Saturday, October 4, 2008

Saingan EPL


Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sebagai peminat Manchester United (Manu), tidak dinafikan aku selalu mengikuti perkembangan bola sepak kelab tersohor ini. Pasukan yang digelar Red Devils ini memanglah sudah mempunyai penyokong di seluruh dunia. Aku sendiri, tidak fanatik sangat dengan Manu, tetapi kalau berpeluang ke Old Trafford, mesti rasa bangga melihat sendiri kehebatan pasukan ini di gelanggang mereka.


Sebenarnya, melalui pengurusan yang betul, bola sepak boleh menjadi produk yang sangat menguntungkan. Aku 'salute' dengan Sir Alex Ferguson yang telah menerajui kelab ini selama 21 tahun. Lama tu... Dalam tempoh tersebut, Manu berjaya merangkul 2 kejuaraan Liga Juara-juara iaitu pada 1999 dan 2008. Umur dah 70 tahun, tapi sangat dihormati rakan dan lawan.

Bagaimanapun, saingan liga English Premier League (EPL) musim ini ternyata sengit buat Manu. Kemasukan beberapa pemain hebat di dalam pasukan Liverpool dan Manchester City, agak menggusarkan. Begitu juga dengan penyertaan Big Phil Scolari di Chelsea, sudah cukup membuktikan, Manu kena bekerja 'lebih keras' untuk musim ini.

Tak semena-mena, ada berita yang agak mengecewakan Chelsea. Menurut Berita Harian 3 Oktober 2008, Didier Drogba tercedera dan perlu berehat lebih daripada 3 bulan. Ini sedikit sebanyak memberi hara
pan bahawa Manu masih boleh bersaing dengan kelab-kelab EPL yang lain.
CLUJ-NAPOCA (Romania): Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari kini gelisah memikirkan kemungkinan berdepan krisis kecederaan yang mampu menghancurkan permulaan tanpa kalah pasukannya selepas Didier Drogba tercedera ligamen lutut ketika seri 0-0 dengan CFR Cluj dalam saingan Liga Juara-juara Eropah, awal pagi semalam.

Drogba bakal diketepikan dari aksi sehingga tiga bulan akibat kecederaan itu yang dialami awal separuh masa kedua di Stadium Dr Constantin Radulescu, kelmarin. Menyedihkan, dia baru sahaja pulih daripada masalah lutut yang mengenepikannya pada permulaan musim.

Saingan baru bermula, tapi Manu ketinggalan berbanding Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Hanya masa yang menentukan. Hero Tamil agaknya, kalah dulu, menang kemudian.. Buktinya, pada perlawanan di Ewood Park, Manu kalahkan Rovers 2-0 melalui Brown dan Rooney.

Blackburn Rovers 0-2 Manchester United
http://www.premierleague.com/page/Headlines/0,,12306~1412917,00.html

A goal in each half handed Manchester United a win over Blackburn Rovers at Ewood Park.

Wes Brown and Wayne Rooney were on target as United recorded back-to-back Barclays Premier League wins for the first time this season with a comfortable 2-0 triumph.

Brown nodded home Rooney's first-half cross and the latter clinically applied the first-time finish to Cristiano Ronaldo's cut-back.

Buat peminat Chelsea, Liverpool dan Arsenal, berhati-hatilah. We're back on track!








Wednesday, October 1, 2008

Budaya Salam

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Semasa kecil, kami diasuh agar bersalaman dengan ibu bapa saudara tiap kali berjumpa. Kini, budaya bersalaman dengan Makco, Makngah, Mak Andak, Pak Anjang, Pakcik dan abang sepupu sudah jadi perkara biasa. Malah, aku terapkan nilai ini kepada anak-anak.

Sejak akhir-akhir ini, budaya salam sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita. Pemberian duit raya pun, kadangkala ala kadar sahaja. Asal beri, sudah. Tiada langsung penerapan budaya salam, sedangkan itulah masanya anak-anak kecil ingin mengenali saudara mara yang jarang ditemui.

Budaya salam harus dikukuhkan dalam jiwa anak-anak kita. Meminjam kata-kata arwah ayahku: "Kalau anak-anak tak kenal saudara mara, apabila besar nanti, jadi orang sahajalah... bukan sedarah daging."

