Sunday, March 22, 2009

Apabila Salah Haluan

Terima kasih kerana sudi singgah di blog saya. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di blog ini.

Kisah benar yang ingin aku kongsikan ini, adalah realiti yang berlaku kepada seorang sahabat lama, yang kunukilkan sebagai A.

Tidak terlintas untuk memburukkan sesiapa, tetapi ia sebagai iktibar dan pengajaran kepada kita supaya tidak tersalah haluan menempuh cabaran di persinggahan sementara ini.

A, sahabatku, adalah bekas guru yang menyambung pengajian di UPM pada 1991-1995 dahulu. A yang kukenal adalah seorang yang peramah, mudah mesra dan agak 'liar' orangnya. Disebabkan aku dan Adi bukan bekas guru, kami digelar 'fresh student' dan bekas guru seperti A, kami gelar mahasitua. Hubungan sesama kami tidaklah rapat, tetapi saling memerlukan. Yang seronoknya, mahasitua mempunyai hubungan baik dengan pensyarah dan jadual kuliah dapat diselaraskan untuk mereka pulang menemui keluarga pada hujung minggu. Kuliah kami hanya pada hari Isnin hingga Khamis sahaja. Selebihnya, cuti untuk mahasitua balik menunaikan tanggungjawab zahir dan batin..

A, bukanlah tergolong dalam kumpulan mahasitua yang rajin. Tetapi segala kerja dan tugasan kursus dapat disiapkan dengan baik. Semasa tugasan Malam Dialektologi Anak Perak dipentaskan, aku berpeluang mengenali perwatakan A. Aku katakan A seorang yang liar, kerana suka berdampingan dengan wanita muda, padahal dia sudah beranak isteri.

Hakikatnya, kekadang suasana di IPT menyebabkan orang yang menyambung pelajaran mudah lupa diri. Begitulah dengan A. Menjelang tamat pengajian, aku mendapat perkhabaran A sudah menikah seorang lagi. Ketika itu, kami sibuk dengan latihan mengajar di Melaka.

A juga sudah berjinak-jinak dengan dunia usahawan. Dia menceburi bidang pembekalan makanan di kantin sekolah.

"Sampai bila nak jadi cikgu,.. Tak boleh kaya.." kata-kata A yang masih kuingat lagi.

Kali terakhir aku bertemu dengan A, semasa konvokesyen menerima ijazah masing-masing. Selepas itu, aku dan rakan-rakan terputus hubungan dek kesibukan tugas dan keluarga. Aku pasti A sudah berjaya sebagai usahawan, sehinggalah Adi menelefonku dua minggu lalu, memberitahu tragedi yang menimpa A.

Adi mempunyai hubungan kekeluargaan dengan A. Menurutnya, A seakan-akan lupa diri. Selepas perkahwinan kedua, A masih tidak berubah, malah menjadi lebih teruk. Kekayaan dan nikmat yang diberi Allah bagaikan candu yang menjahanamkan hidupnya. A bersara awal sebagai guru dan menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan yang diceburi. A semakin galak berfoya-foya dengan wanita dan melupakan tanggungjawabnya sebagai suami. Kehidupan anak isterinya terabai.

Kehidupan A semakin cacamarba apabila A mengadakan hubungan intim dengan seorang GRO (jalang) yang akhirnya menjadi isterinya. Menurut Adi, GRO itu penagih syabu, dan A turut terpengaruh menagih dadah sintetik itu.

Bermula dari situlah, kehidupan A menjadi semakin tidak menentu. Perniagaan yang dibinanya hancur di tengah jalan. Anak dan isteri yang diabai semakin menjauhkan diri. Kereta, rumah dan segala macam kemewahan yang dimilikinya sebelum ini, hilang begitu sahaja.

A, sahabatku, bekas guru telah meninggal dunia dalam keadaan yang cukup hina. Anak isterinya sendiri tak mahu menguruskan jenazahnya. Mayat penagih syabu itu disempurnakan di rumah ibunya, dan Adi turut hadir memberi penghormatan terakhir.


