Sunday, November 18, 2018

REVOLUSI INDUSTRI 4.0 DAN CABARANNYA TERHADAP INSTITUSI PENDIDIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, kita bercakap tentang Revolusi Industri 4.0. Ia merujuk kepada era automasi dan pertukaran data semasa dalam teknologi pembuatan. Ini termasuklah penguasaan kemahiran  sistem siber, internet dan penyimpanan data maya (cloud).

      Revolusi Industri 4.0 menuntut dunia pendidikan bergerak seiring dengan perubahan semasa yang pantas, kerana jika gagal, kita akan ketinggalan. Bagi memenuhi keperluan individu pelajar, yang merupakan sumber bekalan industri masa hadapan, Corak pengajaran guru, di samping perubahan sukatan pelajaran yang berdaya saing wajar diberikan perhatian oleh KPM. 

          Sesetengah pelajar hari ini tidak belajar banyak kerana mereka suka melakukan sesuatu yang lain, mudah bosan dengan persekitaran bilik darjah kerana minat mereka sama sekali berbeza dengan cara konservatif. Secara umum, terdapat empat kemahiran perlu diterapkan dalam pendidikan abad ke-21:
a.      cara berfikir
b.      cara bekerja
c.      alat kerja
d.      mengaplikasi dalam kehidupan

Institusi pendidikan yang bersedia menghadapi RI 4.0 perlu:
a. mengikuti arus keperluan - sekolah tidak boleh menangani masalah secara bersendirian, sebaliknya menjemput orang lain untuk membantu sebanyak mungkin.

b. mewujudkan rangkaian hubungan yang besar - dengan rakan-rakan guru, komuniti, alumni, NGO dsb

c.  berani mengambil risiko - institusi pendidikan mesti dapat melihat realiti yang lebih besar dalam konteks yang lebih luas
d.      beberapa aktiviti di sekolah perlu dirombak dan dikaji secara kritikal. Contohnya. Mengapa perlu buat sukan & merentas desa awal tahun? Perlukah pembelajaran Geografi sedangkan penggunaan Google Maps mengatasi masalah mengetahui lokasi sesuatu destinasi?

e. Perlukah majlis anugerah akademik semata-mata untuk meraikan pelajar yang sedia pandai? Bagaimana dengan para pelajar lemah yang berjaya mencatat peningkatan, walaupun sedikit?

Para guru perlu tahu menggunakan media baru – media
sosial seperti fb, weechat, instagram, dan sebagainya,
kerana pelanggan (pelajar) hari ini berputar dalam
persekitaran teknologi maklumat.

Para guru harus mempunyai minda pertumbuhan - jika
anda belajar, anda boleh berkembang (semua orang 
mempunyai potensi yang besar dan mereka berkembang 
jika kita berusaha)

Akhir sekali, pentadbir sekolah dan universiti perlu ambil
perhatian lebih lanjut mengenai pelajar dan komuniti dan 
jangan asingkan diri daripada teknologi maklumat jika 
ingin kekal bersaing dalam dunia pendidikan.

Sunday, October 28, 2018

CORETAN FINAL PIALA MALAYSIA 2018

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Perak berjaya melangkah ke final Piala Malaysia selepas mengalahkan Sabah dengan agregat 7 - 2, manakala Terengganu menumpaskan juara bertahan JDT  dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Pada jam 9 malam 27 Oktober, saya memilih untuk menonton bersama komuniti Lekir di Pasar Tani Kekal FAMA Lekir, kerana ia menyediakan kemudahan dan skrin yang besar. Saya bawa juga pelajar lelaki asrama untuk merasai detik detik 'ala stadium'  di sana.

Tentunya di hati ada perasaan bercampur baur, kerana saya anak jati Perak, manakala Terengganu adalah negeri kedua saya. Setiap kali cuti, saya sekeluarga pasti balik ke Batu Rakit menziarahi mertua dan ipar duai.

Namun dalam final kali ini, saya memilih Perak sebagai juara dengan ramalan 2 - 0. Ramalan dan ilmu nujum saya, bagaimanapun tak kesampaian, apabila baru 46 saat perlawanan bermula, Terengganu sudah mendapat gol pertama hasil kesilapan pertahanan Perak.

