Friday, October 31, 2008

Langkawi Bumi Bertuah (2)

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sesi pagi ini bermakna kerana kami dapat menimba ilmu daripada
Hj Chuari Selamat, seorang daripada tokoh yang bergiat cergas dalam Pesta Pantun sejak ia dimartabatkan ke peringkat kebangsaan. Chuari Selamat, seorang kaki tangan RTM memang seorang daripada budayawan yang kukagumi. Penyampaiannya bersahaja, tetapi padat dengan maklumat berdasarkan pengalaman beliau selama 16 tahun dalam perkembangan pantun negara. Individu seperti Hj Chuari sepatutnya telah diberi anugerah Datuk. Tapi kekadang kita lebih suka mengagung-agungkan orang luar, berbanding rakyat sendiri. Lihat sahaja SRK, artis Bollywood yang akan menerima anugerah Datuk daripada Kerajaan Melaka.

Pulau lagenda, Langkawi memang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Pelancong Arab, Eropah dan Asia seperti Jepun dan Korea memang ramai ke sini. Itulah sebabnya tulisan pelbagai bahasa dipamerkan di kedai-kedai bagi menarik pelanggan asing memberi produk mereka. Ada tulisan Latin, Arab, Siam, Russia dan China. Semuanya dibuat untuk memastikan pelancong asing memahami barangan yang ada di kedai-kedai berkenaan.

Pada sesi darmasiwata petang ini, kami pada mulanya dijangka ke Gunung Mat Cincang untuk menaiki kereta kabel, tapi Langkawi dilanda puting beliung pada sebelah petang (berita ini masuk dalam TV, tapi kawasan kami tak terlibat). Hasrat menaiki kereta kabel terpaksa dipendamkan, kerana cuaca tidak mengizinkan. Sabar sajalah...

Kami dibawa mengunjungi perusahaan produk gamat Nusantara dan menghabiskan sisa-sisa duit yang semakin menyusut di Pekan Kuah.
Gamat memang mempunyai nilai yang tinggi untuk dikomersilkan. Antara produk berasaskan gamat ialah minyak gamat, alat solek, bedak, sabun dan seumpamanya. Ibu gamat yang dikeringkan akan diproses menjadi produk untuk kegunaan harian. Uniknya ialah minyak gamat yang panas, berasap dan masih dimasak dalam kuali, tidak terasa panasnya apabila jariku dicelup ke dalamnya.

Selain gamat, produk lain yang turut mendapat sambutan di Langkawi ialah akar-akar kayu yang banyak khasiatnya. Aku sempat meneguk air Tongkat Ali, dan pahitnya melekat di tekak.

"Taubat saya tak mau coba lagi," Kata Yahya dari Labuan. Merah padam mukanya menahan kepahitan air Tongkat Ali yang diteguknya.

Antara hasil hutan lain dari bumi Langkawi ialah Akar Susun Ayam, Tanduk Litan, Hempedu Tanah, Akar Mertajam dan Lada Bukit.


Sempat juga
Cikgu Hisham dan aku sempat 'berposing' bersama. Entah bila aku boleh ke Tampin, dan bilakah pula dia nak ke Lekir?

Aku, Isham, Yahya dan Hasnan menamatkan sesi darmawisata di pekan Kuah, kerana Isham masih tidak puas hati untuk mencari set dapur yang dikehendakinya.

Semasa menanti rakan-rakan yang masih memilih barang lewat petang ini, aku dapat melihat keruntuhan sosial remaja berlaku di depan mata.
Dua orang anak Melayu yang tak tahu malu, sibuk memadu kasih, berasmara tanpa rasa malu.

Betapa rendahnya akhlak remaja kini, yang tidak tahu menjaga maruah agama dan adab bangsa. Ingin rasanya aku mengetuk kepala jantan jongos dan betina miang yang sedang berahi itu, tapi mujur mereka tiba-tiba 'tersedar', lalu beredar dari situ.
Bangsat sungguh remaja begini. Berani 'beromen' bagai tiada rasa malu dalam diri. Yang betinanya, tidaklah lawa, tapi perangainya mengalahkan kucing betina sedang miang.

Kekadang, aku terfikir juga, mengapa ada ibu bapa yang sanggup menaikkan nilai hantaran ke jumlah yang tinggi, sedangkan wanita yang hendak dijadikan isteri, mungkin sudah ditebuk tupai. Bahkan, aku rasa tak layak mereka digelar wanita, betina mungkin gelaran yang sesuai.

Moga-moga anak dan muridku, tidak ada yang terdorong untuk melakukan perbuatan seumpama ini.


Wednesday, October 29, 2008

Langkawi Bumi Bertuah (1)

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kali ini, tajuk postingku ialah Langkawi Bumi Bertuah. Memang Langkawi pulau yang bertuah.
Asalnya adalah perkampungan nelayan dan pesawah yang rata-ratanya masyarakat Melayu.
Kononnya Langkawi disumpah oleh Mahsuri, seorang wanita Melayu yang difitnah kerana kecantikannya. (Orang Melayu memang tak lekang dengan sikap PHD ini?) Kini semua cerita Mahsuri menjadi produk pelancongan yang berjaya menggamit kedatangan pelancong ke sini.

Perigi Mahsuri, Makam Mahsuri, Beras Terbakar, Telaga Tujuh dan Gunung Mat Cincang mempunyai tarikan yang tersendiri. Semasa zaman Tun Dr Mahathir, Langkawi menerima limpahan ekonomi yang bukan sedikit.

"Paklah tak pandai jaga pulau ni,.." Kata seorang pemandu teksi yang kutemui tempoh hari. Kebanyakan orang Langkawi rasa terhutang budi dengan Tun sebenarnya.Langkawi berubah dari sebuah pulau yang berteraskan pertanian kepada ekopelancongan pada awal 1980-an. Bagaimanapun, kesan-kesan tanah sawah masih boleh dilihat di belakang Institut Latihan Peladang Langkawi. Lihatlah kawasan padang yang kehijauan ini, sebenarnya bekas bendang yang sudah tidak diusahakan.

Langkawi terkenal dengan replika Helang Raksasa di Pekan Kuah.Sesiapa yang berkunjung ke sini pasti akan singgah ke sini, sekurang-kurangnya sebagai bukti pernah ke Langkawi.

Hampir 130 orang guru dan pegawai teknik Bahasa Melayu seluruh negara berkampung selama 4 hari untuk memurnikan kertas konsep aktiviti bahasa tahun 2009.

Dalam kesempatan inilah, aku bertemu dengan rakan lama, seperti Dyamim Bahari, kawan sekuliah semasa di UPM dahulu. Dyamim kini kembali ke Perlis menabur budi di tanah tempat tumpah darahnya. Wajahnya masih seperti dulu. Ramahnya masih sama, cuma kami telah punya komitmen terhadap kerjaya dan keluarga. Dalam sibuknya, dapat juga dia menyambung ke peringkat Master.

Daripada Dyamim, aku dapat tahu kisah rakan kami, Cikgu Abdullah yang telah meninggal dunia. Kak Zawiyah rupanya sudah pencen. Cikgu Shukor diserang stroke, dan baru pulih dua tiga minggu yang lalu. kami dapat bertukar-tukar cerita tentang rakan lain dalam PBMP dulu.

Aku juga dapat bertemu Abang Masri Karjah, seorang lagi rakan yang pernah bersama menginap di Kolej 5 UPM. Abang Masri merupakan guru yang banyak pengalaman dalam dunia pendidikan. Dia kini sedang menyiapkan buku kerja untuk dihantar ke penerbit buku.


Seorang lagi rakan baruku, Hisham, dari Terengganu , tapi berkhidmat di Labuan. Bangganya aku kerana berkawan dengan orang yang hebat-hebat seperti mereka, biarpun aku hanya orang kecil. Tak mengapalah. Masing-masing sudah ditetapkan rezekinya oleh tuan punya dunia ini.

Sepanjang pemerhatianku, Langkawi semakin pesat membangun. Kedai-kedai yang menjual pinggan mangkuk serta coklat, biasanya menjadi tumpuan pelancong luar. Aku tak terkecuali menghabiskan duit yang semakin menyusut untuk ole-ole buat anak-anak nanti. (Macamlah banyak sangat duit...)

Ada beberapa buah kedai yang popular dalam kalangan pelancong tempatan. PAStinya nama Ismail Group terlintas dalam fikiran mereka yang biasa mengunjungi pulau lagenda ini. Biarpun pengasasnya telah tiada, ia tetap berkembang maju selaras dengan nama Ismail Group yang melambangkan kekentalan jiwa Melayu pulau ini untuk bersaing dengan kaum lain.

Malam ini, kami diraikan oleh urus setia seminar dengan hidangan yang enak seperti udang, sate dan seumpamanya. Petang esok, kami dibawa menaiki kereta kabel pada sesi darmawisata.Aku bersama ahli kumpulan seperti Kak Roslah, Dyamim, 'Datin' Zahara, Hisham, Yahya, Ain dan lain-lain mempersembahkan nyanyian lagu Sabah bertajuk Sayang Kinabalu. Lagunya menarik, apatah lagi apabila dinyanyikan bersama Penolong Pengarah Kanan dan Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum KPM, En. Sabri dan En. Jem.

