Monday, September 22, 2008

Teringat Puasa Dulu-dulu


Ramadhan semakin hampir ke penghujung. Entahkan berjumpa lagi dengannya tahun depan, tak siapa tahu. Aku berdoa ini bukan Ramadhan terakhir untukku nikmati.

Insya-Allah, aku, Yong dan Wa berpakat untuk berbuka puasa dan bertarawih bersama di rumah pusaka ayah di DSK 26 September, Jumaat nanti. Sani pun mungkin akan turut serta. Oun sahaja yang tak dapat sertai. Jarak yang jauh membataskannya untuk berkumpul bersama.

Agak jarang aku ke DSK, setelah ketiadaan mak dan ayah. Aku banyak tumpukan masa terhadap rumah sendiri dan melayan ragam anak-anak.

Kali terakhir kujengah rumah ayah adalah pada petang 22 Julai 2008 yang lalu. Begitulah keadaannya, sejak mak dan ayah tiada, memang nak jengah rumah DSK suatu yang sukar dilakukan.

Syukurlah Wa masih di sana. Dia dan Nazmilah yang menjaga rumah itu. Moga Wa dan keluarga di dalam peliharaan Allah hendaknya.

Teringat aku semasa bertemu abang Bok di rumah Kak Shimah semasa kenduri kahwin anak saudaranya. Rumah pusaka arwah Pakya juga sudah ditinggalkan kosong.

"Dah tak ada siapa duduk di rumah tu, Ein,.." kata Abang Bok sambil memangku anak bongsunya yang tertidur di bahu.

"Ngapa pulak? Makcik (mak tiri) abang, kan ada?" tanyaku semula.

"Makcik dah duduk di rumah mak saudara dia. Dia takut tinggal sendirian. Jadi rumah tu, kosonglah." Abang Bok menambah.

Di wajahnya kulihat bagai ada kekesalan. Tapi itulah keadaannya. Abang Bok dah duduk di Ipoh, Asri di Johor, Sukor di Lekir dan abang Yunus di Putrajaya. Semuanya rakan sepermainan semasa kecil dahulu.

Keadaan di DSK pun sudah berubah. Sekolah agama rakyat sekarang adalah tapak asal
surau lama tempat aku mengaji dengan Mak Anjang 'Rolija' (mengikut ejaan Sampoi). Di situ jugalah aku belajar tajwid dan mengenal Quran.

Alhamdulillah, aku dapat mengajar anak-anakku mengaji dengan baik, biarpun mungkin kurang sempurna. Tapi aku yakin ilmu yang kudapat dulu, berjaya membentuk aku jadi manusia yang wujud hari ini.

Syukur padaMu yang memberi nikmat ini.

Di bawah surau lama itu, ada kolah berukuran 3' x 7', yang ada kepala paip di tepinya. Semasa Ramadhan, aku berjalan kaki ke surau,dan memang aku buat 'pit stop' di kolah itu untuk membasuh muka, kononnya. Apa yang sebenarnya berlaku, ketika membasuh muka, aku akan basahkan tekak sama.

Kadang kala aku senyum mengenangkan zaman puasa dahulu. Sekarang aku dapati anak-anakku terutama Afif, Atif dan Aqil suka sangat ke dapur pada bulan Ramadhan ini. Selepas mandi, nampak mereka segar bugar. Di hati aku, terfikir juga, adakah mereka menggunakan 'taktik' aku dahulu?

Arwah ayah suka sungguh beli air tebu semasa berbuka. Mak pula akan masak gulai kari udang, yang memang menjadi kesukaan kami dahulu. Seingat aku, tiada siapa dapat menandingi masakan mak. Kadang kala mak masak sambal tumis ikan bilis. Biasanya ayah bawa balik dari Pangkor. Dengan sambal tumis itu dan nasi tanpa kuah, sudah cukup untuk menyebabkan aku menambah nasi sewaktu berbuka. Syahdunya kenangan bersama mak dan ayah dulu.

Kawasan estet perumahan banglo berdekatan tapak dewan lama merupakan kawasan ladang ubi kayu yang menjadi tempat kami bermain meriam.

Aku teringat arwah Md Amin Bos yang cukup marah dengan geng Daud, Halim, Keri, Kono dan Fendi yang membuat markas meriam tanah di 'hutan' ubi kayu sebelah tapak dewan itu.

"Cilaka punya budak-budak! Bastard!" jerit arwah Md Amin ketika budak-budak kampung yang main meriam semasa malam Ramadhan. Orang sibuk Tarawikh, depa pun sibuk juga.

Kalau pergi bertarawih, kami suka menyahut salawat Nabi dengan suara yang kuat.