Tamat babak pertama, Terengganu selesa dengan dua gol tanpa balas. Tidak cukup dengan itu, Perak bermain 10 orang kerana pemain import Perak Gilmar telah dibuang padang. Dalam hati saya berkata, sukar untuk Perak bangkit semula. Tapi tak mengapalah, sekadar tengok bola, ia tak menjadikan saya sakit hati melihat keputusannya nanti.

Babak kedua bermula, dengan gol pantas Perak memberi harapan untuk kembali bersaing. Pada penghujung masa kedua, memasuki masa kecederaan, tendangan dramatik Brendan Gan telah menceriakan Stadium Shah Alam dan penyokong Perak. Kedudukan terikat 2-2 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Terengganu sekali lagi mendahului dengan tendangan lencong pemainnya yang menggamatkan kem penyokong Terengganu. Saat itu, saya kira Perak cukup sekadar berpuas hati sebagai Naib Johan. Namun pada minit ke 120, memasuki masa kecederaan, tampanan pemain Terengganu ke gawang sendiri telah menghadiahkan gol penyamaan 3 - 3 untuk Perak mengheret permainan ke tendangan penalti.

Ia sangat dramatik, dan menghiburkan. Seperti yang kita maklum, Perak  memenangi Piala Malaysia kali ini setelah pengakhiran penalti berakhir dengan 4 - 1.

Perlawanan akhir kali ini benar benar satu ulangan pertarungan  klasik yang dramatik, seperti Perak mengalahkan Selangor pada perlawanan final Piala FA dahulu. Namun begitu ada juga kekasaran pemain kedua dua pasukan, dan sikap pengadil yang membuat beberapa keputusan yang kurang bijak juga menambahkan rencah perlawanan akhir ini, diingati sebagai antara yang terkesan di hati peminat bola sepak Bos Gaurus.

KEJOR YOP, KEJOR! 


Thursday, October 25, 2018

TANGISAN KEINSAFAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah menjadi rutin kami sebagai pentadbir, memanggil ibu bapa atau waris pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Ia juga menjadi satu peluang perbincangan antara waris dengan pihak sekolah. Kebiasaannya, pelajar yang terlibat akan berasa cuak, takut dan bimbang dengan kedatangan ibu bapa mereka ke sekolah.

Seorang pelajar yang kerap ponteng sekolah dan sudah menerima dua amaran, dipanggil warisnya datang bertemu saya. Dari jauh, kelibat pasangan suami isteri itu berwajah sugul, mungkin juga malu dengan tindakan anaknya yang menyebabkannya terpaksa hadir berjumpa saya. Jumlah tidak hadir sudah mencecah hampir 40 hari sejak Januari hingga Oktober. Jika dibiarkan, pasti pelajar itu akan dibuang sekolah satu hari nanti.

Saya berbual dengan ibu bapanya, sementara menanti anaknya datang ke pejabat. Kedua-duanya tidak menunjukkan rasa tidak puas hati kepada saya. Ini satu petanda bahawa mereka sedar kesalahan anak mereka, fikir saya.

Apabila anaknya masuk, saya bercakap dan memberi nasihat di hadapan ibu bapanya. Selesai saya 'berkhutbah' saya memintanya membaca ikrar di hadapan ibu bapanya, untuk tidak lagi mengulangi kesalahannya. Selepas itu, saya menyuruhnya bersalam, dan meminta maaf kepada kedua-duanya.

Pada waktu inilah, saya melihat air matanya jatuh. Dia menangis memohon maaf kepada ibu bapanya. Sungguh saya tak menjangkakan pelajar itu akan menumpahkan air matanya, kerana sebelum itu, dia kelihatan begitu ego dengan kesalahannya. 




