Thursday, November 5, 2009

"Renyang" Pasal Sikat

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.



Renyang...


Tau tak apa maksud 'renyang'? Perkataan ini diguna pakai oleh penutur dialek Perak untuk situasi yang tak menyenangkan, atau perasaan yang sedang gundah.


Pagi ini, si abang ngah (anak kedua) sibuk mencari sikat.


"Sikat ada, baba?" Tanya dia sambil matanya mengelewar di bilik bacaan.


"Entah. Kamu letak di mana?"


"Tak tau."


"Pergi cari. Baba nak bersiap ni,"


Dia pergi ke bilik bacaan, tapi kemudiannya datang lagi.


"Ada sikat tak baba?" dia bertanya soalan sama.

Alahai, dari tadi dia bertanya perkara yang sama. Selepas dapat sikat, dia tersengih sambil menyikat rambutnya.



Renyang dibuatnya pasal sikat ni.

Wednesday, November 4, 2009

Majlis Anugerah Kokurikulum

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, Rabu 4 November 2009, berlangsung majlis Anugerah Kokurikulum 2009 dalam suasana sederhana tetapi meriah. Ia diadakan di kantin sekolah, sebagai usaha menghargai para pelajar dan guru yang mengharumkan nama sekolah  dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah.

Tapi kami berbangga, sekurang-kurangnya ada wakil sekolah yang mewakili negara. Syabas Azhar!

Tuesday, November 3, 2009

Kalau Tersalah Bertindak, Mengakulah..

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kisah penangkapan Dr. Mohd Asri (Dr. MAZA), bekas mufti negeri Perlis baru-baru ini, bukan sahaja menggemparkan, malah ia menjadi tajuk utama dalam media massa minggu ini. 


Penangkapan beliau dilakukan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS di sebuah premis persendirian, ketika beliau sedang mengadakan kuliah bersama 300 orang pendengar. Alasan JAIS ialah Dr. MAZA tidak mempunyai tauliah menyampaikan ceramah agama.



Malang sekali, cara yang dilakukan oleh JAIS tidak menampakkan kematangan dalam bertindak. Dengan diiringi oleh sepasukan anggota polis, drama penangkapan tersebut seolah-olah kelihatan untuk memberkas penjenayah yang berbahaya.


Tidak cukup dengan itu, Dr. MAZA dituduh menyebarkan fahaman Wahabi, yang mana beliau sendiri menafikannya.


Tuduhan terbaru adalah beliau dikatakan mempunyai kelayakan palsu dari sebuah universiti di Jordan.


Selepas ini, rakyat tertanya-tanya, apa pula tuduhan yang bakal dikenakan ke atas bekas mufti tersebut.


Sebelum lebih banyak fitnah dan alasan JAIS untuk mengiakan tindakannya, saya menasihatkan pihak yang berkenaan, kalau tersalah bertindak, mohon maaf segera. Jangan disulitkan keadaan yang sudah kelam kabut ini.

Percaya atau tidak, penyelesaiannya perlu disegerakan. Jika tidak, lebih banyak kemudaratan yang berlaku. Malah, imej Islam sendiri akan tercalar.



Tambahan pula, semakin lama, semakin ramai akan bersimpati dengan Dr. MAZA. Ini tidak baik untuk imej jabatan agama. kerana masyarakat melihat seolah-olah, ia memusuhi ilmuwan dan alim ulama.




NAP Akan Menindas Pemilik Kereta Lama

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Gek..gok..gek..gok..

Kerajaan sudah pun mengumumkan Dasar Automatif Nasional (NAP) pada minggu lalu. Antara intipatinya adalah pemeriksaan tahunan untuk kereta berusia 15 tahun ke atas. Pemeriksaan tersebut akan dibuat di PUSPAKOM, sebuah agensi yang dikhususkan untuk menyelia dan meluluskan prestasi sesebuah kenderaan sebelum urusan lain dilakukan oleh JPJ. Selepas diluluskan, barulah pemilik boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan tersebut.

Dari satu segi, ia baik, sebab mampu memastikan kenderaan berada dalam kondisi yang memuaskan. Ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada keadaan sesebuah kenderaan.