(Buat Adi, sahabatku, terima kasih memaklumkan penyudah kisah A ini).





















10 comments:

  1. ada pepatah Inggeris kata,"Behind every man's success there is a woman and behind every man's problem there are many..."

    hmmmm..
    mungkin benar, mungkin juga tak..
    cuma sekadar untuk difikirkan.

    smile..

    ReplyDelete
  2. Kesian, dia sendiri yang melakar peerjalanan hidup dengan berlari pantas dan ahkirnya tersembam sebelum tiba di garisan penamat.

    Itulah untung nasib yang ditempah sendiri. Cukup baik untuk dijadikan pedoman.

    Terima kasih sdr. Brahim.

    ReplyDelete
  3. Kak Hida,

    Saya tak setuju sepenuhnya pepatah Inggeris tu..

    Pepatah Melayu- Ikut hati, mati, ikut kata, binasa.

    Pokok pangkalnya, bergantung pada niat, kak.

    Moga jadi pengajaran kepada kita yang kekadang 'terlalu cintakan dunia' sehingga ada yang tersembam dan tersungkur..


    Pakdin,

    Entry Pakdin pun banyak memberi manfaat dan panduan hidup. Moga kita terus berada dalam rahmat Allah.

    ReplyDelete
  4. Penagih sering menyalahkan masyarakat kerana tidak mahu menerima mereka kembali.

    Adakah mereka memikirkan tentang masyarakat sebelum mereka menjebakkan diri mereka ke kancah kehinaan itu?

    Sekadar pandangan/persoalan... maaf.

    ReplyDelete
  5. Nikmat hidup kerana adanya nafsu... yg membezakan hanyalah kemampuan mengawal nafsu... ikut nafsu binasa... tapi sudah lumrah... manusia (bukan melayu je) mudah lupa

    (sebab tu kawe tak mau jadi kaya... cukup dengan sekadar yang ada.... hehehe... sebab kawe takut lupa nak kawal nafsu)

    ReplyDelete
  6. Mazemie,

    Lumrah alam, yang berjaya disanjung, yang gagal diketepi. Dalam konteks ini, penagih dadah (syabu dsb) adalah golongan gagal, yang hilang ahal tuju. Mereka mencampakkan diri dalam kebinasaan, wajarlah masyarakat memandang serong terhadap mereka. Itulah harga yang perlu mereka bayar untuk 'nikmat' dadah yang ditagih..

    Shifu67,

    Pandangan kita serupa. Saya rasa jika nak kejar harta dunia, tak terkejar, nak dapat pangkat dan kedudukan, tak tercapai semuanya. Saya ada harta yang lebih penting, 6 orang anak yang perlu diberi sepenuh kasih sayang. Itulah harta saya sekarang..

    ReplyDelete
  7. salam..

    sebab tu kite kena tahu dimana kita berpijak..jgn terlalu rakus dlm hidup.

    bersyukur lah!!..

    ReplyDelete
  8. Salam...

    Begitulah manusia, hatinya sentiasa dibolak-balikkan jika tidak ada pergantungan kukuh dengan Allah Ta'ala.

    Selalulah kita bermohon supaya apa yg kita alami dan penyudah nanti semuanya baik-baik. Ya, husnul khatimah.

    ReplyDelete
  9. Penghujung hidup yang menentukan nasib kita di akhirat. Moga2 kita antara mereka yang Allah tetapkan hati didalam ilmu dan amal hingga akhir hayat...insyaAllah. Selalulah berdoa.

    ReplyDelete
  10. Sofya, makaseh sudi bertanggak ke sini. Insya Allah, saya akan jenguk blog anda.

    Ibnurashidi,
    Hakikatnya, jika kita hilang panduan dalam hidup, memang cacamarbalah jadinya. Anugerah yang paling besar sebenarnya ialah apabila kita lahir sebagai Muslim, tapi ramai yang tak sedar hal ini.

    Asyiq,

    Setuju, doa + usaha akan dapat ganjaran, tapi usaha yang mengikut jalan yang betullah, bukan yang syubhat atau terang-terangan bercanggah.. Tak gitu?

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...