Sunday, June 21, 2015

INDAHNYA RAMADHAN ZAMAN KANAK-KANAK

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Zaman kanak-kanak dan remaja, sememangnya zaman yang penuh keseronokan dan keriangan dalam hidup saya.  Rakan sekampung kini sudah terpisah dan ada yang sudah kembali kepadaNya. Antara rakan yang sudah dijemput Allah adalah Puad, Keri, Mat Sapri, Samsuri dan Din Ketang. Yang masih berhubung dengan saya dan berada di sekitar Manjung adalah Lie Katun, Kono, Sham Beah, Boy dan beberapa orang lagi. Tapi kenangan membesar sebagai budak kampung menyebabkan saya rasa bertuah memiliki pengalaman tersebut. 

Kampung kami adalah penempatan semula penduduk Kampung Batu Gajah, Lumut yang dijadikan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1975. Rumahnya di atas tanah seluas suku ekar bagi setiap satu keluarga, dengan bentuk seperti rumah FELDA, dengan kemudahan asas seperti air dan elektrik disediakan termasuk jalan raya.

Saya dan dua adik lelaki, Oun dan Sani membesar bersama, dan jarak usia kami yang hampir sebaya menyebabkan kami menjadi kawan dalam pelbagai aktiviti. Jarak umur saya yang paling tua dan Oun yang paling muda hanya 4 tahun. Tentulah peristiwa pahit manis kami membesar tidak jauh bezanya. Kami membesar dengan permainan kampung, tanpa gajet elektronik seperti mana hari ini. Permainan galah panjang, jengket-jengket, tuju kasut, gasing, lelayang dan guli sudah sebati dengan zaman tersebut. Kepakaran saya tentulah lastik burung, yang menjadi ketagihan semasa sekolah rendah dahulu.

Oleh kerana saya paling tua, sayalah ketua dalam aktiviti kami. Awal Ramadhan, selalunya kami buat pelita panjut. Modalnya hanya tin susu, tali guni (untuk dijadikan sumbu pelita), minyak tanah dan tiang untuk gantung pelita. Kampung kami selalu adakan pertandingan pelita panjut. Seingat saya rumah kami tak pernah pun menang, tapi keseronokan membuat pelita panjut bersama-sama mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama kami. Masing-masing akan ada tugasannya, daripada mencari tin hinggalah memacakkan tiang panjut. 

Mak paling sibuk buat persediaan kuih raya, sebab zaman itu perniagaan kuih dan biskut raya amat terhad. Biskut raya pun hanya kuih tradisional seperti bahulu, bakar, samperit, loyang dan beberapa jenis lagi. Satu-satunya kakak saya, Yong Aja akan membantu mak membancuh dan memasak kuih. Kami yang lelaki akan menyediakan dapur termasuk mencari bahan bakar daripada tempurung dan sabut kelapa. Bagi adik saya seperti Wa yang masih kecil, biasanya akan jaga kualiti biskut, termasuklah makan kuih yang tak berapa menjadi. Sungguh seronok kenangan zaman itu. Kad raya amat bermakna menjelang hari raya. Kad raya sangat dinantikan daripada abang posmen. Selalunya ayah akan dapat banyak kad raya termasuk daripada Menteri dan ahli politik, sebab ayah rajin mengirim kad raya sebelum bermulanya Ramadhan lagi.

Sepanjang Ramadhan, kami bergantung kepada bunyi kerantung dari masjid. Ayah akan tunggu di anjung rumah menanti bunyi kerantung. Sebaik sahaja bunyi kerantung, kami berbuka di bahagian dapur rumah yang agak kecil dan sempit tetapi tidak langsung menjejaskan kemeriahan berbuka puasa. Biasanya menu ayah adalah mihun atau mi goreng yang dicampur dengan bubur lambuk dari masjid. Ketika itu, masjid kami sudah ada bubur lambuk tetapi tidaklah sepopular Bubur Lambuk Masjid Kampung Baru KL. Kesukaan ayah juga adalah air tebu, dan wajib ada ais. Sebelum ada peti sejuk, kami beli ais batu di kedai Chu Adam. Kalau terdesak sangat beli di Kedai Ah Eng kira-kira 300 meter dari rumah saya.

Mak akan masak juadah untuk berbuka, dan jika bernasib baik, kami boleh menikmati juadah jiran yang bertukar-tukar dengan masakan mak. Zaman itu, istilah Bazar Ramadhan begitu asing dan tidak menjadi pilihan kaum ibu yang rata-ratanya suri rumah sepenuh masa.

Rutin selepas berbuka biasanya kami main bunga api. Ada juga rakan sekampung yang buat meriam tanah di kebun ubi berdekatan dewan orang ramai. Kepakaran menyediakan meriam  memang terbukti, sehingga bunyi meriam yang kuat saling bersahutan di sekitar kampung. Pernah juga orang kampung buat laporan polis sebab bunyi meriam yang  kuat mengganggu ketenteraman terutama pada lewat malam. Semua itu tidak mematikan semangat budak kampung untuk mencari keseronokan sepanjang Ramadhan.

Di masjid, tiada jamuan berbuka puasa seperti sekarang. Jika ada pun, ia tidak semewah hari ini. Jemaah yang ingin berbuka di masjid boleh membawa juadah masing-masing yang kemudiannya dikongsi dengan jemaah lain. Solat Tarawikh biasanya 20 rakaat dan sesiapa yang sabar menanti sehingga selesai akan dapat menikmati jamuan moreh ikut giliran para penyumbang. Biasanya makanan moreh hanyalah bubur kacang atau jika bernasib baik, kami akan dapat menikmati roti canai. Itu pun dah kira mewah dan menyelerakan.

Menjelang hari raya, kampung kami akan dipenuhi dengan perantau yang pulang dari luar. Suasana kampung akan bertambah meriah dan kami pula berpeluang menambah wang saku sebab ketika itu ramai yang bermurah hati memberi duit raya.

Indahnya kenangan zaman kanak-kanak. Kampung DSK kini sudah berubah dan rumah kami juga sudah diruntuhkan bagi memberi ruang pembinaan rumah baharu adik saya. Rakan sekampung pula banyak yang berhijrah termasuk saya, Oun dan Sani. Kami pun jarang-jarang balik kerana mak dan ayah pun sudah tiada, hanya kenangan sahajalah yang menjadi penghubung memori silam zaman kanak-kanak.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...