Friday, December 21, 2018

Ukhuwah Bersama Insan Insan Ini Sangat Saya Hargai

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hj Malik, saya dan Chor Musa

Bersama sebahagian pengetua LMS

Kali pertama saya berkenalan dengan kekanda Hj Abdul Malik Abd Ghani melalui suaranya, dan daripada  situ, saya tahu beliau seorang mesra, banyak pengalaman dan punyai karisma tersendiri. Beliau seorang yang banyak membantu, terutama kita saya masih terkial kial cuba memahami tugas dan persekitaran baharu di Sungai Bayor. 

Saya dan kekanda Musa Aziz mempunyai ukhuwah yang terbina semasa kami di dalam kuliah IAB yang sama di GH. 

Kemudian kami sama sama berkelana di bumi Selama, menyewa rumah dan berkongsi kehidupan' ''bujang sementara' . 

Pengalaman singkat ini amat berharga buat saya. 

Tuesday, December 11, 2018

PERHIMPUNAN BANTAH ICERD BUKTI SOKONGAN ORANG MELAYU MEROSOT?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Suasana perhimpunan aman di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 adalah suatu hari yang bersejarah di Malaysia. Beratus ribu rakyat, khususnya orang Melayu dan Islam berhimpun dalam suasana ukhuwah di jalanan di tengah-tengah Kuala Lumpur sekitar Dataran Merdeka.
Perhimpunan ini awalnya bertujuan membantah cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan.
Namun atas rasa tanggungjawab, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengisytiharkan kerajaan menarik balik keputusan untuk meratifikasi ICERD.

NGO Melayu Islam, PAS dan UMNO, yang merupakan antara tulang belakang perhimpunan ini tetap mengadakan perhimpunan sebagai 'tanda terima kasih dan kesyukuran" atas maklum balas PM.

Daripada perhimpunan tersebut, kita dapat merumuskan beberapa kesimpulan:
Pertama, orang Melayu berasakan keputusan pemimpin-pemimpin kerajaan membuat pelbagai "u-turn" dalam pemerintahan selama tempoh 7 bulan kebelakangan ini merugikan mereka sebagai golongan majoriti. Selain itu, beberapa ikrar dan janji dalam manifesto pilihanraya tidak dikotakan. Rakyat Malaysia sudah menunjukkan bahawa mereka tidak percaya yang Kerajaan dan Perdana Menteri akan mengekalkan keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD. Mungkin kerajaan akan u-turn lagi jika demonstrasi dibatalkan.
Melalui ucapan-ucapan di himpunan tersebut dan reaksi di media sosial, penyokong-penyokong anti-ICERD yang merupakan sebahagian besar anak muda Melayu Malaysia, berasa bahawa ICERD akan menyisihkan mereka dan bukan sebaliknya.
Dalam hal ini, kerajaan telah membuktikan bahawa ia membenarkan perhimpunan secara terbuka, tidak seperti mana kerajaan terdahulu yang menghalang program seperti itu.
Ironinyanya, jika kerajaan meratifikasi ICERD di Malaysia, ia akan menambahkan lagi masalah diskriminasi kaum di Malaysia, malah ICERD dianggap Malayan Union 2.0, oleh sebilangan besar orang Melayu.
Kedua, himpunan besar ini adalah suatu isyarat jelas penolakan daripada rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah kerana tidak menunaikan janji-janji pilihanraya mereka.

Kebanyakan daripada agenda utama PH dalam manifesto pilihanraya mereka tidak ditunaikan, sebaliknya kerajaan membuat u-turn 180 darjah pula berkenaannya selepas mereka menang pilihanraya pada bulan Mei yang lepas.
Mereka (PH) berjanji untuk membatalkan hutang PTPTN yang telah mendorong sebahagian besar daripada orang muda untuk mengundi mereka dalam pilihanraya yang lepas, namun mereka membatalkan janji ini dan sebaliknya mengesyorkan supaya memotong gaji secara paksa untuk membayar hutang PTPTN.

Beberapa komen menteri seperti menuduh polis lambat bertindak dalam kes rusuhan kuil, menyuruh penoreh getah menoreh dalam hujan, cadangan memansuhkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menghiris hati masyarakat. 
Sehingga kini, janji untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 seliter, masih belum dilaksanakan.
Apabila penghapusan cukai kepenggunaan GST 6%, digantikan dengan cukai kepenggunaan SST, ia menambahkan kenaikan kepada 10%.
Rakyat berasa marah, diperbodohkan, tertipu dan perkara ini sulit untuk diterima.
Dalam Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, ia dikatakan bajet terbesar dalam sejarah iaitu RM315 billion dengan peningkatan sebanyak RM30 billion daripada Bajet 2018.
Namun, banyak peruntukan dan bantuan kepada kumpulan bawah 40% dan orang-orang miskin dipotong atau dibatalkan. Kebanyakan daripada rakyat yang terkesan dan berada dalam kumpulan ini adalah orang-orang Melayu.
Untuk memastikan kerajaan terus mendapat sokongan rakyat, kerajaan PH perlu memastikan isu kemampuan tadbir urus yang mapan, dan mengelakkan rakyat memberi persepsi "buat tak serupa janji". Ada menteri dalam kabinet  yang tidak kompeten mentadbir, masih berfikiran pembangkang dan tidak dipercayai, seperti Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan.
Tujuh bulan adalah tempoh yang tidak adil untuk menilai prestasi kerajaan yang masih baharu dan terkejut mendapat mandat memerintah. Bagaimanapun, masa akan terus berlalu, dan pentadbiran negara yang semakin matang dapat menarik semula sokongan rakyat untuk tempoh lima tahun lagi, atau sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-15.