"Salah dah, Pak Salehhh!!" kami menyahut seruan bilal semasa tarawih. Rupa-rupanya, salah sebutan itu. Aku, Sani, Oun, Li Katun,Puat (arwah), Man Codin, Fendi dan yang lain-lain 'main bantai' saja.

Kami pernah ketawa sampai nak pecah perut melihat Katik beraya dengan bulu kening yang hangus terbakar sebab disambar wap panas meriam.

Muka Siron pernah mengelembung akibat kena meriam. Tapi tak pernah ada kes hilang jari macam sekarang.

Kalau nak menyambut raya, tempat tumpuan keluarga ayah hanyalah Pekan Khamis di Kg Koh. Itulah masanya kami dapat baju baru. Dengan pendapatan ayah sebagai buruh Majlis Bandaran, apalah sangat yang boleh kami harapkan. Baju pun banyak yang orang beri.

Pernah aku menjual nangka untuk bantu mak cari wang lebih. Mak ternak ayam kampung dan dijual kepada pemborong Cina untuk dapatkan wang dapur. Kuih raya mak buat sendiri, sebab kam tak mampu beli. Lagi pun kuih raya mak lebih sedap.

Bila aku kenangkan semuanya, tak dapat aku bandingkan dengan generasi hari ini. Anak-anak hari ini lebih senang. Jauh bezanya dengan hidup zaman kami semasa kecil.

Di bawah rumah, masih terbayang keletah Oun ketika main korek tanah di situ. Ada beberapa lubang yang masih jelas di bawah rumah, mungkin itu 'bekas' tangan Oun agaknya. Masa itu kami tak tahu rasa geli, kotor dan seumpamanya. Aku pun pernah main kapal korek di situ.

Pelik, kan? Kalau anak-anakku buat begitu, mesti aku larang, walhal kami dulu cukup 'pengotor' sehinggakan main tepi parit, jatuh basikal, main guli, galah panjang, polisentri, aci kejar dan seumpamanya. Semuanya hanya tinggal kenangan dalam hidup ini.

Semasa musim Ramadhan, kami bertiga menyusup ikut belakang rumah, tembus ke depan rumah Opah Leha. Aku dengan gaya 'Rambo' membawa mercun lidi yang digunakan sebagai senjata bazooka, dihala ke arah rumah apek Cina depan rumah Opah Leha. Sani tukang cucuh, Oun tukang bawa mercun dan aku, tukang tembak.

"Zusssssssssshhh..." mercun yang dibidik menggunakan paip besi meluncur masuk ke rumah Cina,menyebabkan mencarut-carut dia anak beranak. Rumah Cina itu pun dah kosong, mungkin anak-anaknya dah bawa diri ke tempat lain.

Sebenarnya, apabila melewati kawasan DSK, aku sendiri rasa bagai orang asing. Entah mengapa, aku rasa DSK bukan kawasan aku.

Aku tiba-tiba diulit rasa sebak, mengenangkan susah senang kami di rumah ini. Aku tak salahkan sesiapa, kerana kini kami masing-masing ada kehidupan sendiri. Memang rumah ini banyak meninggalkan kenangan, dan rasanya tak sanggup aku biarkan ia berlalu begitu saja.

Rumah ini sudah 'melepasi zaman gemilangnya'. Arwah mak dan ayah, pemilik asal rumah ini sudah kembali menghadap Pencipta Yang Kekal Abadi. Tinggallah aku dan adik beradik lain, mewarisi darah mereka di dunia ini untuk meneruskan kehidupan yang entah bila penamatnya.

Kalau pun DSK tak berubah, kitalah yang berubah sebenarnya.

1 comment:

  1. Isu 1:

    Sezaman kita, gemar meneroka apa jua runag yang ingin diteroka hingga kita dapat membentuk peribadi sekarang. Penerokaan itu jua membuatkan kita matang dalam mengenal erti boleh dan tak boleh secara pengalaman langsung. Menarik bukan?

    Isu 2:

    Kita mudah memberikan petunjuk apa yang boleh dan apa yang tak boleh pada anak-anak. Ini seolah-olah kita menutup pintu ruang untuk meneroka alam mereka. Adakah kita mengamalkan kepimpinan terpimpin? Adakah kita menyediakan lorong yang boleh dan lorong yang tidak boleh hinggakan anak-anak kaku dan tidak kreatif? Persoalan yang menarik nih...

    Isu 3:

    Biasanya, manusia yang pergi meninggalkan nama. Nama-nama itulah yang menjadi sebutan dibibir kita. Terutamanya kedua org tua kita yang banyak meninggalkan kesan dalaman yang mampu membuatkan kita mudah tersentuh emosi dan syahdu. Oleh itu berpakat untuk mencari kata sepakat dalam meralisasikan impian seperti dulu harus ada penggeraknya. Tahniah, sdr menjadi penggerak utamanya dalam merapatkan semula silaturahim...

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...