Wednesday, June 4, 2025

ALLAH JUA YANG KEKAL: KAMI PASTI MERINDUI YONG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.




Pagi Selasa, 27 Mei 2025 , aku beli sarapan pagi selepas solat subuh. Ma bersalaman denganku sebelum tinggalkan rumah untuk ke sekolah. Saat nak masuk ke rumah, tiba tiba terima panggilan panggilan telefon daripada Yop Kamil. 

Cemas suaranya. "Ein, kamu datang rumah Yop sekarang." 

"Nape Yop?"

"Yong kamu... Yong dah pengsan.." Suara Yop bertahan tahan. Ada nada bimbang dan suaranya bergetar. 

"Cepat Ein, " Kata Yop menyebabkan aku jadi bertambah risau.

"Yop dah panggil ambulans?" Aku bertanya.

"Dah, tapi belum sampey." kata Yop. 

Terus aku bagitau Atif, supaya ikut sama ke rumah Yong. Dalam kereta, aku bagi mesej pada adik beradik tentang berita pasal Yong. Mulut pun berdoa dan berzikir, janganlah berlaku perkara-perkara buruk.  Aku juga hubungi Wan, staf Klinik Lekir tentang ambulans. Manalah tahu, kalau ambulans tak datang atau lewat.

Masa itu, aku masih fikir positif, Yong mungkin penat dan asthma dia menyerang. Yong memang ada lelah dan kerap dapat rawatan di Klinik Lekir. Biasanya akan elok selepas diberikan inhaler. 

Sampai di rumah Yong, aku nampak ambulans dah sampai. Dua orang petugas KKM baru masuk dan terus menuju ke bilik tidur utama.   

Allahuakbar..  aku masuk bilik dan terus lihat sekujur tubuh Yong yang tidak sedarkan diri, aku terkejut. Aku ada rakam video tapi dilarang oleh petugas KKM. Anak anak Yong- Ikmal, Ain dan Aiman masih dalam keadaan terkejut. Aiman menangis, manakala Yop lebih tenang. 

Yong memang tak sedarkan diri, terlentang tak bagi respons. Daun orang staf KKM bagi bantuan pernafasan. Kami diminta membantu meletakkan Yong di atas strecher. Agak susah nak masukkan strecher ke bilik Yong sebab kedudukan pintu agak sempit . Kami ramai ramai angkat Yong. Yong berkain batik, dan t-shirt. Kami semua macam panik langsung tak teringat nak bawak serkup kepalanya. 

Masa nak masukkan ke dalam ambulans, Haji Musa Ketua PPD lalu nak ke pejabat. Aku tmaklumkan keadaan Yong. Dia pun turun dan salam sambil berbula sekejap dengan Yop.  Masa ni, pelbagai persoalan terlintas dalam kepala. Serius ke sakit Yong ni? Aku pulak nak kerja. Terus aku putuskan cuti rehat hari ini. Aku ada lawatan penanda aras di Indonesia Khamis ini. Nak teruskan atau tidak? Dia tambang dan dibayar. Aduhai.  

Harap harap Yong tak apa apa, hati aku masih dihimpit rasa bimbang. Selepas ambulans bergerak ke HSM, Yop dan anak anak menyusul dari belakang. Aku dan Atif balik  ke rumah, uruskan apa yang patut. Dalam jam 9 pagi aku nak ziarah Yong di wad kecemasan. 

Dalam perjalanan, aku terus hantarkan mesej kepada sedara mara termasuklah Yong Bedah di Mekah, maklumkan situasi yang menimpa Yong.  

Selesai uruskan beberapa perkara di rumah, aku sampai di Unit Kecemasan HSM. Yop dan anak anak menanti penuh sabar, dan aku dapat jumpa Sukor kawan Oun. Sukor kerja sebagai staf di HSM, dan dia tengok keadaan Yong. Dia pun ada cadangkan suruh adik beradik balik. Keadaan Yong, pada pemerhatian dia, agak kritikal. 

Beberapa ketika, aku berpeluang masuk tengok Yong di katil zon merah. Yong ditidurkan dan wayar berselirat masuk hidung dan ada drift ubat di lengannya. Matanya terpejam dan tiada respons. Aku berbisik  dengan Yong, bagi kata kata semangat, tapi tak pasti dia dengar  atau tidak. 

