Tuesday, December 30, 2008

Hari Transisi Aqil Di SKL

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Aqil Najmi, anak keempatku, sudahpun memasuki tahun 1 pada sesi persekolahan 2009. Hari ini, dia mengikuti program transisi di SKL. Program transisi ialah hari untuk memberi pendedahan kepada murid tahun 1, supaya mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Ucapan guru besar, cikgu Zulkyply banyak menjelaskan akan kepentingan menjaga keselamatan anak-anak dan peraturan sekolah secara umu.

Syukurlah, Aqil sudah boleh membaca sebelum masuk tahun 1. Sebenarnya, keadaan masa kini menuntut ibu bapa lebih berusaha untuk mengajar anak-anak membaca dan mengira sebelum masuk ke tahun 1. Bukan seperti zaman aku dulu, masuk tahun 1 baru nak kenal ABC.. Kalau di tahun 1 baru nak belajar mengeja, pasti anak-anak berkenaan ketinggalan.

Ramai ibu bapa yang hadir memberi sokongan, dan kebanyakan bapa yang kutemui memang nampak prihatin dengan apa yang dinyatakan guru besar.

Guru besar memaklumkan, dalam keadaan hari ini, KPM banyak memberi keutamaan untuk membantu keluarga miskin, seperti Rancangan Makanan Tambahan, Tabung Pelajar Miskin dan seumpamanya. Segalanya bergantung kepada butiran yang terkandung dalam borang maklumat yang perlu diisi oleh ibu bapa.

Mungkin Pokli, Pak Din (Mountdweller), dan blogger lain yang anaknya sudah besar, tidak perlu lagi bersusah payah menguruskan anak-anak di sekolah rendah. Jadi, inilah masa sibuk aku pada awal tahun ini.

Kesimpulannya, program transisi yang berjalan lancar telah mengurangkan masalah untuk murid tahun 1 menyesuaikan diri.

Saturday, December 27, 2008

Bukan Islam Usah Gusar Dengan Hudud

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Petikan daripada Mstar, Sabtu Disember 27, 2008

Hadi: Situasi tidak stabil, sukar laksana hudud

Masalah ekonomi, pengangguran halang pelaksanaan hudud, kata Presiden PAS

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

Malah, beliau juga mengakui bahawa bukan mudah untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan negara dan rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kata Abdul Hadi, situasi ekonomi semasa dan pengangguran di kalangan rakyat negara ini menghalang hudud daripada dilaksanakan.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya.

Katanya, kebimbangan yang dilahirkan oleh segelintir rakyat negara ini sama seperti mentaliti kampung ketika era 1950-an.

Mentaliti kampung tahun 1950-an menyaksikan orang ramai khuatir untuk ke hospital kerana mereka bimbang sebaik sahaja melangkah ke hospital, mereka akan dibedah.

Terdahulu beliau merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam di sini hari ini.

Kata beliau, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Beliau berkata, golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

"Pada kita, tidak timbul lagi soal hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya

Aku setuju kenyataan Presiden PAS itu. Maksudnya, orang bukan Islam tak perlu bimbang dan takut tentang hudud, biarlah orang Islam yang menentukannya.

Mutakhir ini, banyak gejala maksiat yang mengakibatkan kebejatan sosial dalam kalangan remaja Islam. Aku yakin, hanya dengan undang-undang yang Allah tetapkan dalam Quran, mampu mengurangkannya.

Di samping itu, penerangan yang jelas harus dimainkan oleh setiap muslim terhadap bukan Islam, supaya Islam tidak dipandang serong.Ibu bapa juga memainkan peranan mendidik dan mengasuh anak-anak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya.

Dalam Harian Metro hari ini, ada kisah remaja Melayu yang ditangkap kerana lumba haram, tapi langsung tidak tahu mengucap, apatah lagi membaca Quran. Inilah cabaran yang getir dan sedang kita hadapi.

Kita bukan berbicara soal tidak cukup makan minum, tapi soal kekosongan roh Islam dalam jiwa anak-anak remaja kita. Mereka terlalu disogok dengan hiburan dan budaya hedonisme, sehingga lalai dan leka dalam dunia mereka sendiri.

Jika kita biarkan keadaan ini berterusan, akan hancurlah generasi akan datang. Boleh jadi, Islam juga akan tinggal nama sahaja, seperti yang berlaku di Bosnia Herzegovina, awal 90-an dulu.

Mahukah kita? Apakah kita pernah terfikir bencana tsunami yang melanda Aceh pada 2004 yang lalu, sebagai satu amaran, bahawa azab Allah boleh datang bila-bila masa? Jika anda anggap Malaysia selamat, itu sebenarnya adalah kerana Allah masih sayang kepada umat Islam di negara ini.. Fikirkanlah..

p/s: Selamat menyambut Maal Hijrah 1430H kepada semua rakan-rakan blogger dan pengunjung



Monday, December 22, 2008

Bertaubatlah Rizal..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Setiap manusia bukannya sempurna, tapi kita mesti berusaha menjadi umat yang sempurna. Belajarlah daripada kesilapan, sebab manusia yang belajar daripada kesilapan, boleh menebusnya pada masa depan.

Hari ini, Mohd Rizal, bekas pramugara yang terkenal dengan tagline "TERLAMPAU" telah dibebaskan oleh mahkamah kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tersebut.

Dengan kata lain, mahkamah anggap dia tidak bersalah, biarpun buktinya memang sah dan terang-terangan dia berzina dengan rakan sejawatnya sehingga menjejaskan nama syarikat penerbangan nasional.

Bekas pramugara bebas tuduhan terbitkan VCD lucah (Petikan Star online)

SHAH ALAM: Bekas pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang dituduh menerbitkan video cakera padat (VCD) lucah dibebaskan dan dilepaskan hari ini selepas Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadapnya.

Mahkamah, dalam membenarkan rayuan Mohd Rizal Mat Yusuf, memutuskan sabitan dan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen empat tahun lepas merupakan kegagalan keadilan.

Alasan utamanya ialah kegagalan pihak pendakwaan membuktikan bahawa Rizal yang telah membuat atau menerbitkan VCD bertajuk "Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau" bagi tujuan pengagihan dan pengedaran.

Rizal, 36, pada 17 Dis, 2004, dihukum penjara 18 bulan kerana membuat dan mengedarkan VCD yang memaparkan adegan lucah di Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang, antara 1999 dan Mei 2003.

Hakim P.Nallini, dalam penghakiman 21 muka surat berkata para saksi pihak pendakwaan telah gagal mengaitkan antara VCD lucah itu dan Mohd Rizal.

Beliau berkata tiada bukti yang menunjukkan Rizal membuat atau menerbitkan VCD itu kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan hanya menunjukkan yang dia terbabit dalam beberapa adegan dan merakamkan pita kaset video menggunakan video handycam dan alat kawalan jauh.

