Tuesday, December 27, 2022

SELAMAT PENGANTIN BAHARU, QATRUNNADA DAN ARRYSYAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 23 Disember 2022 di masjid Al-Khairiah Batu 10, termeterailah ikatan sah ijabkabul Muhammad Aryysyah bin Shamsul Kamal sebagai suami kepada puteri sulung saya Qatrunnada. Agak gementar juga ketika majlis ijabkabul tersebut kerana ia adalah kali pertama saya menjadi  wali. Perasaan saya juga bercampur baur antara gembira, terharu dan sedih.

Gembira kerana puteri sulung dan pilihan hatinya akan disatukan secara sah sebagai suami isteri. Saya juga terharu dengan kehadiran sanak saudara dan jemaah surau serta masjid hadir ke majlis tersebut. Perasaan sedih tidak dapat dinafikan. Selama 24 tahun memeliharanya, apatah lagi kakyong adalah anak sulung yang rapat dengan saya. Mengenang semula detik kelahirannya, kemudian membesar di depan mata dan kini menjadi isteri orang, adalah suatu yang indah dalam hidup. Begitulah Allah menyusun perjalanan hidupnya. 

Pada keesokannya iaitu 24 Disember 2022 majlis meraikan kedua dua mempelai diadakan di Dewan SMK Ahmad Boestamam Sitiawan. Lokasinya dan kemudahannya menyebabkan saya memilih dewan ini. Ramai juga yang hadir ke majlis ini. Awalnya saya bimbang kalau kalau makanan tidak mencukupi namun segalanya mencukupi malah ia dapat ditapau selepas majlis berakhir. Segalanya dipermudahkan. Allahuakbar. Alhamdulillah, syukur.

Terima kasih kepada semua yang menyokong yang hadir yang mendoakan dan membantu menjayakan majlis ini. 
'Aku nikahkan dikau dengan puteriku...'


Kehadiran rakan rakan guru bersama keluarga 

Kami bersama adik bongsu arwah ayah Chu Zaleha


Cikgu Nazri Mat Alim dan isteri datang dari Perlis

 

Monday, December 19, 2022

ARGENTINA MENGESAHKAN PIALA DUNIA 2022 MILIKNYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Selama sebulan, bermula 21 November 2022, Qatar menjadi tumpuan seluruh dunia kerana negara teluk tersebut menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak dunia. Qatar telah membelanjakan lebih daripada US200 bilion bagi memastikan kejohanan piala dunia tahun 2022 dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Pada peringkat 16 pasukan peringkat kalah mati,   Holland bertemu Amerika Syarikat, Argentina vs Australia, Jepun vs Croatia, Brazil vs Korea Selatan, England vs Senegal, Peranchis vs Poland, Moroco vs Sepanyol dan Portugal vs Switzerland. 

Seterusnya pada peringkat suku akhir 8 pasukan terbaik bertemu dan keputusannya, Argentina mengalahkan Holland, Croatia mengejutkan Brazil, Peranchis menewaskan England dan Morocco membuat kejutan mengalahkan Portugal. 

Pada peringkat separuh akhir Argentina mengalahkan Croatia dan Peranchis mengalahkan Morocco. Crotia dinobatkan di tempat ketiga selepas mengalahkan Morocco. Manakala tengah malam tadi, Argentina mengalahkan Peranchis dalam perlawanan yang cukup dramatik sehingga penentuan sepakan penalti. 

Piala Dunia 2022 juga adalah yang terakhir buat Leonel Messi yang bakal bersara kerana faktor usia. Selain Messi, kejohanan di Qatar juga adalah pentas terakhir buat legenda bola sepak Portugal Christiano Ronaldo, Nueur serta Muller (Jerman), Lewansdowski (Poland) dan Modric (Croatia).

Kejohanan Piala Dunia Qatar meninggalkan kesan yang positif kepada peminat bola sepak dunia dengan menyaksikan kebangkitan Morocco yang menang bergaya ke atas beberapa pasukan gergasi Eropah. Tahniah kepada Qatar yang menganjurkan edisi piala dunia yang hebat.      

Wednesday, December 14, 2022

TAHNIAH QATRUNNADA DI KONVO UITM KE-65

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sebagai bapa, tentulah keinginan untuk melihat kejayaan anak anak dalam pendidikan menjadi keutamaan. Begitulah dengan saya dan isteri, pada 6 Disember kami bergerak ke Shah Alam dan menginap di inap desa sebelum menghadiri majlis konvokesyen puteri sulung saya yang menjaya menamatkan pengajiannya pada 7 Disember.

Kami turut ditemani seorang lagi anak yang belajar di UPNM iaitu Abangyang Faizi.

Inilah kali pertama saya masuk ke Dewan Tuanku Canselor yang besar dan moden. Rasa syukur   kepada Allah atas segala nikmat ang diberikanya. 

Alhamdulillah

Monday, December 5, 2022

BERMULANYA PENTADBIRAN KERAJAAN GABUNGAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

PRU ke-15 di Malaysia pada 19 November 2022 menyaksikan keputusan majoriti yang tidak memihak kepada mana mana parti politik.  Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 83 kerusi jauh daripada sasaran majoriti mudah 112 kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula berpuas hati dengan 72 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) semakin diketepikan oleh rakyat dengan hanya mendapat 30 kerusi. Baki 37 kerusi lagi dimiliki oleh GPS, GRS, Warisan dan Bebas. 

Kemelut pembentukan kerajaan pasca PRU berlarutan apabila semua pihak gagal mendapat persefahaman. Parti BN mengadakan perbincangan sulit dengan PH dan polemik ini seakan akan tidak menemui titik penyelesaian. 

Campurtangan daripada Yang DiPertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja raja Melayu telah memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dilantik sebagai Perdana Menteri dengan penyertaan BN bersama gabungan kerajaan yang diterajui oleh PH.  DSAI mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 seminggu selepas PRU. Barisan kabinet yang menampilkan kepelbagaian parti politik yang bergabung telah diumumkan dua minggu selepas PRU. PN menolak pentadbiran bersama gabungan PH dan kluster mahkamah dalam BN. PN akhirnya bersetuju menjadi blok pembangkang semak dan imbang kepada pihak kerajaan.  

Dalam senarai kabinet DSAI beberapa kejutan berlaku antaranya pelantikan Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden UMNO) sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Luar Bandar. Zahid sebelum ini terpalit dengan 47 dakwaan rasuah dan salah guna kuasa semasa menjadi kerajaan. Keputusan DSAI ini benar benar mengejutkan rakyat kerana ia tidak selari dengan prinsip yang dipegangnya. 

DSAI memegang portolio Menteri Kewangan walaupun sebelumnya menolak gaji PM. Namun sebagai ahli politik yang berpengalaman DSAI tentu mempunyai alasan dan naratif yang boleh meyakinkan penyokongnya. Rakyat kini memerhati dan menilai sejauh mana DSAI mampu mengotakan janjinya seperti dalam kempen PRU.   