Monday, October 15, 2018

BERUNTUNGLAH MEREKA YANG BERDAKWAH KE ARAH KEBAIKAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar ma’ruf nahi mungkar adalah tuntutan agama. Menurut sebahagian ulama, tanpa amar ma’ruf nahi mungkar, syariat agama tidak akan lancar, bahkan para rasul diutus untuk mengajak umatnya kepada kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Tanpanya, kemungkaran akan bermaharajalela, kerosakan akhlak berada  di mana-mana, maksiat akan menjadi kebiasaan, yang akahirnya mengundang kemurkaan Allah.
Allah SWT berfirman:
وَلَقَد بَعَثنَا فِي كُلِّ أُمَّة رَّسُولًا أَنِ ٱعبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَ فَمِنهُم مَّن هَدَى ٱللَّهُ وَمِنهُم مَّن حَقَّت عَلَيهِ ٱلضَّلَٰلَةُ فَسِيرُواْ فِي ٱلأَرضِ فَٱنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلمُكَذِّبِينَ
“Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (QS. An-Nahl: 36).
2. Amar ma’ruf nahi mungkar adalah salah satu sifat Rasulullah SAW yang disebutkan pada kitab-kitab terdahulu, sehingga melayakkan kita mencontohi akhlak baginda.
Allah berfirman:
ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكتُوبًا عِندَهُم فِي ٱلتَّورَىٰةِ وَٱلإِنجِيلِ يَأمُرُهُم بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَىٰهُم عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيهِمُ ٱلخَبَٰئِثَ وَيَضَعُ عَنهُم إِصرَهُم وَٱلأَغلَٰلَ ٱلَّتِي كَانَت عَلَيهِم فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِي أُنزِلَ مَعَهُۥٓ أُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
“(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS. Al-A’raf: 157).
Amar makruf nahi mungkar adalah sifat dan ciri yang paling menonjol dari orang yang beriman, sifat inilah yang membezakan mereka dengan golongan yang lainnya.
Allah berfirman:
وَٱلمُؤمِنُونَ وَٱلمُؤمِنَٰتُ بَعضُهُم أَولِيَاءُ بَعض يَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰئِكَ سَيَرحَمُهُمُ ٱللَّهُ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma´ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (QS. At-Taubah: 71).
Amar makruf nahi mungkar adalah peluang umat Nabi SAW mencari kejayaan akhirat, seperti  firman Allah SWT:
وَلتَكُن مِّنكُم أُمَّة يَدعُونَ إِلَى ٱلخَيرِ وَيَأمُرُونَ بِٱلمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ ٱلمُنكَرِ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلمُفلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali-Imran: 104).
Dengan adanya sifat amar makruf nahi mungkar, keamanan akan dapat dizahirkan, kemungkaran dapat dikurangkan dan azab Allah SWT dapat dihindari.

Kisah dalam AlQuran membuktikan azab Allah SWT berlaku kepada Bani Israil dahulu ketika mereka tidak mencegah kemungkaran dalam masyarakat. Tsunami dan gempa bumi yang berlaku di Palu, Donggola di Sulawesi baru-baru ini adalah ulangan kepada peristiwa lampau yang tidak dijadikan panduan oleh manusia. 
Daripada artikel asal https://www.hisbah.net/pentingnya-amar-maruf-nahi-mungkar-dalam-islam/

Friday, September 21, 2018

SELAMAT TINGGAL SEBAYU

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasa sebak bercampur gembira, dapat surat dari Putrajaya,

Arahan pindah dari Selama, pulang ke daerah asal saya.

Selama 1 tahun 5 bulan 21 hari, saya bertugas di sini, ia satu detik yang menjadi kenangan manis dalam hidup saya. 

Saya masih ingat pada 25 APRIL 2017, hari pertama saya berucap di dataran perhimpunan, saya umpamakan sekolah sebagai bahtera, saya nakhodanya, para guru dan AKP adalah anak kapal, manakala muatannya adalah pelajar sekolah ini. Kita belayar bersama, melalui cabaran dan dugaan, untuk sampai ke pelabuhan membawa muatan dengan selamat. 