Rakyat sedang memerhati, dan menilai kerajaan yang ada. BN terbukti tumbang apabila rakyat menunjukkan kuasanya. PH harus belajar daripada apa yang berlaku, kerana sejarah boleh berulang kepada mereka yang melupakannya.

Sunday, November 18, 2018

REVOLUSI INDUSTRI 4.0 DAN CABARANNYA TERHADAP INSTITUSI PENDIDIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, kita bercakap tentang Revolusi Industri 4.0. Ia merujuk kepada era automasi dan pertukaran data semasa dalam teknologi pembuatan. Ini termasuklah penguasaan kemahiran  sistem siber, internet dan penyimpanan data maya (cloud).

      Revolusi Industri 4.0 menuntut dunia pendidikan bergerak seiring dengan perubahan semasa yang pantas, kerana jika gagal, kita akan ketinggalan. Bagi memenuhi keperluan individu pelajar, yang merupakan sumber bekalan industri masa hadapan, Corak pengajaran guru, di samping perubahan sukatan pelajaran yang berdaya saing wajar diberikan perhatian oleh KPM. 

          Sesetengah pelajar hari ini tidak belajar banyak kerana mereka suka melakukan sesuatu yang lain, mudah bosan dengan persekitaran bilik darjah kerana minat mereka sama sekali berbeza dengan cara konservatif. Secara umum, terdapat empat kemahiran perlu diterapkan dalam pendidikan abad ke-21:
a.      cara berfikir
b.      cara bekerja
c.      alat kerja
d.      mengaplikasi dalam kehidupan

Institusi pendidikan yang bersedia menghadapi RI 4.0 perlu:
a. mengikuti arus keperluan - sekolah tidak boleh menangani masalah secara bersendirian, sebaliknya menjemput orang lain untuk membantu sebanyak mungkin.

b. mewujudkan rangkaian hubungan yang besar - dengan rakan-rakan guru, komuniti, alumni, NGO dsb

c.  berani mengambil risiko - institusi pendidikan mesti dapat melihat realiti yang lebih besar dalam konteks yang lebih luas
d.      beberapa aktiviti di sekolah perlu dirombak dan dikaji secara kritikal. Contohnya. Mengapa perlu buat sukan & merentas desa awal tahun? Perlukah pembelajaran Geografi sedangkan penggunaan Google Maps mengatasi masalah mengetahui lokasi sesuatu destinasi?

e. Perlukah majlis anugerah akademik semata-mata untuk meraikan pelajar yang sedia pandai? Bagaimana dengan para pelajar lemah yang berjaya mencatat peningkatan, walaupun sedikit?

Para guru perlu tahu menggunakan media baru – media
sosial seperti fb, weechat, instagram, dan sebagainya,
kerana pelanggan (pelajar) hari ini berputar dalam
persekitaran teknologi maklumat.

Para guru harus mempunyai minda pertumbuhan - jika
anda belajar, anda boleh berkembang (semua orang 
mempunyai potensi yang besar dan mereka berkembang 
jika kita berusaha)

Akhir sekali, pentadbir sekolah dan universiti perlu ambil
perhatian lebih lanjut mengenai pelajar dan komuniti dan 
jangan asingkan diri daripada teknologi maklumat jika 
ingin kekal bersaing dalam dunia pendidikan.

Sunday, October 28, 2018

CORETAN FINAL PIALA MALAYSIA 2018

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perak berjaya melangkah ke final Piala Malaysia selepas mengalahkan Sabah dengan agregat 7 - 2, manakala Terengganu menumpaskan juara bertahan JDT  dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Pada jam 9 malam 27 Oktober, saya memilih untuk menonton bersama komuniti Lekir di Pasar Tani Kekal FAMA Lekir, kerana ia menyediakan kemudahan dan skrin yang besar. Saya bawa juga pelajar lelaki asrama untuk merasai detik detik 'ala stadium'  di sana.

Tentunya di hati ada perasaan bercampur baur, kerana saya anak jati Perak, manakala Terengganu adalah negeri kedua saya. Setiap kali cuti, saya sekeluarga pasti balik ke Batu Rakit menziarahi mertua dan ipar duai.

Namun dalam final kali ini, saya memilih Perak sebagai juara dengan ramalan 2 - 0. Ramalan dan ilmu nujum saya, bagaimanapun tak kesampaian, apabila baru 46 saat perlawanan bermula, Terengganu sudah mendapat gol pertama hasil kesilapan pertahanan Perak.

Tamat babak pertama, Terengganu selesa dengan dua gol tanpa balas. Tidak cukup dengan itu, Perak bermain 10 orang kerana pemain import Perak Gilmar telah dibuang padang. Dalam hati saya berkata, sukar untuk Perak bangkit semula. Tapi tak mengapalah, sekadar tengok bola, ia tak menjadikan saya sakit hati melihat keputusannya nanti.

Babak kedua bermula, dengan gol pantas Perak memberi harapan untuk kembali bersaing. Pada penghujung masa kedua, memasuki masa kecederaan, tendangan dramatik Brendan Gan telah menceriakan Stadium Shah Alam dan penyokong Perak. Kedudukan terikat 2-2 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Terengganu sekali lagi mendahului dengan tendangan lencong pemainnya yang menggamatkan kem penyokong Terengganu. Saat itu, saya kira Perak cukup sekadar berpuas hati sebagai Naib Johan. Namun pada minit ke 120, memasuki masa kecederaan, tampanan pemain Terengganu ke gawang sendiri telah menghadiahkan gol penyamaan 3 - 3 untuk Perak mengheret permainan ke tendangan penalti.

