Thursday, March 15, 2018

SYUKUR, KEPUTUSAN SPM 2017 SEBAYU BERTAMBAH BAIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Apabila menjadi pentadbir, satu daripada kayu ukur untuk menguji keberkesanan kepimpinan pengetua adalah pencapaian bidang akademik. 

Saya teruja, dalam masa yang sama,  bimbang menanti keputusan SPM 2017 yang diumumkan pada 15 Mac 2018. Sudah tentu ia menjadi 'buah sulung' yang menentukan keberkesanan sekolah di bawah pentadbiran saya. Namun begitu, saya bersyukur kerana dibantu oleh barisan penolong kanan dan guru kanan yang berpengalaman serta bersemangat. Tentunya saya  juga sangat berterima kasih  kepada para guru yang bertungkus lumus memastikan pelajar membuat ulangkaji sehingga saat akhir.

Keputusan SPM 2017 akhirnya diumumkan, dan SEBAYU memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) yang jauh lebih baik berbanding GPS 2016. Pada tahun 2017, GPS SEBAYU 5.54, kurang 0.17 berbanding 5.71 pada 2016. Untuk rekod, sebelum saya datang ke sini, SEBAYU mempertahankan rekod pencapaian konsisten GPS yang semakin baik sejak 2013. Ini menjadi satu cabaran kepada saya memastikan ia semakin mengecil. Selain itu, empat mata pelajaran mencatatkan keputusan lulus 100%, iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Multimedia. Dalam negeri Perak SEBAYU menduduki tempat ke-148 daripada lebih 230 buah sekolah yang disenaraikan. 


Kami akhirnya memecahkan kebuntuan pelajar cemerlang semua A, apabila Muhamad Huzaifah Ramli, berjaya menempatkan diri dalam kalangan 752 orang pelajar cemerlang semua A di Perak. Ada 10 orang lagi pelajar berjaya mendapat sekurang-kurangnya 5A. Jumlah peratus lulus juga meningkat daripada 83.25% kepada 84.83%.

Dari segi kuantiti, hanya 3 orang daripada 178 orang calon yang gagal Bahasa Melayu, manakala 26 orang gagal Sejarah, berbanding 46 orang pada tahun sebelumnya. Dua mata pelajaran ini adalah menanda aras penting lulus atau gagalnya seseorang calon SPM.  Ringkasnya, keputusan SPM kali ini mempamerkan prestasi yang masih membanggakan kami warga pendidik SEBAYU. 

Pencapaian ini menggembirakan para guru. Sebak dan terharu melihat wajah-wajah guru yang ceria menyambut keputusan peperiksaan kali ini. Bagi sebuah sekolah luar bandar, yang masyarakatnya serba sederhana, kejayaan menempatkan diri dalam kelompok sekolah yang mendapat keputusan SPM yang konsisten, tentunya satu inspirasi buat kami. Tanpa asrama, tanpa kumpulan pelajar elit yang cemerlang, SEBAYU masih mampu mengukir kejayaan. Jangan bandingkan kami dengan sekolah bandar, atau sekolah berasrama penuh. Ia satu perbandingan yang tidak adil, kerana faktor pemilihan pelajar, akses kemudahan yang pelbagai dan seumpamanya, tidak memihak kepada sekolah luar bandar seperti SEBAYU.

Buat akhirnya, saya tujukan penghargaan ini kepada barisan penolong kanan, serta guru SEBAYU, kerana anda adalah wira yang tak didendang, tapi haruman jasa baktimu menjadi bekalan pahala di akhirat nanti.

SEBAYU BOLEH! 

2 comments:

  1. Tahniah Tuan Pengetua. Teruskan menulis blog sebagai perkongsian ilmu. Mungkin boleh share juga apa tips dan program yang dijalankan di sekolah tuan supaya menjadi ikutan yang baik kepada sekolah lain. Syabas tuan!

    Salam perkenalan dari saya, www.cikguhailmi.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih cikgu Hailmi, Saya hargai kata semangat tuan. Insyaallah.

      Delete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...