"Tidak ada keterangan dikemukakan yang menunjukkan Rizal telah memindahkan isi kandungan pita kaset video itu ke dalam VCD. Begitu juga tiada keterangan yang menunjukkan dia memiliki, atau menggunakan peralatan khas yang diperlukan bagi tujuan pemindahan itu.

"Sekiranya pertimbangan dibuat sama ada wujud kes prima facie berhubung keterangan yang dikemukakan dalam kes pendakwaan dan jika undang-undang yang diperlukan telah diguna pakai dalam kes pembelaan, tidak mungkin keputusan untuk mensabitkan Rizal dapat dicapai.

"Dalam keadaan ini, sabitan terhadap perayu dilihat adalah akibat kegagalan keadilan, mendorong campur tangan di peringkat rayuan," katanya.

Beliau berkata alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen menunjukkan yang pemeriksaan dan penilaian menyeluruh tidak dilakukan terhadap kes pendakwaan dan sebaliknya semakan teliti dan menyeluruh dilakukan terhadap kes pembelaan.

"Kesan daripada gagal membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan, tetapi membuat penelitian menyeluruh terhadap kes pendakwaan ialah untuk menterbalikkan beban bukti.

"Menterbalikkan beban bukti seperti itu akan menyebabkan keadilan tidak dapat dilaksanakan. Undang-undang mensyaratkan yang penilaian maksimum patut dilakukan pada penutupan kes pendakwaan bukan sekadar ketetapan tetapi perlu diaplikasikan," katanya.

Rizal, dalam pembelaannya mengaku merakamkan perlakuan seksualnya dengan pramugari rakan sekerja dalam pita kaset video menggunakan kamera video bimbit bagi kegunaan peribadi.

Katanya apabila dia memutuskan hubungan dengan pramugari itu, dia berjanji untuk memusnahkan pita itu dan dia tidak memindahkan isi kandungannya ke dalam VCD kerana dia tidak mempunyai peralatan untuk berbuat demikian.

Apabila ditanya pemberita, mengapa dia sering menutup wajah, Rizal memberitahu, dia mahu mengelakkan daripada kesukaran mencari kerja, kerana sering diberhentikan majikan.

Rupanya, di dunia lagi Allah dah beri pembalasan untuknya. Kasihan, moga Allah mengampuni kamu, Rizal. Bertaubatlah, selagi nyawa masih dikandung badan. Jangan lupa, Allah memberi peluang untuk kamu balik ke pangkal jalan, sama seperti peluang yang Allah beri kepada Hanif Basri Abdul Rahman, jurutera yang pernah terlibat dengan Norita Samsudin dulu.

Buat kita, ingatlah, agama sebagai panduan dalam hidup yang penuh cubaan dan dugaan ini.

Saturday, December 20, 2008

AKHIRNYA ATIF SELAMAT DIKHATAN

Hari bersejarah buat Atif Faizi, anak ketigaku, yang dikhatankan hari Sabtu 20 Disember 2008. Awal-awal lagi dia bersiap dan selepas solat subuh, aku menjelaskan proses berkhatan sebagai satu daripada rutin lelaki Muslim, sekali dalam hidup.

Teringat zaman aku berkhatan, naik motor yang ditunggang ayah, hingga ke klinik. Aku agak lasak, menyebabkan lukaku bentan. Bila terkenang peristiwa semasa kanak-kanak dahulu, aku terharu dengan pengorbanan ayah dan mak. Besar jasa mereka membesarkan aku, Yong, Sani, Oun dan Wa.

Majlis yang diadakan di surau Taman Mohd Wazir melibatkan penduduk setempat. Ia bermula dengan bacaan tahlil serta doa dan jamuan makan. Juadah disediakan secara ala kadar oleh ibu bapa dan derma orang ramai. Sengaja aku memilih majlis khatan beramai-ramai, supaya aku dapat merasakan suasana hidup dalam komuniti.

Ia juga merapatkan hubungan sesama jiran. Malah, tak keterlaluan aku katakan cara ini dapat mengurangkan ego manusia. Jentera bomba yang datang 'memandikan' peserta menjadikan suasana bertambah gamat.

Tidak cukup dengan itu, peserta khatan dibawa mengelilingi kawasan kejiranan taman berdekatan surau. Setiap seorang diberi bunga telur dan sehelai kain pelikat.

Di klinik, tak perlulah dinyatakan lagi. Atif semakin pucat biarpun telah diberi semangat dan dorongan. Tapi, segala-galanya selamat. Alhamdulillah, dia berjaya melalui ujian untuk menjadi seorang dewasa.

Semasa proses pembedahan, ayat yang selalu ditanya Atif: Dah ke? Dah ke?

Aduhai, begitulah keadaannya.

Wednesday, December 17, 2008

LALUAN KENYIR YANG MENDAMAIKAN

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Maaflah, aku kerap mengabaikan blog sejak akhir-akhir ini, kerana tugas pemeriksaan kertas SPM yang memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Arghh.. rasa nak pecah kepala teman!


Tempoh hari, kami pulang ke Perak melalui Kenyir. Laluan ini bukanlah asing, kerana aku telah menggunakannya beberapa kali. Bermula dengan perjalanan ikut Tepoh, masuk ke arah Sungai Tong hinggalah simpang masuk ke Tasik Kenyir, perjalanan tidak sibuk dan kenderaan boleh dikira.

Laluan ini sebenarnya tidak dibuka secara rasmi, tetapi semakin menjadi pilihan kepada pengguna jalan raya yang memilih alternatif selain Jalan Raya Timur Barat (melalui Grik). Malah, untuk ke destinasiku, ia menjimatkan perjalanan sebanyak 80 km!

Laluan di sini cukup mendamaikan. Tasik Kenyir yang terbentuk daripada sungai yang diempang bagi menjana stesen hidro elektrik menjadi tasik buatan yang besar.Maaflah, foto tak menarik, diambil ketika kereta sedang bergerak

Ia selalunya menjadi tumpuan kaki pancing yang kerap ke Pangkalan Gawi untuk melayan kehendak hati. Bagaimanapun, aku mencadangkan sesiapa yang ingin menggunakannya, eloklah merancang pemanduan pada sebelah siang. Bukan apa, laluan ini masih kekurangan prasarana. Selain itu, ia bukan laluan sibuk seperti di laluan Jeli-Grik. Sangat sunyi...