Ia sangat dramatik, dan menghiburkan. Seperti yang kita maklum, Perak  memenangi Piala Malaysia kali ini setelah pengakhiran penalti berakhir dengan 4 - 1.

Perlawanan akhir kali ini benar benar satu ulangan pertarungan  klasik yang dramatik, seperti Perak mengalahkan Selangor pada perlawanan final Piala FA dahulu. Namun begitu ada juga kekasaran pemain kedua dua pasukan, dan sikap pengadil yang membuat beberapa keputusan yang kurang bijak juga menambahkan rencah perlawanan akhir ini, diingati sebagai antara yang terkesan di hati peminat bola sepak Bos Gaurus.

KEJOR YOP, KEJOR! 


Thursday, October 25, 2018

TANGISAN KEINSAFAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah menjadi rutin kami sebagai pentadbir, memanggil ibu bapa atau waris pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Ia juga menjadi satu peluang perbincangan antara waris dengan pihak sekolah. Kebiasaannya, pelajar yang terlibat akan berasa cuak, takut dan bimbang dengan kedatangan ibu bapa mereka ke sekolah.

Seorang pelajar yang kerap ponteng sekolah dan sudah menerima dua amaran, dipanggil warisnya datang bertemu saya. Dari jauh, kelibat pasangan suami isteri itu berwajah sugul, mungkin juga malu dengan tindakan anaknya yang menyebabkannya terpaksa hadir berjumpa saya. Jumlah tidak hadir sudah mencecah hampir 40 hari sejak Januari hingga Oktober. Jika dibiarkan, pasti pelajar itu akan dibuang sekolah satu hari nanti.

Saya berbual dengan ibu bapanya, sementara menanti anaknya datang ke pejabat. Kedua-duanya tidak menunjukkan rasa tidak puas hati kepada saya. Ini satu petanda bahawa mereka sedar kesalahan anak mereka, fikir saya.

Apabila anaknya masuk, saya bercakap dan memberi nasihat di hadapan ibu bapanya. Selesai saya 'berkhutbah' saya memintanya membaca ikrar di hadapan ibu bapanya, untuk tidak lagi mengulangi kesalahannya. Selepas itu, saya menyuruhnya bersalam, dan meminta maaf kepada kedua-duanya.

Pada waktu inilah, saya melihat air matanya jatuh. Dia menangis memohon maaf kepada ibu bapanya. Sungguh saya tak menjangkakan pelajar itu akan menumpahkan air matanya, kerana sebelum itu, dia kelihatan begitu ego dengan kesalahannya. 




Monday, October 15, 2018

BERUNTUNGLAH MEREKA YANG BERDAKWAH KE ARAH KEBAIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan agama. Menurut sebahagian ulama, tanpa amar ma’ruf nahi mungkar, syariat agama tidak akan lancar, bahkan para rasul diutus untuk mengajak umatnya kepada kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Tanpanya, kemungkaran akan bermaharajalela, kerosakan akhlak berada  di mana-mana, maksiat akan menjadi kebiasaan, yang akahirnya mengundang kemurkaan Allah.
Allah SWT berfirman:
وَلَقَد بَعَثنَا فِي كُلِّ أُمَّة رَّسُولًا أَنِ ٱعبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَ فَمِنهُم مَّن هَدَى ٱللَّهُ وَمِنهُم مَّن حَقَّت عَلَيهِ ٱلضَّلَٰلَةُ فَسِيرُواْ فِي ٱلأَرضِ فَٱنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلمُكَذِّبِينَ
Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (QS. An-Nahl: 36).
2. Amar ma’ruf nahi mungkar adalah salah satu sifat Rasulullah SAW yang disebutkan pada kitab-kitab terdahulu, sehingga melayakkan kita mencontohi akhlak baginda.
Allah berfirman:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكتُوبًا عِندَهُم فِي ٱلتَّورَىٰةِ وَٱلإِنجِيلِ يَأمُرُهُم بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَىٰهُم عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ ٱلخَبَٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَٱلأَغلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَت عَلَيهِم فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِي أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS. Al-A’raf: 157).
Amar makruf nahi mungkar adalah sifat dan ciri yang paling menonjol dari orang yang beriman, sifat inilah yang membezakan mereka dengan golongan yang lainnya.
Allah berfirman:
وَٱلمُؤمِنُونَ وَٱلمُؤمِنَٰتُ بَعضُهُم أَولِيَاءُ بَعض يَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ ٱللَّهُ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma´ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS. At-Taubah: 71).
Amar makruf nahi mungkar adalah peluang umat Nabi SAW mencari kejayaan akhirat, seperti  firman Allah SWT:
وَلتَكُن مِّنكُم أُمَّة يَدعُونَ إِلَى ٱلخَيرِ وَيَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali-Imran: 104).
Dengan adanya sifat amar makruf nahi mungkar, keamanan akan dapat dizahirkan, kemungkaran dapat dikurangkan dan azab Allah SWT dapat dihindari.

Kisah dalam AlQuran membuktikan azab Allah SWT berlaku kepada Bani Israil dahulu ketika mereka tidak mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Tsunami dan gempa bumi yang berlaku di Palu, Donggola di Sulawesi baru-baru ini adalah ulangan kepada peristiwa lampau yang tidak dijadikan panduan oleh manusia. 
Daripada artikel asal https://www.hisbah.net/pentingnya-amar-maruf-nahi-mungkar-dalam-islam/

Friday, September 21, 2018

SELAMAT TINGGAL SEBAYU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasa sebak bercampur gembira, dapat surat dari Putrajaya,

Arahan pindah dari Selama, pulang ke daerah asal saya.

