Tuesday, November 3, 2009

NAP Akan Menindas Pemilik Kereta Lama

Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Saya amat menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Gek..gok..gek..gok..

Kerajaan sudah pun mengumumkan Dasar Automatif Nasional (NAP) pada minggu lalu. Antara intipatinya adalah pemeriksaan tahunan untuk kereta berusia 15 tahun ke atas. Pemeriksaan tersebut akan dibuat di PUSPAKOM, sebuah agensi yang dikhususkan untuk menyelia dan meluluskan prestasi sesebuah kenderaan sebelum urusan lain dilakukan oleh JPJ. Selepas diluluskan, barulah pemilik boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan tersebut.

Dari satu segi, ia baik, sebab mampu memastikan kenderaan berada dalam kondisi yang memuaskan. Ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada keadaan sesebuah kenderaan.

Hakikatnya, kemalangan di Malaysia bukan berpunca daripada kereta buruk semata-mata. Faktor utamanya adalah sikap pemandu di Malaysia yang cuai dan tidak berhati-hati.

NAP yang diumumkan baru-baru ini sudah menampakkan 'hasil'nya. Seorang rakan merungut apabila hasratnya untuk memperbaharui cukai jalan terjejas, kerana pihak insurans tidak mahu melindungi keretanya yang berusia 29 tahun. Kereta tersebut mempunyai nilai sentimental kepadanya. Malah, kereta tersebut lebih 'sihat' berbanding kereta buatan Malaysia yang pernah dibelinya dahulu. Dia adalah sebahagian daripada ramai pemilik kenderaan yang tidak bersetuju dengan NAP yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, pihak insurans hanya menerima permohonan kereta berusia bawah 15 tahun. Itu pun, insurans komprehensif, bukannya Third Party. Ini bermakna, lebih banyak wang terpaksa dikeluarkan untuk membayar premium insurans kenderaan lama. Sekurang-kurangnya RM400 perlu dibayar kepada syarikat insurans yang memberi pelbagai alasan menaikkan premium tersebut.

Kelmarin, Persatuan Penjual Kenderaan Terpakai menyatakan jualan kenderaan terpakai di Malaysia dijangka menyusut 15%. Ini berdasarkan senario semasa pengguna yang tidak mampu menanggung risiko pinjaman dan kredit kenderaan dalam suasana ekonomi tidak menentu.

Syarikat pengeluar kenderaan nasional boleh meletakkan harga yang 'sangat berdaya saing 'di UK, di Arab Saudi dan di negara lain, tetapi tidak di negara sendiri. Ia ibarat 'anak kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan'.

Begitu juga dengan kualiti, ia harus dipertingkatkan setanding dengan nilai yang perlu dibayar oleh pemilik kenderaan. Rakyat boleh menerima kereta buatan luar kerana 'alah membeli, menang memakai'. NAP juga seharusnya menekankan peningkatan kualiti pengangkutan awam kita yang masih belum setanding Singapura dan negara maju.

Sebaliknya, tidak perlu mengumumkan NAP saban tahun jika ia hanya menindas rakyat berpendapatan rendah. Ini akan menjadi racun kepada Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri dalam pilihan raya akan datang. Mahukah begitu?


2 comments:

  1. Betul betul betul,

    Kepada yang masih setia dengan kereta lama parah juga dengan perlaksanaan undang-undang terbaru.

    Letih la macam ni,

    ReplyDelete
  2. Ko kena beli kereta baru le, Anjang...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...