Friday, February 24, 2023

KISAH INSPIRASI YANG BOLEH MENJADI PANDUAN KITA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ada beberapa cerita Inspirasi ‘Kejayaan Memerlukan Masa’ dan inilah kisah-kisah yang kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

1. Ray Kroc, Pengasas McDonald’s masih lagi menjual cawan kertas dan pebagai lagi perkakas dapur pada usianya 52 tahun. McD hanya lahir selepas itu. Terbukti bahawa usia bukanlah penghalang kita. Hari ini Mekdi menyediakan hampir 400,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

2. Mary Kay Ash, Pengasas Mary Kay masih lagi menjual buku dan kelengkapan rumah dari pintu ke pintu sehingga usianya 45 tahun. Sekarang Mary Kay mempunyai revenue sebanyak 5 Biliun USD setahun dengan 5000 orang staff. Daripada pengalaman beliau menjual pintu ke pintu itulah Mary Kay berjaya berkembang sehingga kini dalam industri jualan langsung.

3. Amancio Ortega, Pengasas ZARA menjadi pembantu kedai baju sehingga umurnya 30 tahun. Beliau cukup merendah diri dan tidak suka dikenali orang. Pada tahun 2001 beliau terpaksa muncul di khalayak ramai apabila saham ZARA mahu diapungkan buat pertama kali. Pada tahun 2012 beliau menyumbang 20 Juta Euro untuk ‘charity’ sahaja.

4. Vincent Tan, Pengasas Berjaya Group masih lagi merupakan seorang kerani bank ketika usianya menjangkau 30an. Hari ini beliau memiliki lebih daripada 30 portfolio jenama perniagaan seperti 7 Eleven, Starbucks Malaysia, Mazda Malaysia, Borders Malaysia dan banyak lagi. Hari ini beliau banyak meibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan selepas menyerahkan banyak tugas kepada anaknya.

5. Chairul Tanjung, Pengasas CT Group Indonesia yang memiliki lebih daripada 10 cabang perniagaan pernah bermula sebagai tukang fotostat nota pelajar sahaja. Pada hari ini beliau memiliki Bank dan pelbagai gedung besar di Indonesia. Trans TV, Trans Studio dan pelbagai lagi jenama terkenal adalah bisnes milik beliau.

6. Sirivat Voravetvuthikun, seorang taikun hartanah di Thailand pernah menjual sandwich di tepi jalan pada usianya 55 tahun selepas jatuh bankrap akibat impak kegawatan ekonomi pada tahun 1997. Sekarang beliau kembali jadi jutawan dengan perusahaan Sandwich di tepi jalan tadi.

7. Yusoff Ali, Pengasas Lulu Supermarket masih lagi berkuli dan bekerja sehingga usia beliau 35 tahun. Pada usianya 18 tahun, beliau berhijrah ke Abu Dhabi untuk bekerja dengan bapa saudaranya. Kini pada usianya 63 tahun, Yusoff merupakan antara orang paling kaya di Dubai dengan Networth mencecah 5 Biliun USD dengan jaringan perniagaan ‘kedai runcit’ LuLu.

Kejayaan memerlukan masa. Teruskan saja usaha kita sampai berjaya.

Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan ucapkan Happy New Year.
Malaysia 🇲🇾

Wednesday, February 8, 2023

TERRENCE TAN, TAK NAMPAK DUNIA TAPI TERANG MATA HATI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Bersama murid prasekolah

Pemergian mak sejak 2005 tetap dirindui


Pada 8 Februari 2023, saya berpeluang ke Sekolah Rendah Sungai Wangi bertemu sahabat saya Tajul Azmir bin Mustapha, yang dilantik sebagai guru besar di sekolah tersebut. Kebetulan ketika sampai di situ, PPKI (pendidikan khas) mengadakan majlis akhir tahun untuk murid-muridnya. 

PPKI SKSW menawarkan program masalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran. Ia satu-satunya sekolah di Manjung yang menawarkan tempat untuk murid yang ada masalah pendengaran dan penglihatan selain masalah pembelajaran. Selain itu sekolah ini juga menawarkan pendidikan prasekolah untuk murid 5 dan 6 tahun. 