Selama 1 tahun 5 bulan 21 hari, saya bertugas di sini, ia satu detik yang menjadi kenangan manis dalam hidup saya. 

Saya masih ingat pada 25 APRIL 2017, hari pertama saya berucap di dataran perhimpunan, saya umpamakan sekolah sebagai bahtera, saya nakhodanya, para guru dan AKP adalah anak kapal, manakala muatannya adalah pelajar sekolah ini. Kita belayar bersama, melalui cabaran dan dugaan, untuk sampai ke pelabuhan membawa muatan dengan selamat. 

Pada minggu pertama saya bertugas, para guru dan pelajar SEBAYU sibuk dengan majlis perasmian penutup IPFuntastic MyIPO, yang dijadualkan pada Sabtu 28 APRIL, dan disempurnakan oleh Menteri KPDNKK yang juga ahli parlimen Larut. Berucap di hadapan menteri, bukanlah satu kebiasaan kepada saya ketika itu. Saya rasa sangat gementar, tapi selesai ucapan, Menteri memberikan komen yang baik terhadap ucapan saya. Lega rasanya. 

Selama sebulan saya dapat mengingati nama guru dan staf SEBAYU, dan a bukan satu yang mudah. Adakalanya saya tertukar nama antara Zuraida, Zuhaida dengan Zubaidah, antara Faiza dengan Faizah, antara nama Azrul Nizam, Zarul Azmi dan Ahmad Nizam.

Berada di SMK Sungai Bayor, atau lebih mesra dengan SEBAYU memberi peluang kepada saya menimba pengalaman sebagai pengetua, dan ia bukan tugas mudah. Saya berdepan dengan lebih 800 orang murid, dengan pelbagai karenah, termasuk lebih 70 orang guru, 16 orang Anggota Kumpulan Pelaksana, 10 orang pekerja pembersihan swasta, 4 orang pengawal keselamatan, pekerja kantin dan sebagainya.

Semua Penolong Kanan SEBAYU adalah mereka yang lebih banyak pengalaman dan lebih berusia daripada saya. Namun begitu, Allah berikan saya nikmat berada di sebuah sekolah yang warga gurunya boleh bekerja bersama sama saya. 

Alhamdulillah, kita buktikan bahawa SEBAYU mampu mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Berjauhan dengan keluarga menjadikan saya lebih menghargai masa hujung minggu untuk anak dan isteri. Perit jerih berada jauh daripada keluarga dikongsi bersama cikgu Musa Abdul Aziz, rakan sejawat di SMK Datuk Haji Hussein, Selama. Kami tinggal menyewa rumah sewa di Taman Permai, dan pulang menjenguk keluarga setiap petang Jumaat. 
  
Saya harap slogan SEBAYU BOLEH! Dapat dijadikan sebagai satu budaya kepada pelajar SEBAYU. Laungan 3 kali SEBAYU BOLEH dapat menjadi inspirasi kepada pelajar untuk berjaya mencapai impian. Begitu juga dengan Tepuk SEBAYU, yang diperkenalkan semasa perkhemahan kokurikulum Julai lalu. Diharapkan ia dapat diteruskanselepas ini. 

Saya juga berdoa dan berharap SEBAYU terus maju jaya, biar siapapun pengganti saya nanti. Pengetua datang dan pergi, sekolah tetap teguh berdiri demi kelangsungan mendidik anak bangsa di Ulu Selama. Saya doakan Allah merahmati sekolah ini, bersama warga guru dan muridnya dengan keberkatan dan rahmat yang berpanjangan.

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah resam hidup dunia. Sampai masa dan ketika, saya diperlukan di daerah sendiri, namun kenangan di SEBAYU segar di hati.

Saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf kepada barisan penolong kanan, guru dan pelajar serta ibu bapa di kawasan Ulu Selama, andainya ada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Izinkan saya membaca seloka khas untuk Penolong Kanan dan Guru Kanan SEBAYU:

Anwar Ridzi nama diberi, mudah senyum tinggi pekerti
Mudah berbudi dan dihormati, Pengerusi surau Taman Menteri.

Haji Kamarul Baharin, PK HEM kita, kebun sawit luas melata,
Kerap melancong ke Indonesia, songkok tak lekang letak di kepala.

Cikgu Ramly penggerak koperasi, banyak idea dibawa ke sini
Kokurikulum amanah diberi, perkasakan SEBAYU di hati

Ahmad Nizam pandai bergaya, jawatannya Ketua Bidang Bahasa
Tampan rupa bijak berkata, rajin orangnya tak kira masa

Hajah Zainab mengajar Kimia, Taman Permai tempat tinggalnya
Bidang VoTek dialah yang jaga, SEBAYU tempat temu jodohnya.

Cikgu Haizan tauke durian, kekadang dibawanya buah rambutan
Ketua Bidang Kemanusiaan, mudah ketawa, susah nak hentikan.

Haji Radzuan serius orangnya, itulah pandangan kali pertama
Pabila sudah mula bicara, baru tahu, lucu juga orangnya.

Setiap pertemuan ada perpisahan, itulah adat, lumrah kehidupan
Walau pahit untuk ditelan, perjalanan hidup perlu diteruskan

Selagi hayat dikandung badan, amanah dipikul dilaksanakan
Tugas guru sepanjang zaman, menyebar ilmu dimuliakan insan

Akhir sekali,

Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan
Intai pelajar SEBAYU antara nampak, supaya tidak rindu-rinduan























Monday, September 17, 2018

BERAKHIRNYA MUSAFIR SAYA DI SELAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Sejak Ogos 2018, saya sudah menerima perkhabaran, kononnya akan dapat arahan pindah bertugas di Manjung, daerah asal saya. Berita khabar angin itu tersebar, walaupun tiada tanda-tanda rasmi saya akan meninggalkan Selama.