Inilah Santuari Gajah yang akan menjadi sebahagian daripada tarikan di Kenyir

Melewati jarak 111 km dari Batu Rakit, kami melintasi Santuari Gajah yang sedang dinaik taraf. Mungkin ia akan menjadi satu destinasi popular satu hari nanti. Ia menempatkan beberapa ekor gajah yang ditangkap di serata hutan tebal di Terengganu atau negeri lain. Aku juga dimaklumkan santuari ini seumpama klinik sementara untuk gajah-gajah yang cedera sebelum dilepaskan kembali ke habitat asalnya. Selain itu, ia juga menempatkan beberapa ekor gajah denak yang membantu PERHILITAN untuk memindahkan gajah liar ke hutan simpan.

Berhati-hati, ada cerun runtuh di hadapan!

Ada juga cerun runtuh di laluan ini, tetapi ia telah dibaiki oleh JKR. Sesekali, kami akan berselisih dengan kenderaan lain tetapi jumlahnya tidak banyak. Kalau siang pun dah sunyi, malam, apatah lagi.. Gerun juga aku memikirkan laluan ini pada waktu malam. Sangat sunyi!

Pastikan anda menemui pokok unik ini jika lalu di sini

Pada jarak km 124, kami melintasi pokok unik di cerun bukit. Kedudukannya di tepi jalan, condong ke arah jalan agak menghairankan. Tetapi pada pendapat aku, ia unik sebab pokok ini seperti cendawan yang sangat besar.

Sebelum masuk ke Felda Aring, panorama bertukar menjadi suasana yang menyedihkan, apabila longgokan balak menghiasi kiri kanan jalan. Hutan-hutan telah ditebang untuk digantikan dengan pokok kelapa sawit. Ada sesetengah balak tidak bertanda dengan tag Jabatan Hutan, dan ia tentulah balak haram. Malangnya, di sini, pembalakan seolah-olah tidak dikawal. Melihat bukit yang gondol ditarah, aku rasakan golongan oportunis memang rakus mencari kekayaan dengan meranapkan khazanah bumi yang tidak ternilai. Hutan hujan Khatulistiwa sebenarnya memerlukan masa untuk membentuk kanopi yang menjadi tadahan hujan. Bukan setahun dua, tapi ribuan tahun. Malah, hutan hujan di Malaysia sudah berusia jutaan tahun, menjadi sebahagian daripada paru-paru yang menapis keseimbangan antara Karbon Dioksida dan H2O.

“Patutlah gajah mengamuk,” kataku sendirian.

Mana tidaknya, hutan yang selama ini menjadi ‘rumah’ haiwan seperti harimau, gajah, beruang dan seumpamanya, sudah semakin mengecil. Inilah hakikat yang perlu dihadapi. Manusia dan haiwan berebut tempat untuk survival, dan akhirnya manusialah yang menang. Haiwan akan kalah. Habitat gajah semakin mengecil, menyebabkan ia masuk ke kebun dan merosakkan benih pokok. Harimau juga semakin kehilangan mangsa, sebab rusa liar dan napuh semakin kurang. Mutakhir ini, jumlah harimau dianggarkan antara 250-300 ekor di seluruh Semenanjung!

Pertemuan yang tidak disangka, ialah apabila aku bertemu rakan lama di UPM, yang juga room mate semasa di Kolej Kelima, UPM di Hentian RR Gua Musang. AKu bertemu semula dengan Dr. Khairi, seorang veterinaries yang dalam perjalanan pulang dari rumah mertuanya di Kelantan ke Bangi. Sungguhpun pertemuan ini tidak lama, ia amat bererti buat kami. Hampir 12 tahun lamanya kami tidak bersua, sekadar bertanya khabar melalui emel dan SMS sahaja.

Kami menerima hakikat, bahawa masing-masing sudah punya kehidupan sendiri. Hidup semasa membujang bersama room mateku ini banyak kenangannya. Kami sama-sama berbuka di masjid semasa bulan Ramadhan. Untuk save budget, kami membuat kumpulan makan seramai 5-6 orang dengan kadar RM10/minggu untuk membeli lauk pauk. Kami juga pernah ke Melaka dengan menyewa van bersama Man Boroi, Shakran, Pozi, Wahab dan beberapa orang lagi. Kami pernah masuk ke Dusun Contoh untuk mengutip durian D24 sehingga hampir ditangkap Pak Guard (Aku senyum mengenangkan kisah ini). Kami juga pernah ke Medan, Sumatera bersama Balok, Jagung, Aizah, Nyah, Suhainin, Din Bundel dalam satu Lawatan Sambil Belajar selama seminggu. Alangkah seronoknya waktu itu.

Perjalanan diteruskan melewati Pos Blau, dan menuju ke Cameron Highlands. Laluan ini masih sunyi daripada kenderaan, tetapi tidaklah sehening laluan Kenyir-Gua Musang. Inilah sebahagian daripada kampung orang asli yang serba sederhana.

Perkampungan orang asli terletak di tepi jalan sahaja. Sesetengahnya sudah moden, tidak lagi beratapkan daun rumbia, dengan dinding buluh, tetapi lebih selesa biarpun sederhana. Lebih mengejutkan aku, beberapa rumah sudah pun mempunyai piring ASTRO di atapnya!

Menjelang 5 petang, akhirnya perjalanan sejauh 456 km selamat ditempuh, dan teratakku berada di depan mata. Syukur padaMu yang memberi rahmat sepanjang perjalanan ini.


Friday, December 12, 2008

Bekerja Sementara Boleh Menambah Keyakinan Diri

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kalau anda pernah ke mana-mana restoran Kentucky Fried Chicken(KFC), anda mungkin biasa disapa begini:
"Selamat pagi, encik. Nak makan di sini, atau bungkus?" tanya petugas yang muda remaja, dengan senyuman manis di wajah. Dari situ, bermulalah tempahan makanan sehinggalah kepada menu dihidangkan di hadapan kita.

Pada akhir sesi di kaunter itu, petugas akan menutup perbualan dengan kata-kata yang lebih kurang begini:

"Terima kasih, encik. Enjoy your meal. Datang lagi."

Menariknya, KFC merupakan restoran francais makanan segera yang berjaya di Malaysia, dan dunia amnya. Aku tak berniat nak bercerita tentang resepi rahsia Kolonel Saunders yang 'menjilat jari' tetapi aku lebih tertarik dengan petugas-petugasnya.

KFC mempunyai identiti tersendiri, dari segi pakaian staf dan cara pertuturan, semuanya ditetapkan. Ada juga bekas pelajar yang bekerja di KFC Lumut, seperti Sha dan Sobri. Kekadang mereka terus melayani aku apabila kelibat aku dilihat di kaunter. Paling menyeronokkan, biasanya merekalah yang 'membelanja' aku.


"Tak apa, cikgu. Saya belanja."

Dari apa yang aku lihat, bekerja di KFC (sementara atau lama) sebenarnya adalah batu loncatan untuk menambah keyakinan diri seseorang. Bayangkan, kalau kita bertugas di kaunter, bermacam karenah pelanggan yang kita hadapi. Ada yang nak cepat, yang tak kisah, dan pelbagai lagi ragam yang perlu ditangani.

