Tuesday, October 28, 2008

Majlis Rumah Terbuka Mengeratkan Hubungan..







Tanggal 27 Oktober, perancangan untuk mengadakan tahlil dan jamuan Aidilfitri dapat dibuat juga. Aku dan isteri tersayang mengambil masa dua minggu merancangnya. Kami adakan serentak dengan majlis jamuan pelajar tingkatan 5 Sains. Mudah, dan menjimatkan untuk mereka juga. Tidaklah menyukarkan, sebab pelajar-pelajar tersebut boleh menjadi tenaga kerja secara tak rasmi.

Melalui bantuan pelajar-pelajar itu, ia dapatlah mengurangkan beban kerja kami. Mujur juga Sani, adikku yang di Putrajaya dapat pulang membantu.
Siapa kata buat majlis sebegini tak penat? Wadduh, mau capek dibuatnya! Prakenduri pun penat, apatah lagi pascakenduri.

Pada 12.30 tgh, majlis tahlil dipimpin oleh ustaz Sidik, seorang ahli agama yang sangat dihormati di kawasan kejirananku. Ustaz Sidik berketurunan Melayu Champa, yang sudah menetap di Malaysia sejak 1980-an lagi. Daripada ceritanya, aku dapat menyelami penderitaan zaman perang di Kemboja semasa diperintah regim komunis. Seronok benar dia bercerita tentang kisah remajanya yang penuh penderitaan semasa di negara kelahirannya, Kemboja.

Sebenarnya, hubungan dengan masyarakat setempat amat penting dipelihara. Kita tidak boleh mendabik dada mengukur diri dengan pangkat dan kekayaan, kerana masyarakat melihat daripada keikhlasan kita berinteraksi.

Aku banyak belajar bagaimana untuk mendampingi masyarakat.
Asal jangan sombong, kita ringan tulang serta mulut untuk berbual, pasti masyarakat juga akan menghargai kita. Syukurlah, Ustaz Sidik melaksanakan tugasnya dengan baik.
Semoga arwah mak dan ayah dapat juga pahala daripada tahlil tersebut.
Selepas tahlil, pelajar-pelajarku –Aina, Shuhada, Shud, Faiqah, Fatin, Azim, Shah, Fojan, Azidah, Hani dan Ayuni sibuk membantu memanggang ayam berempah dan membantu bahagian dapur. Ramai yang membantu, mudahlah kerja-kerja mengemas dan melayan tetamu.

Disebabkan kami menempah katering, tidak banyak yang perlu dimasak. Hanya pinggan dan gelas yang perlu dibasuh. Itupun, hanya sehagian sahaja, sebab kami menyediakan pinggan pakai buang (macam lampin bayi pula bunyinya.)

Terharu rasanya melihat saudara mara dan kenalan yang datang. Pak Anjang, Pakcik, Mak Ngah, Mak Cho, Kiah, Nor, Abang Hashim, Abang Mizi,Wa dan Nazmi, Yong dan Yop Kamil menambahkan kegembiraan, biarpun aku dan isteri penat melayan tetamu.

Puan Che Saliha dan suaminya, Kapten Imran turut hadir ke teratakku. Begitu juga jiran-jiran seperti Khairi, Bang Usop, Bang Jakpo, Kak Nun dan Halyubi.

Rakan sejawat dan staf tempatku bertugas turut hadir. Terima kasih Pakcik Hanapiah, Aina, Liza Pipit, Kak Dilah, En. Mat Jamal dan abang Murad yang sudi ke majlis yang tak seberapa ini.

Aku menanti-nanti juga rakan-rakan mayaku, tetapi aku pasti mereka hanya dapat menitipkan doa. Satu-satunya rakan bloggerku yang hadir ialah Miss Jazz dan ibu bapanya.

"Yang ni, mangsa banjir ni, " kataku mengusik menyebabkan Miss Jazz tersengih sambil mengunjukkan rambutan kepadaku.

"Cikgu, ini, Leha bagi," kata Miss Jazz.