Moralnya, setiap insan ada anugerah yang mungkin tidak disedarinya. Kita perlu meneroka kemampuan diri, agar nilai diri dapat dipertingkat dan dimajukan.

*Siri (2) bakal menyusul..


Tuesday, October 28, 2008

Majlis Rumah Terbuka Mengeratkan Hubungan..







Tanggal 27 Oktober, perancangan untuk mengadakan tahlil dan jamuan Aidilfitri dapat dibuat juga. Aku dan isteri tersayang mengambil masa dua minggu merancangnya. Kami adakan serentak dengan majlis jamuan pelajar tingkatan 5 Sains. Mudah, dan menjimatkan untuk mereka juga. Tidaklah menyukarkan, sebab pelajar-pelajar tersebut boleh menjadi tenaga kerja secara tak rasmi.

Melalui bantuan pelajar-pelajar itu, ia dapatlah mengurangkan beban kerja kami. Mujur juga Sani, adikku yang di Putrajaya dapat pulang membantu.
Siapa kata buat majlis sebegini tak penat? Wadduh, mau capek dibuatnya! Prakenduri pun penat, apatah lagi pascakenduri.

Pada 12.30 tgh, majlis tahlil dipimpin oleh ustaz Sidik, seorang ahli agama yang sangat dihormati di kawasan kejirananku. Ustaz Sidik berketurunan Melayu Champa, yang sudah menetap di Malaysia sejak 1980-an lagi. Daripada ceritanya, aku dapat menyelami penderitaan zaman perang di Kemboja semasa diperintah regim komunis. Seronok benar dia bercerita tentang kisah remajanya yang penuh penderitaan semasa di negara kelahirannya, Kemboja.

Sebenarnya, hubungan dengan masyarakat setempat amat penting dipelihara. Kita tidak boleh mendabik dada mengukur diri dengan pangkat dan kekayaan, kerana masyarakat melihat daripada keikhlasan kita berinteraksi.

Aku banyak belajar bagaimana untuk mendampingi masyarakat.
Asal jangan sombong, kita ringan tulang serta mulut untuk berbual, pasti masyarakat juga akan menghargai kita. Syukurlah, Ustaz Sidik melaksanakan tugasnya dengan baik.
Semoga arwah mak dan ayah dapat juga pahala daripada tahlil tersebut.
Selepas tahlil, pelajar-pelajarku –Aina, Shuhada, Shud, Faiqah, Fatin, Azim, Shah, Fojan, Azidah, Hani dan Ayuni sibuk membantu memanggang ayam berempah dan membantu bahagian dapur. Ramai yang membantu, mudahlah kerja-kerja mengemas dan melayan tetamu.

Disebabkan kami menempah katering, tidak banyak yang perlu dimasak. Hanya pinggan dan gelas yang perlu dibasuh. Itupun, hanya sehagian sahaja, sebab kami menyediakan pinggan pakai buang (macam lampin bayi pula bunyinya.)

Terharu rasanya melihat saudara mara dan kenalan yang datang. Pak Anjang, Pakcik, Mak Ngah, Mak Cho, Kiah, Nor, Abang Hashim, Abang Mizi,Wa dan Nazmi, Yong dan Yop Kamil menambahkan kegembiraan, biarpun aku dan isteri penat melayan tetamu.

Puan Che Saliha dan suaminya, Kapten Imran turut hadir ke teratakku. Begitu juga jiran-jiran seperti Khairi, Bang Usop, Bang Jakpo, Kak Nun dan Halyubi.

Rakan sejawat dan staf tempatku bertugas turut hadir. Terima kasih Pakcik Hanapiah, Aina, Liza Pipit, Kak Dilah, En. Mat Jamal dan abang Murad yang sudi ke majlis yang tak seberapa ini.

Aku menanti-nanti juga rakan-rakan mayaku, tetapi aku pasti mereka hanya dapat menitipkan doa. Satu-satunya rakan bloggerku yang hadir ialah Miss Jazz dan ibu bapanya.

"Yang ni, mangsa banjir ni, " kataku mengusik menyebabkan Miss Jazz tersengih sambil mengunjukkan rambutan kepadaku.

"Cikgu, ini, Leha bagi," kata Miss Jazz.

Tak dapat kutolak pemberian orang. Kecil tapak tangan, nyiru kutadahkan. Terima kasih kepada semua yang membantu.

Menjelang 6 petang, masih ada tetamu yang menyinggah ke teratakku. Ustaz Razak dan Asma adalah yang terakhir sebelum teratakku mula menyepi daripada kesibukan.

Selepas maghrib, Shah, Azzim dan Hafifi yang masih membantu, sementara yang lain terpaksa pulang ke rumah masing-masing.

Syukurlah, semuanya selesai. Dan esok, aku akan ke Langkawi untuk seminar penghakiman bahasa Kementerian Pelajaran Malaysia. Aku terpilih dalam kalangan 6 orang wakil Perak ke sana.

Friday, October 24, 2008

Bersama Mempertahankan Islam!

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sejak akhir-akhir ini, sudah ada pihak yang berani bertindak memperkecilkan agama Islam, sama ada secara terang-terangan, mahupun secara sulit.

Barangkali, itu jugalah punca mengapa Zulkifli Nordin, seorang aktivis politik dan peguam yang memperjuangkan kes-kes murtad di negara ini membidas golongan tersebut.

Zulkifli Nordin bidas pihak hina Islam

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Zulkifli Nordin hari ini membidas pihak-pihak tertentu yang dianggapnya sebagai menghina hal ehwal Islam.

Zulkifli (PKR-Kulim Bandar Baru) berkata ada pihak mempertikaikan tulisan jawi dan menyokong seseorang yang mahu murtad sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum dalam negara.

Katanya ada kumpulan tertentu yang kelihatan tidak menghormati masyarakat Islam, sehingga berani mencabar apa saja berkaitan agama Islam termasuk mencemar perayaan Aidilfitri dengan membuat tuntutan yang tidak sepatutnya.

"Ada orang akan cakap saya berucap ini seolah-olah menyokong pihak lain tapi sebenarnya saya berjuang untuk agama Islam. Saya tidak peduli pandangan orang lain sebab nanti saya yang akan menjawab di hadapan Allah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya Majlis Peguam juga tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara apabila menyokong pihak tertentu yang mahu keluar dari agama Islam tanpa menghiraukan kenyataan bahawa badan berkenaan mempunyai lebih 40 peratus anggota yang beragama Islam. Zulkifli berkata Majlis Peguam turut mengadakan forum terbuka untuk membincangkan hal ehwal Islam sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama, baru-baru ini.

"Isu agama adalah sesuatu yang sensitif dan ia tidak boleh dibincangkan melalui forum terbuka atau mengadakan pembahasan mengenainya," katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan supaya Artikel 3 dan 11 (1) Perlembagaan Persekutuaan dipinda supaya keutuhan agama Islam terpelihara dan tidak dicabar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari Rabu nanti. BERNAMA

Sebenarnya, mempertahankan agama bukan tanggungjawab sdr Zul, malah semua pihak termasuk kita, wajib mempertahankan agama ini daripada diperkotak-katikkan oleh golongan yang berkepentingan.

Di sinilah titik pertemuan ahli politik yang berbeza ideologi. Kita harus bersatu demi mempertahankan maruah agama. Tidak kira, sama ada mereka politikus dari UMNO, PKR, atau Bebas (seperti Ibrahim Ali yang menang menumpang tiket PAS), semuanya harus menggembleng tenaga untuk mempertahankan agama suci di bumi yang bertuah ini.

Orang bukan Islam harus ingat dan faham, bahawa Islam tidak mengambil hak mereka.

Sebenarnya, kita banyak melakukan kesilapan, sehingga Islam mula dilihat sebagi lemah dan dinilai dengan penuh kebencian.

Siapa yang jaguh dalam gejala sosial, kalau bukan Melayu yang memang beragama Islam?

Siapa yang menjuarai bilangan penghuni Pusat Serenti, kalau bukan berkulit sawo matang seperti kita?

Perhatikan golongan yang buang anak, merempit, lari dari rumah dan seumpamanya. Kita sukar untuk menerima kenyataan. Hakikatnya, anak bangsa kita lemas diasak dengan hak-hal seperti ini.

Secara tidak langsung, tempiasnya kepada agama kita.

Apabila memikirkannya, aku berasa seolah-olah gurulah yang selalu menjadi 'kambing hitam' yang sering terpaksa memikul bebanan untuk membetulkan keadaan ini.

Sungguh tidak adil...