Barisan kabinet memulakan tugas rasmi pada 5 Disember 2022 dan memikul harapan rakyat Malaysia yang cukup besar. Marilah kita berdoa agar Allah menyelamatkan negara ini dan dapat menikmati kemajuan dunia di samping berjaya memastikan Islam terpelihara. 

Allah menjanjikan kemenangan kepada mereka yang menjaga solat dan agama. Jom solat awal waktu. 

Friday, November 25, 2022

TAHNIAH ANWAR IBRAHIM PM MALAYSIA KE-10

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Setelah melalui kemelut berpanjangan pasca PRU 15 sejak Sabtu 19 November 2022, Malaysia akhirnya mendapat Perdana Menteri ke-10, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 di Istana Negara. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang mengadakan musyawarah bersama baginda. 

"Pada sesi perbincangan khas berlangsung bermula 11 pagi tadi, baginda berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses perlantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu."Perbincangan khas itu adalah juga bertujuan bagi baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

"Proses itu adalah bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(1)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung 5 petang Khamis 24 November, di Istana Negara.

Yang Dipertuan Agong mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.

YDPA juga menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka dengan pemimpin adalah pemegang amanahnya yang perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.

Tahniah DSAI semoga Malaysia terus makmur dan aman sentosa.

Thursday, November 24, 2022

DEMAM PIALA DUNIA QATAR 2022 MENCIPTA KEJUTAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 yang mengumpulkan 32 pasukan terbaik dunia untuk merebut piala tersebut bermula 21 November hingga 24 Disember 2022. Selain daripada upacara pembukaan kejohanan yang memukau Qatar juga mempamerkan nilai budaya masyarakat dan agama Islam kepada para penyokong bola sepak daripada seluruh dunia. 

Kejutan permainan peringkat awal kumpulan menyaksikan Argentina tewas kepada Arab Saudi. Dua gol memukau pada awal separuh masa kedua hasil jaringan Arab Saudi memberi kejutan besar kepada pasukan Argentina yang terpaksa menelan pahit kecundang dengan kedudukan 2-1 pada perlawanan tersebut.

Gol- gol hasil rembatan Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 88,000 penyokong, di Stadium Lusail, di Doha telah mendiamkan penyokong Argentina, manakala seluruh Arab Saudi berpesta meraikan kemenangan skuad mereka ke atas pasukan ketiga terbaik dunia.  

Arab Saudi adalah pasukan bukan pilihan dalam perlawanan tersebut. Sebaik Messi selesai menyempurnakan sepakan penaltinya, ramai seolah-olah sudah menjangka Argentina bakal menguasai perlawanan. Namun sebaliknya berlaku pada separuh masa kedua apabila ia bangkit dan cemerlang menamatkan rekod 36 perlawanan tanpa kalah Argentina. 

Satu lagi pasukan Asia, iaitu Jepun memulakan aksi Kumpulan E dengan mengejutkan Jerman pada Rabu 23 November 2022. Gol daripada pemain gantian Ritsu Doan dan Takuma Asano pada 15 minit terakhir memberikan Jepun kemenangan menakjubkan 2-1 ke atas juara dunia empat kali, Jerman, di Stadium Antarabangsa Khalifa.  Jerman bagaimanapun mendahului dengan sepakan penalti minit ke-33 daripada Ilkay Guendogan selepas penjaga gol Jepun Shuichi Gonda yang mengasari sayap David Raum.

Kedudukan 1 - 0 tidak bertahan lama apabila Jepun terus melakukan asakan bertubi-tubi sehingga ke separuh masa kedua ke arah pintu gol Jerman.

Kemuncaknya, Doan mengambil kesempatan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-75, sebelum Asano melakukan kejutan lapan minit sebelum perlawanan tamat. 

Selama ini pasukan Eropah menganggap corak permainan pasukan Asia kurang berkualiti, namun ia dibuktikan sebaliknya. Tahniah Jepun dan Arab Saudi. Kita tunggu penampilan Korea Selatan pula selepas ini. 

Tuesday, November 22, 2022

KEPUTUSAN PRU 15: BENCANA ATAU LABA BUAT RAKYAT?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 19 November 2022, seluruh negara berpesta menghadapi PRU ke-15. Tiga parti politik terbesar yang merupakan gabungan parti utama menyusun strategi memikat hati pengundi dengan pelbagai kaedah dan  cara. Barisan Nasional ditunjangi UMNO, MIC dan MCA; Pakatan Harapan membariskan PKR, DAP dan Amanah, manakala Perikatan Nasional disertai oleh PAS, Bersatu dan Gerakan. 

Sebanyak 222 kerusi parlimen seluruh negara dipertandingkan, manakala negeri Perlis, Perak dan Pahang turut mengadakan pemilihan anggota Dewan Undangan Negeri serentak pada tarikh 19 November. 

Saya dan isteri mengundi di SKKDSK dan kami pergi pada sebelah petang bagi mengelakkan berbaris panjang. Anak-anak juga berpeluang mengundi kerana mulai PRU 15 mereka yang berusia 18 tahun ke atas layak mengundi secara automatik. Mereka juga teruja untuk mengundi kali pertama.

Saya tidak menjangkakan mana mana parti gabungan ini mendapat majoriti kerana banyak pihak meramalkan tiada yang mendapat majoriti mudah. Jauh di sudut hati saya mengharapkan parti yang dapat membentuk kerajaan, dapat memastikan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Inilah matlamat dan perjuangan yang selari dengan pendirian saya. Namun kita perlu redha dan akur dengan ketentuan Allah. Saya juga redha dengan apa juga keputusan yang rakyat buat dalam PRU kali ini. 

Keputusan PRU sudah kita ketahui seperti yang dikeluarkan oleh SPR. Pakatan Harapan yang kononnya dapat majoriti mudah (mengikut ramalan Rafizi Ramli) hanya mendapat 83 kerusi, diikuti rapat oleh Perikatan Nasional yang mendapat 73 kerusi dan BN mendapat 30 kerusi. Pencapaian BN adalah yang terburuk sejak PRU 1955. Ia tidak lagi menjadi pilihan rakyat terutama orang Melayu. 

Keadaan menjadi tidak menentu kerana keputusan PRU kali ini tidak memberikan isyarat penubuhan kerajaan majoriti. Begitu juga dengan DUN Perak yang mencatat PH mendapat 24, BN 9 kerusi dan PN mendapat 26 kerusi. Akhirnya Saarani Mohamed membuat keputusan mengejutkan dengan menyertai gabungan bersama PH kerana dijanjikan jawatan MB. Keputusan ini mengecewakan rakyat negeri Perak yang pernah melalui mimpi ngeri pemerintahan 11 bulan pada 2008 yang penuh kacau bilau. Namun ADUN Kota Tampan tersebut tentu mempunyai naratif dan justifikasi yang menyebabkannya berbuat demikian. 