Masa di luar ruang menunggu, aku tengok Yop dan anak anak menanti penuh harapan. Hanya Fahmi yang belum sampai dari Selangor. 

Aku ajak Yop makan, dia kata dah makan mi kari di kantin hospital. Kami bersembang-sembang. Yop ceritakan dia agak terkilan sebab dah ajak Yong ke klinik masa Yong terjelepuk di tandas malam tadi, tapi Yong tak mahu, dia pun tak paksa. 

Tak lama selepas tu, petugas bagitau Yong dimasukkan ke ICU untuk pemantauan berterusan. Waris boleh dapatkan maklumat lanjut pesakit daripada doktor bertugas. Kami pun bergegaslah ke wad kecemasan. Rupanya Yong belum boleh diziarahi. Melengung kami tunggu kat luar wad ICU.

Aku balik ke rumah dan datang ke HSM petang nanti. Tiada ada pelawat dibenarkan masuk pada waktu lain daripada waktu melawat. Hanya waris terdekat (anak/suami) dibenarkan tunggu di luar wad ICU.

Pada petang itu, aku datang  ke HSM, ramai sedara-mara dan kenalan Yong dah datang. Wa pun ada. Oun masih dalam perjalanan.  Masa ni Yop bagitahu doc maklumkan jantung Yong terhenti dua kali, sekali masa dalam ambulans dan sekali lagi masa dalam wad zon merah. Aku beristighfar mendengarnya. Dalam hati, aku masih berharap Yong sembuh. Masa tu anak anak yong ada yang menangis 😭.

Aku pun sebak. Aku sembang-sembang dengan Oun. Situasinya hampir sama. Oun dah belikan tiket bawak anak anak bercuti ke Sabah pada 31 Mei hingga 3 Jun. Perancangannya lama. Tiket flight Senai -KKIA- Senai pun lebih 8k. Lawatan aku ke Indonesia bermula 29 Mei hingga 2 Jun 2025. Tambang pun sudah dibayar. Kami sama-sama dalam dilema. Hati kecil masih berharap Yong sembuh. Ada kawan aku, cikgu Fauziah Jali, di SMK Ambrose alami situasi hampir sama dengan Yong. ditidurkan selama hampir sebulan, sekarang dah pulih. Keadaannya pun sama macam yong, ada asthma dan paru paru berkahak.

Oun sampai awal pagi Rabu di Lekir , dan rehat di rumah Lekir Jaya. Hanya dia, Bie dan 2 orang anak  yang balik. Mujurlah aku sempat bersihkan rumah tu malam tadi. Jarang rumah tu digunakan, hanya Abangah Wajdiy bermalam di situ kalau balik Lekir. Pagi selepas subuh Rabu, aku  jumpa Oun, kami sembang panjang tentang situasi Yong. Oun nak jumpa Yop pagi ni, aku pulak kerja sebab ada pembentangan PGB untuk PRIME pada sebelah petang nanti. 

Tengahari aku singgah di wad ICU, Yop dan anak anak setia menunggu perkhabaran. Dapat masuk tengok keadaan Yong,masih tak berubah, tiada respons dan matanya pejam. Masa tu aku dah rasa, masa Yong dah sampai ke? Yong bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan. Janganlah ya Allah.. bagilah Yong tengok anaknya kahwin dan sempat dia bercucu... Aku katakan dalam hati. 

Dapat berita Yop bagitau ulasan pakar tentang Yong. Ada 3 doc yang memantau Yong. Ada sorang tu doc Cina aku tanya sebaik dia keluar wad... Katanya jantung Yong masih lemah, paru paru penuh kahak dan depa bagi ubat antibiotik, pemantauan 48 jam untuk tengokkan kesan ubat. Aku pun tak sanggup tengok keadaan Yong tanggung derita sakitnya.