Tuesday, September 30, 2008

Kesesakan Teruk Di Darul Iman.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Terengganu Darul Iman, negeri cantik, budaya menarik. Memang tidak kunafikan, negeri ini mempunyai pantai yang panjang, mengahadap Laut China Selatan. Bersyukur kepada Allah kerana nikmat yang diberi.

Pengalaman menyambut hari raya di sini, membuktikan beberapa perkara:
1. Kuasa beli rakyatnya tinggi. Pergilah ke mana-mana menjelang hari lebaran, pasti sesak dengan orang ramai. Pekan Batu Enam, Pasar raya Mydin, Giant, malah di Bandar Raya Kuala Terengganu, penuh sesak dengan manusia dan kenderaan pelbagai rupa. Semuanya dengan tujuan yang sama; membuat persiapan menyambut hari kemenangan ini.

2. Sistem jalan raya di kawasan bandar, khususnya di laluan bulatan di Batu Enam, sering sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu. Entah dari mana datangnya, hampir semuanya tersengguk-sengguk melayan kesesakan yang memuncak. Begitulah juga dengan Jalan Sultan Ismail, Jalan Banggol, Jalan Sultan Zainal
Abidin, Jambatan Sultan Mahmud yang sesak teruk! Sistem jalan yang ada sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan pada perayaan. Lebih-lebih lagi sehari dua sebelum aidilfitri.

Itulah sebabnya aku dan isteri mengambil keputusan bermotosikal untuk membeli keperluan akhir sebelum aidilfitri.
Dapatlah juga aku mengelakkan kesesasakan yang bertali arus. Dengan kenderaan ini, kami lebih cepat tiba ke destinasi. Mudah memarkir kenderaan dan tidak perlu fikirt entang kompaun salah parkir.

Barangkali, hanya ruang letak barang yang terhad sahaja menyebabkan tidak banyak yang dapat kami beli. Bagaimanapun, aku bersyukur tidak terperangkap dalam kesesakan yang teruk seperti ini.


Monday, September 29, 2008

Salam Aidilfitri

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Saya menyusun 10 jari memohon maaf dan khilaf yang telah dilakukan. sama ada dalam hubungan maya atau hubungan fizikal sesama kita.

Hakikatnya, hari raya adalah hari kemenangan bagi umat islam yang telah berpuasa dan menahan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan.

Orang yang paling seronok sebenarnya, ialah kanak-kanak. Selain dapat berbaju baru dan duit raya, sesetengah mereka pulang ke kampung untuk bertemu nenek dan datuk. Sebagai contoh, anak-anakku yang begitu teruja balik kampung dan berjumpa Tokki dan Tok Chek mereka.

Bagi aku, zaman gembira berhari raya sebenarnya sudah berlalu. Kenangan berhari raya dahulu hanya kenangan yang akan kubawa hingga mati.

Apabila menonton iklan raya, kisah tentang bapa dan anak yang berbual, hatiku tersentuh apabila dialog tersebut dibualkan. Antara petikan dialog yang membuat aku tersentuh ialah:

Anak: Siapa ada di kampung, ayah?
Ayah: Dulu ada nenek dan datuk..kini dah tiada.
Anak: Habis, mengapa kita balik?
Ayah:(sebak) Sebab ayah tak pernah balik semasa mereka masih ada.

Moral: Hargailah orang tua, tak kira sama ada ibu bapa kandung atau mertua selagi masih ada.



Sunday, September 28, 2008

Tunduk Kepada Lanun Somalia Akhirnya.

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Lanun bebas kapal MISC(Berita Minggu-28 Sept 2008)

Bunga Melati 5 dilepas selepas bayar RM6.8j

NAIROBI: Lanun di Somalia membebaskan kapal kargo Malaysia milik MISC Berhad (MISC) yang membawa bahan kimia, MT Bunga Melati 5, selepas wang tebusan AS$2 juta (RM6.8 juta) dibayar, lapor agensi berita, semalam.

Berita pembebasan kapal milik Malaysia itu disampaikan pegawai Program Bantuan Kelasi Afrika Timur berpejabat di Mombasa, Andrew Mwangura.