Sudah lebih setahun 5 bulan saya berkelana di bumi Selama,sejak dilantik sebagai pengetua pada 17 April 2017. Tentunya pengalaman di Selama, khususnya di SMK Sungai Bayor, memberi manfaat besar kepada saya. Saya masih ingat hari pertama melapor diri di PPD LMS, bertemu tuan haji Aminuddin Mohd Nor. Ketika itu, saya ditemani Cikgu Musa Abdul Aziz (juga bertugas sebagai pengetua baharu di SMK Datuk Haji Hussein, Selama) dan Cikgu Roslina Othman (pengetua baharu SMK Toh Johan, Trong). Kami diarahkan bertugas 3 tahun dan membuktikan kecemerlangan, sebelum berfikir untuk pulang ke daerah asal. Saya dan cikgu Musa kemudiannya menyewa sebuah rumah di Taman Permai, dan kami berkongsi suka duka hidup berjauhan daripada keluarga sepanjang berkhidmat di LMS.  

Pagi Khamis 13 September 2018, saya berasa ‘tidak sedap badan’. Tubuh rasa letih lesu, dan tidak bersemangat. Selepas pukul 10 pagi, iaitu selepas tamat kelas Sejarah 4K2, saya bercadang untuk ke klinik. Namun begitu, saya dikejutkan dengan panggilan tuan PPD, Haji Aminuddin semasa sedang mengajar, meminta saya bertemu dengannya pukul 2 petang nanti.

“Nanti cikgu datang ke bilik saya, ada perkara saya nak bincang dengan cikgu,” kata-katanya dalam telefon terngiang-ngiang dalam ingatan.
 
Bersama Tuan Haji Aminuddin, di PPD LMS
Hati saya tertanya-tanya, apakah isi perbincangan tuan nanti? Adakah sampai masanya saya kembali ke Manjung? Atau, adakah isu tertentu yang negatif melibatkan sekolah yang gagal saya tangani? Semuanya bermain di kepala saya sepanjang perjalanan ke Taiping sejauh lebih 50 km.

Apabila tiba di PPD, saya diminta menunggu sebentar, kerana tuan PPD ada tetamu. Sebaik sahaja selesai, saya diminta masuk bertemu dengannya, menambahkan debaran hati, apakah maksud pertemuan kali ini. 

Tuan PPD LMS memaklumkan saya perlu kembali ke daerah Manjung atas keperluan perkhidmatan. Di daerah Manjung, ada beberapa sekolah yang ketiadaan pengetua.

"LMS dah mempunyai stok calon pengetua yang mencukupi sekarang. Kami kembalikan pengetua luar ke daerah asal, jika diminta oleh daerah tersebut." Katanya tersenyum, sambil menyerahkan surat JPN, yang menyatakan saya diarah berpindah tempat bertugas ke SMK Batu Sepuluh, Lekir.

Saya juga diminta melapor diri ke PPD Manjung keesokan harinya. Maka, sudah jelaslah segala-galanya. Terungkailah sudah maksud pertemuan kami kali ini. Hati saya bagai ingin melonjak gembira, kerana saya dapat kembali bersatu dengan anak isteri. Namun begitu, ada perasaan sebak di jiwa kerana bakal meninggalkan bumi Ulu Selama yang semakin serasi dengan saya. Memang SEBAYU sangat dekat di hati saya, walaupun tidak lama persinggahan saya ke Ulu Selama. 


SMK Sungai Bayor, tak akan hilang dalam ingatan hidup saya
Kepada cikgu Musa @ Chor dan cikgu Maznah, geng Trio Selama, teruskan perjuangan dan saya iringkan doa agar kedua-duanya juga dapat kembali berkhidmat di daerah sendiri. 

Kepada rakan guru SEBAYU yang baik budi, terima kasih atas segalanya. Semoga ukhuwah kita berkekalan. 



Monday, August 27, 2018

RINDUNYA SUASANA MEKAH 2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Julai 2017, saya dan isteri menerima undangan menjadi tetamu Allah (kisahnya di sini), dengan penerbangan XY16B KLIA -Jeddah pada 2 Ogos 2017. 

Sudah setahun berlalu, kenangan semasa berada di sana menggamit perasaan untuk bertandang lagi. Selepas 5 tahun, andainya ada rezeki, bolehlah jemaah haji yang telah pergi, mendaftar semula. Peraturan ini ditetapkan oleh TH kerana tempoh menunggu kini sudah mencecah 108 tahun. Baru baru ini, kami mendaftarkan haji untuk anak anak yang belum daftar, dan giliran mereka tiba pada musim haji tahun 2126.

Saya ingin kongsikan beberapa foto dan cerita di Mekah, sebagai kenangan dan panduan bersama. 