Sehingga posting ini ditulis, kita masih belum mendapat keputusan siapakah perdana menteri dan manakah gabungan kerajaan yang memerintah Malaysia.  Apa pun yang berlaku, rakyat harus berlapang dada dengan situasi yang berlaku. Jangan hendaknya ada yang menangguk di air keruh dan melakukan anarki sehingga menjejaskan keamanan negara.  

KEPADA ALLAH KITA MOHON PETUNJUK DAN PERLINDUNGAN

 

Wednesday, November 9, 2022

SELAMAT TINGGAL SMKPTLDM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya mendapat panggilan daripada pihak PPD Manjung meminta saya hadir ke sana pada 25 Oktober 2022. Rupanya saya menerima amanah baharu sebagai pegawai School Improvement Partners (SIP+) di Pejabat Pendidikan Daerah Manjung berkuatkuasa 17 Oktober lalu. Saya mohon penangguhan kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan sebelum berpindah tempat bertugas. 

Saya diberi ruang menangguhkan kerja sehingga 3 November dan dikehendaki mula bertugas di PPD Manjung pada 7 November 2022.  Sebagai kakitangan kerajaan, saya akur dengan arahan yang diberikan. Saya mengimbau kenangan semasa mula mula masuk ke SMKPTLDM. Tentunya ia satu memori manis yang saya ingat ke akhir hayat. Ketika masuk pangkalan Lumut sebagai pengetua pada 12 November 2020, negara sedang dilanda pandemik Covid 19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan sekolah dan institusi pengajian tinggi. Suasana ketika itu sangat sunyi dan asing buat saya. 

Saya bersyukur sebab diterima dengan baik di sekolah ini. Memberi khidmat kepada anak anak warga pangkalan Lumut adalah satu penghargaan buat saya. Saya juga mendapat sokongan padu para guru dan staf sekolah yang baik budi. Kita merupakan pekerja dan makan gaji, sama seperti kakitangan awam yang lain. Kita semua sama, sebagai hamba Allah, sebagai penjawat awam yang ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan. 

Jika ada pun perbezaan kita hanya jawatan yang dipikul. Yang membezakan kita cuma, nama jawatan. Sebagai pengetua, saya ketua jabatan yang bertanggungjawab memastikan operasi sekolah dilaksanakan seperti ketetapan yang dibuat. 

Hakikatnya, apa pun nama kerjanya, kita akan menghadap Yang Maha Esa dan perlu menjawab atas amanah yang diberikan kepada kita. 

Perkara paling sukar dilakukan apabila kita ingin mengubah sesuatu yang sudah menjadi budaya. Tidak kira sama ada ia baik atau sebaliknya, perubahan yang dibawa selalunya diberikan reaksi yang pelbagai oleh subordinat.  Ada yang menerima, ada yang sebaliknya. 

Saya selalu ungkapkan kepada sahabat sahabat penolong kanan dan guru kanan, sama-sama kita memberi perkhidmatan yang terbaik kepada SMKPTLDM, membentuk pasukan kerja yang sehaluan dan seiringan. 

Terima kasih buat seluruh warga sekolah yang telah bersama-sama saya untuk tempoh 2 tahun yang penuh suka duka. 

Tidak dilupakan, pasukan staf di pejabat yang sentiasa bekerja bersama saya bagi memastikan kelancaran semua urusan pentadbiran. Terima kasih kepada KD Malaya khususnya Mejar Dailami yang bertanggungjawab menjaga sekolah dalam pangkalan. 

Terima kasih atas khidmat bakti semua yang tidak kenal erti lelah bagi tiap tugasan yang dilaksanakan. 

We still have a long journey to go. 
Sepangkalan Boleh!

Thursday, October 6, 2022

LADAP SMKPTLDM KE KAMPUNG AGONG, PULAU PINANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 1 Oktober 2022, dua buah bas membawa seramai 83 orang guru staf dan keluarga ke Kampung Agong Pulau Pinang. Ia adalah sebahagian daripada Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) KGKT dan Unit Bimbingan Kaunseling SMKPTLDM Lumut yang bertujuan mengukuhkan uhkuwah di samping mengembalikan motivasi bekerja. 

Kami berkumpul di parkir pasar raya Billion pada jam 5 pagi dan bas bertolak kira kira .15 pagi menuju ke destinasi. Kami solat subuh di Sungai Tinggi, Trong sebelum meneruskan perjalanan di lebuh raya Utara Selatan. Kampung Agong merupakan destinasi eko-pelancongan yyang terkenal di dalam dan luar negara. Ia adalah kampung tradisional yang berlatarbelakang sawah padi dan rumah tradisional masyarakat Melayu. Persekitarannya bersih dan mendamaikan. 

Kami kemudiannya menuju ke Nasi Kandar Line Clear di Pulau Pinang, dan singgah membeli jeruk di pasar Chowrasta sebelum bertolak pulang menggunakan jambatan kedua. Persinggahan akhir di IKEA dan Design Village juga menarik dan ramai yang mengambil kesempatan membeli keperluan hiasan rumah dan diri. 

Kesimpulannya LADAP kali ini santai dan memberikan persepsi yang positif tentang keindahan bumi Malaysia.    

Wednesday, August 24, 2022

NAJIB RAZAK AKHIRNYA KE PENJARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan anak Perdana Menteri Malaysia yang ke-2 iaitu Tun Abdul Razak bin Hussein. Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, dari tahun 2008 hingga 2018. Banyak usaha Najib memastikan kebajikan rakyat, terutamanya Batuan BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC dan seumpamanya. Dalam pilihanraya umum pada 2018 pakatan Barisan Nasional yang dipimpinnya kalah. Najib kemudiannya didakwa atas kesalahan penyelewengan kuasa dan isu 1MDB yang dijadikan bahan kempen PRU ke-14. 

Beliau gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan mantan Perdana Menteri itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 turut mengekalkan keputusan itu.

Najib, 69, akan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dibawa ke penjara Kajang untuk transit sebelum menghabiskan tempoh hukuman di penjara Sungai Buloh. 

Perbicaraan kes tersebut yang mengambil masa empat tahun, telah menempuh pelbagai situasi termasuk prosidingnya dijalankan secara dalam talian ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan (sumber Bernama):

4 Julai 2018 - Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Ogos 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.

27 Ogos, 2019 - Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.

11 Nov 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

3 Dis 2019 - Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.

11 Mac 2020 - Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.

28 Julai 2020 - Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.

19 Okt 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

5 April 2021 - Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.

18 Mei 2021 - Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.

23 Nov 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.

24 Nov 2021 - Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.

2 Dis 2021 - Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

3 Dis 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.

7 Dis 2021 - Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

8 Dis 2021 - Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

7 Jan 2022 - Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.

25 Jan 2022 - Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.

2 Mac 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.

16 Mac 2022 - Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.

11 April 2022 - Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

25 April 2022 - Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.funds.

31 Mei 2022 - Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

7 Jun 2022 - Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.

13 Jun 2022 - Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.

16 Jun 2022 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.

27 Jun 2022 - Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.

26 Julai 2022 - Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.

15 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.