Sebenarnya, remaja Melayu patut gunakan peluang ini terutama selepas SPM, sebab ia membantu menambah kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.

Berdasarkan pengalaman, aku dapati kebanyakan remaja Melayu mengalami krisis keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai. Di KFC, kaki tangan diajar dari A hingga Z untuk berdepan dengan pelanggan. Jika kita dapat menguasai kemahiran komunikasi, tentu pelanggan tak lari. Ini bermakna, pekerja adalah aset kepada KFC, bukan setakat resepi rahsia semata-mata.

Hari ini, seorang ahli parlimen menyatakan dengan terang dan jelas, bahawa pelajar universiti hari ini malas membaca. Itu pun sebenarnya satu daripada tanda krisis keyakinan diri. Mungkin ada dalam kalangan kita yang marah apabila ditempelak begitu, tapi itulah kebenaran, walaupun pahit. Mungkin juga salah sistem pendidikan yang terlalu mengarah kepada peperiksaan.


Selepas SPM dahulu, aku bekerja di kilang mencetak baju. Bukan mudah mencetak baju T dengan acuan yang perlu dibancuh dengan warna yang dikehendaki pelanggan. Aku terpaksa menerima teguran dan peringatan jika salah mencetak, sebab ia meningkatkan kos.

Selepas STPM, aku bekerja di kilang memproses ayam di Kg. Acheh, Lumut. (Aku bekerja di bahagian ayam hidup, tugas aku mengeluarkan ayam hidup dari sangkar dan menggantungnya sebelum disembelih). Ayam-ayam hidup ini kekadang menyebabkan aku tak berselera makan, sebab bau najisnya melekat hingga ke baju.

Semasa cuti semester Tahun 1, aku mengambil peluang bekerja di sebuah resort di Teluk Batik. Semuanya memberi aku pengalaman berdepan dengan realiti kehidupan. Baru aku tahu susah senangnya mencari duit. Paling menyeronokkan, apabila aku tak menyusahkan ayah untuk mengambil lesen memandu.

Kesimpulannya, peluang bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan harus digunakan dengan sebaik mungkin. Mungkin itu peluang sebenar untuk kita menentukan apa yang kita nak ceburi pada masa hadapan.

Thursday, December 11, 2008

Cabaran Bermula..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Dengan tempoh masa hampir 3 minggu, aku mesti menyiapkan penandaan skrip jawapan dari sebuah negeri di Selatan Semenanjung.

Lantaran, aku terpaksa menumpukan lebih perhatian terhadap jadual yang telah ditetapkan.

Saturday, December 6, 2008

Tak Belajar Daripada Tragedi 15 Tahun Lalu?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Marilah kita ambil iktibar dengan apa yang berlaku ini. Pada tahun 1993, ketika aku masih di UPM, Serdang, negara digemparkan dengan tragedi Highlands Towers, Ulu Kelang.

Pagi tadi, hanya 1.5 km daripada tapak tragedi itu, berlaku lagi runtuhan tanah yang menimbus 14 buah rumah mewah di kaki bukit.

Foto daripada Mstar

[Sumber Mstar:DIKEMAS KINI, 5 petang] KUALA LUMPUR Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan dijalankan sepanjang 24 jam bagi mengesan kira-kira enam orang yang masih dipercayai tertimbus.

"Ada enam orang yang masih hilang. Pasukan menyelamat menggunakan anjing pengesan dan peralatan elektronik.

"Pada pukul 12 tengah hari tadi kita dapat mengesan dua mangsa di rumah hujung yang masih tertimbus.

"Kita sedang berusaha mendekati, harap-harap mereka boleh bertahan sampai kita datang," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kepada media di tempat kejadian.

Kawasan kejadian melibatkan keluasan kira-kira empat hektar (10 ekar) manakala penduduk di kawasan satu kilometer membabitkan kawasan sekitar lokasi kejadian sedang dipindahkan.

Setakat ini, tiga mayat sudah dikeluarkan.


Menurut sumber berita, TPM mahu semua pembinaan bangunan di kaki bukit dihentikan serta merta. PM pun begitu. Malah, Tun Dr. M semasa tragedi 1993, pun kata begitu.

Habis, apa jadahnya (meminjam tagline Wan Kamaruddin, wartawan NTV7) mengulangi kesilapan serupa? Kalau kawasan di situ sudah diketahui tidak selamat, mengapa dibenarkan pembinaan bangunan baru di atas bukit yang runtuh itu?

Siapa yang luluskan pembinaannya? Tentulah ada tangan-tangan yang menerima suapan untuk meluluskan projek lereng bukit. Aku percaya tragedi ini berlaku apabila kita tidak mematuhi peraturan dan hukum Allah.

Jabatan Alam Sekitar, di manakah peranan dan fungsi anda?

Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, mengapa luluskan pembinaan lot banglo yang tak siap di atas bukit?

Pegawai-pegawai kerajaan yang menanda tangan kelulusan pelan, adakah kamu sudah bingung kerana terlalu banyak mentekedarah duit suapan? Sudah butakah hati dan perasaan kamu dengan tragedi 1993?

Hakikatnya, kita tidak belajar daripada tragedi Highland Towers. Apa yang dinyatakan, tidak dikotakan. Kita hanya mengamalkan sikap 'hangat-hangat tahi ayam', dan biasanya pihak berkuasa bertindak apabila berlaku sesuatu tragedi (seperti hari ini, pelbagai cadangan dan arahan dikeluarkan.. Tapi bagaimana pelaksanaannya?)

'Sudah terhantuk, baru terngadah,' apabila terjadi tragedi, semuanya nak bersuara dan mencadangkan itu dan ini. Inilah budaya pemimpin, pihak berkuasa dan rakyat Malaysia.

Kita tak pernah belajar sebenarnya.

Percayalah, akan ada lagi tragedi seperti ini berlaku, selagi kita tidak belajar daripada hukum alam. Selagi ada pegawai kerajaan yang menerima rasuah, selagi ada pemaju rakus yang memikirkan keuntungan wang semata-mata, selagi itulah bencana seperti ini menghantui hidup kita. Kita tak pernah belajar daripada peristiwa lalu.

Kita rosakkan khazanah bumi ini, dan akibatnya kita juga menjadi mangsanya.

p/s: Maaf, emosi sedikit petang ini, perasaan sedih membaca berita tragedi menjejaskan mood saya. Esok saya pulang ke rumah mertua di Terengganu. Mungkin blog ini pun jarang dapat dijenguk. Salam aidil adha buat semua saudara-saudara bloggerku: Bro Jinggo, Pak Din, Tirana, Azza, Maksu, Ibnurashidi, Iina, Miss Jaz, Wilda, Shifu67 dan semua yang sering bertandang ke sini. Maaf, saya tak pandai buat kad raya maya.