Pada minggu pertama saya bertugas, para guru dan pelajar SEBAYU sibuk dengan majlis perasmian penutup IPFuntastic MyIPO, yang dijadualkan pada Sabtu 28 APRIL, dan disempurnakan oleh Menteri KPDNKK yang juga ahli parlimen Larut. Berucap di hadapan menteri, bukanlah satu kebiasaan kepada saya ketika itu. Saya rasa sangat gementar, tapi selesai ucapan, Menteri memberikan komen yang baik terhadap ucapan saya. Lega rasanya. 

Selama sebulan saya dapat mengingati nama guru dan staf SEBAYU, dan a bukan satu yang mudah. Adakalanya saya tertukar nama antara Zuraida, Zuhaida dengan Zubaidah, antara Faiza dengan Faizah, antara nama Azrul Nizam, Zarul Azmi dan Ahmad Nizam.

Berada di SMK Sungai Bayor, atau lebih mesra dengan SEBAYU memberi peluang kepada saya menimba pengalaman sebagai pengetua, dan ia bukan tugas mudah. Saya berdepan dengan lebih 800 orang murid, dengan pelbagai karenah, termasuk lebih 70 orang guru, 16 orang Anggota Kumpulan Pelaksana, 10 orang pekerja pembersihan swasta, 4 orang pengawal keselamatan, pekerja kantin dan sebagainya.

Semua Penolong Kanan SEBAYU adalah mereka yang lebih banyak pengalaman dan lebih berusia daripada saya. Namun begitu, Allah berikan saya nikmat berada di sebuah sekolah yang warga gurunya boleh bekerja bersama sama saya. 

Alhamdulillah, kita buktikan bahawa SEBAYU mampu mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Berjauhan dengan keluarga menjadikan saya lebih menghargai masa hujung minggu untuk anak dan isteri. Perit jerih berada jauh daripada keluarga dikongsi bersama cikgu Musa Abdul Aziz, rakan sejawat di SMK Datuk Haji Hussein, Selama. Kami tinggal menyewa rumah sewa di Taman Permai, dan pulang menjenguk keluarga setiap petang Jumaat. 
  
Saya harap slogan SEBAYU BOLEH! Dapat dijadikan sebagai satu budaya kepada pelajar SEBAYU. Laungan 3 kali SEBAYU BOLEH dapat menjadi inspirasi kepada pelajar untuk berjaya mencapai impian. Begitu juga dengan Tepuk SEBAYU, yang diperkenalkan semasa perkhemahan kokurikulum Julai lalu. Diharapkan ia dapat diteruskanselepas ini. 

Saya juga berdoa dan berharap SEBAYU terus maju jaya, biar siapapun pengganti saya nanti. Pengetua datang dan pergi, sekolah tetap teguh berdiri demi kelangsungan mendidik anak bangsa di Ulu Selama. Saya doakan Allah merahmati sekolah ini, bersama warga guru dan muridnya dengan keberkatan dan rahmat yang berpanjangan.

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah resam hidup dunia. Sampai masa dan ketika, saya diperlukan di daerah sendiri, namun kenangan di SEBAYU segar di hati.

Saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf kepada barisan penolong kanan, guru dan pelajar serta ibu bapa di kawasan Ulu Selama, andainya ada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Izinkan saya membaca seloka khas untuk Penolong Kanan dan Guru Kanan SEBAYU:

Anwar Ridzi nama diberi, mudah senyum tinggi pekerti
Mudah berbudi dan dihormati, Pengerusi surau Taman Menteri.

Haji Kamarul Baharin, PK HEM kita, kebun sawit luas melata,
Kerap melancong ke Indonesia, songkok tak lekang letak di kepala.

Cikgu Ramly penggerak koperasi, banyak idea dibawa ke sini
Kokurikulum amanah diberi, perkasakan SEBAYU di hati

Ahmad Nizam pandai bergaya, jawatannya Ketua Bidang Bahasa
Tampan rupa bijak berkata, rajin orangnya tak kira masa

Hajah Zainab mengajar Kimia, Taman Permai tempat tinggalnya
Bidang VoTek dialah yang jaga, SEBAYU tempat temu jodohnya.

Cikgu Haizan tauke durian, kekadang dibawanya buah rambutan
Ketua Bidang Kemanusiaan, mudah ketawa, susah nak hentikan.