Hakikatnya, kemalangan di Malaysia bukan berpunca daripada kereta buruk semata-mata. Faktor utamanya adalah sikap pemandu di Malaysia yang cuai dan tidak berhati-hati.

NAP yang diumumkan baru-baru ini sudah menampakkan 'hasil'nya. Seorang rakan merungut apabila hasratnya untuk memperbaharui cukai jalan terjejas, kerana pihak insurans tidak mahu melindungi keretanya yang berusia 29 tahun. Kereta tersebut mempunyai nilai sentimental kepadanya. Malah, kereta tersebut lebih 'sihat' berbanding kereta buatan Malaysia yang pernah dibelinya dahulu. Dia adalah sebahagian daripada ramai pemilik kenderaan yang tidak bersetuju dengan NAP yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, pihak insurans hanya menerima permohonan kereta berusia bawah 15 tahun. Itu pun, insurans komprehensif, bukannya Third Party. Ini bermakna, lebih banyak wang terpaksa dikeluarkan untuk membayar premium insurans kenderaan lama. Sekurang-kurangnya RM400 perlu dibayar kepada syarikat insurans yang memberi pelbagai alasan menaikkan premium tersebut.

Kelmarin, Persatuan Penjual Kenderaan Terpakai menyatakan jualan kenderaan terpakai di Malaysia dijangka menyusut 15%. Ini berdasarkan senario semasa pengguna yang tidak mampu menanggung risiko pinjaman dan kredit kenderaan dalam suasana ekonomi tidak menentu.

Syarikat pengeluar kenderaan nasional boleh meletakkan harga yang 'sangat berdaya saing 'di UK, di Arab Saudi dan di negara lain, tetapi tidak di negara sendiri. Ia ibarat 'anak kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan'.

Begitu juga dengan kualiti, ia harus dipertingkatkan setanding dengan nilai yang perlu dibayar oleh pemilik kenderaan. Rakyat boleh menerima kereta buatan luar kerana 'alah membeli, menang memakai'. NAP juga seharusnya menekankan peningkatan kualiti pengangkutan awam kita yang masih belum setanding Singapura dan negara maju.

Sebaliknya, tidak perlu mengumumkan NAP saban tahun jika ia hanya menindas rakyat berpendapatan rendah. Ini akan menjadi racun kepada Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri dalam pilihan raya akan datang. Mahukah begitu?


Monday, November 2, 2009

JAIS Berlawak Ketika Tangkap Dr. Asri?

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 
Dr Asri diiringi oleh polis ketika dibawa ke balai polis Hulu Kelang

SUASANA sepi di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.
Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu. Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.
   
"Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.
Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.
Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.
Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.

 
Dr Asri kelihatan tenang, sedang dibawa ke balai polis Ulu Kelang

Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.
Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..."
Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri.
"Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.
 
Ketika ini, tiga orang peguam terpaksa menjadi orang tengah dan berbincang dengan pihak polis dan JAIS namun pihak JAIS enggan meninggalkan premis tersebut dan berkeras ingin membuat penangkapan juga.
Suasana berterusan menjadi tegang bila beberapa pegawai JAIS dan polis mengugut untuk menggunakan kekerasan seandainya penyokong-penyokong Dr Asri berkeras tidak mahu melepaskan Mohd Asri.
Pihak polis juga telah mengarahkan pihak media dan mereka yang tidak berkenaan untuk mengosongkan rumah.
Setelah keadaan berlarutan hingga 3 jam, Mohd Asri akhirnya dibawa keluar dari biliknya dengan diiringi oleh beberapa orang polis dan pegawai JAIS untuk dibawa ke balai Polis Hulu Klang untuk diambil keterangan.
Mohd Asri terus dibawa ke balai polis menaiki sebuah van tepat jam 12 tengah malam. Hanya peguam sahaja dibenarkan memasuki kawasan balai polis sementara pihak media dan penyokong Mohd Asri terpaksa menanti dengan setia di luar kawasan balai.
Setelah hampir 1 jam, Mohd Asri dibebaskan tanpa diambil apa-apa keterangan.
Namun kelibat pegawai JAIS dan van JAIS yang membawa Dr Asri ke balai polis langsung tidak kelihatan pada ketika itu. Dr Asri kemudiannya dibawa balik ke rumah Hj Yahya untuk sebuah sidang akhbar.

