Thursday, April 26, 2018

MISTERI HARGA MINYAK DI NEGARAKU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelik kan? Sudah beberapa minggu apabila harga minyak ditentukan mengikut tempoh mingguan, harganya turun naik, sama ada 2 sen, 4 sen dan seumpamanya. 

Namun begitu, harga minyak sepanjang 4 minggu sejak 4 April lalu 'dikunci' pada harga 2.20 sen/1 liter bagi RON95. Begitu juga dengan RON97 dan diesel yang kekal dengan harga yang sama.

Keadaan ini sangat misteri. Mengapa harga tersebut boleh dikunci pada waktu waktu begini?
Ada yang kata ia berpunca daripada pembubaran parlimen, menyebabkan kerajaan sedaya upaya mengekalkan harga tersebut, dan akan menaikkannya selepas mendapat mandat baharu pada PRU14. Jika harganya naik dalam tempoh kempen, pasti ada kesan terhadap sokongan rakyat, dan akhirnya menjejaskan jumlah undi.

Ada sahabat bergurau memberitahu saya, sekarang tiada menteri kabinet menjaga naik turun harga minyak, Itu sebabnya harga minyak stabil. 

Tapi, mungkinkah realitinya harga minyak sudah stabil.
(harap-harapnya tiada kenaikan melambung harga minyak selepas PRU14) 


Tuesday, April 17, 2018

SETAHUN BERLALU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Setahun berlalu, tarikh 17 April mengingatkan saya peristiwa  lalu. (coretannya di sini)

Pada tarikh 17 April 2017,  ketika balik dari kelas, saya dimaklumkan oleh PO, bahawa Unit Naik Pangkat JPN telefon, pengarah nak jumpa esok (18/4). 
Berdebar rasa hati, kerana saya yakin itu bukan panggilan biasa. Saya hubungi cikgu Roslina, Penolong Kanan di SMK Seri Manjung. Dia juga  dimaklumkan perkara yang  sama. Katanya cikgu Sanafiza, Penolong Kanan di SMK Ambrose turut mendapat undangan sama. Menjelang tengah hari, faksimili surat rasmi daripada JPN mengesahkan saya perlu hadir ke perjumpaan khas bersama pengarah di Bilik Seri Budi. 
Hanya Allah yang tahu gementarnya ketika itu. Saya memaklumkan kepada pengetua, dan respons beliau adalah ucapan tahniah, kerana samai masanya saya akan meninggalkan sekolah sekarang. Keesokannya, saya ke Ipoh dengan hati yang berdebar-debar. Sarat di kepala, tentulah ke mana saya akan ditempat dengan jawatan baharu? 

Perjumpaan dengan pengarah keesokannya, mengubah rutin hidup saya, dan kini saya redha dengan ketenteraan Allah. Kini, sudah setahun saya menjadi pengetua di SMK Sungai Bayor, daerah Larut Matang dan Selama. 


😁😁

Wednesday, April 4, 2018

BAHAYA BERITA PALSU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Orang-orang yang mencipta Facebook dan Google mesti pintar. Mereka jutawan, dan syarikat mereka bernilai berbilion dolar, malahan program mereka digunakan oleh berbilion-bilion manusia di seluruh dunia.

     Tetapi semua media sosial ciptaan ledakan teknologi maklumat ini tidak mampu membezakan sumber berita mana yang paling boleh dipercayai, atau sebaliknya. Mungkinkah kita, sebagai individu boleh berperanan sedemikian?

     Pihak Facebook sebelum ini berusaha meminta penggunanya untuk menentukan ketepatan berita, sebelum dimuatnaik. Tahun lalu, Facebook melancarkan satu ciri yang membolehkan pengguna melabelkan berita berita yang mereka rasa tidak tepat. Eksperimen itu ditutup selepas sembilan bulan, kerana hasilnya tidak meyakinkan.