Thursday, December 4, 2008

Bertanggak Di Parit Buntar

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Inilah mercu tanda pekan Parit Buntar. Jam besar di tengah pekan.

Kalau tidak kerana mesyuarat penyelarasan pemeriksaan Kertas Sejarah SPM, tidaklah aku ke pekan Parit Buntar (PB) ini. Mesyuarat dijadualkan selama 3 hari. Dengan situasi yang terjadi kepada jiranku sebelum ini, ada baiknya aku bawa famili ke sana. Sekurang-kurangnya, hatiku tidak bimbang akan keselamatan anak dan isteri. Lagipun, anak-anak belum pernah menjejak kaki ke sini.

Kami bertolak selepas Zohor dan tiba di PB pada jam 6 petang. Perjalanan memuaskan. Cuma anak-anak agak 'buas' setibanya di penginapan.

Uniknya PB, jika melalui lebuh raya, kita harus 'memasuki' negeri Kedah dahulu. Ikut susur keluar Bandar Baharu, kita akan masuk semula ke negeri Perak. PB memang terletak di kawasan sempadan negeri Perak dan Kedah. Rata-rata masyarakatnya dipengaruhi dialek utara yang sinonim dengan loghat Kedah.

Sawah padi terbentang luas menghampar kiri dan kanan lebuh raya, panorama yang cukup indah. Memang kawasan PB masih kekal dengan suasana desa yang mendamaikan.

Yang seronoknya, di sini ada liputan Celcom 3G. Mudahlah untuk melayari internet.
Majoriti di sini adalah orang Cina yang rata-ratanya berniaga. Tidak jauh bezanya dengan kawasanku di Sitiawan.

Parit Buntar, bagaimana ia mendapat namanya? Mungkin Tirana tahu? Entahlah. Esok dan lusa, masih ada untuk aku bertanya jawapannya.

Tuesday, December 2, 2008

Minyak Turun Menjelang Aidil Adha

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Mulai esok, minyak turun 10 sen. Itulah kenyataannya. PM yang akan berundur Mac nanti, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi mengesahkan harga minyak dunia yang semakin stabil membolehkan kerajaan menurunkan harga minyak demi memberi keuntungan kepada rakyat.

Secara relatifnya, harga minyak dunia kini di bawah US$60 setong. Ini bertentangan dengan kenyataan Datuk Saberi Chik, Menteri Penerangan yang berdebat dengan saudara Anwar tempoh hari. Dalam debat yang ditonton jutaan rakyat, Datuk Saberi menyatakan harga minyak tidak akan turun. Nah, apa dah jadi?

Ini bermakna, dengan RM50, kita dapat tambahan 1.3 liter menjadi 26.3 liter. Bersyukurlah. Tapi tak pasti hingga bila. Mungkin tahun depan, harga minyak naik semula.

Yang pasti, harga barang tak turun dengan mudah. Tambang bas naik mencanak, siap dengan surcaj 30%, dan ia takkan turun dengan cepat. Di Malaysia, peniaga berkuasa. Rakyat terpaksa hadapi keadaan ini, sebab penguatkuasaan kita sangat lemah.

Pihak berkuasa seperti KPDNHEP, Polis harus pastikan penurunan harga minyak selaras dengan penurunan harga barang keperluan. Barulah rakyat dapat manfaat.

Tapi, kita sebagai pengguna pun harus bijak mainkan peranan. Boikot adalah satu cara mengajar peniaga yang bongkak.

Harap-harap kadar inflasi dan indeks harga pengguna dapat stabil dan rendah. Dengan cara ini, kita masih dapat menikmati hidup dengan selesa. Tak ada gunanya gaji besar, tapi harga barang naik.

Yang merasa keperitan ini ialah orang kampung dan mereka yang berpendapatan rendah.

Monday, December 1, 2008

Tragedi Yang Menyayat Hati

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Apabila menonton berita terkini tentang nasib dua anak seorang juruterbang dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor, aku pasrah bahawa pasti harapan menemui mereka dalam keadaan selamat semakin tipis.

Hatiku terdetik untuk menganggap sedemikian, kerana mereka yang masih remaja, ditimbuni bertan-tan tanah belakang rumah akibat runtuhan yang tak terduga.

Mujur juga ibu dan ayah serta anak-anak yang lain sempat menyelamatkan diri. Keadaan rumah itu seperti yang dipaparkan melalui Buletin Utama, musnah sama sekali.

Ini benar-benar tragedi, fikirku. Siapa yang menyangka, rumah yang diharap menjadi pelindung, akhirnya menjadi kuburan yang mengakhiri hayat remaja berkenaan.

Siapa yang dapat menyangka, cuti sekolah yang menjadi masa untuk merapatkan hubungan ahli keluarga, menjadi masa yang begitu memeritkan buat mangsa kejadian ini.

Dua beradik mati tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Ulu Yam

HULU SELANGOR: Dua beradik mati tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Ulu Yam Perdana, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, sedang tidur dalam bilik mereka, manakala ibu bapa serta tiga adik beradik yang lain tidur di ruang tamu apabila tebing di belakang rumah berkenaan runtuh, lalu menghempap rumah itu yang dibina di atas bukit.

Ibu kedua-dua beradik itu, Azizan Madon, 42, berkata beliau bersama suaminya, Roslan Mohd Jalil, 49, dan tiga lagi anak mereka, Norlisa Azira, 8, Anis Afina, 6, dan Norman Afiq, 3, sempat menyelamatkan diri melalui bumbung rumah semasa kejadian.

Kedua-dua mayat dijumpai tengah hari ini oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, SMART, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mayat Noratirah pada 12.55 tengah hari. Setakat ini, mayat Nurul Intan Sarina masih belum dikeluarkan.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, Azizan berkata kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.

"Saya hanya dengar satu bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah, sebelum batu dan tanah masuk memusnahkan rumah kami.

"Saya selamatkan diri melalui bumbung rumah dan lari minta bantuan pihak pengurusan resort. Suami dan tiga anak saya yang lain juga berjaya selamatkan diri ikut bumbung," katanya sambil menangis teresakesak.

Beliau berkata mereka sekeluarga mendiami banglo itu sejak tujuh tahun lepas dan ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kawasan tersebut.

Sementara itu, salah seorang pekerja resort, Norafifah Hanim Abd Kadir berkata beliau terkejut apabila melihat Azizan berlari sambil meminta bantuan.

"Dia hanya berpakaian tidur dan tidak memakai selipar. Saya memang kenal keluarga mangsa, suaminya bekerja sebagai juruterbang AirAsia," katanya.BERNAMA

Itulah takdir Allah. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.