Komen saya:

JAIS perlu beri penjelasan mengapa Dr. Asri ditangkap, kemudiannya dibebaskan dengan bon, biarpun tiada pertuduhan. Janganlah berlawak dan berjenaka. Saya amat suka jika Ustaz Sharom Maarof, pegawai JAIS yang mengetuai serbuan itu memberi penjelasan lanjut. Pengarah JAIS pun hendaknya jangan senyap, sebab ini melibatkan kepentingan umum.   

Tatu "Cinta Monyet"

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dia berumur 15 tahun, dan baru selesai menduduki PMR. Pelajar lelaki ini sedang menyanyi -nyanyi kecil ketika terserempak dengan saya.

Rupanya  dia bertatu. Peliknya, tatu tersebut bukan tatu yang biasa dilihat. Ia adalah kesan torehan pada lengan kirinya. Tertulis nama "Ainon".




"Siapa? Makwe kamu ke?" Saya mencungkil rahsia tatu itu.

Dia tersengih. Nampak riak cuak di wajahnya.

"Dah lama, cikgu. Dah tak ada apa-apa." katanya dengan sengih kelat yang dibuat-buat.

Saya membelek-belek lengannya. Kesan torehan itu pasti dibuat sendiri.

"Mengapa kamu toreh lengan kamu? Tak sakit?"

Dia diam tak menjawab.

"Ainon ni, pelajar kita?"

Masih sengih dengan riak tidak selesa ditanya begitu.

Dia sanggup mencederakan lengannya semata-mata ingin 'membuktikan' cintanya kepada kekasih hatinya. Apa pula balasan si gadis kepadanya?  Jika difikirkan, macam-macam andaian yang boleh dibuat.

Demi cinta, apa sahaja sanggup dilakukan.

Penangan cinta monyetlah katakan.

Sunday, November 1, 2009

Pentingnya Wasiat Sebelum Mati

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Statistik daripada web Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Wasiat kadang kala dianggap tidak penting dalam kalangan warga Malaysia, khususnya orang Islam. Kematian individu yang mempunyai harta mendatangkan masalah kepada mereka yang hidup, apabila si mati tidak berwasiat tentang hartanya sebelum berhijrah ke alam baqa.

Mungkin ada yang beranggapan berwasiat atau membahagi-bahagikan harta, menunjukkan kecintaan kepada dunia. Tidak kurang juga yang beranggapan, wasiat boleh diselesaikan oleh mereka yang hidup kemudian.

Hakikatnya, wasiat sangat perlu dibuat. Apatah lagi, penyelesaian wasiat selepas kematian amat memeritkan, dan mengambil masa yang lama. Karenah birokrasi menambahkan lagi kekusutan hal ini.

Menurut PPIM, orang Islam kurang menyedari pentingnya wasiat. Ini dibuktikan apabila kurang 300, 000 wasiat dibuat pada tahun 2007.

Penduduk Malaysia pada tahun 2008, dianggarkan 28 juta orang. Daripada jumlah ini, 10 juta orang terdiri daripada orang Islam yang berumur 18 tahun dan ke atas. Ini bermakna, jumlah orang Islam yang menyediakan wasiat sebelum kematian mereka tidak sampai 10%!

Impak daripada ini adalah, ia menyebabkan harta milik orang Islam tidak dapat diselesaikan. Bayangkan, jumlah wang simpanan, rumah, tanah dan seumpamanya menjadi pertikaian ahli keluarga. Bukan setakat itu, ia juga menjadi sebab terputus hubungan adik beradik, saudara mara dan menimbulkan fitnah yang berpanjangan. Malah, ada harta seperti tanah yang tidak diurus dan terbiar selama bertahun-tahun, kerana tiada penyelesaian berkaitan pemilikannya.

Dengan adanya Amanah Raya dan institusi kewangan seperti Bank Islam yang boleh menguruskan perkara ini, sepatutnya kita mengambil peluang untuk membuat wasiat demi kepentingan orang tersayang. Cara ini akan dapat mengurangkan statistik masalah berkaitan harta orang Islam selepas mereka mati.

Jika anda mempunyai harta dan tanah, berwasiatlah untuk kemudahan mereka yang disayangi.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...