     Berita palsu, bagaimanapun bukan sahaja ditemui dalam media sosial. Berita di media arus perdana juga adakalanya palsu; iaitu, pembohongan sebenar yang dibuat daripada sumber yang sah. Hal ini adalah amalan biasa CIA semasa Perang Dingin era 80-an. Agensi itu menulis editorial dan berita berita yang perlu disiarkan oleh media Amerika tanpa sebarang penunjuk CIA atau pembayaran CIA kepada media tertentu. Ia kemudiannya dipetik dan disisarkan oelh media tempatan dan ditokok tambah sehingga menjadi berita seakan benar. 

   Cerita di Hollywood juga tidak kurang hebat dalam pembohongannya. Contohnya, John Rambo, kisah veteran perang Vietnam yang serba hebat. Begitu juga filem 'True Lies' menggambarkan watak perisik yang memerangi pengganas Islam. 

       Pembohongan paling tragik tentulah "Senjata pemusnah besar-besaran" Iraq pada tahun 2003, yang kini disahkan "berita palsu", tetapi nasi sudah menjadi bubur, Saddam Hussein sudah pun menjadi mangsa kepada berita palsu tersebut, dan Iraq kini masih lagi tidak aman sepenuhnya.

    Masalah utama dengan media hari ini, adalah olahan berita palsu sehingga mengundang kontroversi. 

     Lihat sahaja kes Muammar Gaddafi. Pada kaca mata media Barat beliau selalu disebut sebagai "diktator Libya". Namun begitu, Gaddafi juga melakukan banyak perkara yang mengagumkan untuk rakyat Libya (seperti taraf tertinggi di Afrika) dan untuk benua Afrika (seperti mewujudkan Kesatuan Afrika).

    Dalam kes Vladimir Putin, media Barat tidak mengingatkan para pembaca bahawa Putin pernah menjadi Kolonel KTT KGB. Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg kini berkata, "Kami memutuskan bahawa mempunyai masyarakat menentukan sumber mana yang dipercayai secara luas akan menjadi paling objektif"; 

     Apabila kerajaan Malaysia mengubal undang undang Anti Berita Palsu, tentulah saya juga bersetuju, kerana kesan daripada tularnya berita palsu ini boleh menjejaskan kedaulatan dan keamanan negara. Namun begitu, perlu ada definisi jelas apa yang dimaksudkan dengan berita palsu, kerana saya bimbang ia menjadi satu alasan menutup kelemahan pihak tertentu yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.   

Thursday, March 29, 2018

RAHSIA MENGUBAH SAMPAH MENJADI EMAS

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

       Michael Jordan berkulit hitam, lahir pada tahun 1963 di sebuah daerah miskin di Brooklyn New York. Dia mempunyai 4 orang adik beradik manakala ayahnya hanya berpendapatan kecil dan tidak cukup untuk menyara keluarganya.
       Sejak kecil Jordan melalui kehidupan yang miskin dan penuh diskriminasi sehingga dia percaya yang dirinya tidak akan punya masa depan yang baik.
        Ketika berusia 13 tahun, ayahnya datang kepadanya lalu memberikan sehelai pakaian terpakai sambil berkata.
         " Kamu fikir berapakah nilai pakaian ini Jordan?"
Jawab Jordan " mungkin hanya 1 dollar."  Kata ayahnya " bolehkah kamu jual dengan harga 2 dollar. Jika kamu berjaya menjualnya dengan harga 2 dollar bererti kamu telahpun menolong ayah dan ibu."
Jordan menganggukkan kepalanya sambil berkata, " saya akan cuba...tapi belum pasti berjaya "

    Dengan hati-hati, dicucinya pakaian lusuh terpakai itu sehingga bersih. Oleh kerana tidak ada sterika , untuk melicinkan pakaian itu maka dia meratakan pakaian tersebut dengan sikat di atas papan yang rata dan dijemur sampai kering.

    Keesokan harinya dibawa pakaian itu ke stesen bawah tanah yang ramai orang . Setelah menunggu tidak kurang dari 6 jam akhirnya Jordan berjaya memperoleh seorang pembeli dengan harga 2 dollar. Jordan pulang ke rumah dengan gembira memegang wang 2 dollar itu untuk ibubapanya.

    Setelah itu setiap hari Jordan mencari pakaian terpakai, lalu dirapikannya kembali dan dijual di tempat ramai pengunjung.

    Selepas 10 hari berikutnya ayahnya sekali lagi menyerahkan sehelai pakaian terpakai dan berkata, " Cuba kamu fikirkan bagaimanakah cara untuk menjual pakaian ini dengan harga 20 dollar. " Mata ayahnya tampak berkaca-kaca.
      Kata Jordan " bagaimana mungkin ?? Pakaian ini paling tinggi nilainya hanya 2 dollar."
   Namun ayahnya memberi dorongan lagi. " Kenapa tidak mencubanya dahulu?.. pasti ada caranya. "

      Akhirnya Jordan mendapat satu idea. Dia meminta bantuan sepupunya yang belajar melukis untuk melukiskan Donald Duck yang lucu dan Mickey Mouse yang nakal pada pakaian itu. Jordan berusaha menjualnya di sebuah sekolah anak-anak orang kaya.

      Tak lama kemudian seorang pemandu kanak-kanak yang datang untuk mengambil anak majikannya pulang, tertarik  dengan pakaian itu untuk diberikan kepada anak kecil tuannya itu. Kanak-kanak itu pula sangat suka dengan pakaian itu sehingga memberikan tip 5 dollar. Tentulah 25 dollar jumlah yang cukup tinggi bagi Jordan, ia hampir menyamai sebulan gaji ayahnya.

     Setiba di rumah, ayahnya gembira dengan usaha Jordan, lalu memberikan sehelai pakaian terpakai kepadanya. Dia meminta Jordan menjualnya dengan harga 200 dollar. Mata ayahnya berkaca-kaca.
     Kali ini Jordan menerima pakaian itu tanpa ragu-ragu sedikit pun. Tidak lama selepas itu, kebetulan bintang popular siri ' Charlie Angels' iaitu Farrah Fawcett datang ke New York untuk promosi sebuah filem.
       Setelah selesai acara mempromosi filem,  Jordan menyusup dan mencelah masuk di celah-celah pegawai keselamatan untuk menghampiri Farrah Fawcett dan berjaya meminta tandatangan aktres terkenal itu pada pakaian tersebut.
     Ketika Farrah Fawcett melihat seorang budak  kecil comot meminta tandatangannya, dia dengan senang hati  menurunkan tanda tangannya pada pakaian itu.

      Jordan berteriak-teriak dan menjerit gembira, "Ini pakaian yang ada tanda tangan Farrah Fawcett..hanya 200 dollar....200 dollar sambil melelong pakaian itu. Akhirnya seorang pengurus  membelinya dengan harga  1200 dollar.

    Sekembalinya ke rumah, ayahnya menitiskan air mata terharu berkata sambil berkata, "Tidak terbayang oleh ayah kamu berjaya melakukannya. Anakku...kamu sungguh hebat."

    Malam itu Jordan tidur bersama ayahnya dengan kaki bertemu kaki. Ayahnya bertanya " Anakku...dengan pengalaman menjual 3 helai pakaian yang sudah kau lakukan itu, apakah yang mampu kamu pelajari ?"

   Jordan menjawab pertanyaan ayahnya itu dengan terharu " selama kita mahu berfikir menggunakan otak, pasti ada jalannya"  Ayahnya mengangguk kepala dan membalasnya..
     " Apa yang kamu kata itu betul tapi...bukan itu maksud ayah. Ayah  hanya ingin memberitahu kamu bahawa sehelai pakaian terpakai yang nilainya hanya satu dollar boleh juga di tingkatkan nilainya. Apatah lagi kita sebagai manusia yang hidup dan berfikir.? Mungkin kita berkulit gelap dan lebih miskin, tapi apa bezanya? Bergantung bagaimana kita meningkatkan potensi yang ada dalam diri kita masing-masing. "

     Seketika dalam fikiran Jordan, seakan ada  matahari yang terbit. Bahkan sehelai pakaian terpakai saja  mampu ditingkatkan tarafnya, lalu apakah alasan saya lagi untuk merendahkan diri sendiri?

    Sejak saat itu, Michael Jordan yakin bahawa masa depannya indah  dan penuh harapan. Dia lantas mengasah bakatnya sehingga akhirnya dia menjadi salah seorang pemain bola keranjang terhebat dunia dan mejadi  salah seorang atlet terkaya!

#SemogaIniMemberiMotivasi
#KepadaAndaHariIni.

Copypaste Latifah Mohamad

Monday, March 26, 2018

KENDERAAN: DULU DAN SEKARANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

      Kereta, motokar atau dalam bahasa Indonesia, disebut mobil, adalah kenderaan yang paling banyak berada di jalan raya Malaysia hari ini. Dengan anggaran jumlah kenderaan di Malaysia meningkat 7% setiap tahun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan data pendaftaran kenderaan di Malaysia, yang dikumpul sehingga 30 Jun 2017,  mencatat keseluruhannya 28,181,203 unit kenderaan. Setelah dikira, ini bersamaan dengan 0.88 kenderaan bagi setiap individu di negara ini.

   Jika dibandingkan dengan tahun 2015, jumlahnya dicatatkan sebanyak 26,301,952 buah, dan pada tahun 2010, jumlah kenderaan yang didaftar adalah 20,188,565 buah menjadikan perbezaannya dengan jumlah tahun 2017 adalah 7,992,638 buah.
  Melihat secara lebih terperinci data ini, secara keseluruhannya terdapat 13,288,797 kereta dan 12,933,042 motosikal persendirian yang berdaftar di Malaysia. Ini kemudiannya diikuti 185,035 buah kenderaan servis awam (PSV) yang termasuk bas, teksi serta kereta sewa swasta, 1,205,744 kenderaan barang dan 568,585 kenderaan jenis lain-lain. (Sumber Paultan.my)

        Senario ini tentunya amat berbeza pada 30 tahun lalu. Pada zaman kanak-kanak saya sekitar awal 80-an, teksi dan bas menjadi pilihan masyarakat. Ketika hendak ke pekan Sitiawan atau Lumut, bas Sitiawan Transport Company (STC) berwarna hijau tua, menjadi pilihan kebanyakan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama. Bas menjadi simbol penyatuan komuniti dan gaya hidup masyarakat ketika itu.

        Kereta? Oh, ia adalah ungkapan untuk kenderaan yang dimiliki oleh orang kaya, atau yang berpendapatan tinggi. 
Waktu itu, jumlah kenderaan masih tidak banyak, dan kereta yang popular adalah kereta Jepun seperti Nissan, Honda dan Toyota. Teksi pula biasanya Mercedez Benz mata belalang, berenjin diesel. Teksinya besar, bunyi enjinnya kasar, asapnya hitam, tanpa penghawa dingin dan tingkapnya sentiasa terbuka, tidak seperti teksi hari ini yang sangat selesa. Jenama Proton hanya diperkenalkan pada 1985, ketika Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammed (Tun) ingin membawa Malaysia keluar daripada kepompong negara pertanian.  
      Menaiki teksi mata belalang sudah menjadi satu rahmat besar buat kanak-kanak kampung seperti saya. Apabila menaiki teksi, kami adik beradik suka menghulur tangan ke luar tingkap, atau membiarkan muka ditampar angin yang menerobos masuk ke tingkap teksi. Rasanya nyaman dan menyeronokkan. Menaiki bas juga satu pengalaman yang menyeronokkan semasa zaman kanak-kanak dahulu. Stesen bas STC terletak di belakang Standard Chartered, sangat sibuk awal 80-an. Ketika saya bersekolah menengah di SMK Ahmad Boestamam, saya berjalan kaki pergi dan pulang ke stesen bas itu yang jaraknya lebih satu km, melalui SRK Gandhi dan pawagam Cathay. 
      Stesen bas yang menjadi pusat transit dahulu,  kini sudah berubah menjadi bangunan rumah kedai. STC telah bangkrap dan operasinya ditutup menjelang awal tahun 2000. Tiada lagi 'radiogram' yang laparkan siling 20 sen, untuk satu lagu. Tiada lagi alunan lagu rock kapak menjadi halwa telinga, sementara menunggu bas. Semuanya tinggal kenangan. Anak anak hari ini, ke sekolah pun dihantar oleh ibu bapa. Kereta sudah menjadi satu keperluan, bukannya simbol kemewahan. Jenama kereta hari ini pun pelbagai, dengan pelbagai bentuk dan aksesori yang memenuhi citarasa pengguna. Pastinya hawa dingin, sistem audio canggih dan kemasan dalam yang cantik menjadi ciri-ciri kereta yang selesa untuk digunakan. 
      Di sebalik pertumbuhan kereta yang semakin menyesakkan jalan, bas awam masih jadi pilihan, dengan sistem pengangkutan awam RAPID MANJUNG  dilancarkan oleh Menteri Besar Perak pada Mac 2018. Adakah ia menandakan sinar baharu buat kenderaan awam di Manjung?  