Thursday, October 23, 2008

Adilkah UPM, Kampus Hijauku (dulu)?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kupetik berita Malaysiakini tentang nasib dua pelajar UPM, berbangsa Melayu-Islam, cerdik dan bijak, tetapi atas sebab-sebab tertentu, mereka di'halau' secara tidak terancang oleh pengurusan kolej Tun Perak.

UPM: Farhana, Shafiqa boleh tinggal semula di kolej
Jimadie Shah Othman | Oct 22, 08 3:35pm
kemaskini 6:51pm Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibuang kolej atas alasan "tinggal secara tidak sah" kini boleh kembali ke kolej itu setelah isu itu dihebohkan ke luar kampus.

Naib canselornya Profesor Datuk Nik Mustapha Raja Abdullah membenarkan mereka terus tinggal di Kolej Tun Perak sehingga tamat minggu peperiksaan akhir "atas dasar prihatin".

"Pelajar juga boleh memohon untuk tinggal di kolej kediaman lain tertakluk kepada kekosongan penginapan dan peraturan kolej berkenaan," jelas ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM Abdullah Arshad.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini petang ini [kenyataan lengkap di bawah], Abdullah berkata bagaimanapun kedua-duanya masih dianggap bersalah kerana melanggar peraturan kolej kediaman.

Difahamkan keputusan terbaru itu - selepas seminggu pelajar-pelajar wanita itu menumpang di rumah rakan mereka di luar kampus - dicapai oleh UPM pagi ini.

farhana pelajar upm 221008Bagaimanapun, pada semester depan, Nor Farhana Farzieana Azmi (foto kiri) dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali dikehendaki membuat permohonan semula untuk menginap di asrama.

Dihubungi selepas keputusan rasmi itu, Nur Shafiqa berkata mereka belum membuat keputusan untuk kembali ke kolej.

"Barang-barang pun sudah dipindahkan, mungkin balik sekejap-sekejap," katanya.

Beliau masih tidak berpuashati dengan keputusan itu dengan alasan ia dibuat "seolah-olah hendak menutup kes ini."

"Surat (rasmi kebenaran tinggal semula) pun belum dikeluarkan, dan sebab pun tidak diberitahu," katanya, sambil menambah UPM telah memaklumkan keputusan itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa (foto kanan), yang diarah keluar 15 Oktober lepas, mendedahkan nasib mereka di bangunan Parlimen hari ini dengan ditemani wakil rakyat PKR Zuraida Kamaruddin.

shafiqa pelajar upm 221008Di sidang media tengah hari tadi, mereka mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

Manakala Persatuan Mahasiswa Islam UPM mendakwa, dengan penyingkiran dua mahasiswi ini, seolah-olah wujud usaha sistematik sejak tiga tahun lepas tidak membenarkan pemimpin dan ahli persatuan itu tinggal di asrama

Dua pelajar itu mencapai keputusan CGPA lebih 3.5 mata turut bergiat aktif dalam kegiatan berpersatuan tetapi tetap didakwa "tidak cukup merit" untuk layak mendapat kemudahan asrama.

Mereka yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang universiti itu, kini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

Dalam surat arahannya 14 Oktober lepas, UPM menyatakan kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, Malaysiakini difahamkan, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat dua minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah dikunci oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu sekarang menumpang di rumah seorang rakan di Seri Serdang, taman perumahan bersebelahan kampus tersebut.

UPM, amat dekat di hatiku satu ketika dulu. Kenangan dan memori bersama rakan tidak mudah dilupakan. Kolej Tun Perak tempat aku mencari alternatif untuk membeli lauk pauk selain di kolej sendiri (Kolej Kelima).

Tindakan pihak kolej seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini merugikan, malah boleh menimbulkan tanda tanya. Siapa yang buat keputusan? Mengapa ia dilakukan tergesa-gesa? Mengapa dibuat ketika pilihan raya kampus bakal menjelang? Apa alasannya?

Akhirnya, aku membuat rumusan pendek. Tak masuk akal semua ni..

Wednesday, October 22, 2008

Banjir Di Kawasanku

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Petang semalam, aku dapati hujan turun mencurah-curah di kawasan sekitar. Hujan tanpa henti itu menyebabkan perjalanan untuk mengambil anak di sekolah agama terpaksa diperlahankan. Keadaan agak membimbangkan, kerana hujan lebat begini pasti menyebabkan banjir di kawasan rendah. Di depan rumah, air hujan turun bagai air terjun mengikut cucur atap. Longkang di depan rumah sudah tidak mampu menadah air, hingga melimpah dibuatnya. Hingga lewat malam, barulah hujan berhenti.

Pagi-pagi lagi, selepas menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, aku mendengar Berita di Sinarfm tentang banjir di Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak. Pada hematku, mungkin Lekir tidak menghadapi banjir. Berita tentang Manchester United membelasah Celtic 3-0 tidak begitu ghairah menjadi sasaran telingaku.

Sudah menjadi rutin aku akan menghantar anak-anak yang bersekolah rendah, manakala isteri menghantar yang lainnya ke rumah pengasuh dan TADIKA.

Setibanya aku di sekolah, orang begitu ramai berada di luar kawasan sekolah. Para ibu bapa menanti dengan penuh gusar. Banjir menyerang sekolah anak-anakku! Rupanya SK Lekir dinaiki air banjir sehingga habis seluruh kawasan dilimpahi air bah. Guru besar, cikgu Zulkiply memaklumkan kepada ibu bapa bahawa sekolah terpaksa ditutup.

Sebagai AJK PIBG, aku turut serta dengan guru besar dan Tuan PPD Manjung, En. Md Saleh Sudin melawat kelas , kantin, pejabat dan makmal sekolah yang sudah ditenggelami air sedalam 1' hingga 1 1/2 '. Memang sedih melihat segala peralatan seperti kerusi meja, kertas dan buku terapung-apung di air banjir. Di pejabat GB, kerusi sofa terapung-apung, manakala sampah 'berenang-renang' di kelilingnya.Di makmal komputer, 7 buah laptop rosak teruk, manakala beberapa CPU dan hard disk PC tidak dapat digunakan lagi. Kasihan anak-anakku dan murid-murid yang masih kecil ini. Tetapi keputusan menutup sekolah adalah yang paling tepat dibuat oleh GB dan PPD, kerana air banjir bukan sahaja mendatangkan mudarat, malah mendedahkan murid dengan risiko lemas.

Di kawasan perumahan tersusun batu 7, Lekir, ramai rakan-rakan guru yang terkandas kerana jalan utama keluar telah ditenggelami air.

Semuanya adalah kehendak Allah, setelah lama kawasan sekitar Manjung berhujan panas. Terpulanglah kepada kita menafsirkannya, sama ada rahmat atau mudarat.

Yang pasti, esok, anak-anakku dan guru-gurunya akan bergotong royong mambersihkan sekolah yang teruk dilanda banjir.

Monday, October 20, 2008

Benarlah Malang Tak Berbau..

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Lewat petang Ahad, 19 Oktober 2008, aku meninjau-ninjau kemalangan antara dua buah lori dan sebuah kereta Wira yang berlaku betul-betul di depan Stesen Minyak Mobil hampir 2 km dari teratakku.

"Rasanya Wira itu bagai pernah kulihat, tapi di mana ya?.." hatiku tertanya-tanya.

"Dah dibawa ke Hospital Manjung, cikgu." Kata Abang Ya menyapa, ketika aku masih terjenguk-jenguk di celah orang yang begitu ramai melihat kemalangan itu.

Mengikut cerita Abang Ya, mangsa merupakan suami isteri yang dalam perjalanan ke sini, tetapi bertembung dengan lori sawit yang menghala ke stesen minyak.


Keadaan Wira itu sangat teruk, dengan bahagian depannya remuk. Mudah ceritanya, kereta itu sudah dikategorikan "Total Lost".

Akhirnya kutahu juga, Wira milik Abang Fawzi dan ustazah Faridah, yang dalam perjalanan melihat anak mereka di asrama sekolahku. Bukanlah asing kerana aku memang mengenali mereka. Malah, aku juga turut mengajar Hafifi, anak mereka yang akan berdepan SPM November ini.

Aku bergegas ke asrama, dan telahanku benar. Anaknya masih ternanti-nanti kedatangan ayah dan ibu tanpa mengetahui kemalangan yang menimpa mereka. Mujur aku terdetik hati untuk memaklumkannya.

Maghrib itu juga, aku membawa anak Abang Fawzi ke wad kecemasan, bimbang juga andainya berlaku sesuatu yang tak dijangka.

Kami menuju wad kecemasan, dan kutahu berita terkini, bahawa Abang Fawzi patah kaki dan luka-luka kecil, tetapi Kak Faridah lebih parah. Tulang pinggulnya remuk, dan kakinya juga patah. Begitu juga tangannya. Matanya cedera terkena kaca.

Ketika kami tiba di wad kecemasan, sempat juga Abang Fawzi membalas kataku.


"Bang, saya bawa Fifi ke sini,"

"Terima kasih, cikgu..." katanya lemah.