Tak dapat kutolak pemberian orang. Kecil tapak tangan, nyiru kutadahkan. Terima kasih kepada semua yang membantu.

Menjelang 6 petang, masih ada tetamu yang menyinggah ke teratakku. Ustaz Razak dan Asma adalah yang terakhir sebelum teratakku mula menyepi daripada kesibukan.

Selepas maghrib, Shah, Azzim dan Hafifi yang masih membantu, sementara yang lain terpaksa pulang ke rumah masing-masing.

Syukurlah, semuanya selesai. Dan esok, aku akan ke Langkawi untuk seminar penghakiman bahasa Kementerian Pelajaran Malaysia. Aku terpilih dalam kalangan 6 orang wakil Perak ke sana.

17 comments:

  1. Kalau dekat, saya pun tentu menyinggah ke majlis tu.. InsyaAllah, lain kali kalau saya ke sana, tentu saya cari rumah cikgu Izzuddin.

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH, dah makin mantap pengalaman menganjur kendara... tentu mudah untuk majlis menyambut 'menantu' nanti...kan?

    ReplyDelete
  3. Kenduri memang letih. Tapi berbaloi lah kalau ramai yang sudi datang. Untung menjadi guru kerana ramai anak murid yang datang menolong ;)

    ReplyDelete
  4. Tirana,

    Saya harap satu masa nanti boleh berkenalan dengan keluarga saya.

    Abang di Batu 14, mungkin saya kenal dia..

    ReplyDelete
  5. Azza,

    Terima kasih doa dan harapan. Saya di jeti Kuala Perlis, tunggu feri jam 7 mlm.

    Dengan broadband, segalanya mungkin (ewah, promosi Celcom lah pulak)

    ReplyDelete
  6. Goooooood girl,

    Terim kasih ziarah blog saya.

    Insya Allah, saya akan kunjungi blog sdri

    ReplyDelete
  7. Azlan sahabatku,

    Pengalaman adalah guru terbaik.

    Nak sambut menantu tu, mungkin 15 atau 20 tahun lagi, kot hehehehehe..

    Yang sulung tu, baru darjah 4, masak nasik pun tak reti..

    ReplyDelete
  8. Pokli,

    rasanya, itulah kelebihan guru.

    Saya dapat bantuan anak-anak murid yang rajin dan boleh diharap.

    Seronok, biarpun letih, tapi merapatkan hubungan antara kami.

    ReplyDelete
  9. semoga ikatan yang terbian bukan setakat di hari raya.....amin

    tapi itulah hakikatnya manusia zaman ini..... teruskan mencari persaman dalam hubungan yang indah ini....mardhotillah

    ReplyDelete
  10. mcm best je bunyinye open hse ckgu...meriah...

    ReplyDelete
  11. Put, lama tak jengah. Amacam exam? Boleh buat? Harap-harap dapat seperti yang didoakan.

    ReplyDelete
  12. laaa... awat tak taruk map cikgu, tentu saya mai :)

    ReplyDelete
  13. Maksu,

    Maksu kan misteri, mana lah tau, kot-kot 'terpacul tetiba' sepantas angin.

    Umah teman kat umah Maksu jeeeeeeeeeeeeeeeeeeee.

    ReplyDelete
  14. Open house memang budaya kita yang baik lagi banyak manfaatnya. Cuma kita kena perbaiki lagi adab-adabnya agar tidak mencemarkan aidilfitri.

    Jika open house tidak berjaya mendidik kita bermaaf-maafan, maka ianya tidak bermanfaat,apatah lagi ianya sekadar jamuan yang memenuhi kantung perut sahaja.

    ReplyDelete
  15. Rahisam,
    Memang rumah terbuka wajar dikekalkan, tetapi jangan pula sampai ke tahap membazir, atau untuk menjunjuk-nunjuk.


    Sudikan lagi tinggalkan jejak ke sini.

    ReplyDelete

Jejak yang ditinggalkan

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarik...