Wednesday, December 17, 2008

LALUAN KENYIR YANG MENDAMAIKAN

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Maaflah, aku kerap mengabaikan blog sejak akhir-akhir ini, kerana tugas pemeriksaan kertas SPM yang memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Arghh.. rasa nak pecah kepala teman!


Tempoh hari, kami pulang ke Perak melalui Kenyir. Laluan ini bukanlah asing, kerana aku telah menggunakannya beberapa kali. Bermula dengan perjalanan ikut Tepoh, masuk ke arah Sungai Tong hinggalah simpang masuk ke Tasik Kenyir, perjalanan tidak sibuk dan kenderaan boleh dikira.

Laluan ini sebenarnya tidak dibuka secara rasmi, tetapi semakin menjadi pilihan kepada pengguna jalan raya yang memilih alternatif selain Jalan Raya Timur Barat (melalui Grik). Malah, untuk ke destinasiku, ia menjimatkan perjalanan sebanyak 80 km!

Laluan di sini cukup mendamaikan. Tasik Kenyir yang terbentuk daripada sungai yang diempang bagi menjana stesen hidro elektrik menjadi tasik buatan yang besar.Maaflah, foto tak menarik, diambil ketika kereta sedang bergerak

Ia selalunya menjadi tumpuan kaki pancing yang kerap ke Pangkalan Gawi untuk melayan kehendak hati. Bagaimanapun, aku mencadangkan sesiapa yang ingin menggunakannya, eloklah merancang pemanduan pada sebelah siang. Bukan apa, laluan ini masih kekurangan prasarana. Selain itu, ia bukan laluan sibuk seperti di laluan Jeli-Grik. Sangat sunyi...

Inilah Santuari Gajah yang akan menjadi sebahagian daripada tarikan di Kenyir

Melewati jarak 111 km dari Batu Rakit, kami melintasi Santuari Gajah yang sedang dinaik taraf. Mungkin ia akan menjadi satu destinasi popular satu hari nanti. Ia menempatkan beberapa ekor gajah yang ditangkap di serata hutan tebal di Terengganu atau negeri lain. Aku juga dimaklumkan santuari ini seumpama klinik sementara untuk gajah-gajah yang cedera sebelum dilepaskan kembali ke habitat asalnya. Selain itu, ia juga menempatkan beberapa ekor gajah denak yang membantu PERHILITAN untuk memindahkan gajah liar ke hutan simpan.

Berhati-hati, ada cerun runtuh di hadapan!

Ada juga cerun runtuh di laluan ini, tetapi ia telah dibaiki oleh JKR. Sesekali, kami akan berselisih dengan kenderaan lain tetapi jumlahnya tidak banyak. Kalau siang pun dah sunyi, malam, apatah lagi.. Gerun juga aku memikirkan laluan ini pada waktu malam. Sangat sunyi!

Pastikan anda menemui pokok unik ini jika lalu di sini

Pada jarak km 124, kami melintasi pokok unik di cerun bukit. Kedudukannya di tepi jalan, condong ke arah jalan agak menghairankan. Tetapi pada pendapat aku, ia unik sebab pokok ini seperti cendawan yang sangat besar.

Sebelum masuk ke Felda Aring, panorama bertukar menjadi suasana yang menyedihkan, apabila longgokan balak menghiasi kiri kanan jalan. Hutan-hutan telah ditebang untuk digantikan dengan pokok kelapa sawit. Ada sesetengah balak tidak bertanda dengan tag Jabatan Hutan, dan ia tentulah balak haram. Malangnya, di sini, pembalakan seolah-olah tidak dikawal. Melihat bukit yang gondol ditarah, aku rasakan golongan oportunis memang rakus mencari kekayaan dengan meranapkan khazanah bumi yang tidak ternilai. Hutan hujan Khatulistiwa sebenarnya memerlukan masa untuk membentuk kanopi yang menjadi tadahan hujan. Bukan setahun dua, tapi ribuan tahun. Malah, hutan hujan di Malaysia sudah berusia jutaan tahun, menjadi sebahagian daripada paru-paru yang menapis keseimbangan antara Karbon Dioksida dan H2O.

“Patutlah gajah mengamuk,” kataku sendirian.

Mana tidaknya, hutan yang selama ini menjadi ‘rumah’ haiwan seperti harimau, gajah, beruang dan seumpamanya, sudah semakin mengecil. Inilah hakikat yang perlu dihadapi. Manusia dan haiwan berebut tempat untuk survival, dan akhirnya manusialah yang menang. Haiwan akan kalah. Habitat gajah semakin mengecil, menyebabkan ia masuk ke kebun dan merosakkan benih pokok. Harimau juga semakin kehilangan mangsa, sebab rusa liar dan napuh semakin kurang. Mutakhir ini, jumlah harimau dianggarkan antara 250-300 ekor di seluruh Semenanjung!

Pertemuan yang tidak disangka, ialah apabila aku bertemu rakan lama di UPM, yang juga room mate semasa di Kolej Kelima, UPM di Hentian RR Gua Musang. AKu bertemu semula dengan Dr. Khairi, seorang veterinaries yang dalam perjalanan pulang dari rumah mertuanya di Kelantan ke Bangi. Sungguhpun pertemuan ini tidak lama, ia amat bererti buat kami. Hampir 12 tahun lamanya kami tidak bersua, sekadar bertanya khabar melalui emel dan SMS sahaja.

Kami menerima hakikat, bahawa masing-masing sudah punya kehidupan sendiri. Hidup semasa membujang bersama room mateku ini banyak kenangannya. Kami sama-sama berbuka di masjid semasa bulan Ramadhan. Untuk save budget, kami membuat kumpulan makan seramai 5-6 orang dengan kadar RM10/minggu untuk membeli lauk pauk. Kami juga pernah ke Melaka dengan menyewa van bersama Man Boroi, Shakran, Pozi, Wahab dan beberapa orang lagi. Kami pernah masuk ke Dusun Contoh untuk mengutip durian D24 sehingga hampir ditangkap Pak Guard (Aku senyum mengenangkan kisah ini). Kami juga pernah ke Medan, Sumatera bersama Balok, Jagung, Aizah, Nyah, Suhainin, Din Bundel dalam satu Lawatan Sambil Belajar selama seminggu. Alangkah seronoknya waktu itu.

Perjalanan diteruskan melewati Pos Blau, dan menuju ke Cameron Highlands. Laluan ini masih sunyi daripada kenderaan, tetapi tidaklah sehening laluan Kenyir-Gua Musang. Inilah sebahagian daripada kampung orang asli yang serba sederhana.

Perkampungan orang asli terletak di tepi jalan sahaja. Sesetengahnya sudah moden, tidak lagi beratapkan daun rumbia, dengan dinding buluh, tetapi lebih selesa biarpun sederhana. Lebih mengejutkan aku, beberapa rumah sudah pun mempunyai piring ASTRO di atapnya!

Menjelang 5 petang, akhirnya perjalanan sejauh 456 km selamat ditempuh, dan teratakku berada di depan mata. Syukur padaMu yang memberi rahmat sepanjang perjalanan ini.


12 comments:

  1. best a bc penulisan guruh bahasa..

    takde sape boleh lwn dah..

    idola saya nih.huhu

    saujana mata memandang la kalau duk tepi tasik kenyir tu cikgu..

    ReplyDelete
  2. aduh

    corr: guruh. sbnrnya GURU BAHASA.

    hehe

    ReplyDelete
  3. mesti seronok akhirna dapat balik ke rumah lepas sibuk tanda kertas kan

    ReplyDelete
  4. Razor, saya hargai pandangan tuan terhadap tulisan saya. Makaseh. Moga berjaya dalam interbiu.

    ReplyDelete
  5. Iina, begitulah, tapi selagi skrip masih di tangan, amanah harus dipikul dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

    Saya teringin ke Old Trafford, melihat pasukan kesayangan saya beraksi,.. pernah ke sana?

    ReplyDelete
  6. Cikgu tenangkan fikiran dari memeriksa kertas SPM ya?

    ReplyDelete
  7. Iina, begitulah, tapi selagi skrip masih di tangan, amanah harus dipikul dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

    Saya teringin ke Old Trafford, melihat pasukan kesayangan saya beraksi,.. pernah ke sana?

    ReplyDelete
  8. ibnurashidi,

    Ketenangan itu penting, sebab tanpanya hidup akan jadi kucar kacir.

    Jika berkesempatan, boleh tak tolong posting tips mencari ketenangan? Nak kongsi dengan orang yang berilmu macam tuan..

    ReplyDelete
  9. tasik kenyir? pelik gaks, sebab dari utara ke selatan tak pernah jumpa, rupa2nya perjalanan timur-barat :)

    ReplyDelete
  10. Pandangan mata lahir boleh menyebabkan mata hati merasa kebesaran dan kehebatan Allah Taala atau boleh sekadar merasakan kecantikan dan kehebatan apa yang dia lihat semata-mata.

    ReplyDelete
  11. Brahimnyok,
    menarik laluan yang digambarkan ini..Mungkin ada dicuba suatu hari nanti..

    ReplyDelete
  12. Cerita awak menarik minat saya
    begitu juga dengan gambar gambar itu.
    Jika ada cerita baru tolong emailkan
    saya. neagzss@yahoo.com.my

    salam....
    Suhainin Suhaibol
    Ranau,Sabah.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...