Aku teruskan juga penyertaan Lawan ke Indonesia, dengan harapan Yong sembuh dan kami bertemu selepas aku balik dari lawatan ke Padang. Namun perancangan Allah tak sama dengan apa yang aku harapkan. Pagi Jumaat 30 Mei, hari pertama aku di Bukit Tinggi, aku solat subuh di Masjid Nurul Haq, dengan doa yang panjang, mohon Allah mudahkan kesembuhan Yong. Jam 12.30 tgh, dapat mesej Yong dah tiada.  Menangis aku dan terus hilang mood di bumi Padang. Walaupun aku redha, aku tetap ada rasa terkilan sebab aku tak dapat bersama-sama turun liang lahat. Aku solat ghaib untuk Yong. Aku bagitau Oun, supaya dia juga tenang sebab dia juga tdah balik ke Johor. Esoknya dia ke Sabah. Menjelang Asar, aku tahu Yong disolatkan di Masjid ArRaudhah Batu 7 Lekir. Semuanya selesai dan dipermudahkan Allah. Allah lebih menyayangi Yong, lebih daripada kami semua. 

Damailah Yong di alam kekal abadi, tiada lagi sakit yang perlu Yong tanggung. Semoga Allah menerima setiap amalannya. 

Sunday, December 22, 2024

Terima kasih, mak anjang kholijah

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mak Anjang Kholijah guru ngaji DSK 

Sekitar usia saya 7 tahun, mak dah hantar ke rumah tok anjang Bakar, selang 6 buah rumah dari rumah kami. Anaknya Hazizah, atau lebih mesra dipanggil Mak Anjang Kholijah, adalah guru Quran yang mengajar anak-anak Kampung Dato' Seri Kamaruddin ilmu tajwid dan bacaan Quran. Daripada mak anjanglah saya mengenal huruf-huruf Mat Asli, hukum Idgham, Ikhfak dan seumpamanya. 
Besar jasa mak anjang kepada anak-anak kampung yang akhirnya dapat mengenal huruf quran dan membacanya dengan sebutan yang betul. Saya dapat membaca Qur'an dengan lancar, dan khatam 30 juzuk sebelum tamat darjah 6. Ia satu pencapaian yang baik bagi budak lelaki yang agak 'nakal' ketika itu. 
Yong Nor Azaliah Ali Hassan  khatam 30 juzuk semasa darjah 3, dan mak anjanglah guru yang membimbingnya. 
Pada usianya 74 tahun,mak anjang masih menabur bakti mengajar bacaan Quran. Mak anjang tidak lagi sihat, selalu sakit-sakit dan cepat letih kerana semakin dipanjat usia. 

Pada Rabu 18 Disember 2024, mak anjang dijemput kembali kepada penciptanya. Saya bergegas ke bilik forensik hospital Seri Manjung sebaik mendapat perkhabaran tersebut. Melihat jasadnya kaku, hati saya menjadi sebak tiba-tiba. Kenangan zaman mengaji Quran di rumahnya dan di surau lama (kini tapaknya jadi sekolah agama rakyat DSK) mengimbau kembali. 
Sesungguhnya saya bersaksi bahawa mak anjang adalah insan yang baik, menabur bakti mendidik kami anak-anak kampung DSK mengenal huruf-huruf dan bacaan Quran. 
Saya doakan mak anjang diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah, ditempatkan bersama orang-orang soleh dan mendapat syurga Allah. 
Terima kasih mak anjang.

Thursday, December 12, 2024

MENJADI TUA ADALAH FITRAH, BUKAN SEMUA INSAN MENIKMATINYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pagi Rabu 11 .12.2024, menjadi tarikh keramat untuk saya ingat, kerana pada jam 12.41 tengah hari, lahirlah puteri Qatrunnada Nada dan Muhammad Arrysyah, sekaligus menandakan rasminya saya menjadi datuk atau gelaran lain yang semakna dengannya.
Alhamdulillah syukur, Allah memberi kemudahan, semoga kakyong dan bayi comelnya sihat. Proses kelahiran secara normal, dan dipermudahkan melalui sikap profesional 
Semoga bayi comel ini menambahkan kasih sayang suami isteri, dan bahagia hingga ke jannah. Kehadirannya memberi peluang saya muhasabah betapa semakin tuanya saya, dan anugerah ini sangat bermakna buat saya. 

Saya masih ingat kelahiran Kakyong 23 April 1998, ketika saya berusia 27 tahun. Selepas 27 tahun, saya menerima kehadiran bayi kecil bergelar cucu. Allahuakbar, .. Terima kasih ya Allah. 

Alhamdulillah, betapa bersyukurnya aku dengan kurniaan-Mu.
Selamat datang ke dunia, wahai Naura  Aisyah binti Muhammad Arryshah.