16 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.

18 Ogos 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.

19 Ogos 2022 - Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.

19 Ogos 2022 - Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.

23 Ogos, 2022 - Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.

23 Ogos 2022 - Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib. Petang yang sama selepas selesai prosiding mahkamah, Najib dibawa oleh polis ke Penjara Kajang. 

Monday, August 22, 2022

NAUZUBILLAH, HUBUNGAN SEKS SESAMA JENIS DITERIMA DI SINGAPURA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Bersembunyi di sebalik tuntutan hak asasi manusia, golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) terus berusaha meng'halal'kan kewujudan dan aktiviti mereka dalam masyarakat. Aktiviti persundalan mereka sudah diterima dan diiktiraf di barat, dan kini diikuti oleh beberapa negara rantau Asia seperti India dan Taiwan. 

Terbaharu, Singapura dilaporkan akan memansuhkan jenayah seks antara lelaki, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Ahad 21 Ogos 2022. Lee dipetik sebagai berkata, masyarakat di negara itu semakin menerima golongan gay sebagai sebahagian daripada rakyat negara pulau tersebut.

Bagaimanapun, Lee menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah takrifan undang-undang perkahwinan di negara tersebut iaitu antara lelaki dan wanita.

"Saya percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan sesuatu yang kini diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura," katanya ketika berucap pada himpunan tahunan sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Beliau berkata, kerajaan akan memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan, sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.

Kini Malaysia tersepit antara dua negara jiran di Asia Tenggara yang mula menerima LGBT sebagai entiti rakyatnya, iaitu Singapura dan Thailand yang liberal terhadap golongan LGBT. 

Saya percaya, selagi ada pemimpin Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, dan institusi raja Melayu yang ada di negara ini mempertahankan nilai tradisi yang baik, kita tidak perlu terikut ikut dengan negara lain yang semakin hilang jati diri. 

LGBT sudah wujud sejak zaman Nabi Lut dan kisah kemurkaan Allah terhadap kaum tersebut dirakamkan dalam Al Quran. Semoga Allah melaknat mereka yang menyokong aktiviti serta kewujudan LGBT dan tidak menurunkan balanya kepada kita. 

Monday, August 15, 2022

RXZ MEMBERS 4.0 BERJAYA MENAIKKAN IMEJ MOTOR LAMA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Himpunan peserta RXZ Members

Pada 13 Ogos 2022, lebih 30 ribu motosikal RXZ seluruh Semenanjung Malaysia telah berkampung di Litar Gong Badak Terengganu bagi menjayakan program RXZ Members anjuran kelab motor dan kerajaan negeri Terengganu. Perasmian turut disempurnakan oleh Perdana Menteri dan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu. Ada beberapa perkara menarik tentang program ini. 

1. RXZ adalah model roda dua keluaran Yamaha dikeluarkan pada 1984 hingga 2011. Ia  paling laris dan mempunyai ramai peminat termasuk arwah adinda saya Abdullah Sani. Sani menggunakan RXZ untuk berulang alik semasa mengajar di SK Seri Pangkor.

2. RXZ adalah model motosikal dua lejang berkuasa 135 cc  yang disaingi oleh jenama Honda Raider dan Suzuki Panther, tetapi pengaruhnya bertahan hampir dua puluh tahun. Model Catalyzer adalah model keluaran terakhir di Malaysia pada 2008 sebelum kerajaan menguatkuasakan enjin motosikal 4 lejang sahaja dibenarkan dijual di Malaysia selepas itu. 

3. RXZ Members sudah diadakan 4 kali bermula pada 2017, 2018 dan 2019 sebelum bersambung pada 2022. Kerajaan Negeri Terengganu memberi sokongan penuh penganjuran program ini dengan objektif mendidik golongan pencinta motosikal menghargai  jentera dua roda ini dengan cara yang positif. 

4. RXZ mengimbau kenangan dan memori golongan pencinta dua roda yang berusia 40-an dan 50-an. Nostalgia menunggang motor ini sesuatu yang sukar digambarkan. Ia juga mempunyai nilai sentimental kepada pemiliknya. 

Saya meminati RXZ tapi belum bersedia memiliki jentera ini sebab kurang minat kepada jentera dua roda. Namun saya sangat teruja dengan program RXZ Members yang berjaya mengumpulkan peminatnya hingga ke Singapura dan Thailand.
 

Wednesday, August 10, 2022

PERGINYA HAJI ROSLI SAMOT BUAT SELAMANYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Innalillahi wainna ilaihi roji'un

Daripada Allah kita datang kepadanya kita PASTI kembali.

Ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah pada awal subuh Selasa 9 Ogos 2022, saya mendapat berita bahawa haji Rosli Samot , guru Penolong Kanan SMK Ambrose, kembali ke rahmatullah tengah malam tadi ketika dalam perjalanan ke hospital Seri Manjung, akibat serangan asma kronik. 

Terkejut saya mendapat berita itu. Saya berhentikan kereta, termenung dan kemudiannya menangis sendirian. Selepas beristighfar dan hati menjadi tenang, saya teruskan pemanduan.  Kali terakhir kami bertemu semasa dia menyambut kepulangan isterinya dari Cameron Highland pada Rabu 3 Ogos lalu di PPD Manjung. Nampak sahaja susuk tubuhnya, kami berpelukan kerana lama tidak berbuat begitu. 

Haji Rosli sudah saya anggap bagaikan abang sendiri. Dia mengenali arwah ayah dan pernah membawa isterinya ke rumah kami di DSK semasa awal perkahwinannya. Kami banyak terlibat dalam aktiviti bahasa peringkat daerah Manjung. Sikapnya yang tenang dan bahasa yang tersusun menyebabkan Haji Rosli mudah mesra dengan ramai orang. 

Pada 2011, kami berpeluang untuk bekerja di bawah satu bumbung selepas beliau bertukar dari Kolej Vokasional ke SMK Batu Sepuluh Lekir. 

Hubungan kami semakin erat apabila saya diarahkan bertugas semula di SMKBS pada 2018. Ketika itu beliau adalah Penolong Kanan Kokurikulum. Bersama hajah Azizan, kami bertiga wujudkan grup telegram santai bahasa Inggeris. Hubungan kami bertiga tetap erat walaupun hajah Azizan bersara dan saya pindah bertugas di SMKPTLDM.

Saya, hajah Azizan dan Haji Rosli

Pada tengah malam Selasa, 9 Ogos 2022, serangan athma secara tiba-tiba menyebabkan Haji Rosli tidak sempat ke hospital dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital Seri Manjung. Isterinya Dr Mashitah tenang menguruskan kereta yang dipandu ke tepi jalan. 

Jenazahnya dibedah siasat dan diuruskan di bilik mayat HSM, disolatkan di surau Fasa 1D2 dan dikebumikan selepas solat Asar di Hutan Melintang hari Selasa 9 Ogos 2022. 