Saturday, November 29, 2008

Tahniah Kepada Tapa..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Sudah ramai anak muridku, yang berjaya mahupun kecundang dalam bidang masing-masing. Ada yang masih sudi menegur, ada juga yang menyombong diri. Ada yang baru habis SPM, jumpa aku di pasar malam pun tak memandang. Wah, benci sangat pada aku agaknya. Tapi masih ramai yang ingat akan diri yang semakin menginjak tua ini.

Bertalu-talu mesej mengucapkan selamat hari lahir kepadaku, yang dikirimkan bekas pelajar. Begitu juga dengan 16 Mei, yang sinonim dengan Hari Guru. Maknanya, masih ada bekas muridku yang masih sudi berhubungan dengan diri ini.

Dua minggu lalu, aku menerima mesej dari Nor Azfar Hanif bin Mazlan, atau mesra dengan panggilan Tapa.

"Tolong doakan saya, cikgu. Saya akan mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran peringkat Asean" begitulah maksud tulisan dalam mesej tersebut.


Inilah Tapa. Anak Melayu yang memenangi pingat emas dan akan mewakili
Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia di Kanada tahun depan.


Seperti yang aku percaya selama ini, setiap usaha yang diiringi doa dan tawakal, akan membuahkan hasil. Aku yakin Tapa boleh membuat yang terbaik, sebba aku kenal perwatakannya.

Tidak lama kemudian, aku menerima mesej daripada Tapa, menyatakan dia berjaya memenangi pingat emas dan menjadi johan pertandingan kemahiran tersebut. Berita kemenangannya disiarkan dalam akhbar perdana baru-baru ini.

Semalam, Tapa datang ke rumahku dan kami berbual panjang. Banyak juga kisah di sebalik pertandingan itu yang dapat kukongsi bersamanya.

Tapa, seorang daripada anak murid yang masih tidak lupa asal-usulnya, berbadan kurus dan menghormati guru. Aku sangat kagum dengan pencapaiannya yang berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Dia berjaya mengalahkan peserta Singapura, Thailand dan Filipina. Tapa kini bekerja sebagai pegawai Teknikal Proton Edar di Glenmarie, Shah Alam.

"Sebenarnya, cikgu. Pihak Proton bukan kekurangan pekerja mahir, tapi ramai yang cabut.." kata Tapa sebelum mengakhiri perbualan kami.

"Ngapa pulak?" tanyaku kebingungan.

"Pihak pengurusan kurang menghargai pekerja. Saya nak tengok dulu respons Proton selepas pertandingan kemahiran ni. Dia orang ada janji untuk saya."

Sememangnya Tapa adalah aset Proton yang patut dihargai. Dengan kemenangannya dalam pertandingan kemahiran menewaskan wakil Toyota dan Honda baru-baru ini, ia patut membuka mata pihak berkenaan agar tidak memandang rendah akan keupayaan budak Melayu sepertinya.

"Dah dapat tawaran lain?"Aku menguji.

"Ada tawaran daripada pegawai di BMW, tapi saya sayangkan kerja di Proton. Tengoklah dulu, bagaimana keadaannya hujung tahun ni," kata Tapa yang seakan-akan masih berharap kekal di Proton.

Apa pun yang Tapa akan buat, terpulang kepadanya. Bagaimanapun, aku tetap bangga dengan pencapaiannya. TAHNIAH TAPA. Cikgu bangga dengan kamu..

"Bila nak jemput cikgu makan nasi minyak?" tanyaku pada akhir perbualan.

Tapa hanya tersengih, dan tersenyum memandangku. Penuh makna senyumannya.

Wednesday, November 26, 2008

Penjenayah Mengganas di Kejirananku..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Awal pagi ini, sekitar jam 4.30 pagi, aku menerima panggilan Abang Jakpo. Tentu ada hal penting dia menelefon pada waktu begini.

"Tadi polis ronda depan rumah saya, cikgu. Katanya, ada rumah dipecah masuk. Cikgu tau tak?" suara Abang Jakpo bertanyakan hal itu.

"Masuk lagi? Siapa pulak kali ni?" Aku bertanya pula. Wah, terkejut dibuatnya menerima berita ini.

Seingat aku, bulan Mac lalu, empat buah rumah termasuk rumahku cuba dipecah masuk. Ketika itu, rumah Abang Jakpo berjaya digeledah. Abang Jakpo diikat bersama seorang lagi anak lelakinya. Habis semua barang berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah itu. Dari pertuturannya, sahlah orang seberang.

Rumahku pula tak sempat dimasuki penjenayah tersebut. Hanya pagar berjaya dibolosi, manakala kunci rumah dirosakkan. Niat mereka ingin masuk ke rumah tidak berjaya, kerana isteriku terjaga setelah mendengar bunyi pelik. Apabila lampu dipasang, mereka sudahpun 'lesap'.

Kami yang ketakutan tidak tidur hingga pagi. Rupanya selepas gagal di rumahku, syaitan-syaitan itu menjadikan Abang Jakpo sebagi mangsa.

Sejak itu, tidur malam kami sering diulit kebimbangan. Akhirnya aku nekad memasang sistem penggera (alarm). Selebihnya, doa kepada Yang Maha Pencipta, agar kami sentiasa dilindungi.

Inilah bahagian kunci pintu depan rumahku yang cuba dirosakkan pada Mac lalu.

Pagi ini, kisah yang hampir sama berlaku lagi.

"Tak tahu, cikgu.. Tapi macam saya hari tu, orang Indon juga. Dia ikat tuan rumah. Habis barang kemas dan duit." kata Abang Jakpo memaklumkan kisah terbaru ini.

Betullah telahanku. Nampaknya, modus operandinya sama macam dulu. Masuk ikut pagar, kemudian potong gril dan ikat mangsa. Adakah mereka penjenayah yang sama? Mungkin ya, mungkin tidak...


Pagar rumah En. Halyubi dipotong dan dibuat lubang bagi
memudahkan syaitan-syaitan itu masuk.

Pagi ini, kudapat tahu, rupanya jiran malangku yang dirompak itu ialah En. Halyubi, pegawai pertanian di Lekir. Dia dan isterinya Kak Ani, serta anak gadisnya Husna, diikat dengan dawai pagar, sementara 4 (ekor) penjenayah Indon sibuk menggeledah rumah untuk mencari rezeki haram yang boleh dibawa lari.

"Biarlah dia nak ambil, asal jangan apa-apakan keluarga kami," kata Kak Ani menceritakan kejadian itu kepada jiran tetangga yang datang.


Penjenayah bangsat itu masuk ikut tingkap dapur yang dipotong besi jeriji ini.

Lihat sahaja keadaan bilik yang digeledah oleh syaitan-syaitan ini.