Monday, December 2, 2024

PAUS, SAIZNYA BESAR TAPI BUKAN PEMANGSA MANUSIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saiz ikan paus sememangnya besar daripada ikan biasa. Namun setakat yang diketahui, tiada spesies ikan paus yang dikenali sebagai pemakan manusia. 

Kebanyakan paus adalah haiwan yang tidak agresif terhadap manusia, malah diet mereka biasanya terdiri daripada makanan yang jauh lebih kecil daripada manusia. Berikut adalah beberapa fakta menarik:

1. Paus Biru, Paus Bongkok, dan Paus Sirip

Spesis ini adalah filter feeders, yang bermaksud mereka makan plankton, krill, dan ikan kecil dengan menapis air laut. Tekak mereka terlalu kecil untuk menelan sesuatu sebesar manusia.

2. Paus Sperma

Walaupun ia memiliki mulut besar, paus sperma makan sotong gergasi dan ikan dalam. Ia tidak menunjukkan sebarang keinginan untuk menyerang atau makan manusia.

3. Paus Pembunuh (Orca)

Orca sebenarnya adalah sebahagian daripada keluarga lumba-lumba dan merupakan pemangsa utama di lautan. Walaupun mereka memburu anjing laut, ikan, dan mamalia laut lain, serangan terhadap manusia amat jarang berlaku dan tiada kes yang mengesahkan mereka memakan manusia.

Namun, terdapat beberapa mitos dan cerita lama yang mungkin membawa kepada salah faham ini. Contohnya

Saturday, November 16, 2024

TUN DAIM YANG DERMAWAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Tun Daim Zainuddin, mantan menteri kewangan Malaysia pada zaman pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir, kembali ke rahmatullah pada 8 pagi Rabu 13 November 2024 pada usianya 86 tahun. 

Tun Daim adalah individu yang hartawan dan dermawan sebelum berkecimpung dalam dunia politik. Namun pada pengakhiran hidup beliau, Tun Daim didakwa oleh pentadbiran PMX sebagai hartawan yang mendapat kekayaan daripada sumber tidak sah, dan lari daripada membayar cukai. Beliau dibicarakan dalam keadaan dirinya uzur, dan dituduh melewatkan perbicaraan untuk mengelakkan hukuman.

Tun Daim kini sudah tiada, namun pemergiannya ditangisi oleh rakyat yang pernah menerima sumbangan beliau, di dalam negara termasuk di luar negara, hingga di sebuah masjid di Gold Coast Australia, imamnya menceritakan tentang kebaikan sifat dermawannya sehingga membolehkan sebuah masjid dibina.

Daim yang diam, memang seorang yang sangat tinggi adabnya dalam bicara, banyak jasanya tidak dihebahkan semasa hidup, hanya diketahui selepas jasadnya bersemadi.

Semoga Allah merahmati roh beliau.

Monday, November 4, 2024

LAWATAN SANTAI KAMPUNG TERSUSUN BATU 11 LEKIR KE PANTAI TIMUR

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada 31 Oktober 2024, jam 11 malam, seramai 28 orang peserta yang kebanyakannya daripada kampung tersusun Batu 11 Lekir telah menyertai lawatan ke negeri Kelantan dan Terengganu. Lawatan ini bertujuan meluaskan pandangan di samping mengukuhkan hubungan sesama manusia. 

Perjalanan kami sampai di Masjid Andalusia di Melor pada Jumaat 1/11/2024 untuk solat subuh, dan kami bersarapan di sebuah kedai makan sebelum ke Masjid Kampung Laut yang merupakan antara masjid tertua di Malaysia. 

Kami juga melihat industri pembuatan serunding atau lebih dikenali oleh orang tempatan sebagai sambal daging. Serunding merupakan produk utama Kampung Laut dan ramai pengusahanya mempunyai kilang dan mengedarkan ke serata Malaysia. 

Kami juga berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah untuk membeli cenderahati. Kemudian kami solat Jumaat di masjid kota, sebelum menziarahi pusara ulama dan mantan menteri besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka. 

Menjelang petang kami singgah di Penarek untuk menikmati ikan celup tepung dan bermalam di inap desa Batu Rakit bagi merehatkan badan. 