Kubiarku Fifi menyalami ayah dan maknya yang masih terbaring bersebelahan. Aduh, sayunya, melihat keadaan itu.

Hampir mengalir air mataku dan ketika troli membawa Kak Faridah ke Bilik X-ray, kulihat Hafifi menyeka titisan jernih yang mengalir laju dipipinya. 'Kalah' juga dia dengan tuntutan perasaan, biarpun dia kelihatan tabah pada awalnya.



Saturday, October 18, 2008

Cikgu SMKBS Menjayakan Bumi Hijau

">" border="0" alt="" />
Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Hari ini, Sabtu 18 Oktober 2008, guru-guru SMKBS menyahut cabaran kerajaan untuk mencantikkan kawasan sekolah.

Pengetuaku, yang juga bekas guruku satu ketika dahulu adalah seorang Ketua Jabatan yang rajin dalam hal bercucuk tanam ni.

Aku diarahkan membawa batang ubi kayu kerana memang itulah yang banyak di keliling teratakku.

Ada cerita tragis tentang pengetuaku ini. Tahun 2005, 11 Februari, ketika masyarakat Tionghua masih menyambut suasana Tahun Baru Cina, pengetuaku kehilangan 4 orang puteri yang cantik dan berpendidikan. Mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan raya Timur Barat, berdekatan Grik pada hari Jumaat.
Photobucket
Tapi pengetuaku ini tabah orangnya, biarpun Allah mengujinya dengan ujian yang cukup hebat.

Kami menanam pokok kelapa mawar, serai, ubi kayu dan beberapa jenis pokok lain bagi meredupkan kawasan yang agak lapang.

Selain itu, dapat juga merapatkan hubungan sesama rakan sekerja. Selepas bercucuk tanam, kami dijamu dengan makan tengah hari.

Tengah hari ini, semuanya menyerbu ke rumah Pn. Norapidah, pembantu makmal sekolahku yang menyambut menantu sulungnya. Selamat pengantin baru Safawati!

Thursday, October 16, 2008

'Perak Man' Di Muzium Arkeologi

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Kesempatan melalui Jalan Raya Grik-Kuala Kangsar memberi peluang aku singgah di Muzium Arkeologi Lenggong (MAL). Sudah lama kepingin ke sini, tapi kekangan masa dan keadaan membatasi niatku itu.

Pulang dari Pengkalan Hulu semalam (Rabu 15 Oktober 2008), aku tekad untuk menjejakkan kaki ke kawasan yang pernah didiami masyarakat Paleolitik ribuan tahun yang lalu.

Simpang masuk ke muzium ini sudah membuatkan aku teruja. Replika batu besar tertulis "Selamat Datang Muzium Arkeologi Lenggong" membuatkan pedal minyak kutekan untuk cepat tiba di muzium yang menempatkan satu daripada warisan dunia yang hebat- Manusia Perak (Perak Man).

Kawasan sekitar agak sunyi. Maklum saja, ketika itu, jam menunjukkan 1 tengah hari. Hanya ada 3 orang pelancong Belanda, dan aku sahaja yang berkunjung ke situ. Aku disambut oleh Encik Kamal, petugas di situ, yang nampaknya amat hormatkan guru.

"Saya cikgu, baru balik dari kursus di Pengkalan Hulu. Niat saya nak tengok bahan di Muzium ni, boleh?" Aku menyusun kata.

"Oh, cikgu. Silakan cikgu. Cikgu tulis nama di buku daftar ni." kata Encik Kamal.

"Berapa bayaran masuk ke sini?"

"Tak payah, cikgu. Masuk ke sini, percuma."

Percuma? Huh, kebanyakan muzium yang aku masuk, paling tidak dikenakan bayaran RM1.00. Di sini, tiada satu sen pun perlu dibayar. Tapi tak ramai yang datang ke sini, patutlah sunyi.

Bagaimanapun, telahanku salah. Aku diberitahu ramai pelajar sekolah dan guru serta mahasiswa yang berkunjung ke sini, terutama semasa cuti sekolah. Pelajar sekolah biasanya akan mengikuti pakej lawatan ke Gua Harimau atau gua-gua lain yang mempunyai tinggalan manusia zaman purba.

Suasana tenang dan damai membolehkan aku menghayati nilai ilmu yang terdapat di MAL. Aku ditemani Encik Kamal sepanjang melawat MAL selama 45 minit itu. Tak jemu-jemu dia bercerita tentang kehidupan manusia purba. Ceritanya diperkuatkan dengan diorama dan video, serta pameran artifak zaman Paleolitik dan Neolitik.

Paling mengujakan aku ialah kisah Perak Man. Ia pernah diberi liputan oleh National Geographic. Malah, Perak Man turut menjadi bahan kajian arkeologis barat, kerana ia merupakan rangka paling sempurna pernah ditemui di rantau Asia!

"Berbanding Peking Man dan Java Man, Perak Man lebih lengkap rangkanya, "kata Encik Kamal sambil membawa aku ke sebuah replika perkuburan Perak Man.


"Ini, yang betul ke?" Tanyaku meminta kepastian.

"Bukan, ini hanya replika. Tapi rangka Perak Man memang ada di sini. Cuma, tak dapatlah kami tunjukkan sebab ia adalah warisan dunia. Khazanah yang tinggi nilainya, cikgu. Lagipun, ia masih lagi dalam kajian USM."

Mengikut kajian Dato' Dr Zuraina, ketua penyelidik USM yang menemui rangka tersebut, ia ditemui di Gua Gunung Runtuh, dengan dikelilingi tulang-temulang bangkai haiwan seperti khinzir, pelanduk dan kura-kura. Rangka ini juga dikebumikan dengan kakinya dirapatkan ke dada. Ini menunjukkan Perak Man dikebumikan mengikut ritual khusus masyarakat Paleolitik.

Lebih menarik lagi, Perak Man mengalami kecacatan kekal Brachymesophalangia Type A2 iaitu tangannya tidak sama panjang. Tulang belakangnya juga bengkok tetapi arkeologis percaya Perak Man adalah seorang yang sangat dihormati oleh masyarakatnya ketika itu. Ini kerana di kawasan perkuburannya, terdapat lebih daripada 3,000 kulit siput. Ssetengah daripada siput itu sudah tiada lagi pada zaman ini.

Kita sedia maklum bahawa kulit siput pada zaman dahulu, adalah sesuatu yang sangat berharga. (Itulah juga asal mengapa orang Perak menyebut nilai mata wang sebagai kupang)

Melalui teknik penyelidikan Radiokarbon pada tulang tersebut, rangka ini berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun yang lalu. Masyarakat Paleolitik pada zaman itu menggunakan batu yang kasar sebagai alat memotong daging, senjata dan seumpamanya. Terdapat beberapa artifak seperti batu yang tajam di sisinya, dipamerkan di MAL.

Selain itu, kulit siput dan tembikar lama juga membuktikan masyarakat Paleolitik sudah mula membina tamadun mereka pada waktu itu.

Berdasarkan cerita Encik Kamal, masyarakat Negrito dari suku Lanoh yang mendiami kawasan ini dikatakan mempunyai persamaan dengan masyarakat zaman Paleolitik.

Pada akhir perbualannya dengan aku, satu persoalan yang diutarakannya cukup untuk membuatkan aku terpaku.

"Sebenarnya cikgu, orang asli inilah penduduk asal negara kita. Kita ni, Melayu campur. Macam saya, ada darah Pattani. Cikgu pun campur juga. Semua orang Melayu dah mengalami perubahan genetik. Cuma, kita mempunyai susur galur dari wilayah yang sama, iaitu Kepulauan Melayu. Nenek moyang kita telah merantau ke daerah ini, yang sebenarnya sudah ada penduduk asalnya. Jadi, kita pun pendatang juga sebenarnya."

Adakah Melayu juga pendatang, seperti orang Cina dan India? Cetus hatiku.

Aku terfikir akan kebesaran Allah. Betapa hebatnya kuasa Allah yang menjadikan manusia itu pelbagai rupa dan berbangsa-bangsa.

Maha suci Allah.

Wednesday, October 15, 2008

Sampai Bila Kita Asyik Ditipu?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Dalam satu thread sebelum ini di akhbar alternatif Teranungkite, seorang forumer bertanya tentang Buluhmas dan konsep pelaburannya. Pelbagai respons daripada forumer lain sama ada yang pernah masuk, belum masuk, yang tinggal di Tg Karang dan seumpamanya, telah memberi hujah masing-masing.

Kesimpulan daripada itu, aku berpendapat Buluhmas memang satu pelaburan yang menipu. Senang cakap, Melayu tipu Melayu, sebab yang mengutip deposit haramnyanya Melayu, mangsanya pun, Melayu juga.