“Wang tebusan itu diberi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di perairan itu,” dakwanya selepas memaklumkan lanun Somalia turut menuntut wang tebusan AS$35 juta (RM119 juta) selepas menawan sebuah kapal Ukraine.


Aku termenung memikirkan situasi yang berlaku kini. Lanun di Somalia 'mengganas' dan menculik kapal kargo berserta anak kapalnya. Kebanyakan mereka yang diculik adalah rakyat negara ini. Simpati aku bertambah-tambah apabila membaca kisah keluarga mereka seperti yang dipaparkan di akhbar.

Membayar wang tebusan seperti yang dipersetujui oleh lanun-lanun keparat itu adalah langkah jangka pendek. Soalnya kini, apakah usaha mengelakkan kejadian serupa ini daripada berulang?

Aku bersetuju TLDM mengiringi kapal Malaysia yang melalui Teluk Aden dan sekitarnya, tapi ia akan menambahkan kos kerajaan. Kos tersebut ditanggung oleh rakyat. Sepatutnya syarikat yang terlibat atau pihak insurans membantu dari segi kos.

Mudah-mudahan, perkara seperti ini tidak berlaku, tapi di sudut hati, aku harap Pasukan Khas Angkatan Laut (PASKAL) yang terbukti setanding dengan SEAL U.S akan membanteras lanun-lanun keparat tersebut.

Batu Rakit, 28 September 2008

Friday, September 26, 2008

Berbuka Puasa Di Rumah Pusaka

.
Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada petang ini, kami adik beradik yang tinggal sekitar Manjung, dapat bersama-sama bertahlil dan berbuka puasa di rumah pusaka ayah. Setelah membuat sedikit tinjauan di sekitar rumah, aku dapati rumah ini semakin uzur.

Pun begitu, masih ada tulisan-tulisan arwah ayah yang jelas kelihatan di sana sini:

"Sembahyang di masjid baru (DSK).." tercatat di dinding stor belakang rumah.

Tarikh Oun beli Waja dan kelahiran Nabil (anak Oun) juga tercatat di gelegar beranda. Lebih dari itu ialah catatan ayah tentang kematian Atuk Tukang pada 1984.

Selepas berbuka, kami sama-sama solat maghrib berjemaah. Rasanya inilah pertama kali kami berkumpul di Ramadhan ini. Itupun, tidak lengkap dengan Sani dan Oun.

Tak mengapalah, fikirku. Yang penting, kami di sini dapat menggunakan masa yang ada untuk merapatkan kembali ukhwah dan tali persaudaraan yang mula menjauh.
Aku cuba mengutip kenangan-kenangan lampau di rumah ini. Di rumah tengah rumah inilah aku, Sani dan Oun berhimpit-himpit tidur dalam kelambu.
Pernah satu ketika, aku tak dapat tidur kerana ketakutan terbayangkan 'hantu' dalam filem Melayu lama di TV malam tersebut. Tak salah aku, tajuk ceritanya ialah 'Puaka'. Ceritanya menyeramkan untuk budak seperti aku ketika itu. Ayahlah yang menemankan aku hingga aku tertidur di celah pelukannya.

Di ruang tengah itulah aku dan dua adik lelakiku itu bergilir-gilir mengemas tempat tidur. Asal pagi sahaja, sesiapa yang terlewat bangun akan didenda mengemas kelambu dan menyimpan bantal. Aku masih ingat betapa Sani sanggup tidur mengumpan nyamuk pada awal pagi, semata-mata ingin mengelakkan bangkit lewat dalam kelambu.

Aku senyum sendirian mengingatkan kisah lama. Kini, sukar untuk bertemu dengan keluarga yang masih menggunakan kelambu.

Apa yang lebih mengharukan aku petang ini, ialah kesudian Wa untuk memasak sambal tumis ala masakan mak. Dialah yang paling banyak menimba ilmu masakan daripada arwah mak. Hilang juga rindu aku terhadap sambal tumis arwah mak. Masakan Wa pun tak kurang hebatnya. Kalau tak 100%, mungkin 80% menyamai rasa sambal tumis mak dulu.