Pada pagi Sabtu 2/11/2024, peserta dibawa ke Jambatan Angkat yang menjadi ikon pelancongan negeri Terengganu. Kami juga berpeluang membeli-belah di Pasar Payang yang kini sudah maju dan bangunannya dibaikpulih bagi keselesaan pengunjung. 

Singgah di Nur Arfa Batek, saya tidak melepaskan peluang mewarna batik dengan harga hanya RM15/satu lukisan. Masjid terapung pertama di Malaysia, iaitu Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina pada 1990 menjadi persinggahan kami seterusnya. Persinggahan maghrib di Masjid Hadhari Jertih memberi peluang saya melihat senibina istana Alhambra yang diterapkan di masjid tersebut. 

Perjalanan pulang kami terserempak dengan kawanan gajah liar di laluan Jeli- Gerik. Namun pemandu en. Shah dan Alias menggunakan pengalaman mereka memastikan gajah tersebut tidak mengganggu perjalanan. Kami selamat sampai di Lekir kira kira 3.30 pagi Ahad 3/11/2024. 

Perjalanan ini walaupun memenatkan namun memberi pengalaman kepada semua peserta yang terlibat. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.















Monday, October 28, 2024

KERETA EV: FIKIR SEBELUM BELI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lambakan kereta EV di Malaysia menjadikan pilihan kepada pengguna lebih luas. Kebanyakan model EV adalah daripada negara China yang menawarkan harga kompetitif dan lebih rendah berbanding AS. 

Namun begitu, penggunaan kereta dengan teknologi EV di Malaysia masih baharu. Tidak dinafikan ia menawarkan banyak manfaat, tetapi ia juga mempunyai beberapa keburukan yang perlu dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia:

1. Jarak Pemanduan Terhad: Bateri EV biasanya mempunyai jarak pemanduan yang lebih pendek berbanding kenderaan berasaskan petrol atau diesel. Ini boleh menjadi cabaran, terutama untuk perjalanan jauh di kawasan yang kurang kemudahan pengecasan. Biasanya stesen pengecasan di pantai barat dan bandar utama di semenanjung lebih banyak dan mudah untuk dicari. Namun di pantai timur serta di Sabah dan Sarawak, ia agak terhad. 


2. Masa Pengecasan yang Lama: Berbanding dengan mengisi minyak yang hanya mengambil masa beberapa minit, pengecasan EV boleh memakan masa dari beberapa jam hingga semalaman, bergantung pada jenis pengecas yang digunakan. Sebagai perbandingan, mengisi minyak konvensional hanyalah mengambil masa sekitar 5 - 7 minit, berbanding pengecasan semula kereta EV antara 2 jam hingga 5 jam untuk mendapatkan jarak perjalanan 90% ke atas.


3. Ketersediaan Stesen Pengecasan yang Terhad: Di sesetengah kawasan, terutamanya di kawasan luar bandar, stesen pengecasan mungkin sukar didapati. Ini boleh menyukarkan pengguna EV untuk melakukan perjalanan jarak jauh dengan yakin. Kebanyakan stesen minyak Petronas menyediakan perkhidmatan pengecasan semula kereta EV berbanding dengan stesen minyak lain. 


4. Kos Bateri yang Mahal: Walaupun kos penyelenggaraan EV lebih rendah, bateri EV yang rosak atau perlu diganti adalah mahal. Hayat bateri biasanya antara 8-15 tahun, dan kos penggantian bateri boleh menjadi beban kewangan.
Sebagai contoh, harga bateri kereta EV jenama BYD dianggarkan RM20k manakala jenama Tesla lebih tinggi, sekitar RM30k hingga RM35k.

5. Isu Alam Sekitar dengan Pembuatan Bateri: Pembuatan bateri EV melibatkan perlombongan bahan seperti litium, kobalt, dan nikel, yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Perlombongan ini juga memberi kesan sampingan kepada alam sekitar. 

Kesimpulannya, banyak perkara perlu difikirkan dengan teliti sebelum kita memilih kereta EV. Dengan keadaan cuaca di Malaysia dan banjir kilat yang sering berlaku, ia juga alasan yang memungkinkan penggunaan kereta EV menjadi tidak popular di negara ini. 



ALLAH JUA YANG KEKAL: KAMI PASTI MERINDUI YONG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Pagi Selasa, 27 Mei 2025 , aku beli ...