Haji Radzuan serius orangnya, itulah pandangan kali pertama
Pabila sudah mula bicara, baru tahu, lucu juga orangnya.

Setiap pertemuan ada perpisahan, itulah adat, lumrah kehidupan
Walau pahit untuk ditelan, perjalanan hidup perlu diteruskan

Selagi hayat dikandung badan, amanah dipikul dilaksanakan
Tugas guru sepanjang zaman, menyebar ilmu dimuliakan insan

Akhir sekali,

Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan
Intai pelajar SEBAYU antara nampak, supaya tidak rindu-rinduan























Monday, September 17, 2018

BERAKHIRNYA MUSAFIR SAYA DI SELAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Sejak Ogos 2018, saya sudah menerima perkhabaran, kononnya akan dapat arahan pindah bertugas di Manjung, daerah asal saya. Berita khabar angin itu tersebar, walaupun tiada tanda-tanda rasmi saya akan meninggalkan Selama.

Sudah lebih setahun 5 bulan saya berkelana di bumi Selama,sejak dilantik sebagai pengetua pada 17 April 2017. Tentunya pengalaman di Selama, khususnya di SMK Sungai Bayor, memberi manfaat besar kepada saya. Saya masih ingat hari pertama melapor diri di PPD LMS, bertemu tuan haji Aminuddin Mohd Nor. Ketika itu, saya ditemani Cikgu Musa Abdul Aziz (juga bertugas sebagai pengetua baharu di SMK Datuk Haji Hussein, Selama) dan Cikgu Roslina Othman (pengetua baharu SMK Toh Johan, Trong). Kami diarahkan bertugas 3 tahun dan membuktikan kecemerlangan, sebelum berfikir untuk pulang ke daerah asal. Saya dan cikgu Musa kemudiannya menyewa sebuah rumah di Taman Permai, dan kami berkongsi suka duka hidup berjauhan daripada keluarga sepanjang berkhidmat di LMS.  

Pagi Khamis 13 September 2018, saya berasa ‘tidak sedap badan’. Tubuh rasa letih lesu, dan tidak bersemangat. Selepas pukul 10 pagi, iaitu selepas tamat kelas Sejarah 4K2, saya bercadang untuk ke klinik. Namun begitu, saya dikejutkan dengan panggilan tuan PPD, Haji Aminuddin semasa sedang mengajar, meminta saya bertemu dengannya pukul 2 petang nanti.

“Nanti cikgu datang ke bilik saya, ada perkara saya nak bincang dengan cikgu,” kata-katanya dalam telefon terngiang-ngiang dalam ingatan.
 
Bersama Tuan Haji Aminuddin, di PPD LMS
Hati saya tertanya-tanya, apakah isi perbincangan tuan nanti? Adakah sampai masanya saya kembali ke Manjung? Atau, adakah isu tertentu yang negatif melibatkan sekolah yang gagal saya tangani? Semuanya bermain di kepala saya sepanjang perjalanan ke Taiping sejauh lebih 50 km.

Apabila tiba di PPD, saya diminta menunggu sebentar, kerana tuan PPD ada tetamu. Sebaik sahaja selesai, saya diminta masuk bertemu dengannya, menambahkan debaran hati, apakah maksud pertemuan kali ini. 

Tuan PPD LMS memaklumkan saya perlu kembali ke daerah Manjung atas keperluan perkhidmatan. Di daerah Manjung, ada beberapa sekolah yang ketiadaan pengetua.

"LMS dah mempunyai stok calon pengetua yang mencukupi sekarang. Kami kembalikan pengetua luar ke daerah asal, jika diminta oleh daerah tersebut." Katanya tersenyum, sambil menyerahkan surat JPN, yang menyatakan saya diarah berpindah tempat bertugas ke SMK Batu Sepuluh, Lekir.

Saya juga diminta melapor diri ke PPD Manjung keesokan harinya. Maka, sudah jelaslah segala-galanya. Terungkailah sudah maksud pertemuan kami kali ini. Hati saya bagai ingin melonjak gembira, kerana saya dapat kembali bersatu dengan anak isteri. Namun begitu, ada perasaan sebak di jiwa kerana bakal meninggalkan bumi Ulu Selama yang semakin serasi dengan saya. Memang SEBAYU sangat dekat di hati saya, walaupun tidak lama persinggahan saya ke Ulu Selama. 


