  Melihat secara lebih terperinci data ini, secara keseluruhannya terdapat 13,288,797 kereta dan 12,933,042 motosikal persendirian yang berdaftar di Malaysia. Ini kemudiannya diikuti 185,035 buah kenderaan servis awam (PSV) yang termasuk bas, teksi serta kereta sewa swasta, 1,205,744 kenderaan barang dan 568,585 kenderaan jenis lain-lain. (Sumber Paultan.my)

        Senario ini tentunya amat berbeza pada 30 tahun lalu. Pada zaman kanak-kanak saya sekitar awal 80-an, teksi dan bas menjadi pilihan masyarakat. Ketika hendak ke pekan Sitiawan atau Lumut, bas Sitiawan Transport Company (STC) berwarna hijau tua, menjadi pilihan kebanyakan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama. Bas menjadi simbol penyatuan komuniti dan gaya hidup masyarakat ketika itu.

        Kereta? Oh, ia adalah ungkapan untuk kenderaan yang dimiliki oleh orang kaya, atau yang berpendapatan tinggi. 
Waktu itu, jumlah kenderaan masih tidak banyak, dan kereta yang popular adalah kereta Jepun seperti Nissan, Honda dan Toyota. Teksi pula biasanya Mercedez Benz mata belalang, berenjin diesel. Teksinya besar, bunyi enjinnya kasar, asapnya hitam, tanpa penghawa dingin dan tingkapnya sentiasa terbuka, tidak seperti teksi hari ini yang sangat selesa. Jenama Proton hanya diperkenalkan pada 1985, ketika Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammed (Tun) ingin membawa Malaysia keluar daripada kepompong negara pertanian.  
      Menaiki teksi mata belalang sudah menjadi satu rahmat besar buat kanak-kanak kampung seperti saya. Apabila menaiki teksi, kami adik beradik suka menghulur tangan ke luar tingkap, atau membiarkan muka ditampar angin yang menerobos masuk ke tingkap teksi. Rasanya nyaman dan menyeronokkan. Menaiki bas juga satu pengalaman yang menyeronokkan semasa zaman kanak-kanak dahulu. Stesen bas STC terletak di belakang Standard Chartered, sangat sibuk awal 80-an. Ketika saya bersekolah menengah di SMK Ahmad Boestamam, saya berjalan kaki pergi dan pulang ke stesen bas itu yang jaraknya lebih satu km, melalui SRK Gandhi dan pawagam Cathay. 
      Stesen bas yang menjadi pusat transit dahulu,  kini sudah berubah menjadi bangunan rumah kedai. STC telah bangkrap dan operasinya ditutup menjelang awal tahun 2000. Tiada lagi 'radiogram' yang laparkan siling 20 sen, untuk satu lagu. Tiada lagi alunan lagu rock kapak menjadi halwa telinga, sementara menunggu bas. Semuanya tinggal kenangan. Anak anak hari ini, ke sekolah pun dihantar oleh ibu bapa. Kereta sudah menjadi satu keperluan, bukannya simbol kemewahan. Jenama kereta hari ini pun pelbagai, dengan pelbagai bentuk dan aksesori yang memenuhi citarasa pengguna. Pastinya hawa dingin, sistem audio canggih dan kemasan dalam yang cantik menjadi ciri-ciri kereta yang selesa untuk digunakan. 
      Di sebalik pertumbuhan kereta yang semakin menyesakkan jalan, bas awam masih jadi pilihan, dengan sistem pengangkutan awam RAPID MANJUNG  dilancarkan oleh Menteri Besar Perak pada Mac 2018. Adakah ia menandakan sinar baharu buat kenderaan awam di Manjung?  


No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...