Inilah dawai pagar yang mengikat kaki dan tangan mangsa di kejirananku pagi tadi.

"Kecil-kecil orangnya, cikgu. Tapi saya takut. Dia hunus parang di leher saya dan abang (En. Halyubi). Takut sungguh,"kata Kak Ani yang masih nampak gementar ketika kuziarahi pagi ini. Ketika itu, En. Halyubi ke balai polis untuk membuat laporan. Polis sudahpun menghantar pasukan CSI awal subuh untuk mencari bukti.

Ramai juga jiran yang baru tahu musibah itu, datang bertanya khabar. Tak kurang juga yang menyiasat kawasan sekitar.

Ketika polis tiba jam 4 pagi, penjenayah sudahpun melarikan diri.

Huh, memanglah. Bangsat sungguh penjenayah seperti ini. Mereka datang berkumpulan, masuk ke negara ini tanpa hormatkan undang-undang negara. Kemudian, mereka merompak dan 'mencuri' ketenteraman rakyat negara ini. Memang tidak tenang hidup dibuatnya.

Lihatlah keadaan pagar yang dipotong, memang mereka 'pakar' dan biasa melakukannya.

Aku rasa Malaysia makin tidak selamat. PDRM, tolonglah hapuskan penjenayah ini. Jangan biarkan mereka hidup!.. jerit hatiku..

Moral: Jangan bertindak bodoh melawan penjenayah ini. Biarlah mereka ambil wang dan benda berharga, asal jangan mengapa-apakan keluarga kita. Berdoalah moga Allah menutup pintu hati penjenayah daripada ingin melakukan kejahatan terhadap kita.

Tuesday, November 25, 2008

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Adik (ipar)ku Wan Murzulaika yang menuntut di UHTM, Batu Pahat Johor, sering menghantar beberapa emel berupa renungan yang menarik untuk kuhayati. Satu daripadanya ialah renungan berikut. Terima kasih Ika..

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu' . Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia – tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan) . Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi
rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

p/s: Teringat kata pujangga: Orang yang murah hati sentiasa rasa besar hati menolong orang lain, manakala orang yang bakhil akan berasa berat hati membantu mereka yang memerlukan.

Aku dan anda, bagaimana ye?

Monday, November 24, 2008

Pintarkah Kita?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Manusia hari ini berlumba-lumba untuk menjadi pintar. Kita sering beranggapan hanya yang pintar sahaja dapat hidup selesa. Ibu bapa (termasuk aku?) sering berharap anak-anak mereka pintar dan cemerlang dalam kehidupan.

Apakah maknanya kepintaran? Menurut Richard G Pellegrino dan Michael J Politis (Pearson, 2003) kepintaran ialah sesuatu yang lebih daripada hanya membaca buku atau kebolehan mendapat markah yang baik dalam ujian. Ia sama sekali tidak berguna kecuali jika kita dapat memupuknya dalam mencapai matlamat-matlamat hidup yang sebenar.

Ringkasnya, Pandai atau tidak seseorang sering diukur dengan Darjah Kepintaran melalui ujian IQ. Ujian IQ asalnya dicipta oleh pakar psikologi Alfred Binet pada 1904, lalu digunakan oleh kerajaan Peranchis untuk membezakan kanak-kanak terencat akal dan normal supaya perhatian dapat diberi kepada mereka sejak awal lagi. Sejak itu, ujian kepintaran diperluaskan dan hari ini, terdapat pelbagai ujian IQ untuk menguji kemampuan otak manusia.

Analoginya mudah. Sebatang tukul hanyalah sebongkah besi dan kayu. Ia hanya berguna jika kita:
  1. ada tugas yang memerlukan penggunaannya
  2. tahu bagaimana dan bila hendak menggunakannya
  3. meenggunakannya tanpa merosakkannya
Jika kita tahu cara dan kesesuaian menggunakan tukul, bermakna kita pintarlah.

Adakah kepintaran ini diwarisi? Mungkin ya, mungkin tidak. Lee Kuan Yew, seorang tokoh politik tersohor Asia Tenggara, adalah seorang yang pintar. Beliau mampu mengubah Singapura daripada sebuah pulau kepada sebuah negara yang maju. (Ini pun atas kelemahan pemimpin Melayu yang tidak pintar?) Lee Kuan Yew mempunyai cucu yang terencat akal. Ini bermakna tidak semestinya keturunan pintar akan berkekalan.

Kita cuba fikirkan begini. Bro Jinggo, budak kampung yang mungkin tidak pintar pada zaman kecilnya. Begitu juga Azza, Miss Jaz, Razor, Iina, Bro Azlan, Tirana, Maksu dan blogger lain. Kita tidak dilahirkan untuk terus jadi pintar (Tapi, pintarkah kita?) Aku sendiri, semasa Penilaian Darjah 5 (Macam UPSRlah..) hanya mendapat 1A,3B,1C. Aku sendiri rasakan bahawa aku tidak tergolong dalam kumpulan manusia pintar.

Kita pernah mendengar nama Sufiah Yusof, seorang warga Britain yang emaknya adalah wanita kelahiran Johor. Sufiah dikatakan pintar kerana mampu membuat penyelesaian kalkulus yang sukar berbanding usianya. Natijahnya, Sufiah ditawarkan biasiswa oleh kerajaan Malaysia (kerana emaknya Melayu Johor?) lalu menyambung pengajiannya di Oxford, sebuah universiti terkemuka di dunia.

Lalu apakah yang terjadi kepadanya hari ini? Rasanya semua orang tahu. Jadi, adakah Sufiah pintar? Aku rasakan dia hebat dalam kalkulus sahaja, tapi gagal mengaplikasikannya dalam kehidupan. Akhirnya, dia gagal menjadi seperti apa yang diharapkan.

Kepintaran juga bermakna kita menguasai ilmu yang dimiliki. Seorang doktor memang pintar apabila mengetahui jenis ubat yang sesuai untuk pesakitnya, apabila melihat simptom di tubuh pesakit tersebut.

Seorang guru memang pintar apabila dapat menggunakan pelbagai kaedah P&P untuk mencapai objektif pengajaran terhadap pelajarnya.

Seorang ibu juga adalah pintar, apabila tahu selera dan cara menangani masalah pemakanan anak dan cara menggembirakan suaminya.

Seorang peguam pastilah pintar untuk menyelesaikan kes yang melibatkan anak guamnya agar tidak terhukum oleh mahkamah. (Kes Sirul Azhar dan Azilah Hadari, bergantung kepada kepintaran peguamnya, bukan kerana jenayahnya).

Hari ini, ibu bapa terlalu berharap anak-anaknya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Tempoh hari, semasa berkursus di Pulau Pinang, seorang rakan kursus menangis kedukaan kerana anaknya (hanya..) mendapat 4A,1B dalam UPSR 2008.