Sambal tumis mak jugalah yang menyebabkan aku menyorok makan di belakang blok asrama. Sebabnya, aku bimbang budak asrama yang lain 'cukai' sambal tumis tersebut. Punyalah bimbang, makan sendirian, tengah gelap pulak tu. (malam..)

Semasa di UPM, seorang rakan sekuliahku, Rashinawati (gadis Kuala Pilah yang kini pensyarah di Seremban) turut memuji sambal tumis arwah mak. Kalaulah tak kerana sebab-sebab tertentu, mungkin aku 'sangkut' juga dengan budak Nogori. Tapi soal jodoh, siapa yang dapat tentukan? Hanya Dia yang berhak menentukan ajal maut rezeki dan pertemuan dalam hidup makhlukNya.

Entah bila lagi aku akan ke DSK, tapi aku berharap agar kenangan di rumah ini takkan hilang daripada ingatan. Di rumah inilah, ayahku, seorang buruh bandaran, membesarkan kami anak-anaknya dengan tulang empat kerat, bertemankan wanita cekal yang bernama Aminah binti Md Husin.

Moralnya ialah, jangan lupa dari mana asal kita. Ingatlah, tanpa orang terdahulu, tidak wujud orang muda hari ini.

Tuesday, September 23, 2008

Menghargai Guru

Kebanyakan 'post' yang kutulis, merupakan kenangan dan memori lama, tetap amat bermakna dalam hidup ini.





Pengalaman bersekolah di Sekolah Menengah Ahmad Boestamam, Sitiawan selama lebih tujuh tahun meninggalkan nostalgia yang bercampur baur. Aku mula melangkah ke SMAB pada tahun 1984, ketika di tingkatan satu, hinggalah di tingkatan 6 atas, pada tahun 1990.





Selama itulah, aku menimba ilmu daripada individu bernama guru. Besarnya jasa mereka memberi ilmu kepadaku. Antaranya, cikgu Mas Hashim, cikgu Hamzah, cikgu Radhi Chia, cikgu Naemah, cikgu Mah Aun Tek (mendiang), cikgu Patrick Fernandez, cikgu Mano, cikgu Yassin, cikgu Khalijah Sirat, cikgu Shubari, cikgu Aminah, cikgu Mior, cikgu Soleha, cikgu Yahya, Mrs. Chan, cikgu Ng, cikgu Hajah Faridah, cikgu Mat (Akhir), cikgu Nawawi, cikgu Zaharah, cikgu Hajah Che Saliha, dan cikgu-cikgu lain yang pernah menabur budi di SMAB dalam tempoh tersebut.





Ada dua peristiwa yang paling kuingati ketika di SMAB yang melibatkan guru-guruku.





Pertama, peristiwa aku 'makan pelempang' cikgu Hussin semasa di tingkatan 3(1986) kekal dalam ingatan. Kelas kami (3A2) terletak tingkat atas berhadapan dengan pejabat sekolah. Hari itu, sudah tertulis agaknya hari malang untukku. Kelas kami tidak terkawal, dan bunyi bisingnya sampai ke pejabat. Ketika itu, tiada guru yang masuk, maka bertambah kacau bilaulah dibuatnya. Kebetulan tempat dudukku berhampiran dengan pintu belakang. Aku sedang merayau melihat rakan ketika cikgu Hussin menghampiri.





Tanpa banyak soal jawab, cikgu Hussin ketika itu Penolong Kanan, telah mencempung leherku lalu mengelek di celah ketiaknya. Dalam tempoh yang pantas, aku pun 'kenyang' makan pelempangnya sebanyak dua kali.





"Pang! Pang..."





Mataku berpinar. Rakan yang lain senyap. Semuanya kembali duduk di tempat masing-masing. Ya Allah, malunya kena tampar.





"Siapa lagi yang nak buat bising?..Ha? begitulah ayat cikgu Hussin kepada kelas kami. Semuanya menikus. Maklum saja, cikgu Hussin memang dikenali dengan 'garang'nya.





Sudah lebih 22 tahun peristiwa itu berlaku. Aku tidak pun berdendam dengan cikgu Hussin. Ketika membeli juadah di bazar Ramadhan di Sitiawan baru-baru ini, aku terserempak dengannya. Tapi kali ini, cikgu Hussin yang kutemui sudah dipanjat usia.





