Monday, November 24, 2008

Pintarkah Kita?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Manusia hari ini berlumba-lumba untuk menjadi pintar. Kita sering beranggapan hanya yang pintar sahaja dapat hidup selesa. Ibu bapa (termasuk aku?) sering berharap anak-anak mereka pintar dan cemerlang dalam kehidupan.

Apakah maknanya kepintaran? Menurut Richard G Pellegrino dan Michael J Politis (Pearson, 2003) kepintaran ialah sesuatu yang lebih daripada hanya membaca buku atau kebolehan mendapat markah yang baik dalam ujian. Ia sama sekali tidak berguna kecuali jika kita dapat memupuknya dalam mencapai matlamat-matlamat hidup yang sebenar.

Ringkasnya, Pandai atau tidak seseorang sering diukur dengan Darjah Kepintaran melalui ujian IQ. Ujian IQ asalnya dicipta oleh pakar psikologi Alfred Binet pada 1904, lalu digunakan oleh kerajaan Peranchis untuk membezakan kanak-kanak terencat akal dan normal supaya perhatian dapat diberi kepada mereka sejak awal lagi. Sejak itu, ujian kepintaran diperluaskan dan hari ini, terdapat pelbagai ujian IQ untuk menguji kemampuan otak manusia.

Analoginya mudah. Sebatang tukul hanyalah sebongkah besi dan kayu. Ia hanya berguna jika kita:
  1. ada tugas yang memerlukan penggunaannya
  2. tahu bagaimana dan bila hendak menggunakannya
  3. meenggunakannya tanpa merosakkannya
Jika kita tahu cara dan kesesuaian menggunakan tukul, bermakna kita pintarlah.

Adakah kepintaran ini diwarisi? Mungkin ya, mungkin tidak. Lee Kuan Yew, seorang tokoh politik tersohor Asia Tenggara, adalah seorang yang pintar. Beliau mampu mengubah Singapura daripada sebuah pulau kepada sebuah negara yang maju. (Ini pun atas kelemahan pemimpin Melayu yang tidak pintar?) Lee Kuan Yew mempunyai cucu yang terencat akal. Ini bermakna tidak semestinya keturunan pintar akan berkekalan.

Kita cuba fikirkan begini. Bro Jinggo, budak kampung yang mungkin tidak pintar pada zaman kecilnya. Begitu juga Azza, Miss Jaz, Razor, Iina, Bro Azlan, Tirana, Maksu dan blogger lain. Kita tidak dilahirkan untuk terus jadi pintar (Tapi, pintarkah kita?) Aku sendiri, semasa Penilaian Darjah 5 (Macam UPSRlah..) hanya mendapat 1A,3B,1C. Aku sendiri rasakan bahawa aku tidak tergolong dalam kumpulan manusia pintar.

Kita pernah mendengar nama Sufiah Yusof, seorang warga Britain yang emaknya adalah wanita kelahiran Johor. Sufiah dikatakan pintar kerana mampu membuat penyelesaian kalkulus yang sukar berbanding usianya. Natijahnya, Sufiah ditawarkan biasiswa oleh kerajaan Malaysia (kerana emaknya Melayu Johor?) lalu menyambung pengajiannya di Oxford, sebuah universiti terkemuka di dunia.

Lalu apakah yang terjadi kepadanya hari ini? Rasanya semua orang tahu. Jadi, adakah Sufiah pintar? Aku rasakan dia hebat dalam kalkulus sahaja, tapi gagal mengaplikasikannya dalam kehidupan. Akhirnya, dia gagal menjadi seperti apa yang diharapkan.

Kepintaran juga bermakna kita menguasai ilmu yang dimiliki. Seorang doktor memang pintar apabila mengetahui jenis ubat yang sesuai untuk pesakitnya, apabila melihat simptom di tubuh pesakit tersebut.

Seorang guru memang pintar apabila dapat menggunakan pelbagai kaedah P&P untuk mencapai objektif pengajaran terhadap pelajarnya.

Seorang ibu juga adalah pintar, apabila tahu selera dan cara menangani masalah pemakanan anak dan cara menggembirakan suaminya.

Seorang peguam pastilah pintar untuk menyelesaikan kes yang melibatkan anak guamnya agar tidak terhukum oleh mahkamah. (Kes Sirul Azhar dan Azilah Hadari, bergantung kepada kepintaran peguamnya, bukan kerana jenayahnya).

Hari ini, ibu bapa terlalu berharap anak-anaknya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Tempoh hari, semasa berkursus di Pulau Pinang, seorang rakan kursus menangis kedukaan kerana anaknya (hanya..) mendapat 4A,1B dalam UPSR 2008.

Apa sebabnya? Ini kerana kita meletakkan kayu ukur kepintaran dari sudut banyak sedikitnya jumlah 'A'. Tahukah kita, sebenarnya 5A itu sekadar angka. Anak-anak kita mungkin lebih hebat daripada itu, tetapi potensi mereka belum terserlah. Ada kanak-kanak yang pintar, tapi dalam bidang kemahiran. Misalnya, seorang doktor tidak mahir mengendalikan kerosakan enjin keretanya berbanding mekanik yang hanya lulus darjah 6.

Seorang guru, mungkin tidak mengetahui jenis ikan dan kaedah yang sesuai untuk merawai berbanding nelayan tua yang separuh abad menghabiskan dunianya di laut.

Yang jelas adalah, kepintaran sesuatu yang abstrak, dan bukan semua orang dapat menggunakan semua jenis kepintaran dalam semua keadaan. Tetapi, Allah menganugerahkan kita sedikit kepintaran dalam bidang tertentu. Terpulanglah kepada kita cara untuk memperkembangkannya mengikut cara masing-masing.

p/s: "Kepandaian dan kebodohan anda bergantung kepada di mana anda berada.." kata Burt Reynolds dalam filem Smokey And The Bandit.