Sunday, March 18, 2018

HIKAYAT SEBAYUPURI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
(Satira laras bahasa klasik sempena Majlis Persaraan Guru SEBAYU pada 16 Mac 2018)

Singahsana dua panglima SEBAYUPURI

Arakian, maka tersebutlah kisah di sebuah negeri pada zaman antah berantah, Sebayupuri nama diberi. Pemerintahnya Raja Alam Syah Indrapura Noor Izzuddin Ali Hassan. Sebayupuri meraikan majlis persaraaan Panglima Alam Buana Hj Falid dan Panglima Cahaya Pura Hj Mou Yusof, pada tanggal Jumaat 16 Mac 2018.

Adapun Bendahara Orang Kaya-Kaya Haji Malik tidaklah dapat bersama, kerana terpaksa belayar ke negeri bawah angin, Negeri Sembilan namanya. Akan Datuk Paduka Kamarul Baharin juga, telah dahulu menjalankan tugas negara. Hanya Datuk Paduka Orang Kaya-Kaya Bentara, Anuar Ridzi yang dapat serta dalam majlis tersebut adanya, bersama Bangsawan Berempat, Datuk Paduka Lela Ahmad Nizam, Datuk Paduka Lela Radzuan, Toh Puan Bijaya Zainab dan Toh Puan Bijaya Norhaizan. 
Adapun balairong  dan singgahsana sudah dihiasi oleh barisan Serikandi Sebayupuri, Tun 
Mariani Mazenan Mimie, Tun Noor Azreen Mat Sani, Tun Norsalina Saiddin, Tun Illiyana, Tun Fisya Harun, Tun Norfazila Rejab, Tun Zue Ieda dan Tun Tcher Aini Enni Tupperware, dengan indah dan cantik adanya.

Maka majlis perarakan masuk kedua-dua panglima tersebut bermula, dengan gajah putih Vellfire, ditunggang Tun Mariani dan Datuk Paduka Lela Ahmad Nizam, membawa kedua-duanya dengan pasangan masing masing. Adapun paluan kompang dan bunga manggar telah sedia menanti di pekarangan balai hadapan.

Hatta, setelah diumumkan ketibaan kedua-dua panglima oleh Bentara Qiamuddin dan Tun Diran, makan diaraklah mereka itu ke singgahsana yang sudah tersedia. Lalu, sekonyong-konyong tampillah pesilat negara Sebayupuri merafak sembah adat Melayu dahulu. Maka sesudah itu, bermulalah acara ucapan yang dimulakan bagi menyatakan rasa penghargaan Sebayupuri kepada kedua dua panglima yang banyak berjasa menabur ilmu kepada warga rakyat seluruhnya.

