Friday, September 19, 2008

Setiap Insan Ada Kelebihan

Tugas sebagai seorang guru, atau disebut juga pendidik, dan lebih mesra dipanggil 'cikgu' adalah amanah mulia. Sebelum terlibat dalam perguruan, rasanya malu sangat untuk bercakap di depan orang. Entah mengapa aku minat menjadi cikgu, tapi arwah mak pernah berkata, dia bersyukur anak-anaknya ramai jadi guru. Ayah pun bangga anak-anaknya jad guru. Cuma sekarang, aku dapati tak ramai yang menghayati tugas guru.

Tugas mendidik anak bangsa selama ini banyak mempertemukan aku dengan pelbagai ragam manusia yang disebut murid. Sementelah mengajar di sekolah luar bandar, aku banyak berdepan dengan kumpulan manusia yang sesetengahnya agak 'liat' menimba ilmu.

Tugas tetap tugas. Murid yang datang dan pergi, sentiasa membawa ragam masing-masing. Seorang pelajarku Salleh Husin namanya. Tidak terlalu bijak dalam akademik, kerana semasa kecil, dia pernah mengalami demam panas. Kesan daripada itu, pertuturannya agak terganggu terutama kalau berbicara dengan guru. Mungkin ditambah perasaan gementar dalam hati, menyebabkan cakapnya berulang-ulang. Dia tidak pandai, tapi rajin berbual denganku. Aku juga selesa berbual dengannya.

Bulan Ramadhan ini, dia rupanya bertekad hendak berhenti merokok.

"Saya,.. saya,..nak berhenti merokoklah cikgu." katanya ketika bertemu aku pada hari pertama Ramadhan.

"Eloklah Salleh, cikgu sokong." Kataku sambil merenung matanya.

"Tapi,..tapi cikgu,.." Salleh tergagap-gagap menyusun kata.

"Kamu berhenti sajalah Salleh. Tak ada manfaat kamu teruskan merokok." aku memotong cakapnya yang belum habis. Aku memberi beberapa tips dan panduan untuknya berhenti merokok. Memang gejala merokok hari ini semakin menular. Susah nak bertemu remaja lelaki Melayu yang tidak merokok. Jika dibariskan 10 orang remaja lelaki Melayu, aku kira 6 orang pasti tergolong dalam kumpulan penagih tembakau bergulung ini. Entah apa yang sedap tentang tembakau beracun ini, tapi aku sentiasa menyokong muridku yang mahu berhenti merokok.

Salleh, seorang daripada muridku yang bakal berdepan SPM, tidak begitu pantas menulis. Mengeja pun lambat, tapi aku terima ragamnya sebagai asam garam tugas mendidik.

Semalam, aku berjumpa lagi dengannya semasa masuk mengajar di kelas 5EG.

"Dapat berhenti?" aku perlahan bertanya Salleh selepas memberi kerja pada pelajar.

"Hmm, entahlah cikgu... Susah.."

"Memanglah susah, tapi tak mustahil, kan?" Aku mengujinya.

"Puasa hari ini?" Aku bertanya semula.

Sengih. Salleh hanya sengih pada aku. Aku faham, dengan keadaan keluarga yang sederhana, ditambah pula kurang didikan agama, tiada orang kisah dia puasa atau tidak. Mak dan ayahnya tidak tinggal serumah.

Mudah ceritanya, Salleh lahir daripada keluarga yang serba serbinya kurang. Mana mungkin aku berharap sesuatu yang lebih daripadanya.

"Puasa,... saya puasa cikgu." kata Salleh yang masih tersengih.

"Iya ke?.. Boleh percaya ke ni?"

"Hari ni,.. hari ni saya puasa, tapi semalam tak, cikgu."

"Mengapa tak puasa? Kamu dah baligh, wajib puasa." Aku menasihatinya.

"Saya marah dekat tauke ikan.. cikgu. Dia,..dia bagi saya dua puluh ringgit saja. Saya tolak ikan banyak kat dia... Saya.. saya makilah dia..." Salleh melepaskan perasaannya.

"Habis tu?"

"Dah saya maki, batallah puasa,..cikgu."

"Eh, mudahnya kamu buat hukum. Tak batal, tapi kurang pahala puasa." kataku membetulkan tanggapannya.

"Banyak ke dapat ikan?" Aku mengorek cerita. Yang aku tahu, Salleh memang kerap ikut ayahnya menangkap ikan bawal tambak. Mahal bawal tambak. Di sini, sekilo ikan jenis itu mencecah RM45.

"Cikgu nak?" dia bertanya semula.

"Cikgu nak udang, anak-anak cikgu suka udang. Ada?" tanyaku semula. Memang anak-anakku suka udang, terutama kalau udang celup tepung.

"Udang tohe, cikgu nak?" Tanya Salleh.

"Udang besar ke?" Aku meminta kepastian. Setahu aku, udang tohe memang besar, sebesar ibu jari orang dewasa.

Salleh mengangguk.

"Kalau ada, kamu hantar ke rumah cikgu, boleh? Nanti cikgu bayarlah."

"Ok, cikgu. Saya hantar.. saya hantar kalau ada." kata Salleh sambil tersengih lagi.

Itulah Salleh, muridku.

Ramai lagi seperti dia, agak culas belajar tetapi rajin mencari rezeki, membantu keluarga yang rata-rata hidup di bawah paras kemiskinan. Ada bekas muridku yang tak pandai belajar di sekolah, tapi kini jadi penjual ikan, mekanik kereta dan sebagainya. Itu lebih baik dan mulia daripada jadi penjenayah, penagih dadah dan hidup mewah kerana rasuah.

Mengambil contoh Salleh, aku terfikir akan baik buruknya Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Bagi aku, faedah terbanyak hanya diperoleh anak orang bandar, anak orang senang yang memang terdedah dengan bahasa itu.

Budak macam Salleh ramai di luar bandar. Mereka tak dapat faedah daripada PPSMI. Bahasa Melayu pada aku, masih relevan untuk mengajar anak bangsa seperti Salleh. Aku harap kerajaan akan membuat keputusan yang tepat.

Aku tak menolak penggunaan bahasa Inggeris, tapi simpati aku pada golongan yang di luar bandar, menyebabkan aku sendiri beranggapan kita sebenarnya salah membuat keputusan dan dasar. Masih banyak cara meningkatkan kesedaran terhadap bahasa Inggeris. Yang penting, kita jangan hilang jati diri.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...