Saya berkenalan dengan Umar, berusia 7 tahun dan dan kehilangan penglihatan sejak kecil. Aisyah mempunyai masalah rabun tetapi aktif.  

Terrence Tan, berusia 14 tahun akan menyambung pelajaran di sekolah khas cacat penglihatan di Setapak pada sesi akan datang. Dia membaca tulisan Braille dengan laju dan fasih berbahasa kebangsaan. Orangnya sangat santun dan merendah diri dalam perbualan. 

Terima kasih kepada cikgu Tajul dan warga SKSW yang menerima kedatangan saya. Semoga SKSW terus sukses dan berjaya melahirkan generasi yang berkualiti.

Sebenarnya kawasan Sungai Wangi bukanlah kawasan asing bagi saya kerana saya berasal dari Kampung Bharu Lumut yang tidak jauh dari situ. Saya sempat ke jeti Kampung Bharu dan menikmati keindahan panorama indah di situ. Jenazah bonda dan ayahanda saya juga dikebumikan di perkuburan Kampung Bharu. Dalam perjalanan pulang saya singgah di pusara mereka. Terasa seolah olah baru semalam mereka meninggalkan dunia ini walaupun hakikatnya sudah hampir 2o tahun ia berlalu.   
Terrence Tan yang cerah mata hati

Monday, January 30, 2023

HEBATNYA ALLAH MENCIPTA SUKUR IBRAHIM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Saya dan Kapten Nizam (Timbalan YDP PIBG) 
mendengar celoteh Sukur Ibrahim

Sukur Ibrahim bukanlah nama kecil dalam dunia motivasi di Malaysia. Orangnya lahir tanpa fizikal yang lengkap. Dengan ketinggian tidak sampai 1 meter, anak tentera ini membesar tanpa kaki dan tangan sempurna sejak lahir.   

Hari ini nama Sukur Ibrahim mekar mewangi dikenali sebagai individu berhati waja, yang memberikan motivasi di mana mana, dan mengusahakan syarikat pemasangan karpet serata Malaysia.

Saya berpeluang mengikuti sesi motivasi yang disampaikannya di Dewan Sidek, Pangkalan TLDM Lumut sempena program keibubapaan anjuran SMKPTLDM Pada Sabtu 28 Januari 2023. Program tersebut ditaja oleh Yayasan LTAT untuk sekolah dalam kem, dan SMKPTLDM adalah satu-satunya sekolah menengah di daerah Manjung yang menerima peruntukan tersebut.  

Semasa kecil Sukur seorang pemalu dan tiada keyakinan diri, kerana kekurangan dirinya. Malah dia pernah mahu berhenti sekolah kerana tidak tahan dilayan dan dihina oleh rakan rakan sekolah kerana fizikalnya tidak serupa orang lain. 

Sokongan ibu bapanya menjadikan Sukur tidak patah semangat dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah di UKM. Untuk membina keyakinan diri, ia bukan proses mudah dan cepat. Prinsipnya KEJAYAAN DICIPTA OLEH INSAN BIASA YANG BERUSAHA SECARA LUAR BIASA membuktikan sesiapa sahaja boleh mencapai impian asalkan tidak putus asa. 

Semoga sesi motivasi oleh Sukur Ibrahim dapat menyuntik semangat kepada kita semua.


Sesi bergambar dengan Sukur Ibrahim selepas program






Thursday, January 26, 2023

MENANGANI TEKANAN PERASAAN (STRES)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 2018, satu kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap lebih 48,000 orang guru seluruh negara, mendapati 4.4% atau 2123 orang pendidik mengalami stres tahap sederhana tinggi.

Antara faktor tekanan perasaan yang dihadapi oleh guru adalah masalah keluarga, kewangan, bebanan kerja dan kesihatan. 

Tanda tanda stres pada peringkat awal menyebabkan individu kerap lupa dan hilang fokus untuk sesuatu perkara. Perubahan mood secara tiba-tiba daripada gembira kepada sedih, atau sebaliknya. Pesakit akan kerap bersendirian dan mula mengalami halusinasi, bercakap sendirian dan kemurungan. Emosi pesakit juga sensitif dan mudah terasa dengan sindiran atau teguran. 

