Friday, September 26, 2008

Berbuka Puasa Di Rumah Pusaka

.
Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada petang ini, kami adik beradik yang tinggal sekitar Manjung, dapat bersama-sama bertahlil dan berbuka puasa di rumah pusaka ayah. Setelah membuat sedikit tinjauan di sekitar rumah, aku dapati rumah ini semakin uzur.

Pun begitu, masih ada tulisan-tulisan arwah ayah yang jelas kelihatan di sana sini:

"Sembahyang di masjid baru (DSK).." tercatat di dinding stor belakang rumah.

Tarikh Oun beli Waja dan kelahiran Nabil (anak Oun) juga tercatat di gelegar beranda. Lebih dari itu ialah catatan ayah tentang kematian Atuk Tukang pada 1984.

Selepas berbuka, kami sama-sama solat maghrib berjemaah. Rasanya inilah pertama kali kami berkumpul di Ramadhan ini. Itupun, tidak lengkap dengan Sani dan Oun.

Tak mengapalah, fikirku. Yang penting, kami di sini dapat menggunakan masa yang ada untuk merapatkan kembali ukhwah dan tali persaudaraan yang mula menjauh.
Aku cuba mengutip kenangan-kenangan lampau di rumah ini. Di rumah tengah rumah inilah aku, Sani dan Oun berhimpit-himpit tidur dalam kelambu.
Pernah satu ketika, aku tak dapat tidur kerana ketakutan terbayangkan 'hantu' dalam filem Melayu lama di TV malam tersebut. Tak salah aku, tajuk ceritanya ialah 'Puaka'. Ceritanya menyeramkan untuk budak seperti aku ketika itu. Ayahlah yang menemankan aku hingga aku tertidur di celah pelukannya.

Di ruang tengah itulah aku dan dua adik lelakiku itu bergilir-gilir mengemas tempat tidur. Asal pagi sahaja, sesiapa yang terlewat bangun akan didenda mengemas kelambu dan menyimpan bantal. Aku masih ingat betapa Sani sanggup tidur mengumpan nyamuk pada awal pagi, semata-mata ingin mengelakkan bangkit lewat dalam kelambu.

Aku senyum sendirian mengingatkan kisah lama. Kini, sukar untuk bertemu dengan keluarga yang masih menggunakan kelambu.

Apa yang lebih mengharukan aku petang ini, ialah kesudian Wa untuk memasak sambal tumis ala masakan mak. Dialah yang paling banyak menimba ilmu masakan daripada arwah mak. Hilang juga rindu aku terhadap sambal tumis arwah mak. Masakan Wa pun tak kurang hebatnya. Kalau tak 100%, mungkin 80% menyamai rasa sambal tumis mak dulu.

Sambal tumis mak jugalah yang menyebabkan aku menyorok makan di belakang blok asrama. Sebabnya, aku bimbang budak asrama yang lain 'cukai' sambal tumis tersebut. Punyalah bimbang, makan sendirian, tengah gelap pulak tu. (malam..)

Semasa di UPM, seorang rakan sekuliahku, Rashinawati (gadis Kuala Pilah yang kini pensyarah di Seremban) turut memuji sambal tumis arwah mak. Kalaulah tak kerana sebab-sebab tertentu, mungkin aku 'sangkut' juga dengan budak Nogori. Tapi soal jodoh, siapa yang dapat tentukan? Hanya Dia yang berhak menentukan ajal maut rezeki dan pertemuan dalam hidup makhlukNya.

Entah bila lagi aku akan ke DSK, tapi aku berharap agar kenangan di rumah ini takkan hilang daripada ingatan. Di rumah inilah, ayahku, seorang buruh bandaran, membesarkan kami anak-anaknya dengan tulang empat kerat, bertemankan wanita cekal yang bernama Aminah binti Md Husin.

Moralnya ialah, jangan lupa dari mana asal kita. Ingatlah, tanpa orang terdahulu, tidak wujud orang muda hari ini.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH..harapan dan impian jadi kenyataan. Moga-moga berterusan menyemarakkan hubungan kekeluargaan yang semakin menjarak. Kekuatan penghubung harus dijalinkan untuk semua agar dapat dilaksanakan demi sesebuah ukhwah.

    >> Cukup menarik jika gambar-gambar adik beradik dapat dipaparkan sementelah semuanya dewasa dan beranak-pinak. Pastinya rakaun taulan dapat menikmati perubahan masa dan raut wajah. Tkasih..

    >> Selamat hari raya aidilfitri - maaf zahir dan batin!

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...