Apa sebabnya? Ini kerana kita meletakkan kayu ukur kepintaran dari sudut banyak sedikitnya jumlah 'A'. Tahukah kita, sebenarnya 5A itu sekadar angka. Anak-anak kita mungkin lebih hebat daripada itu, tetapi potensi mereka belum terserlah. Ada kanak-kanak yang pintar, tapi dalam bidang kemahiran. Misalnya, seorang doktor tidak mahir mengendalikan kerosakan enjin keretanya berbanding mekanik yang hanya lulus darjah 6.

Seorang guru, mungkin tidak mengetahui jenis ikan dan kaedah yang sesuai untuk merawai berbanding nelayan tua yang separuh abad menghabiskan dunianya di laut.

Yang jelas adalah, kepintaran sesuatu yang abstrak, dan bukan semua orang dapat menggunakan semua jenis kepintaran dalam semua keadaan. Tetapi, Allah menganugerahkan kita sedikit kepintaran dalam bidang tertentu. Terpulanglah kepada kita cara untuk memperkembangkannya mengikut cara masing-masing.

p/s: "Kepandaian dan kebodohan anda bergantung kepada di mana anda berada.." kata Burt Reynolds dalam filem Smokey And The Bandit.


Friday, November 21, 2008

"Bertuahnya' Menjadi Razak Baginda

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sesiapa yang mengikuti bicara kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, pasti mengenali dengan jelas wajah yang dipaparkan ini.

Aku katakan Abdul Razak Baginda amat bertuah, kerana:

  1. Bebas dari dakwaan bersubahat membunuh Altantuya Shaaribu
  2. Pihak pendakwa TIDAK MEMBUAT RAYUAN untuk mensabitkan kesalahannya.
  3. Akuan bersumpah Sirul Azhar dan Azilah Hadari yang membabitkan Abdul Razak dalam kes tersebut tidak diterima.
  4. Abdul Razak dapat menyambung kembali pengajiannya dalam Ph.D di Universiti Oxford.
"Bersyukurlah semuanya selesai," kata Abdul Razak dalam sesi "press conference" bersama wartawan dalam dan luar negara semalam.

Abdul Razak Baginda, sangat misteri hubungannya dengan Altantuya. Pastilah dia curang dengan isterinya kerana berhubungan secara intim dengan wanita itu satu ketika dahulu. Bagaimanapun, Abdul Razak hari ini sudah kembali dari pertapaannya setelah ditahan selama 22 bulan.

Kini, yang pasti akan dihukum hanyalah dua ekor kambing hitam yang tak pernah mengenali wanita Mongolia itu.

Pelik, apa motif Azilah dan Sirul Azhar hendak menghapuskan wanita yang tiada kaitan dengan mereka?

Banyak persoalan yang masih tidak terjawab dalam sesi perbicaraan melibatkan mangsa peletup C4 ini.

Yang pasti, keputusan ini mengecewakan banyak pihak, terutama bapa Altantuya, dan sanak saudara mereka di Mongolia.

Moga-moga Abdul Razak berjaya mencapai cita-citanya. Jadikanlah semua ini iktibar, dan anggaplah Allah memberi anda peluang kedua untuk muhasabah diri.

p/s: Teringat pantun dulu-dulu; Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-ama mencuri.

Thursday, November 20, 2008

Anda Marah Tak Kenyataan Ini?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Ketika aku singgah di sebuah kedai fotostat milik seorang Cina, aku tertarik untuk memaparkan perbualan bersamanya. Aku senang memanggilnya 'Uncle', kerana usianya yang lanjut. Sambil menyuruhnya membuat salinan beberapa dokumen penting, aku berbual dengannya. Anak-anaknya tidak bekerja di Malaysia. Dua di Singapura, seorang lagi jurutera di Australia.

Memang orang Cina hari ini, tak banyak anak macam orang Melayu. Orang Cina sebenarnya lebih praktikal, kerana jika anak sikit, lebih mudah diberi perhatian. Itu sebabnya, sekarang ini jumlah anak Cina semakin rendah berbanding Melayu dan India.

"Mengapa anak uncle tak mau balik, kerja di Malaysia?" tanyaku menguji Cina tua itu.

"Susahla, ini Malaysia mana mau terima orang Cina kerja,"katanya, menyebabkan aku tersentak.

"Saya berani cakap, Malaysia tak mau bayar anak saya."katanya dengan nada yakin.

"Anak uncle yang memilih, dia tak mau kerja di Malaysia." kataku.

"Lu tengok saya, sudah tua pun, masih kerja," kata Cina tua itu.

"Orang Melayu, mana kerja macam saya. Sudah tua, boleh goyang kaki."

Aku tak bersetuju dengan kata-katanya. Lalu aku katakan, bahawa orang Cina sukar hendak bekerja dengan syarikat Melayu. Biasanya, Melayu yang akan kerja di syarikat Cina,kataku. Lagipun, Cina lebih suka kerja dengan bangsanya sendiri.

"Tapi, saya respect orang Cina, rajin,"kataku.

"Cina bukan rajin, tapi usaha kuat. Lu tau ka, Malaysia aaa, ini macam pokok daun emas, daun sudah jatuh (gugur), tapi orang Melayu tak mau kutip saja. Kita orang Cina talak(bukan) itu macam.." Kata Cina tua itu.

Selesai urusan, aku tinggalkan 'uncle' dengan prinsipnya.

Aku terfikir sendirian, agaknya beginilah tanggapan orang Cina terhadap bangsa kita. Aku tak marah, sebab ada pandangannya yang betul. Ringkasnya, aku rasa orang Cina pandang rendah bangsa Melayu sebab sikap bangsa kita asyik mengharap 'tongkat' atau bantuan kerajaan.

Ada kala, aku rasa tercabar juga, sebab seolah-olah ia memperlecehkan orang Melayu. Tapi orang Cina selalu tolong bangsanya, jika dah berjaya. Orang Melayu, bila dah berjaya, selalu lupa pada bangsa. Berapa ramai Melayu yang dah berjaya, tapi tak semua ingat nak tolong bangsa. Sebaliknya, kerajaan yang sediakan pelbagai bantuan atau istilahnya tongkat.

Kekadang, ahli politik pun begitu. Cakap tentang jati diri bangsa, agama, bla..bla..bla... Tapi bila dapat tender, dialibabakan kepada tauke Cina. Kalau dapat untung sikit, tukar kereta mewah, tambah isteri dan seumpamanya.

Agaknya, bila mentaliti bangsa kita nak berubah?

p/s: Agak sibuk kebelakangan ini, menyiapkan laporan dan tugasan hujung tahun. Kalau blog tak dikemaskini, harap maaflah..

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...