إنَّا لِلَّهِ وَإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُونَ     اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ  اَللَّهـُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوْضَةً مِن رِيَاضِ الْجَنَّةِ , وَلَا تَجْعَلْهُ حُفْرَةً مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Ya Allah, ampunkan dosanya, rahmati rohnya, dan terimalah segala amalannya. 

Bersemadilah dengan aman, wahai kekanda yang baik budi.

Monday, August 8, 2022

MENANTI KAPAL LCS TLDM YANG MASIH BELUM SIAP SEJAK 2011

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Model Kapal LCS Malaysia


Skandal terbesar pembelian aset pertahanan negara adalah tempahan 6 buah kapal Littoral Combat Ship (LCS). Tiada satu pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan mengikut jadual walaupun  kerajaan telah membayar lebih RM6 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikeluarkan baru baru ini mengesahkan kegagalan BNS menyiapkan dan menyerahkan kapal LCS tersebut kepada TLDM sebagai 'end user' Sehingga Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. Namun bayangan sebuah pun tidak dapat disiapkan oleh syarikat yang berpangkalan di Lumut tersebut. 

Lebih mengejutkan, laporan itu turut mendedahkan terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” dedah laporan PAC setebal 247 muka surat.

Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan. Keputusan tersebut telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi pada 8 Julai 2011 tanpa merujuk kepada pihak TLDM terlebih dahulu.

Selain itu kerajaan 'gagal' mengesan masalah kewangan syarikat tersebut apabila terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion sekali gus bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Kedudukan kewangan BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan apabila setakat 2018, hutang syarikat itu kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah RM956 juta.

Malah laporan itu menyatakan peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion, dan lebih 15 peratus telah pun usang. Laksamana Tan Seri Dr Abdul Aziz Jaafar yang ketika itu Panglima Tentera Laut turut menggambarkan keadaan pada ketika itu sesuatu yang pelik kerana perolehan dilakukan oleh kerajaan bagi TLDM sebagai pengguna tetapi kuasa sepenuhnya diberikan kepada BNS.

BNS juga mengeluarkan kenyataan menyatakan semua pilihan bagi pembinaan 6 buah kapal berkenaan adalah tertakluk kepada penilaian serta verifikasi mereka, bukannya TLDM.

Khabarnya SPRM sudah mempercepatkan siasatan dan akan menyegerakan pendakwaan. Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS. Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.

Rakyat sedang melihat apakah kerajaan sedang berusaha bersungguh sungguh untuk menyelesaikan isu pembinaan kapal yang entah bila akan siap. Indonesia dan Filipina kini sudah dibekalkan dengan kapal generasi baharu yang canggih. Singapura sudah jauh meninggalkan kita dari segi teknologi dan aset pertahanan. 

Inilah  akibatnya apabila pemimpin terlibat dengan rasuah. Kedaulatan negara hampir tergadai dan pembelian kapal LCS menjadi bahan lawak negara luar. 


Thursday, August 4, 2022

REBOOT THE LEADERS DI CAMERON HIGHLAND

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Peserta kursus REBOOT THE LEADERS 

MPSM Manjung menganjurkan kursus Reboot The Leaders, pada 1 hingga 3 hb Ogos 2022 di hotel Heritage, Cameron Highlands. Kursus ini bertujuan mengenalpasti pemimpin sekolah barisan hadapan yang layak diketengahkan sebagai calon NPQEL seterusnya mengikuti kursus berkenaan sebagai persediaan menjadi pengetua. Seramai 42 orang peserta mengikuti kursus ini dengan kebanyakannya merupakan Penolong Kanan dan Guru Kanan. 

Program bermula dengan semua peserta menaiki bas di PPD Manjung, menuju ke SMK Sungkai untuk penanda aras. Tuan PPD Manjung, en. Mohamad Akhir bin Abdul Latif turut serta dalam program 3 hari 2 malam ini, menaiki bas bersama para peserta. Kami disambut oleh pengetua Puan Siti Khadijah binti Ngosman, anak kelahiran negeri Selangor yang sudah menetap dan menabur bakti di negeri Perak. Dalam taklimat beliau, puan Siti Khadijah memaklumkan bagaimana beliau memperkasakan SLT melalui penubuhan Kumpulan Pemikir yang diketuai oleh guru DG52 dan DG54 yang bukan berjawatan hakiki. Beliau merupakan antara calon yang disenaraipendekkan untuk jawatan pengetua JUSA C oleh JPN Perak pada tahun lalu. 

Kami dijamu makan tengah hari di dewan makan asrama yang cantik dengan menu yang sedap sebelum menuju ke Cameron Highlands. 

Selepas itu, perjalanan ke hotel Heritage melalui Simpang Pulai selamat sampai ke destinasi kira kira jam 5 petang. Taklimat kursus dan sesi ice-breaking dikendalikan oleh Timbalan YDP MPSM, Dr Husaini Abdullah dapat meningkatkan rasa kendiri positif dalam kalangan  para peserta kursus. Pada sebelah malam, peogram Bicara Insaniah oleh Tuan PPD mengisi slot berkenaan sehingga jam 10 malam. 

Suasana sejuk di Cameron Highlands menyebabkan semua hotel di sini tidak mempunyai pendingin hawa. Antara aktiviti lain yang disediakan sepanjang kursus ini, adalah perkongsian amalan terbaik, telematch inter group dan pengurusan kepimpinan. Para peserta turut dibawa melawat perkampungan satelit untuk petempatan semula orang asli Semai dan beramah mesra dengan murid tadika Kemas dibawah kendalian cikgu Salimah. 
Tuan PPD Manjung di pusat prasekolah anak orang asli di Tabika KEMAS Sungai Ruil.


Pada hari Rabu 3 Ogos 2022, kajian kes dibuat dengan memberi tugasan kepada setiap kumpulan untuk menyelesaikan isu isu yang dinyatakan dalam tugasan.  

Majlis penutup disempurnakan oleh tuan PPD Manjung yang sanggup menanti kursus hingga ke akhirnya. 

Selain berkursus para peserta dibawa melawat Stesen Penyelidikan MARDI pada hari terakhir kursus. Penerangan oleh petugas MARDI en. Amir tentang keindahan flora dan jenis bunga-bungaan di situ menarik perhatian para peserta.  
Lawatan ke Stesen Penyelidikan MARDI Cameron Highlands


Kami akhirnya selamat tiba di PPD Manjung kira kira jam 7.30 malam dengan selamat. Terima kasih kepada MPSM Manjung yang telah menganjurkan kursus yang baik ini. 

Tahniah dan syabas kepada semua yang menjayakan program ini. 

Wednesday, July 13, 2022

JOSE MUJICA: MANTAN PRESIDEN YANG MISKIN HARTA, KAYA SIFAT MULIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Jose Mujica mantan presiden Uruguay 2010 -2015

Jika ada kisah peribadi pemimpin negara yang hidupnya tidak mewah, seperti sebuah fiksyen, mungkin Jose Mujica adalah orangnya.