Hatta, setelah itu, dipersembahkan tarian dan nyanyian yang lunak bagi menggembirakan kedua-dua panglima. Akan tetaplah dalam ingatan rakyat Sebayupuri, kerana jasa bakti mereka yang begitu lama di bumi bertuah ini, bak pantun Melayu lama:
Bukan senang melerai selasih
Selasih sudah bercampur arang;
Bukan senang bercerai kasih,
Kasih sudah bercampur sayang.

Disesuaikan daripada hikayat asal karya Cikgu Hafisah Harun    

Thursday, March 15, 2018

SYUKUR, KEPUTUSAN SPM 2017 SEBAYU BERTAMBAH BAIK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Apabila menjadi pentadbir, satu daripada kayu ukur untuk menguji keberkesanan kepimpinan pengetua adalah pencapaian bidang akademik. 

Saya teruja, dalam masa yang sama,  bimbang menanti keputusan SPM 2017 yang diumumkan pada 15 Mac 2018. Sudah tentu ia menjadi 'buah sulung' yang menentukan keberkesanan sekolah di bawah pentadbiran saya. Namun begitu, saya bersyukur kerana dibantu oleh barisan penolong kanan dan guru kanan yang berpengalaman serta bersemangat. Tentunya saya  juga sangat berterima kasih  kepada para guru yang bertungkus lumus memastikan pelajar membuat ulangkaji sehingga saat akhir.

Keputusan SPM 2017 akhirnya diumumkan, dan SEBAYU memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) yang jauh lebih baik berbanding GPS 2016. Pada tahun 2017, GPS SEBAYU 5.54, kurang 0.17 berbanding 5.71 pada 2016. Untuk rekod, sebelum saya datang ke sini, SEBAYU mempertahankan rekod pencapaian konsisten GPS yang semakin baik sejak 2013. Ini menjadi satu cabaran kepada saya memastikan ia semakin mengecil. Selain itu, empat mata pelajaran mencatatkan keputusan lulus 100%, iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Multimedia. Dalam negeri Perak SEBAYU menduduki tempat ke-148 daripada lebih 230 buah sekolah yang disenaraikan. 


Kami akhirnya memecahkan kebuntuan pelajar cemerlang semua A, apabila Muhamad Huzaifah Ramli, berjaya menempatkan diri dalam kalangan 752 orang pelajar cemerlang semua A di Perak. Ada 10 orang lagi pelajar berjaya mendapat sekurang-kurangnya 5A. Jumlah peratus lulus juga meningkat daripada 83.25% kepada 84.83%.

Dari segi kuantiti, hanya 3 orang daripada 178 orang calon yang gagal Bahasa Melayu, manakala 26 orang gagal Sejarah, berbanding 46 orang pada tahun sebelumnya. Dua mata pelajaran ini adalah menanda aras penting lulus atau gagalnya seseorang calon SPM.  Ringkasnya, keputusan SPM kali ini mempamerkan prestasi yang masih membanggakan kami warga pendidik SEBAYU. 

Pencapaian ini menggembirakan para guru. Sebak dan terharu melihat wajah-wajah guru yang ceria menyambut keputusan peperiksaan kali ini. Bagi sebuah sekolah luar bandar, yang masyarakatnya serba sederhana, kejayaan menempatkan diri dalam kelompok sekolah yang mendapat keputusan SPM yang konsisten, tentunya satu inspirasi buat kami. Tanpa asrama, tanpa kumpulan pelajar elit yang cemerlang, SEBAYU masih mampu mengukir kejayaan. Jangan bandingkan kami dengan sekolah bandar, atau sekolah berasrama penuh. Ia satu perbandingan yang tidak adil, kerana faktor pemilihan pelajar, akses kemudahan yang pelbagai dan seumpamanya, tidak memihak kepada sekolah luar bandar seperti SEBAYU.

Buat akhirnya, saya tujukan penghargaan ini kepada barisan penolong kanan, serta guru SEBAYU, kerana anda adalah wira yang tak didendang, tapi haruman jasa baktimu menjadi bekalan pahala di akhirat nanti.

SEBAYU BOLEH! 

PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...