Kesannya adalah guru berkenaan tidak dapat memberi fokus kepada pekerjaan, dan boleh bertindak di luar jangkaan normal. 

Kesimpulannya, kesihatan mental perlu diuruskan secara baik dan tidak boleh dibiarkan berterusan. 

Monday, January 9, 2023

Pemuda Yang Baharu Melihat Dunia

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya suka membaca atau menonton kisah kisah yang memberikan inspirasi. Sebelum ini, ada beberapa posting saya mengisahkan kisah benar dalam masyarakat dunia yang menarik untuk dikongsikan di sini. 

Kisah inspirasi, biasanya menggambarkan perjalanan hidup seseorang dan memiliki mesej moral yang kuat sehingga mempengaruhi orang lain. Dengan adanya kisah inspirasi, secara tidak langsung pembaca juga menjadi bermotivasi, dan mempengaruhi tindakan mereka  kerana rasa semangat dan percaya diri yang kuat.

Ada satu kisah yang menarik tentang perjalanan dalam sebuah kereta api. Seorang remaja lelaki berusia 20-an melihat keluar dari jendela kereta api berteriak, "Ayah, lihat pokok-pokok di belakang! Ia mengejar kita."

Ayah tersenyum, sambil memintanya bertenang. 

Ada pasangan muda yang duduk berhampirannya, melihat sikap keanak-anakan pemuda tersebut dengan kasihan. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang pemuda tadi dengan pandangan sinis. 

Tiba-tiba dia menjerit lagi, "Ayah, lihat awan berlari bersama kita!" Dia menunjuk-nunjuk ke langit.

Wajah pemuda itu kelihatan sangat ceria dan memandang ke serata alam, sejenak ke atas, sekejap ke hadapan sambil mengomel sendirian. Matanya tidak lepas daripada memandang kecantikan dan keindahan sepanjang laluan kereta api tersebut. 

Pasangan penumpang yang daripada tadi melihat obsesi pemuda itu, beranggapan dia seorang pemuda yang tidak sempurna akalnya. Lalu si lelaki pun memberanikan diri berkata kepada lelaki tua itu, "Maafkan saya, sepatutnya tuan bawa anak tuan ini bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Kasihan, kerana dia seolah olah baharu melihat dunia. Tidakkah anda rasa bersalah membiarkan dia terus menerus obses dengan alam sekeliling?"

"Bayangkan apa terjadi jika dia terus bersikap begini, pasti orang lain pelik dengan sikapnya." Kata lelaki itu lagi.

Lelaki tua tersebut hanya diam dan memandang wajahnya dengan sambil tersenyum.

"Apakah tuan tidak membawanya untuk rawatan sebelum ini?" Dia bertanya lagi. 

Orang tua itu senyum dan berkata dengan perlahan, "Tuan yang budiman, kami baharu saja pulang dari hospital mata." 

Dia menyambung lagi, "Anak saya buta sejak lahir, dan kami menanti selama 20 tahun, kalau kalau ada orang yang sudi menderma mata untuknya. Baru baru ini ada penderma mata yang baik hati mendermakan sepasang mata yang sesuai untuknya."

"Pihak hospital telah berjaya menggantikan matanya yang buta dengan mata penderma tersebut. Hari ini, balutan matanya dibuka dan dia baharu saja mendapatkan penglihatannya hari ini.” Kata lelaki tua tersebut, menyebabkan pasangan penumpang tersebut terkesima dan terdiam. 

Kesimpulannya, setiap manusia, memiliki jalan cerita dalam kehidupan masing - masing. Jangan kita menilai orang sebelum anda benar-benar mengenali mereka. Bersyukurlah dengan nikmat penglihatan yang Allah berikan, kerana ia percuma dan sangat bernilai. 