Memang Rasulullah s.a.w pernah menyatakan dalam hadis yang maksudnya, 9/10 rezeki yang Allah kurniakan di muka bumi ini datang daripada perniagaan, tapi bukannya dengan cara menipu orang lain. Kekadang, yang menghairankan, yang ditipu itu hebat-hebat, lulusan universiti, ada kerjaya dan boleh dikategorikan hidup senang. Bukan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Semalam, apa yang dinyatakan dalam thread itu benar belaka, apabila Bank Negara Malaysia membuat serbuan ke empat lokasi pusat perniagaan berteraskan deposit haram tersebut. (lihat berita Bernama 14 Oktober 2008):

The media reported Tuesday that Bank Negara raided four companies -- Buluhmas, Jazmeen (M) Sdn Bhd, Noradz Travel & Services Sdn Bhd and Eastana Farm Industries Sdn Bhd -- for suspicion of being involved in get-rich-quick scheme by taking deposits without licence and investing illegally in Kuala Lumpur, Selangor and Negeri Sembilan.

Kasihan pada yang melabur, termasuk dua tiga orang kawan aku yang dah mula cadang nak tukar kereta.

Moralnya ialah: manusia memang sukar belajar daripada kesilapan. Di Kedah dahulu ada Platinum Lane (PLSB), konsepnya sama juga. Sebelum itu, ada skim Pakman Telo di Taiping, semuanya melantak duit dengan mengutip deposit haram.

Bila lah mentaliti kita ni nak berubah?

Tuesday, October 14, 2008

Kata Azimat Arwah Ayah

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Selama hampir dua tahun aku berkesempatan menjaga ayah, sebelum beliau dijemput bertemu Pencipta. Ayahku tiada dua, dan itulah satu-satunya lelaki yang layak kupanggil 'ayah'. Ayah dan mak jaga kami sejak kecil, tapi aku hanya dapat jaga ayah dalam tempoh yang sangat pendek.

Ayah sangat suka menggunakan kata-kata yang menarik. Malah, antara kelebihan ayah adalah boleh berpantun secara spontan.

Beberapa kata azimat arwah ayah yang dapat kukongsi dan kuingati untuk menjadi panduan hidup ini:

"Permata di perlimbahan"

Ini pertama kali aku dengar semasa ayah 'bengang' sebab anak-anak lelaki yang boleh bertakbir raya, malu untuk memperdengarkan takbir pada pagi raya di masjid DSK. Kami sudah diajar bertakbir, tetapi untuk memimpin takbir di masjid pada usia remaja, suatu yang amat kami geruni.

"Anak-anak ayah ni, ibarat permata di perlimbahan.." katanya dengan sinis.

"Kalau mencapai bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi"

Ungkapan ini sangat mendalam maksudnya. Ia memberi maksud kalau kita berjaya dalam lapangan masing-masing, jangan lupa dari mana kita berasal. Aku tak ingat sangat bila aku mula dengar dan lihat, tapi ungkapan ini popular juga di dalam buku dan majalah. Cuma ayah kerap gunakan ia sebagai pesanan.

"Kalau nak sisik, mintalah pada ikan haruan, jangan diminta pada ikan keli"

Ungkapan ini juga popular, tapi seingat aku, hanya ayah yang selalu gunakan.

Maksudnya , kalau kita perlukan sesuatu, dapatkan daripada pihak yang boleh beri, jangan minta pada orang yang tiada kemampuan memberinya. Contohnya, jumpalah tukang gunting rambut kalau nak potong rambut, jangan jumpa mekanik motor. Apa dihajapnya!

"Sepenuh-penuh beg, takkan nak isi sapu tangan sehelai pun tak muat?"

Ini bermaksud -bagaimana penuh sekalipun perut seseorang, masih mampu isi sedikit lagi makanan. Aku selalu gunakan kepada rakan-rakan sewaktu kami makan. Arwah ayah pun selalu gunakan ungkapan ini.

Pada aku, ungkapan ini boleh menambahkan kemesraan dengan orang yang baru kita kenal, terutamanya jika dia faham maksudnya. Tapi ingat, ungkapan ini sesuai digunakan semasa waktu makan dengan kenalan/ saudara mara.

"Jangan dikira hari itu mendung sebelum rembang petang menjelang"

Maksudnya kita tak boleh menganggap hidup tidak senang selagi tidak sampai ke penghujung/penamat. Dengan kata lain, kita perlu ada simpan harapan untuk dapat kesenangan.
Bagus ungkapan ini, sebab ia memberi motivasi untuk berusaha semampu boleh. HOPE IS A IMPORTANT THING IN YOUR MIND..

"Masa kecillah nak bersama, dah besar nanti, masing-masing bawa diri sendiri"

Ungkapan ini sangat mendalam maknanya pada aku, sebab semasa kecil, anak-anak lelaki tidur di ruang tamu rumah kami yang kecil. Memang masa kecil, hubungan kami rapat. Tidur sama tempat, satu kelambu. Kalau kami bergaduh dan berlasak, ayah akan pujuk dan nasihat anak-anak guna ungkapan ini.

Aku tak faham masa kecil, tapi bila dah berkeluarga, aku dah faham maksud yang tersirat. Aku selalu ingatkan anak-anak aku, supaya hargai masa bersama sewaktu kecil. Kini, masing-masing ada kehidupan sendiri yang perlu diteruskan.

Entahlah, mungkin ada yang bosan membacanya, tetapi aku tak jemu untuk mengingatkan diri sendiri, supaya tidak lupa asal usul diri. Yang penting, segala pesanan arwah ayah akan menjadi sebahagian daripada panduan untuk meniti hidup yang penuh cabaran.

Pangkalan Hulu-Catatan Perjalananku (2)

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Berkursus atau bermesyuarat di luar daerah kekadang menimbulkan dilema bagi mereka yang sudah berkeluarga. Samalah dengan aku, yang dihimpit runsing kerana anak-anak yang masih kecil selalu sangat bertanyakan hal baba kepada uminya.

Ada input baru yang dapat kuterima semasa di sini. Misalnya, dapat menambah rakan baru, di samping bertemu semula dengan kawan lama.

Ada juga cerita baru, jenaka baru dan pelbagai lagi perkara lain termasuk bahan yang dibincangkan dalam seminar.

Tergelak aku mendengar kisah Cikgu Pin, apabila membuka cerita tentang lelaki berkepala botak.

"Tau tak, mengapa lelaki berkepala botak?" tanya Cikgu Pin kepada kami ketika menunggu sesi ceramah.

"Sebabnya, ada banyak, tapi kena tengok di bahagian mana botaknya," tambah Cikgu Pin lagi.

Bagai seorang tukang tilik, Cikgu Pin menerangkan kepada kami yang melongo memandangnya.

"Kalau botak di depan, lelaki tu seorang yang memandang ke hadapan, seorang oportunis. Pandai cari peluang." Ujarnya bersahaja.

Kami ketawa mendengar analogi tersebut, kerana tahu bukan itulah jawapan sebenarnya.

"Kalau botak belakang, bagaimana?" tanya seorang rakanku.

"Kalau di belakangnya botak, maknanya, dia ahli sejarah. Dia suka melihat peristiwa yang telah lalu." Cikgu Pin memberitahu sambil tersengih.

Kami terus ketawa mendengar jawapannya. Mujur ada cerita seperti ini. Sedikit sebanyak mengurangkan kerunsingan aku.

Moralnya adalah, apabila kalangan lelaki bersembang, ada cerita lucu yang dapat dikongsi bersama. Banyak juga yang kami bualkan. Kisah politik semasa, dan anugerah Datuk kepada seorang artis Bollywood juga turut diselitkan.

baba-ayah mengikut panggilan Arab
melongo-memandang dengan mulut ternganga

Monday, October 13, 2008

Pangkalan Hulu-Catatan Perjalananku

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Kalau bukan kerana arahan JPN, tidaklah aku ke Pangkalan Hulu. Kursus Penghakiman Aktiviti Bahasa Peringkat Negeri Perak memberi peluang aku ke daerah yang pernah menjadi kubu pengganas Parti Komunis Malaya satu ketika dahulu.

Perjalanan pada tenga hari tidaklah menjadi masalah kepadaku. Lagipun, laluan ke sana tidak asing lagi. Sebelum menggunakan jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang untuk ke Terengganu, aku sering menggunakan laluan Kuala Kangsar-Grik dan terus ke Jeli.

Sekarang tidak lagi kerana perjalanan melalui Cameron Highlands lebih mendamaikan, malah lebih santai. Anak-anak dapat memetik buah strawberi yang segar jika singgah ke Blue Valley.

Sebenarnya Malaysia sangat indah. Perjalanan ke Pangkalan Hulu membuktikannya. Sayangnya liputan 3G untuk muat naik foto tidak disediakan di pekan Grik ini. Tak dapatlah aku masukkan foto.

Semasa di Manong, aku berhenti di sebuah masjid, dan sempat merakamkan foto pam paip zaman dulu. Sudah lama tak kutemui, malah kalau tak silap, sudah jadi bahan muzium dah.

Melalui Beruas, masuk ke Manong terus ke Kuala Kangsar, semuanya lancar. Kawasan Perkelahan Ulu Kenas memang sudah terkenal dalam negeri Perak.