12 comments:

  1. izzuddin
    tidak semua yang pintar sewaktu kecil akan berkekalan kepintarannya, begitu juga sebaliknya. faktor sekeliling banyak mempengaruhi dan kepintaran boleh di develop kalau ada daya usaha. sistem persekolahan kita yang terlalu mementingkan peperiksaan dan memandang kepada keputusan, menyebabkan banyak pihak hanya melihat kepada yang pintar sahaja sedangkan ramai lagi yang perlukan perhatian

    ReplyDelete
  2. Siti,
    Sistem yang jadi amalan KPM memang tidak melahirkan mereka yang pintar, tetapi lebih menghafal.

    Apabila jumlah 'A' diambilkira untuk menentukan kecemerlangan, jadilah kita masyarakat yang pesimis, yang hanya menggunakan teknologi, tapi tidak mencipta teknologi.

    Jadilah kita masyarakat yang maju dari segi fizikal, tetapi miskin adab, sopan dan akhlak. Hakikatnya begitulah.

    ReplyDelete
  3. Cikgu Izzudin..

    Orang yang pintar adalah orang yang banyak mengingati mati lalu dia berusaha untuk menjadi yang terbaik di sepanjang usia hidupnya dan beramal ibadat sebagai bekal untuk di bawa menghadap Tuhan.

    Kita sekarang terlalu menilai kepandaian seseorang berdasarkan IQ..berdasarkan berapa A dalam setiap peperiksaan. Bagi saya tidak adil apabila kepintaran seseorang diukur berdasarkan hanya beberapa jam dia menjawab soalan di dewan peperiksaan. Tetapi kepintaran seseorang harus dilihat dari sudut dan cara mana dia beramal dengan ilmu yang dia ada. Dan juga kepintaran harus diukur dari semua aspek iaitu fizikal, mental, emosi, social dan spiritual. Hanya orang yang betul-betul pintar dapat menggunakan kesemua elemen ini untuk kebaikan.

    ReplyDelete
  4. kepandaian dan kebodohan berganung pada tindakkan kita dan hasil yang lahir dari pemikiran kita.

    aku di katakan pandai(entah, mungkin sebab boleh dapat anugerah naik canselor) tapi sering melakukan perkara yang bodoh.

    huh.....

    ReplyDelete
  5. saya harap anak2 saya bakal diterima di sisi golongan yang dikasihi oleh Allah Taala di akhirat kelak kerana hidup di dunia ini hanyalah untuk mati....well, tepuk dada tanya selera, sekarang saya respek dgn orng yang balance, iq, eq, sq.

    ReplyDelete
  6. sebab nama teman ada dalam cerita tu - borlah teman cerita sikit.memang teman tak pande yop : tapi sikap teman betul di tempat yg betul...SPM dua kali..nake benor mase tu.isap rokok.panjat pagor ( sklh seri perak )bengap benor rasenya mase tu - tapi dapat juga ke UPM seterusnya ke Landsdle di Perth - tapi ada ceritanya yop...semuanya gara2 teman di cabor oleh ayh teman...itu motivasi paling kuat sampe sekarang.....

    Dulu kat sk sg jejawi - apa yg ada.sekolah dgn anak org asli - sampe sekolah basuk motor cgu ( sbb jalan tanah merah )...memang tidak ada harapan...hampeh.

    Tapi percayalah : setiap manusia ada potensi yg berbeza.cuma kita kena cari dan bangunkan potensi tu...kita kena ingat 15 % dari hidup adalah IQ 85 % adalah EQ....moralnya jangan dilabel orang yang tak ada A - sebab dia ada A dlm bab yang ( tidak di iktiraf ) oleh kerajaan ( maaf ).....

    ReplyDelete
  7. Kepintaran sering disalahtafsirkan dengan menjawab soalan peperiksaan. Kesopanan dan akhlak tidak pula diukur bersama-sama kepintaran.

    Pintar dari sudut Islam apa pula maknanya? Mungkin Saudara Izzuddinali boleh post entry terbaru...Menarik post ini.Tahniah.

    ReplyDelete
  8. Tirana, pendapat yang bernas dari seorang ibu yang menunjukkan ciri-ciri anda berpendidikan tinggi. Tak salah saya jadikan anda rakan dalam dunia maya ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
  9. Pendekar,

    Rasanya tuan dalam kategori bijaklah, kalau dah dapat anugerah Naib Canselor.

    Tapi saya percaya kepada ilmu yang diamalkan akan memberi manfaat.

    Terima kasih sudi komen.

    ReplyDelete
  10. Maksu,

    harapan saja tak cukup. Usaha perlu seiring dengan doa, agar anak-anak yang kita besarkan menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

    Empat anak lelaki saya didoakan akan jadi pengusung jenazah saya di kuburan, dan saya doakan mereka juga akan menyolati saya ketika mati nanti. Jika diizinkan Allah..

    ReplyDelete
  11. Bro Jinggo,

    Hakikatnya begitulah, orang paling dekat dengan kita merupakan motivator yang paling sesuai. Ayah pernah kecewa dengan prestasi teman semasa sekolah rendah, kerana hasratnya nak masukkan teman ke MCKK.

    Teman ni, hapah tak tau pun pasey MCKK. Tapi syukur, teman buleh hidup berbakti kepada masyarakat. Teman bersyukur juga dapat kengkawan hebat macam Bro jinggo ni. hehehehehehehehehehehehe..

    ReplyDelete
  12. Saudaraku Rahisam,

    Menarik idea tu. Terima kasih sudi bertandang.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...