Hari ini, cikgu Hussin adalah Pengarah Pelajaran Negeri Perak. Walaupun ada sedikit bimbang bertemu dengannya, aku gagahkan juga untuk menyapanya. Setelah memberi salam dan berjabat dengannya, aku perkenalkan diri.





"Maafkan saya, cikgu. Hari ini, saya tak panggil 'tuan', sebab cikgu pernah mengajar saya," kataku menyusun ayat.





Dia memandangku dengan senyuman,"Di mana? Ahmad Boestamam ke?"





"Ya, cikgu. Saya pernah makan pelempang cikgu kerana buat bising, " kataku sambil tersengih. Bimbang juga kalau-kalau dia masih garang macam dulu.





"Saya ucap terima kasih, cikgu. Mungkin dengan pelempang itu yang menyebabkan saya berjaya juga jadi manusia pada hari ini." Aku menyambung ayat.





"Oh, ya ke?," dia lalu ketawa kecil. Entah dia ingat atau tidak peristiwa itu, aku tak pasti. Tapi, sepanjang dia berkhidmat di SMAB, bukan setakat aku, ramai lagi yang pernah makan pelempang Pengarah Pelajaran Perak itu.





Walaupun tidak berbual lama dengannya, terasa puas di hatiku, kerana insan ini pernah menjadi guruku di SMAB.





Peristiwa kedua, ketika aku di tingkatan 5 (1988). Puan Hajah Faridah, antara guru yang bersuara nyaring dan kuat suaranya, tidak padan dengan tubuhnya yang kecil.





Satu pagi pada bulan Ramadhan, beberapa rakanku menyusup masuk ke blok asrama puteri. Kami istilahkan ia sebagai aktiviti 'meninja' sebab mereka berpakaian serba hitam dan bertutup kepala, kecuali mata.





Empat rakanku ini masuk ke dormitori perempuan melalui cucur atap dari blok lelaki terus ke dewan makan dan melompat ikut tangga.





Perbuatan menceroboh itu akhirnya diketahui oleh warden, dan semua pelajar lelaki tingkatan 5 dipanggil ke bilik pengetua pada pagi itu.





Walaupun tahu perbuatan itu salah, kami berusaha menyembunyikan identiti 4 orang rakan yang meninja. Kononnya "biar pecah diperut, jangan pecah di mulut".





"Baiklah. Kalau kamu semua tak mahu mengaku, tak mahu beritahu siapa yang masuk ke blok perempuan subuh tadi, saya akan singkirkan kamu dari asrama." kata cikgu Faridah dengan nada tegas, dengan wajahnya yang serius.





Alamak, nak kena buang asrama? Matilah kami. Orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getahnya. Aduhai. SPM dah dekat.Kalau kena buang asrama, malulah. Bukan aku yang punya angkara.





Kami telah buat keputusan yang sukar ketika itu. Antara rakan, dengan maruah diri.





Akhirnya, 4 orang pelajar berkenaan, dibuang asrama setelah maklumat tersebut kami bocorkan secara rahsia. Selamatlah aku dan rakan lain yang tak terlibat.





Mungkin orang lain, ada pengalaman sendiri dengan guru mereka. Banyak lagi coretan tentang guru yang ingin kutulis, tapi cukuplah setakat ini.





Pada Ogos lalu, SMAB mengadakan 'reunion', dan aku berkesempatan bertemu cikgu Hajah Faridah. Dia masih ingat
aku. Apabila bercerita tentang kisah 'meninja', dia ketawa mengingatkan kenangan lalu di SMAB. Moga cikgu Faridah dan suami bahagia ke akhir hayat.

Rakan-rakanku yang pernah 'meninja', ada yang jadi Kastam, polis dan seumpamanya. Begitulah nakalnya pelajar.

Moralnya adalah, berhati-hatilah apabila bertindak. Gunalah akal yang diberi Allah. Ilmu yang diberi oleh guru-guruku amat kuhargai. Terima kasih kepada semua cikgu yang pernah mengajarku.

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...