Jose Alberto Mujica, lahir pada 1935, adalah presiden negara Uruguay, sebuah negara di Amerika Latin pada 2010 hingga 2015. Beliau menjadi presiden ketika berusia 75 tahun, dan mentadbir selama 5 tahun melalui pilihanraya yang sah. 

Mujica pernah dipenjarakan selama lebih dari satu dekad pada tahun 60-an kerana tidak sehaluan dalam gerakan politik. Dia terkenal kerana memulangkan semula 90% wang gaji sebagai presiden kepada rakyatnya. Gaji presiden Uruguay sebnayak USD12,000 atau RM51,600 tidak menjadikannya hidup mewah. 

Selepas bersara daripada politik, Mujica hidup di pinggir bandaraya Montevideo, memandu Volkswagen Beetle 1987, memakai sandal ke mesyuarat dan tinggal di rumah ladang bertemankan isteri dan anjing peliharaannya. 

Mantan presiden ini memilih pertanian sebagai ruang mengisi usia tuanya. Dari segi latar belakangnya, Mujica dibesarkan dalam keadaan miskin dan tidak pernah menamatkan sekolah menengah. Sebagai seorang lelaki muda, dia mendapat inspirasi daripada Revolusi Cuba yang dipimpin oleh Fidel Castro ketika itu. Beliau adalah salah seorang pengasas Tupamaros Uruguay — sebuah gerakan gerila bandar yang dibina berdasarkan falsafah Marxis.

Mujica, walaupun tidak pernah mengenali Rasulullah s.a.w, namun mempunyai nilai murni seperti yang dianjurkan oleh baginda. Semoga kebaikan untuk dirinya. 

Apa yang kita dapat pelajari daripada kisah hidup mantan presiden ini?  

Monday, July 4, 2022

SELAMAT BERSARA HAJAH HAYATI ABDUL KARIM

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.
Hajah Hayati menamatkan kerjaya guru pada 30 Jun 2022


Hajah Hayati Abdul Karim, adalah guru SMKPTLDM yang mengakhiri kerjaya sebagai guru pada 30 Jun 2022. 

Beliau berkhidmat lebih 27 tahun dalam dunia pendidikan, di lebih daripada 5 buah sekolah. Kami pernah sama sama menabur bakti di SMK Batu Sepuluh Lekir sehingga dipindahkan pada 2015. Saya ke SMK Seri Samudera, manakala Hajah Hayati ke SMK Convent.

Saya ada satu kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama guru hebat ini. Pada 2008, saya, Hajah Hayati dan puan Norainee Yusop, menghadiri kursus kenaikan pangkat DG48 di Hotel Corpthone Pulau Pinang. Saya memandu kereta Wira dan kedua duanya menumpang saya untuk ke sana. 

Perjalanan pergi kami ke sana lancar dan kursus tersebut selesai selepas seminggu kami berkampung di hotel tersebut. 

Dalam perjalanan pulang ke Manjung, ketika di laluan Changkat Jering- Trong, kereta yang saya pandu telah terbabas dan berpusing ke arah Taiping semula, namun syukurlah kami selamat. Kereta terhenti di tengah-tengah jalan tetapi ketika itu tiada kenderaan lain yang lalu. Tiada kecederaan mahupun kerosakan kepada kenderaan, tetapi sepanjang perjalanan itu, mulut saya tak henti-henti mengucapkan syukur kerana masih dipanjangkan umur walaupun kemalangan tersebut hampir meragut nyawa. 

Semasa ucapan akhir, hajah Hayati berkongsi kisah tersebut kepada pelajar di perhimpunan, menyebabkan saya mengimbau kembali kenangan itu. Alhamdulillah Allah izinkan kami menikmati hidup hingga kini. 

Selamat bersara kak hajah ❤️!

Wednesday, June 15, 2022

TAHNIAH HARIMAU MALAYA KE PUSINGAN AKHIR PIALA ASIA 2023

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perlawanan bola sepak melibatkan negara kita menentang Bangladesh pada Selasa 14 Jun 2022, memang menjadi tumpuan. Akhirnya Malaysia menang 4-1 mengalahkan skuad Asia Selatan tersebut dan menemaph tiket ke perlawanan pusingan akhir Piala Asia ang bakal berlangsung 2023. 

Tahniah dan syabas, buat skuad Harimau Malaya dan penyokong Ultra Malaya yang sentiasa padu memberikan sokongan. 

Thursday, June 9, 2022

Selamat Pengantin Baru, Moksu Mirah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Adik ipar bongsu saya, Wan Amirah Afifah hanya tua dua tahun daripada anak sulung saya. Ketika saya dan isteri bertunang, dia dilahirkan oleh Cke pada usianyya 46 tahun. Kami panggil Amirah sebagai Moksu gelaran manja anak anak saudara kepadanya sebab dialah yyang paling bongsu. 

Arwah ayah pernah pangil Moksu Bulat kepadanya sebab semasa kecil, Amirah mempunyai tubuh mongel dan berisi. Amirah membesar sebagai anak yang bijak dan petah berkata kata. Dia berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Fisioterapi di UiTM. Jodohnya dengan pemuda Kampung Maras, Muhammad Asyraf Che Wahid. Segalanya dipermudahkan, mereka diakadnikahkan pada 5 Mei iaitu pada hari raya kelima. 

Majlis resepsi di adakan pada 6 Jun 2022 di sebelah pihak perempuan dan  7 Jun keesokannya di sebelah lelaki. 


 

Thursday, June 2, 2022

KOMUNIKASI TANPA WAYAR 😂😜

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

INI HANYALAH KISAH LELUCON

Dalam satu kajian arkeologi di negara Scandinavia, penyelidik menggali kawasan tapak kota purba di pinggir Oslo, Norway. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada penemuan sistem komunikasi menggunakan logam tembaga. 

Lalu mereka mengisytiharkan bahawa teknologi komunikasi di Norway sudah wujud sejak lama dan menggunakan logam tembaga sebagai medium utama. 

Berita ini heboh diperkatakan dalam media antarabangsa. Kejayaan penyelidik arkeologi Norway telah menyebabkan pihak saintis Jepun tertarik untuk menggali kawasan arkeologi di pulau Honshu. Mereka pun membuat penyelidikan dan menggali pada kedalaman lebih 10 meter di tapak kota lama peninggalan tamadun terdahulu. 

Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati penemuan jaluran komunikasi daripada logam aluminium. Mereka merumuskan bahawa masyarakat Jepun juga sudah mempunyai teknologi komunikasi yang hebat pada masa lalu. Penemuan ini dimuatkan dalam media dan buletin ilmiah dalam dan luar Jepun. Ia menjadi satu kebanggaan rakyat dan negara matahari terbit itu. 