Pesawat FlyNas  yang disewa oleh TH selamat mendarat
  Semua jemaah Malaysia penerbangan XY16B tidak solat subuh kerana kami perlu mematuhi masa penerbangan dan tiba di KLIA pada masa yang ditetapkan. Kami diarahkan menaiki bas dari Kelana Jaya ke KLIA. Waktu itu, azan subuh sudah berkumandang. Ironinya, kami ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji. Mungkin selepas ini keadaan begitu tidak berlaku lagi, kerana Kompleks TH di KLIA hanya 3 km daripada Lapangan Terbang. 
Arwah Andak Ani (dua dari kanan), meninggal dunia 7 Mei 2018
Ibu saudara saya, Rohani Ahmad berfoto kenangan terakhirnya bersama kami semasa bertemu di Kelana Jaya. Pada Mei 2018, Andak menghembuskan nafas akhirnya selepas berjuang 2 tahun melawan kanser  (kami pun tak tahu penderitaannya)
Saya berkongsi bilik dengan Haji Munshi sepanjang di Mekah
Mungkin ada yang terkejut jika saya katakan, bilik hotel kami di Mekah dikongsi dua orang sebilik. Saya berkongsi dengan Komander Haji Munsi Abdullah, rakan daripada daerah yang sama. Mudah untuk kami bertolak ansur dalam banyak perkara. 

Jemaah haji memang melalui suasana mencabar menentang suhu panas di Arafah, sehingga 38 darjah Celsius. Kebanyakan kami berbaring sambil berzikir, atau melakukakn ibadah sunat lain. Memang benar, untuk masuk syurga Allah, harus melalui cabaran getir. Insya-Allah kesudahannya manis untuk dinikmati. 

Suasana Masjidilharam yang tenang
Masjidilharam, tumpuan jutaan Muslim yang mencari keredhaan Allah, menyediakan suasana damai, dan membolehkan jemaah membuat amalan sunat serta wajib, terutama jika datang awal. Contohnya, jika waktu zohor masuk pada 12.25 tgh, jemaah disarankan datang seawal 9 pagi. Ini membolehkan kita memilih lokasi untuk iktikaf. Tempat kegemaran saya adalah aras tiga, berdepan dengan Kaabah.    

Mengunjungi Mekah sebenarnya satu anugerah. Saya berharap dan berdoa agar dapat mengunjunginya lagi  satu hari nanti. Itulah tekad saya.



Monday, August 13, 2018

SISI KEHIDUPAN DI PONDOK MENGAJI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Dari kiri: Saya, Opah Ramlah dan Makcik Midah
Ketika ke Manong untuk satu majlis peringkat negeri pada Sabtu lalu, saya bertemu dengan dua orang penghuni Pondok Ar-Ridzuan, Manong, iaitu Opah Ramlah dan Makcik Midah. Kebetulan saya melalui jalan tempat mereka menunggu bas. Saya pelawa kedua-duanya untuk ditumpangkan ke pekan Manong. Daripada situlah perkenalan ringkas kami bermula.

Sebenarnya, kedua-duanya bukan orang terbuang. Opah Ramlah merupakan bekas isteri seorang Datuk, manakala makcik Midah mempunyai kehidupan selesa di Beruas. Namun begitu, mereka selesa tinggal di pondok tersebut untuk menuntut ilmu sebagai bekalan selepas meninggalkan dunia ini. Antara kedua-duanya, Opah Ramlah lebih mesra, dan sudah lebih 12 tahun tinggal di pondok tersebut, manakala Makcik Midah sudah 6 tahun menjadi penghuni di situ.

Yuran bulanan termasuk sewa rumah RM80/bulan, tetapi makan minum diuruskan sendiri. Konsepnya sama seperti pondok AlBaraqah yang dikendalikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias di Manjoi. Rutin penghuni pondok di situ adalah menuntut ilmu fardhu ain, fardhu kifayah dan lain lain setiap hari Isnin hingga Jumaat. Sabtu dan Ahad, adalah hari bebas untuk aktiviti individu.

Saya dibawa oleh kedua-dua wanita yang baik hati ini ke rumah sewa mereka di pondok tersebut, selain ditunjukkan kawasan persekitarannya yang tenang dan damai. Di rumah sewa, mereka berkongsi dua orang serumah. Ada dapur disediakan. Peti sejuk dan mesin basuh, radio kecil dan keperluan asas lain adalah hak individu. Ada hampir 100 orang penghuni warga emas di situ, dan 40 orang pelajar tahfiz (lelaki), tinggal di pondok Ar-Ridzuan.

Hari ini, ramai warga emas yang berkemampuan, memilih untuk tinggal di pondok bagi belajar ilmu agama, berbanding tinggal di rumah anak-anak (sekaligus menjadi pengasuh dan penjaga cucu). Ada kalangan mereka bertemu jodoh kali kedua semasa belajar agama di sana. Hakikatnya, mereka memilih menghabiskan sisa hidup dengan cara yang lebih bermanfaat, demi kelangsungan bekalan hari akhirat. 

        

Monday, July 30, 2018

SELIPAR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selipar ini banyak berjasa kepada saya di Mekah tahun lalu
Selipar saya yang asal hilang ketika Kursus Perdana Haji 2017 di Masjid Ridwaniah Kuala Kangsar. Saya membeli selipar baharu seperti dalam foto di atas, di sebuah gerai yang menjual kelengkapan haji semasa kursus tersebut. Di situlah bermulanya kisah 'jodoh' dia dan kaki saya.

Sejak hari itu, ia memulakan khidmatnya kepada saya. Selipar ini juga yang saya gunakan ketika mengerjakan ibadah haji di tanah suci Mekah Ogos- September 2017. Kami menaiki pesawat, turun di bumi Jeddah, menaiki bas ke Mekah, mengerjakan ibadah umrah wajib, umrah sunat dan ziarah ke sekitarnya. Kami juga bersama-sama ke Arafah, Mina dan ke tiga jamrah, selain ke Madinah dan kembali ke tanah air pada 14 September 2017.