Di pertengahan antara Kuala Kangsar dan Lenggong, begitu banyak lata (lata ialah kawasan air terjun atau jeram yang sesuai dijadikan tempat berehat/berkelah). Paling terkenal ialah Lata Kekabu.

Entah Bro Jinggo pernah buat aktiviti di sini atau tidak, aku pun tak pasti. Sebenarnya banyak produk pelancongan yang boleh di'jual' di Hulu Perak ini.

Antara lain, terdapat Muzium Arkeologi Kota Tampan. Kumpulan penyelidik yang diketuai pensyarah USM menemui manusia terawal pada zaman paleolitik, yang kemudiannya dikenali sebagai "Perak Man". Selain artifak dan tulang manusia, terdapat gua-gua tinggalan pribumi terawal di negara kita. Segala tinggalan itu dikaji dan sebahagiannya ditempatkan di muzium ini. Malangnya ia jarang dikunjungi orang ramai.

Berdekatan Tasik Raban, begitu banyak gerai ikan pekasam. Ini juga menjadi satu tarikan ke daerah ini. Jambatan Raja Nazrin pula sungguh indah terutama pada waktu malam.

Berbanding daerah lain, daerah Hulu Perak merupakan kawasan yang belum terusik sepenuhnya. Masih banyak hutan dara, termasuk Hutan Hujan Diraja Belum. Terdapat perkampungan orang asli dari suku Mahmeri dan Negrito (kalau salah, maaflah) yang boleh dikenali melalui susuk badan yang agak kecil, berambut kerinting dan kulit agak gelap. Bagaimanapun, makin ramai yang kahwin campur dengan Melayu dan Cina, menyebabkan wajah asli itu semakin hilang.

Hutan Belum luas dan menjadi kawasan tadahan air yang kemudiannya melimpah ke Tasik Banding. Wajarlah ia dijadikan khazanah negeri Perak yang tidak ternilai untuk masa depan cucu cicit kita nanti.

Sebelum terus ke Pangkalan Hulu, aku masukkan cerita ini, sebab di sana, liputan telefon bimbit sangat lemah. Apatah lagi mengharapkan 3G, jauh panggang dari api. Sekurang-kurangnya, dapat juga kukongsi cerita bersama rakan lain yang kekadang menyinggah ke blog ini.



Sunday, October 12, 2008

Shah Rukh Khan Dapat Gelaran Datuk

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Shah Rukh Khan dijangka terima Datuk bulan depan-BH 11 Oktober 2008

MELAKA: Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan dijadual datang ke Melaka bulan depan bagi menerima gelaran Datuk yang dianugerahkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob sempena sambutan Harijadi ke-70, hari ini. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kedatangan Shah Rukh Khan akan diuruskan dengan bantuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Aku tersenyum sinis membaca berita ini. Nak gelak pun ada, hairan pun ada juga. Bercampur baur. Tapi yang jelas, rasa tidak puas hati terhadap berita ini dapat aku nyatakan:

Pertama, siapalah yang memilih SRK untuk menerima gelaran ini? Atas sebab apa? Besarkah jasanya kepada pembangunan Melaka, atau Malaysia?

Kedua, SRK akan gunakan gelaran ini dalam promosi filemnya? Rasanya tidak. Seperti Datuk Michelle Yeoh, yang hanya gunakan gelaran itu apabila pulang ke Malaysia. Tapi dalam kes Michelle Yeoh, dia adalah aktres Cina kelahiran Ipoh, Perak. Kalau dapat gelaran pun, patutlah. Tapi SRK? Lahir di India, membesar di India dan hanya sekali dua ke Malaysia untuk penggambaran filem.

Ketiga, aku rasa gelaran Datuk sebenarnya sudah tiada nilai, sebab terlalu ramai yang boleh dapat, dan mudah diberi. Seingat aku, gelaran 'Sir' diberi kepada Alex Ferguson, pengurus Manchester United oleh Ratu England setelah kelab bola sepak itu berjaya merangkul tiga gelaran semusim. MANU menjadi Juara Liga 1998-1999, Juara FA dan mengalahkan Bayern Munich untuk mengungguli trofi Liga Juara-juara di musim yang sama.

Sultan Abu Bakar, yang memerintah Johor juga, pernah dapat gelaran Sir, tetapi ketika itu, Tanah Melayu di bawah pengaruh Empayar British. Lagipun, baginda telah mentadbir negeri Johor dengan mengguna pakai kaedah pentadbiran British.

Apa logiknya SRK diberi gelaran Datuk? Aku hairan dengan sikap orang kita, yang begitu mengagungkan orang lain berbanding rakyat sendiri.


Agaknya, tak lama lagi, mungkin Lewis Hamilton, pemandu McLaren dalam perlumbaan F1, akan turut disenaraikan untuk menerima gelaran Datuk.

Siapa tahu, Brad Pitt turut diberi anugerah ini satu hari nanti. Kalau aku diminta memberi cadangan penerima gelaran Datuk, aku akan cadangkan Maria Sharapova, Park Ji Sung,dan Harrison Ford. Tentu hebat bunyinya, Datuk Harrison Ford, Datuk Park Ji Sung.

Pada hal, kenapa tidak berikan sahaja gelaran itu kepada rakyat negara ini yang menyumbang pengetahuan dan bakat, seperti Zulkilfi Haron (Pencipta Kereta Hantu di Rawang).

Selalunya, kita hanya akan beri gelaran apabila mereka sudah tiada. Contohnya, P Ramlee, menerima gelaran Tan Seri selepas meninggal dunia. Pelik, kan?



Friday, October 10, 2008

Isteri Najib Lebih Berkuasa?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Membaca posting terkini Dato' A Kadir Jasin mengingatkan aku tentang cerita rakan lama yang kini bermastautin di Australia, Kamal namanya. Semasa kami bertemu awal tahun 2007, dia bercerita pengalaman di bumi orang. Banyak perkara suka duka dia di tempat orang.


Satu ceritanya yang cukup menarik untuk kukongsi ialah ketika dia dalam penerbangan ke Eropah, dan transit di KLIA dari Brisbane. Dalam pesawat, Kamal terdengar bunyi suara perempuan bising-bising marahkan pramugari.


Rupa-rupanya, itu adalah suara Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Dato' Seri Najib Tun Razak.


"Hang tau, punyalah cerewet Rosmah ni," kata Kamal sambil menghirup teh ais di gerai Rojak Manjung ketika itu.


"Aku ingat apalah riuh rendah. Rupanya, dia marah kat pramugari. Tapi Najib cool aje. Terus ke Business Class. Rosmah ni, cengey, kuat bergaya. Tak tinggi mana, ketot je. Suaranya tak padan dengan badan."


Kami ketawa bersama mengenangkan Rosmah.


Perbualan kami tentang isteri Timbalan Perdana Menteri itu, terhenti setakat itu. Banyak lagi cerita lain yang kami kongsikan pada petang itu. Kamal pulang ke Australia tidak lama selepas itu. Entah bila lagi aku bertemu dengannya.


Apabila membaca posting Dato' KJ dalam blognya, beliau menyebut 'isteri' sebanyak dua kali. Aku rasa, Dato' KJ bukan orang baru dalam dunia kewartawanan. Mungkin dia bukan generasi Rahim Kajai atau Ishak Hj Mohammad, tapi pandangannya kritikal. Cuma, tidak sekritikal Allahyarham Tan Sri Samad Ismail.


Posting terbaru beliau membuatkan aku terfikir, adakah kita sekarang, terlepas dari mulut biawak, masuk ke mulut buaya?


Ferdinand Marcos, bekas Presiden Filipina, mati dalam keadaan hina, setelah ditolak oleh rakyatnya. Satu daripada puncanya ialah , di tengah-tengah ekonomi Filipina ketika itu yang membebankan rakyat, isteri Marcos, Imelda membelanjakan berjuta-juta peso Filipina untuk aksesori pakaian dan kasut mewahnya.


Apabila mengenangkan isteri bekas presiden Filipina itu, aku terfikir juga gaya Rosmah yang tak jauh dari gaya Imelda marcos yang terkenal dengan borosnya.


Tidak adil untuk aku menilai tanpa mengenali siapa Rosmah. Tapi orang seperti Dato' KJ mempunyai hubungan unik dengan golongan aristokrat. Pastilah maklumat itu bukan sembarangan maklumat.


Teringat aku isteri MB Perak, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin, tak silap aku, Datin Seri Fatimah namanya. Baik perilakunya, sopan gayanya. Pertemuan secara spontan di Masjid Seri Manjung selepas solat Asar bulan Julai lalu membuktikan isteri MB itu berhemah tinggi.


Thursday, October 9, 2008

Undurnya Paklah, Tenangkah Keadaan?