Tuesday, December 27, 2022

SELAMAT PENGANTIN BAHARU, QATRUNNADA DAN ARRYSYAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 23 Disember 2022 di masjid Al-Khairiah Batu 10, termeterailah ikatan sah ijabkabul Muhammad Aryysyah bin Shamsul Kamal sebagai suami kepada puteri sulung saya Qatrunnada. Agak gementar juga ketika majlis ijabkabul tersebut kerana ia adalah kali pertama saya menjadi  wali. Perasaan saya juga bercampur baur antara gembira, terharu dan sedih.

Gembira kerana puteri sulung dan pilihan hatinya akan disatukan secara sah sebagai suami isteri. Saya juga terharu dengan kehadiran sanak saudara dan jemaah surau serta masjid hadir ke majlis tersebut. Perasaan sedih tidak dapat dinafikan. Selama 24 tahun memeliharanya, apatah lagi kakyong adalah anak sulung yang rapat dengan saya. Mengenang semula detik kelahirannya, kemudian membesar di depan mata dan kini menjadi isteri orang, adalah suatu yang indah dalam hidup. Begitulah Allah menyusun perjalanan hidupnya. 

Pada keesokannya iaitu 24 Disember 2022 majlis meraikan kedua dua mempelai diadakan di Dewan SMK Ahmad Boestamam Sitiawan. Lokasinya dan kemudahannya menyebabkan saya memilih dewan ini. Ramai juga yang hadir ke majlis ini. Awalnya saya bimbang kalau kalau makanan tidak mencukupi namun segalanya mencukupi malah ia dapat ditapau selepas majlis berakhir. Segalanya dipermudahkan. Allahuakbar. Alhamdulillah, syukur.

Terima kasih kepada semua yang menyokong yang hadir yang mendoakan dan membantu menjayakan majlis ini. 
'Aku nikahkan dikau dengan puteriku...'


Kehadiran rakan rakan guru bersama keluarga 

Kami bersama adik bongsu arwah ayah Chu Zaleha


Cikgu Nazri Mat Alim dan isteri datang dari Perlis

 

Monday, December 19, 2022

ARGENTINA MENGESAHKAN PIALA DUNIA 2022 MILIKNYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selama sebulan, bermula 21 November 2022, Qatar menjadi tumpuan seluruh dunia kerana negara teluk tersebut menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak dunia. Qatar telah membelanjakan lebih daripada US200 bilion bagi memastikan kejohanan piala dunia tahun 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Pada peringkat 16 pasukan peringkat kalah mati,   Holland bertemu Amerika Syarikat, Argentina vs Australia, Jepun vs Croatia, Brazil vs Korea Selatan, England vs Senegal, Peranchis vs Poland, Moroco vs Sepanyol dan Portugal vs Switzerland. 

Seterusnya pada peringkat suku akhir 8 pasukan terbaik bertemu dan keputusannya, Argentina mengalahkan Holland, Croatia mengejutkan Brazil, Peranchis menewaskan England dan Morocco membuat kejutan mengalahkan Portugal. 

Pada peringkat separuh akhir Argentina mengalahkan Croatia dan Peranchis mengalahkan Morocco. Crotia dinobatkan di tempat ketiga selepas mengalahkan Morocco. Manakala tengah malam tadi, Argentina mengalahkan Peranchis dalam perlawanan yang cukup dramatik sehingga penentuan sepakan penalti. 

Piala Dunia 2022 juga adalah yang terakhir buat Leonel Messi yang bakal bersara kerana faktor usia. Selain Messi, kejohanan di Qatar juga adalah pentas terakhir buat legenda bola sepak Portugal Christiano Ronaldo, Nueur serta Muller (Jerman), Lewansdowski (Poland) dan Modric (Croatia).

Kejohanan Piala Dunia Qatar meninggalkan kesan yang positif kepada peminat bola sepak dunia dengan menyaksikan kebangkitan Morocco yang menang bergaya ke atas beberapa pasukan gergasi Eropah. Tahniah kepada Qatar yang menganjurkan edisi piala dunia yang hebat.      

LANDAK RAYA: TIKUS BERDURI YANG BERPOTENSI DALAM EKONOMI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Semasa berkunjung di rumah rakan di ...