Ahli-ahli arkeologi seluruh dunia menghamburkan pujian kepada usaha pihak Jepun. Ini juga menarik minat sekumpulan saintis India. Mereka telah ke sebuah kota purba berdekatan dengan Kartanaka, lalu membuat penyelidikan di sana. 

Tidak lama kemudian, ahli-ahli arkeologi India, tidak menemui sebarang bukti wujudnya teknologi komunikasi menggunakan logam. Lalu mereka membuat kesimpulan, masyarakat India purba sudah menggunakan teknologi tanpa wayar untuk berhubung sesama sendiri. 

Ini adalah kisah rekaan semata mata, yang saya baca daripada Readers Digest dan masih ingat sampai kini. Apakah pengajarannya kepada kita?

😀😀😀😀😜😜😜😜😜

Monday, May 9, 2022

RAYA TIBA TIBA YANG MEMBAWA RAHMAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pulang ke pantai timur pada musim perayaan adalah igauan para pemandu, kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan yang kronik. Perjalanan pulang berhari raya di Terengganu tahun ini, kami memilih laluan Simpang Pulai- Gua Musang -Aring - Kenyir, dan bukannya jalan raya Timur Barat (Gerik - Jeli). Ini kerana saya yakin laluan Gerik -Jeli - Pasir Puteh adalah laluan yang pasti mengalami kesesakan parah musim perayaan ini. Saban tahun, itulah yang berlaku. Apatah lagi, sudah lebih dua tahun sejak PKP mulai dilaksanakan pada 1 Mac 2020, inilah kali pertama rakyat diberikan kebenaran rentas negeri untuk pulang berhari raya. Dikhabarkan lebih dua juta kenderaan dijangka menggunakan laluan ke pantai timur pada musim perayaan kali ini.  
Anak perantau mengambil peluang pulang ke kampung masing masing kerana sudah lama tidak dapat beraya bersama sanak saudara. Pastilah jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Andaian saya tepat. Berita di media sosial mengesahkan kesesakan di LPT, PLUS, tol Gombak, Jeli- Bukit Bunga. Syukurlah kami mengambil laluan yang kurang risiko. Dari Lekir, kami bertolak kira kira jam 8 pagi menuju ke Batu Gajah, masuk ke Simpang Pulai dan terus ke Gua Musang. Perjalanan agak santai dan akhirnya kami sampai ke bandar Gua Musang yang sesak di pusat bandar menuju ke Kuala Krai, kerana pertembungan dengan kenderaan dari arah KL melalui Kuala Lipis Pahang. Kami berasa lega setelah memasuki laluan Felda Aring dan dapat solat Zohor di Masjid Kilang Sungai Tong, sebelum meneruskan perjalanan dan tiba kira -kira 4 petang. 

PENGUMUMAN RAYA TIBA-TIBA

Usai berbuka puasa dengan keluarga mentua, kami bersiap untuk solat maghrib. Ketika sedang mandi, anak anak menjerit memberitahu, raya jatuh pada hari Isnin 2 Mei 2022. Pengumuman tersebut dibuat oleh penyimpan mohor besar raja-raja, dan disahkan melalui pelbagai reaksi dalam media sosial. Rata-rata menjangkakan raya pada Selasa. Rupanya tarawih terakhir Ramadhan tahun ini tak sempat dibuat di Terengganu. Malam itu kami bertakbir raya selepas solat Isyak. 

PERNIKAHAN ADIK BONGSU PADA HARI RAYA KE-4

Adik ipar saya, Wan Amirah Afifah bertemu jodohnya dengan pemuda kampung Maras, iaitu Mohammad Asyraf Che Wahid. Majlis akad nikah pada Khamis 5 Mei berjalan lancar dan kami bersyukur ramai saudara terdekat termasuk Poksan, Pokwa dan Ayohcik dapat meluangkan masa hadir meraikannya.   

Kami bersama Bak dan Cek, tanpa Aqil Najmi yang beraya di Sabah

MASJID RAZALEIGH GUA MUSANG

Perjalanan pulang ke Perak lancar, sehinggalah kami memasuki laluan Kuala Krai-Gua Musang. Kami menempuh kesesakan jalan raya yang agak teruk. Kenderaan berbaris panjang namun syukurlah kerana selamat tiba di RR Gua Musang. Selesai solat jamak zohor asar, kami masih perlu melalui kesesakan yang panjang sehingga ke bandar GM. Akhirnya saya buat keputusan berehar sebentar di masjid baharu yang dibina ala-ala Masjidilharam, dengan kos lebih RM28 juta. Kami bertemu ramai pengunjung yang terpegun dengan seni bina masjid ini. Saya jumpa Haji Sajihan dan Kak Nor, warga Manjung yang pulang berhari raya di Dungun. Anak anaknya Norita dan Norina adalah bekas pelajar saya. Kini kedua-duanya sudah menjadi mak orang. Begitulah hukum dunia, (Saya semakin tua sebenarnya)

Perjalanan pulang kami lancar sebaik melepasi simpang ke Kuala Betis. Kami selamat tiba di Lekir kira kira 10.40 malam. Syukurlah perjalanan lebih 12 jam bernoktah tanpa sebarang masalah besar. Saya mendapat berita laluan di Jeli dan LPT mengalami kesesakan teruk sehingga stesen minyak pun keputusan bekalan minyak. 

Syawal kali ini betul betul 'raya'....


Monday, April 18, 2022

BAS ARWANA YANG SELESA DAN SELAMAT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Ahad 17 April 2022, saya ke Putrajaya menghantar anak sulung yang mendapat kerja di Jabatan Perangkaan. Perjalanan kami bermula pagi dengan menaiki kereta Perodua Axia, yang akan digunakannya sepanjang berulang alik dari rumah sewa ke lokasi pejabat. Kami menggunakan laluan Kuala Selangor hingga ke LATAR dan terus ke Putrajaya. 

Sepanjang perjalanan kami, keadaan trafik tidak sibuk dan pemanduan lancar. Keadaan mungkin akan berubah pada dua minggu lagi, kerana pada andaian saya, rakyat Malaysia akan menggunakan kesempatan cuti hari raya untuk meraikannya bersama keluarga di kampung. Sementelah, sudah dua tahun pelaksanaan PKP menyebabkan hari raya disambut secara ala kadar kerana merentas negeri tidak dibenarkan. Pihak berkuasa juga menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan memenuhi jalan jalan utama pada musim perayaan kali ini. 

Kami sampai di rumah adik saudara saya di Presint 16, kira kira 12 tengah hari. Ibu saudara yang saya panggil Anjang Hajar, tinggal di sana. Dia dan suaminya sudah bersara daripada sektor awam. Saya kemudiannya dihantar ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk menaiki bas pulang ke Manjung. Tiket bas Arwana, berharga RM 30 (Anjang belanja saya tiket ini) pada jam 2 petang dengan tempat duduk nombor 12 sudah berada di tangan. Terima kasih anjang, Suraya, dan anaknya Rizq Farihin menghantar saya ke TBS. Rizq Farihin, anak arwah adik saya turut mengiringi saya ke TBS. Kami jarang berjumpa, dan kini, Rizq semakin dewasa dan lebih matang. Ada iras wajah arwah adik saya, Abdullah Sani, dan abangnya, Ajmal Haziq. 