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Siapa yang tidak mengenali Paklah? Beliau adalah Perdana Menteri yang mungkin paling pendek tempoh perkhidmatannya. Pengumuman beliau semalam untuk tidak bertanding pada pemilihan Mac 2009, membuktikan Paklah tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO. Ini bermakna, Paklah akan melepaskan jawatan sebagai PM selepas itu. Penggantinya, kemungkinan besar Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri sekarang.
Aku bukanlah ahli politik, jauh sekali untuk menyertai pemilihan peringkat cawangan mahupun bahagian. Sebagai pendidik yang diberi tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, tidaklah keterlaluan jika aku membincangkannya bersama rakan setugas.
Melarang guru daripada membicarakan soal politik, adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Baru-baru ini, seorang ahli parlimen 'menasihatkan' guru agar tidak berbicara soal politik di sekolah. Melampau betul. Ia memberi gambaran seolah-olah guru tidak mampu berfikir seperti manusia biasa. Apa salahnya berbicara soal politik untuk mencanai minda? Dosa besar apakah hingga guru tidak boleh berbicara tentang pentadbiran negara? Soal kepartian, rasanya sudah cukup matang untuk dibicarakan oleh guru. Memang memalukan jika hal ini dipolemikkan kerana ia merendahkan tahap keupayaan guru berfikir .
Hakikatnya, semasa SITC (kini UPSI) ditubuhkan di Tanjung Malim pada 1922, ia telah melahirkan golongan guru yang mencetuskan gerakan penentangan terhadap penjajah Inggeris.
Siapakah Ibrahim Yaakub, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, dan Mohd Isa Mahmud? Merekalah pejuang yang tulen, menentang penjajah melalui ilmu pengetahuan yang digarap, lalu membentuk semangat juang yang mantap dan menyedarkan masyarakat Melayu yang ketika masih lena dibuai mimpi.
Akhirnya, melalui gerakan semangat guru-gurulah, masyarakat di Tanah Melayu akhirnya mendapat kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957.
Berbalik tentang Paklah, rasanya beliau tidak mampu mencapai tahap kecemerlangan seperti zaman Tun Dr Mahathir. Tun meletakkan kayu ukur yang tinggi semasa meninggalkan kerusi PM kepada Paklah. Tun berjaya meletakkan Malaysia di barisan negara yang wajar dihormati. Kecacatan Tun tetap ada, tapi Tun berjaya meraih sokongan rakyat. Itulah sebabnya semasa era reformasi 1998, BN masih menguasai dua pertiga majoriti. Tun boleh berbangga semasa mengundur diri dari arena politik tahun 2003.
Paklah pula bagaimana? Menjelang pengundurannya Mac 2009, tiada apa yang boleh Paklah banggakan.
Paklah dihenyak dan dipersalahkan oleh Tun, yang bertanggungjawab meletakkannya di kerusi PM. Tindakannya membatalkan jambatan bengkok sukar difahami oleh Tun sendiri. Kewujudan Wilayah Iskandar di Johor gagal meraih sokongan rakyat negeri itu. Perisytiharan wilayah ekonomi di Utara dan Timur masih tidak membekas apa pun.
Tidak cukup dengan itu, BN kehilangan 4 buah negeri kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Mac lepas. Beberapa pihak termasuk dalam kalangan MT UMNO menyelar kelemahan Paklah sebagai punca BN gagal mendapat tempat di hati rakyat.
Paklah juga dikatakan menjadi penyebab munculnya HINDRAF. Malah, kejatuhan saham sekarang juga, kononnya ada kaitan dengan kelemahan Paklah mentadbir negara.
Langkah tidak popular Paklah, seperti menaikkan harga minyak sehingga menyebabkan inflasi yang teruk dalam tempoh 3 bulan. Ia memberi bebanan kepada rakyat marhaen. Harga susu, tepung, beras dan baja naik mendadak, menyebabkan orang kampung semakin terhimpit dek tekanan ekonomi yang membengkak.
Biar apa pun alasan Paklah, majoriti rakyat tidak menangisi pengundurannya.
Apakah Najib ada kuasa magik yang mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada BN? Mampukah keadaan negara kembali aman dan terkawal seperti dahulu? Mungkinkah Anwar mempunyai jalan penyelesaian, atau sekadar beretorik dengan janji untuk kesejahteraan rakyat? Masa dan keadaan akan menentukan.
Harapan aku,.. Masa depan negara ini jangan dilacurkan untuk kepentingan diri. Siapa juga pengganti Paklah, MESTI ingat perkara ini.

Wednesday, October 8, 2008

Nak Naik Pangkat Memang Susah..


Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.


Pagi-pagi lagi, Shahrol, anak muda yang bekerja di pejabat mencari aku. Rupa-rupanya nak beri surat daripada Kementerian.

"Urgent surat ni, cikgu.. Saya kena serah pada cikgu cepat."

Aku membelek surat itu, lalu........

"Alamak, Kursus PTK DG44. Di Pulau Pinang, seminggu sebelum cuti." Hatiku bagai direnggut. Pada waktu begini, aku perlu berada di sisi anak murid sebelum menghadap SPM. Tetiba, kena kursus. Wajib hadir pulak tu.

Kalau tolak, lain kali susah nak dapat peluang. Kalau terima, banyak juga yang perlu aku fikirkan.
Mujur juga ada Broadband. Aku cari bahan di web yang dimaklumkan rakan, dan berjumpa dengan beberapa maklumat yang berguna untuk kursus nanti.
Entahlah. Semuanya rezek anak-anak. Kalau ada, luluslah, kalau tidak, terima sebagai pengalaman. Bukankah pengalaman itu guru yang terbaik?


Tuesday, October 7, 2008

Menghayati Semangat Raya 3

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Hari raya bukanlah masa untuk melepak di rumah dan menonton TV. Memang rancangan-rancangan TV hebat dan menarik. Tetapi budaya kunjung mengunjung dan ziarah semasa hari raya sepatutnya menjadi amalan.

Aku, Sani dan Oun serta keluarga masing-masing mengunjungi Pak Anjang Juri di Seri Manjung. Di sana, kami dapat juga bertemu dengan Ark, Idris dan Azlan yang akan pulang lewat petang nanti. Bukan mudah nak bertemu dengan sepupu, kerana masing-masing sudah ada komitmen kerja dan keluarga.

Kami ke Batu 3, bertemu Makngah Itam dan Pakngah Ramli. Ini jugalah destinasi arwah ayah tiap kali raya, dan kami hanya meneruskan tradisi itu.

Sejak kematian Amril dalam tragedi letupan di Kilang Gandum, jelas kelihatan tiada keceriaan di wajah kedua-dua orang tua itu.

"Dah tak seronok, Ein.. teringat kat arwah." Makngah Itam meluahkan kerinduannya.

Aku hanya menjadi pendengar pasif apabila dia bercerita tentang kelibat Amril serta dua cucunya. Rupanya, sejak kematian Amril, Makngah juga putus hubungan dengan cucu dan menantunya. Mereka sudah tak lagi duduk di rumah belakang. Entah apa sebabnya, tapi Pakngah Ramli nampaknya begitu terkilan dengan sikap menantunya yang menyisihkan mereka.

"Tak mengapalah, satu hari nanti, dia akan jumpa Pakngah juga, sebab kereta masih nama arwah," kata Pakngah sambil merenung jauh ke laman rumah. Paling mengecewakannya, raya ini hanya sejam dia dapat bersama 2 orang cucunya itu. Itupun setelah Pak Ode Yunus yang membawa mereka ke situ. Walhal, antara rumahnya dan rumah besan, jaraknya hanya sepenanak nasi.

Kami ke rumah Ayahlang Rahman, tidak jauh dari situ. Hampir terlajak aku ke Damar Laut kerana dah terlalu lama tak ke sini.

Rupanya, Maklang kini sudah bermadu. Berita itu disampaikannya dengan linangan air mata. Seperti biasa, kami hanya boleh menjadi pendengar dan memberi sokongan moral kepadanya.

Iyalah, perempuan mana yang suka dimadu? Lelaki mungkin rasa teruja, tetapi kalau tak boleh berlaku adil, cukuplah beristeri seorang.

Ayahlang sendiri, sejak berkahwin muda, langsung tak kisah makan minum anak-anaknya di sini. Kasihan aku kepada Maklang, kerana diperlakukan begitu. Mujur juga Kaklang dan Linda membantu. Umi juga khabarnya nak berhenti tingkatan 6 jika berjaya dalam temu duga SPA minggu depan.

Destinasi kami yang terakhir ialah rumah Abang Enai, itu pun terpusing-pusing Oun mencari lorong di Taman Samudera. Kak Ina isterinya biarpun suri rumah sepenuh masa, bijak menyusun atur hinggakan rumah yang sederhana itu menampilkan kelainan dekorasi.

Kami berpecah dengan aku balik ke rumah sementara Oun dan Sani mengunjungi Pakcik Endan di Cangkat Cermin.

Esok dah mula bertugas, dan aku nekad untuk berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal ini. Arwah mak sudah jadikan ia tradisi, dan selalu ingatkan aku tentang betapa ganjaran pahalanya seolah-olah berpuasa selama setahun. Moga-moga mak dan ayah tenang di sana. Amin.