Begitulah panjangnya sejarah khidmat selipar ini kepada saya. Ia hanya selipar biasa, tanpa jenama mewah atau hebat, tetapi hingga kini, selipar ini berbakti kepada saya dengan keselesaan yang boleh dibanggakan. 

Hidup kita kepada insan lain, boleh juga diibaratkan seperti selipar. Selagi mana kita, boleh berbakti, laksanakanlah sebaiknya. Selipar hanya terhenti khidmat kepada tuannya apabila putus dan tidak boleh lagi digunakan. Manakala, insan, tidak mampu lagi berkhidmat kepada orang lain sebaik putus nyawa daripada jasadnya. 

Friday, July 27, 2018

MUSIM DURIAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selesai mengutip durian gugur
Selama, daerah utara Perak yang bersempadan dengan negeri Kedah,  memang terkenal sebagai kawasan pengeluaran buah tempatan. Antaranya rambutan, manggis dan durian. Selepas hari raya tahun ini, musim buah nampaknya 'menjadi'. Kawasan lain berdekatan seperti Batu Kurau, Bukit Gantang dan Kuala Kangsar juga menghasilkan buah-buahan yang banyak kali ini. Harganya menjadi kompetitif, dan persaingan tersebut memberikan kelebihan kepada peminat buah. Harga manggis serendah RM2/kilo, manakala durian antara RM4-RM6/kilo, bergantung kepada saiz dan jenis. Khabarnya, durian Musang King pun jatuh harga hingga RM20-RM25/kilo.

Saya berkesempatan menikmati detik mengutip buah durian di dusun seorang sahabat di Kuala Kangsar, baru baru ini. Ia mengingatkan saya detik zaman kanak-kanak, ketika ayah membawa kami ke Teluk Kupiah (tapak kawasan Damai Laut, Swiss Garden, Segari sekarang). Mendengar bunyi buah durian jatuh, menyuluh di bawah pokok durian, mengutipnya, membersihkan daunnya, satu nostalgia yang cukup manis untuk saya kenang. Buah durian yang segar, dikopek dan ulas demi ulas dimasukkan ke mulut.  Alangkah nikmatnya detik ini, tak boleh disamakan dengan membeli durian di tepi jalan. 

Tuesday, July 17, 2018

JETI NELAYAN LEKIR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Foto hiasan
Pada era 80-an, sebelum wujudnya Jalan Sitiawan - Teluk Intan, jeti Lekir (berdekatan Masjid Rahmaniah) adalah kawasan pelabuhan yang cukup sibuk dan meriah. Di situ, ada penambang ke pekan Teluk Anson (Teluk Intan sekarang) yang berulang alik merentasi Sungai Perak. Jalan kecil di situ menghubungkan Pasir Pandak, Sungai Limau, Pasir Panjang Laut hingga ke Kampung Permatang, dan terus ke kampung saya, iaitu Kampung Datuk Seri Kamaruddin.

Hubungan masyarakat sekitar laluan itu pada era tersebut amat rapat, dan bolehlah dikatakan ada hubungan persaudaraan. Hari ini, jeti Lekir sudah menyimpan sejarah kegemilangannya. Tiada lagi hiruk-pikuk dan kebisingan penjual dan pembeli kerana jeti kawasan itu sudah semakin sunyi. 

Perahu dan bot nelayan tempatan masih berlabuh tetapi jumlahnya juga semakin berkurangan. Kebanyakannya nelayan pantai yang mencari rezeki di kawasan perairan sekitar Sungai Perak hingga ke Pulau Sembilan. Kebanyakan mereka sudah dimamah usia, kerana kerjaya nelayan bukan pilihan majoriti anak anak muda yang banyak bekerja di pelabuhan Lumut atau di kilang sekitar Manjung, juga di luar daerah ini.  

Baru-baru ini, saya berpeluang membeli ikan kembung segar di jeti Lekir, dengan harga RM7/kilo. Harganya jauh lebih murah berbanding di pasar Senawi atau pekan Kampung Koh. Ikannya pula segar. Bagi masyarakat sekitar Lekir, jeti ini masih menjadi tumpuan mereka mendapatkan ikan pada harga yang mampu dibayar.

Selagi ada sampan nelayan berlabuh di sini, nyawa jeti Lekir ini tampak masih hidup, biarpun sedikit lesu. Beberapa buah rumah penduduk keturunan Tionghua, kedai kopi dan sepohon pokok jejawi yang besar, menjadi saksi betapa kawasan ini dahulunya sangat sibuk dan menjadi nadi utama masyarakat awal 80-an. Pastinya, sejarah tidak berulang.


Wednesday, July 11, 2018

Alfatihah: Bersemadilah Dengan Aman, Mejar Rahman.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mejar Rahman duduk dua dari kiri, ketika persidangan MPSM Perak Julai 2017

Mesej masuk bertalu talu ketika saya masih di pejabat, memaklumkan bahawa pengetua tempat saya bertugas di Lekir satu ketika dahulu, meninggal dunia. Ia berita yang menyedihkan, kerana saya pernah bertugas di bawah pimpinannya empat bulan sebelum berpindah ke sekolah lain.

Abd Rahman bin Mamat, atau lebih mesra dikenali sebagai Mejar Rahman, akan bersara bulan Oktober ini. Namun begitu, Allah lebih menyayanginya. Lewat petang Ahad, 8 Julai, saya mendapat perkhabaran Mejar Rahman jatuh pengsan ketika menghadiri satu majlis aidilfitri di Teluk Batik. Beliau terus dibawa ke Hospital Seri Manjung dengan ambulans, dan menjelang maghrib, dibawa ke Ipoh untuk rawatan susulan. Sumber keluarganya memaklumkan ada darah beku pada bahagian kepalanya. Mejar Rahman ditempatkan di wad 6B, katil 20, dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Sejak dimasukkan ke hospital, beliau tidak sedar dan koma. Ramai rakan taulan mengunjunginya, memberikan semangat dan harapan untuknya.