Rizq Farihin 

Ajmal Haziq
Selepas solat jamak Zohor dan Asar di surau TBS yang selesa, saya mundar mandir di ruang legar TBS, melihat telatah dan karenah manusia pelbagai gaya dan bangsa. Dahulu, sebelum ada TBS, hentian bas popular di Kuala Lumpur tentunya Puduraya, yang terletak di pusat kota raya. Tahun 90-an, Puduraya menjadi hentian bas ekspres utama pelbagai destinasi dan mengimbau kenangan semasa saya belajar di Serdang dahulu. 

TBS hari ini sangat selesa, dan bersih jauh lebih baik daripada Puduraya dahulu. Alhamdulillah, ada surau, tandas, kedai, kawalan keselamatan dan kaunter bas yang kemas dan rapi. Bangunan ini dilengkapi pendingin hawa yang memberi keselesaan kepada pengunjung. Segala kemudahan disediakan oleh kerajaan ini perlu dihargai oleh rakyat. 

Jam 2.15 petang, bas Arwana serba merah berhenti di pintu platform 12 dan saya pun naik bersama penumpang lain. Keadaan bas sangat selesa, luas dan bersih. Pemandunya juga bersopan, menyambut kami dengan senyuman. Saya rasa ini antara perkhidmatan bas ekspres yang boleh digunakan pada masa akan datang. Penumpang hanya sekitar 20 orang untuk trip ini, namun menurut pemandu, tiket bas untuk musim raya ke semua destinasi yang ditawarkan oleh Syarikat Arwana, sudah pun ditempah dan hanya ada beberapa tempat duduk kosong untuk tarikh sebelum 29 April.

Keadaan dalam bas Arwana

Perjalanan saya hanya mengambil masa kira-kira tiga jam setengah. Saya pada mulanya menjangkakan akan berbuka dalam perjalanan sebab andaian awal saya akan tiba jam 8 malam. Anjang pun sudah menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk berbuka sebagai persediaan. Syukurlah, perjalanan saya bernoktah jam 5.31 petang dan saya selamat tiba di rumah sebelum maghrib menjelang.   
 

Tuesday, April 12, 2022

Ramadan, bulan untuk bersedekah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Ramadan adalah bulan suci umat Islam yang hanya datang setahun sekali. Pada  bulan ini, pahala ibadah menjadi seribu kali ganda jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lainnya. Itulah kelebihan Ramadan yang tidak ada pada bulan lain.

Allah menyediakan pelbagai keutamaan ini kepada orang-orang yang memperbanyak ibadah di bulan Ramadan. Inilah rahmat dan nikmat yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya yang dapat memanfaatkan  bulan mulia dengan memperbanyakkan ibadah. Maka bersyukurlah kepada Allah, kerana mempertemukan kita dengan bulan Ramadan.

Selain melakukan ibadah solat tarawikh, memperbanyak membaca Al-Quran, dan amalan sunnah lainnya, umat Islam dituntut untuk berlumba lumba beramal dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Ini sesuai dengan satu hadis Nabi,
"Sedekah paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan." (HR At-Tirmidzi dari Anas).

Bersedekah juga merupakan satu sikap dermawan yang sekaligus menjadi membentuk sikap rendah hati, redha dan ikhlas yang disukai Allah.

"Sesungguhnya Allah SWT itu Maha memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk." (HR. Al Baihaqi). 

Bersedekahlah walaupun jumlahnya sedikit, sebab kita belum pasti dapat bertemu Ramadan pada tahun berikutnya. 

Tuesday, March 29, 2022

Rasuah Di Malaysia: Isu Yang Semakin Membarah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada Januari 2022, laporan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Dunia tahun 2021, meletakkan negara ini jatuh ke kedudukan 62, berbanding 57 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut secara langsung meletakkan imej Malaysia sangat tidak baik dalam pengurusan rasuah.

Sama ada kita setuju atau tidak, hakikat pembabitan beberapa indiidu dalam isu 1MDB, dakwaan terhadap kepimpinan negara dalam beberapa isu rasuah dan penyelewengan, termasuk kes mahkamah melibatkan pegawai kerajaan, ia membuktikan kepada kita isu rasuah di Malaysia sudah semakin tenat. 

Adalah amat malang, Malaysia mempunyai pelbagai sumber semulajadi dan potensi, semakin jauh ditinggalkan dalam bidang ekonomi, berbanding negara lain di Asia Tenggara. Kita semakin jauh di belakang Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Pengurusan sumber yang tidak seimbang, ditambah dengan isu rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik dan agensi penguatkuasa, menghambat rakyat menjadi terhimpit dan tersiksa. Kesannya, ia menjejaskan pelaburan luar ke Malaysia, memberikan persepsi negatif kepada negara dan mengakibatkan negara dipandang serong. 

Sebagai contoh, pembalakan hutan yang berleluasa, mengakibatkan banjir besar di beberapa negeri awal tahun 2022. Namun begitu, pihak berkuasa menyatakan ia berpunca daripada hujan lebat berterusan yang luar biasa. Dengan isu 1 MDB yang masih belum selesai, ditambah dengan imej SPRM yang tercalar dengan dakwaan pegangan saham oleh pegawai kanannya baru baru ini, sedikit sebanyak ia memberi konotasi isu rasuah di Malaysia semakin memburuk. 

Walaupun Islam mengharamkan rasuah, mereka yang terlibat tidak berasa bersalah melakukannya. Jika tiada usaha tuntas di peringkat kerajaan dan penguatkuasa untuk membanteras rasuah, segala perancangan negara akan menjadi sia-sia. 

Saya melihat kepimpinan Indonesia di bawah Pak Jokowi, sangat berusaha ke arah memajukan negara tersebut dan mengurangkan rasuah dalam birokrasinya. Hasilnya kini, Indonesia sekarang semakin dihormati dan disegani. Banyak pelabur asing termasuk dari Malaysia yang menanam modal di sana. Malah, beberapa syarikat pelabur asing yang sebelum ini membuka kilang di Malaysia, sudah beralih arah ke negara tersebut, kerana kos buruh yang rendah dan isu rasuah yang semakin dapat ditangani dengan baik. 

Diharapkan kepimpinan negara dapat berbuat sesuatu untuk mengatasi isu rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa dan pemimpin politik di negara ini. Buat rakyat Malaysia, janganlah memilih parti atau pemimpin yang terlibat dengan isu rasuah. Mereka tidak akan berubah sikap, kerana sekali terjebak, selamanya mereka akan terus bergelumang dengan rasuah, tanpa rasa bersalah.         

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...