Monday, October 6, 2008

Menghayati Semangat Raya 2

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.
Singgah ke Kg Baru, mengimbau semula kenangan bersama orang yang tersayang. Pakco, Makco nampaknya semakin memanjat usia tua. Begitu juga Makngah Jemah, yang masih mesra menyambut kedatangan kami. Abang Hashim, Abang Kazim masih lagi di sini dan sempatlah kami bermaaf-maafan sebelum mereka pulang ke Selangor.

Aku sempat melakar laluan peta ke INSTEP Batu Rakit untuk memudahkan Abang Joey, Salleh dan Shukor ke sana petang nanti. Rupanya Shukor dapat tawaran kursus 6 bulan di sana, sebelum diserap ke pelantar minyak di Laut China Sela
tan.

Menziarahi Pak Andak yang sudah terlalu uzur, menyentuh perasaanku. Teringat detik-detik bersama arwah ayah yang kubela hampir dua tahun. Pak Andak Rojis pada telahanku, semakin menghampiri penghujung usia. Tiada banyak yang dapat dilakukan, kerana selera makannya sudah tertutup, dan mukanya semakin cengkung berbanding semasa Ramadhan lalu.

Pada sebelah petang, bekas murid sudi berhari raya di teratakku. Bermula dengan kedatangan Ady Fitri, Azim, Firdaus dan Razan, yang disusuli oleh Farez, Nuar, Mat Bear, Ain, Hidayah, Eida, Bab, Zai dan yang lain-lain, yang sudah merancang ke rumahku awal lagi.

Banyak peristiwa menarik pernah kami lalui bersama, khususnya ketika aku menjadi Ketua Warden di asrama SMKBS 4-5 tahun yang lalu.

Hubungan mesra dengan mereka kuharap kekal sampai bila-bila. Entah siapalah yang akan mengajak aku makan 'nasi minyak'dahulu, tak tahulah. Tapi yang kutahu, Mat Bear dan Ain mempunyai perancangan sama seperti Farez dan Puteri. Doakan ajelah....

Lewat malam, aku mendapat satu panggilan telefon.

"Kami dah termasuk ke Gua Musang ni, camne?" suara Abang Joey memecah kebuntuan.

"Gua Musang? Bagaimana boleh ke Gua Musang? Kalau ke Terengganu melalui Grik, tak perlu masuk Gua Musang. Pasti Abang Joey tersalah masuk simpang." Aku meneka.

"Ya,lah, kami dah silap ni, tapi abang akan masuk ikut Ciku, ada panduan daripada budak jaga pam minyak," kata Abang Joey.

Ciku? kalau masuk Ciku, tentu masuk Aring, lalu ikut Kenyir. Huh, kawasan tu, siang pun sunyi, apatah lagi malam.

Aku doakan mereka selamat tiba.

Menghayati Semangat Raya

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Pada raya tahun ini, aku dapat juga 'menyinggah' di rumah Ayah Teh, rumah Rusdan, rumah Toksu Wan Sareh, dan rumah Cekda Wan Aini. Kami bergerak dengan tiga buah kenderaan ke rumah Ayahcik di Kg. Binjai Rendah, sebelum singgah di Kubang Jela untuk menziarahi sanak saudara Bak. Syukur, dapat juga aku bersua saudara mara sebelah sini sebelum pulang ke Perak Pada raya ke-3.

Perjalanan balik ke Perak juga satu cabaran. Melalui tasik Kenyir masuk ke Felda Aring, bukanlah perjalanan yang sibuk. Maklumlah, ramai yang masih beraya pada raya ke-3, tapi aku tetapkan perjalanan pada waktu begini kerana jalan kurang sesak. Setibanya di RR Gua Musang, niat untuk berehat dan solat terpaksa dibatalkan kerana terlalu banyak kenderaan bersimpang siur. Rupanya anak perantau Kelantan yang menggunakan laluan Kota Bharu-Gua Musang sudahpun memenuhi segenap sudut parkir kereta.

Aku tiada piliham lain, kecuali membawa anak-anak ke KFC Gua Musang dan menikmati makanan di pekarangan sebuah surau yang berdekatan. KFC tersebut tutup pada waktu tengah hari! (Yang aku tahu, KFC buka sepanjang waktu siang)

Nyaris Avanzaku mencium bontot Wira semasa kami di Batu Gajah, dek pemandunya sibuk dengan telefon bimbit. Menyirap juga darah aku, tapi syukurlah tiada apa yang buruk berlaku. Kami selamat tiba di Lekir sebelum maghrib.

Syukur padaMu, yang menyelamatkan perjalanan kami..

Saturday, October 4, 2008

Saingan EPL


Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Sebagai peminat Manchester United (Manu), tidak dinafikan aku selalu mengikuti perkembangan bola sepak kelab tersohor ini. Pasukan yang digelar Red Devils ini memanglah sudah mempunyai penyokong di seluruh dunia. Aku sendiri, tidak fanatik sangat dengan Manu, tetapi kalau berpeluang ke Old Trafford, mesti rasa bangga melihat sendiri kehebatan pasukan ini di gelanggang mereka.


Sebenarnya, melalui pengurusan yang betul, bola sepak boleh menjadi produk yang sangat menguntungkan. Aku 'salute' dengan Sir Alex Ferguson yang telah menerajui kelab ini selama 21 tahun. Lama tu... Dalam tempoh tersebut, Manu berjaya merangkul 2 kejuaraan Liga Juara-juara iaitu pada 1999 dan 2008. Umur dah 70 tahun, tapi sangat dihormati rakan dan lawan.

Bagaimanapun, saingan liga English Premier League (EPL) musim ini ternyata sengit buat Manu. Kemasukan beberapa pemain hebat di dalam pasukan Liverpool dan Manchester City, agak menggusarkan. Begitu juga dengan penyertaan Big Phil Scolari di Chelsea, sudah cukup membuktikan, Manu kena bekerja 'lebih keras' untuk musim ini.

Tak semena-mena, ada berita yang agak mengecewakan Chelsea. Menurut Berita Harian 3 Oktober 2008, Didier Drogba tercedera dan perlu berehat lebih daripada 3 bulan. Ini sedikit sebanyak memberi hara
pan bahawa Manu masih boleh bersaing dengan kelab-kelab EPL yang lain.
CLUJ-NAPOCA (Romania): Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari kini gelisah memikirkan kemungkinan berdepan krisis kecederaan yang mampu menghancurkan permulaan tanpa kalah pasukannya selepas Didier Drogba tercedera ligamen lutut ketika seri 0-0 dengan CFR Cluj dalam saingan Liga Juara-juara Eropah, awal pagi semalam.

Drogba bakal diketepikan dari aksi sehingga tiga bulan akibat kecederaan itu yang dialami awal separuh masa kedua di Stadium Dr Constantin Radulescu, kelmarin. Menyedihkan, dia baru sahaja pulih daripada masalah lutut yang mengenepikannya pada permulaan musim.

Saingan baru bermula, tapi Manu ketinggalan berbanding Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Hanya masa yang menentukan. Hero Tamil agaknya, kalah dulu, menang kemudian.. Buktinya, pada perlawanan di Ewood Park, Manu kalahkan Rovers 2-0 melalui Brown dan Rooney.

Blackburn Rovers 0-2 Manchester United
http://www.premierleague.com/page/Headlines/0,,12306~1412917,00.html

A goal in each half handed Manchester United a win over Blackburn Rovers at Ewood Park.

Wes Brown and Wayne Rooney were on target as United recorded back-to-back Barclays Premier League wins for the first time this season with a comfortable 2-0 triumph.

Brown nodded home Rooney's first-half cross and the latter clinically applied the first-time finish to Cristiano Ronaldo's cut-back.

Buat peminat Chelsea, Liverpool dan Arsenal, berhati-hatilah. We're back on track!








Wednesday, October 1, 2008

Budaya Salam

Terima kasih kerana sudi melayari blog saya. Saya alu-alukan perkongsian cerita dan ilmu di blog ini.

Semasa kecil, kami diasuh agar bersalaman dengan ibu bapa saudara tiap kali berjumpa. Kini, budaya bersalaman dengan Makco, Makngah, Mak Andak, Pak Anjang, Pakcik dan abang sepupu sudah jadi perkara biasa. Malah, aku terapkan nilai ini kepada anak-anak.

Sejak akhir-akhir ini, budaya salam sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita. Pemberian duit raya pun, kadangkala ala kadar sahaja. Asal beri, sudah. Tiada langsung penerapan budaya salam, sedangkan itulah masanya anak-anak kecil ingin mengenali saudara mara yang jarang ditemui.

Budaya salam harus dikukuhkan dalam jiwa anak-anak kita. Meminjam kata-kata arwah ayahku: "Kalau anak-anak tak kenal saudara mara, apabila besar nanti, jadi orang sahajalah... bukan sedarah daging."

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...