Petang ini, jam 3 petang, mesej daripada anaknya memaklumkan ayahnya sudah tiada. Jenazahnya akan dibawa balik ke Seri Manjung untuk disemadikan malam ni.

Moga Allah mengampunimu, merahmati roh dan menjauhkan siksaan kubur buat Mejar Rahman.

Alfatihah.

Allah jua yang kekal.
Allah sebaik baik perancang.  

Thursday, July 5, 2018

LAWATAN KE PUSAT CCSC KEMAHANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 29, 30 Jun dan 1 Julai 2018, Unit HEM SEBAYU mengadakan lawatan ke Kelantan. tujuan utamanya adalah mengunjungi Pusat Pemulihan dan Perkhidmatan Pencegahan Dadah (CCSC) di Felda Kemahang. 

Lawatan disertai oleh 11 orang pelajar NBOS, yang semuanya adalah lelaki. Selain itu, guru dan keluarga seramai 19 orang turut menyertai lawatan tersebut. 

  






Objektif lawatan adalah mendedahkan pelajar dan guru tentang risiko bahaya dadah serta pencegahan yang dilaksanakan oleh CCSC. 

Dalam lawatan tersebut, peserta lawatan diberikan taklimat oleh en. Mahadhir, pegawai AADK bertugas. Kami juga dapat bertemu dan berkongsi pandangan bersama residen CCSC yang rata-rata berusia antara 14 hingga 21 tahun, kesemuanya berbangsa Melayu.

Sesungguhnya lawatan ini memberi makna yang besar kepada kami. Moga ia juga memberi manfaat kepada peserta lawatan dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah penagihan dadah.  

Thursday, June 21, 2018

KENANGAN PIALA DUNIA (WC)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seingat saya, WC86 yang diadakan di Mexico benar-benar menjadi titik tolak demam bola sepak dalam diri saya. Pada waktu itu, saya berusia 15 tahun. Ketika itu juga, ayah sudah membeli sebuah TV  kecil 14 inci untuk keluarga kami. Sebelum itu, pada WC82, saya tak ambil tahu tentang Piala Dunia. Ini kerana usia yang masih kecil, dan kami tiada TV, manakala ayah pula menumpang rumah jiran untuk menonton kejohanan tersebut.

Dalam WC86, Argentina menjadi johan, dan hero kebanggaan negara itu pastinya Maradona. Perlawanan akhir diadakan pada awal pagi, dan saya tertidur sepanjang perlawanan itu. 

Pada WC90, saya sudah meniti usia remaja. Ketika itu, saya 'berperang' menghadapi STPM. WC90 diadakan di Itali, dan Jerman Barat menjuarai kejohanan tersebut. 

Empat tahun selepas itu, WC94, Amerika Syarikat menjadi tuan rumah. Ketika itu saya di tahun 3 UPM, Serdang. Pasukan Brazil menjadi juara. Ironinya, saya mengharapkan Belanda memenanginya, tapi ia tak jadi kenyataan.

Dalam edisi WC98, Peranchis menjadi tuan rumah, sekaligus memenanginya. Ketika itu, saya sudah berumahtangga dan puteri sulung saya dilahirkan dua bulan sebelum kejohanan bermula. Waktu itu juga gerakan Reformasi di tanah air bersemarak dalam kalangan jiwa anak muda ekoran konflik politik melibatkan Anwar Ibrahim. 

Pada edisi berikutnya, WC02 mencipta sejarah apabila diadakan buat kali pertama di benua Asia, dengan Jepun dan Korea menjadi tuan rumah bersama. Brazil memenanginya buat kali ke-4. Waktu itu, saya sibuk dengan tugas sebagai warden asrama, dan kami mendiami rumah warden. Masih saya ingat lagi TV di bilik tayangan asrama jadi tumpuan pelajar asrama pada malam hujung minggu, penuh sorakan dan kebisingan mereka (walaupun Malaysia tak masuk pun..) 

Pada WC06, Jerman menjadi tuan rumah, tapi pemilik trofi Piala Dunia adalah Itali. Waktu itu, keluarga kami sudah memiliki 5 cahaya mata, iaitu Kakyong, Abangah, Yang, Ude dan Adil (Nuha lahir pada September tahun yang sama). Ketika itu, kami sudah pun menduduki rumah sendiri.

Pada edisi WC10, bumi Afrika Selatan menjadi tuan rumah, menyaksikan Sepanyol menjuarainya buat kali pertama, setelah mengalahkan Belanda. (Saya masih mengharapkan Belanda yang menang, tapi itu tak menjadi kenyataan)

Semasa Brazil menjadi tuan rumah WC14, saya mengharapkan Brazil dapat menjuarainya, tapi sebaliknya, Jerman yang merangkul kejuaraan edisi tersebut. Waktu itu, saya sudah agak tua untuk berjaga malam dan bersengkang mata menonton 22 pemain berebut bola.   

Untuk kejohanan edisi 2018, yang diadakan di bumi Rusia, saya sekadar menonton dalam Youtube, kerana kekangan masa dan beban tugas yang makin besar. Saya juga sudah tidak lagi obses dengan kejohanan ini, cukup sekadar mengambil tahu keputusan selepas perlawanan. 

Kejohanan bola sepak Piala Dunia sebenarnya, ada tarikan dan sejarah bagi setiap individu, seperti saya. 

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...