SMK Sungai Bayor, tak akan hilang dalam ingatan hidup saya
Kepada cikgu Musa @ Chor dan cikgu Maznah, geng Trio Selama, teruskan perjuangan dan saya iringkan doa agar kedua-duanya juga dapat kembali berkhidmat di daerah sendiri. 

Kepada rakan guru SEBAYU yang baik budi, terima kasih atas segalanya. Semoga ukhuwah kita berkekalan. 



Monday, August 27, 2018

RINDUNYA SUASANA MEKAH 2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Julai 2017, saya dan isteri menerima undangan menjadi tetamu Allah (kisahnya di sini), dengan penerbangan XY16B KLIA -Jeddah pada 2 Ogos 2017. 

Sudah setahun berlalu, kenangan semasa berada di sana menggamit perasaan untuk bertandang lagi. Selepas 5 tahun, andainya ada rezeki, bolehlah jemaah haji yang telah pergi, mendaftar semula. Peraturan ini ditetapkan oleh TH kerana tempoh menunggu kini sudah mencecah 108 tahun. Baru baru ini, kami mendaftarkan haji untuk anak anak yang belum daftar, dan giliran mereka tiba pada musim haji tahun 2126.

Saya ingin kongsikan beberapa foto dan cerita di Mekah, sebagai kenangan dan panduan bersama. 

Pesawat FlyNas  yang disewa oleh TH selamat mendarat
  Semua jemaah Malaysia penerbangan XY16B tidak solat subuh kerana kami perlu mematuhi masa penerbangan dan tiba di KLIA pada masa yang ditetapkan. Kami diarahkan menaiki bas dari Kelana Jaya ke KLIA. Waktu itu, azan subuh sudah berkumandang. Ironinya, kami ke Mekah untuk mengerjakan ibadah haji. Mungkin selepas ini keadaan begitu tidak berlaku lagi, kerana Kompleks TH di KLIA hanya 3 km daripada Lapangan Terbang. 
Arwah Andak Ani (dua dari kanan), meninggal dunia 7 Mei 2018
Ibu saudara saya, Rohani Ahmad berfoto kenangan terakhirnya bersama kami semasa bertemu di Kelana Jaya. Pada Mei 2018, Andak menghembuskan nafas akhirnya selepas berjuang 2 tahun melawan kanser  (kami pun tak tahu penderitaannya)
Saya berkongsi bilik dengan Haji Munshi sepanjang di Mekah
Mungkin ada yang terkejut jika saya katakan, bilik hotel kami di Mekah dikongsi dua orang sebilik. Saya berkongsi dengan Komander Haji Munsi Abdullah, rakan daripada daerah yang sama. Mudah untuk kami bertolak ansur dalam banyak perkara. 

Jemaah haji memang melalui suasana mencabar menentang suhu panas di Arafah, sehingga 38 darjah Celsius. Kebanyakan kami berbaring sambil berzikir, atau melakukakn ibadah sunat lain. Memang benar, untuk masuk syurga Allah, harus melalui cabaran getir. Insya-Allah kesudahannya manis untuk dinikmati. 

Suasana Masjidilharam yang tenang
Masjidilharam, tumpuan jutaan Muslim yang mencari keredhaan Allah, menyediakan suasana damai, dan membolehkan jemaah membuat amalan sunat serta wajib, terutama jika datang awal. Contohnya, jika waktu zohor masuk pada 12.25 tgh, jemaah disarankan datang seawal 9 pagi. Ini membolehkan kita memilih lokasi untuk iktikaf. Tempat kegemaran saya adalah aras tiga, berdepan dengan Kaabah.    

Mengunjungi Mekah sebenarnya satu anugerah. Saya berharap dan berdoa agar dapat mengunjunginya lagi  satu hari nanti. Itulah tekad saya.



PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2025

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Sabah akan melaksanakan pembuangan u...