Thursday, December 18, 2014

DOAKAN KAMI DAPAT MELAKSANAKAN UMRAH DENGAN SEMPURNA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Semuanya bermula apabila kami mendaftarkan giliran menunaikan ibadah haji untuk mak dan ayah mertua saya. Ketika itu tahun 2012, kalau tidak salah saya. Usia mertua saya sudah mencapai warga emas, dan tentulah kudrat mereka tidak sekuat saya dan isteri. 
  "Bila gilirannya?" Tanya ayah mertua saya sebaik kami berurusan di kaunter Tabung Haji Dungun.
"Hermmm, lambat lagi Bak." (panggilan saya kepada ayah mertua)
"Tahun 2045..," Jawab isteri saya pendek.
Kami saling berpandangan.  Semua diam. Persoalan yang bermain di fikiran, adakah sempat membawa mereka menunaikan haji pada tahun tersebut.
Ketika mendaftar haji pun, usia Bak mencecah 72 tahun manakala ibu mertua saya pula 66 tahun.
"Bak dah tak ada waktu tu...", kata Bak optimis dengan nada sayu. 
Ayatnya pendek tapi cukup merentap perasaan. Isteri saya bertekad tetap ingin membawa ibu dan bapanya ke sana, sekurang-kurangnya untuk mengerjakan umrah dahulu.

Saya tekad untuk membuat rayuan, tetapi agak sukar kami mendapat tempat kerana senarai rayuan juga panjang. Ini tahun ketiga saya membuat rayuan dengan harapan musim haji 2015 nanti kami dapat membawa mertua ke sana. 
Akhirnya kami membulatkan tekad membawa mertua menunaikan umrah terlebih dahulu.
Tempat di TH Travels pada awalnya dijanjikan ada, dan kami akan bertolak pada 16hb Disember, pulang pada 27hb berikutnya. Entah di mana silapnya, tempat kami diambil oleh pihak lain. Dalam keadaan serba kalut itu, seorang rakan kami, ustaz Fadzli menawarkan empat tempat untuk umrah Disember, iaitu pada 19hb Disember dan pulang ke tanah air pada 30 hb berikutnya melalui Omega Travel.
Alhamdulillah, ada rezeki untuk membawa ayah dan mak mertua saya ke sana. Segala urusan perjalanan setakat ini sudah dibereskan. Doakan kami selamat pergi dan balik. Doakan juga semoga Allah permudahkan urusan ibadah umrah yang bakal kami laksanakan. 

Maafkan segala silap dan salah sepanjang kita berkongsi ruang di media maya. Kalau ini adalah posting akhir saya, siapa tahu, sebab kata Imam Al-Ghazali, perkara paling hampir dengan manusia adalah mati!

Thursday, December 11, 2014

AKHIRNYA SAYA MELANGKAH KELUAR DARI SINI (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Lewat tengah hari Rabu 10 Disember, satu panggilan telefon diterima meminta saya ke Pejabat Pendidikan Daerah Manjung untuk satu taklimat. Seperti biasa, ini adalah rutin bagi saya kerana sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, urusan seperti ini tidak dapat dielakkan.
Saya akan rindukan rutin perhimpunan seperti ini

Taklimat yang dimaksudkan adalah pemberitahuan pertukaran setara sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Seri Samudera, Sitiawan. Ia agak mengejutkan kerana saya memang tidak mendengar sebarang khabar angin sebelum ini. Bagaimanapun, saya menerimanya dengan berlapang dada, kerana yakin perancangan Allah lebih baik untuk hamba-Nya. 

Sudah sah saya akan menoktahkan khidmat di SMK Batu Sepuluh, Lekir, sebuah sebuah sekolah yang istimewa dalam perjalanan kerjaya saya. Di sinilah saya mula-mula bertugas sebagai seorang pendidik, sejak belum berkahwin hinggalah kepada mempunyai 6 orang cahaya mata. Saya melihat jatuh bangun sekolah ini sejak 3 Julai 1995. Ketika itu saya kuat, energetik,  bujang dan baharu menamatkan pengajian di Universiti Pertanian (Putra) Malaysia.
Pintu masuk yang menjadi lokasi menunggu pelajar ini tidak lagi menjadi teman saya

Saya berkhidmat kepada 9 orang pengetua, daripada guru penolong, kemudiannya dilantik sebagai Guru Kanan Bahasa pada 2006, Penolong Kanan Kokurikulum (2010), Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (2013) dan Penolong Kanan Pentadbiran pada 2014. 

Sejarah perkhidmatan saya di sini amat panjang, hampir 20 tahun. Selama itu, ramai anak murid yang telah berjaya dan  ada juga yang kecundang dalam perjalanan hidup. Ramai antara mereka yang sudah berkahwin, termasuk dengan pasangan daripada sekolah yang sama. Jika dikirakan mereka sebagai anak, bermakna saya sudah layak dipanggil datuk.

Pengalaman pahit dan manis biarlah saya simpan sebagai kenangan dan azimat meneruskan kelangsungan hidup. Pasukan di sekolah ini daripada staf sokongan hinggalah kepada barisan pentadbir amat baik dan mampu melakar kejayaan sekolah pada masa hadapan.

Sebagai penjawat awam, saya harus akur dengan perintah pihak atasan. Perpindahan tempat bekerja ini baik untuk saya. Ia juga dapat memantapkan pengalaman saya mendepani cabaran baharu. Patah tumbuh, hilang pasti berganti. Saya inginkan inspirasi baharu, jadi saya perlu ubah dan berhijrah. 

Kepada rakan sejawat di SMKBS, semoga perpisahan ini menjadi sebab kita bertemu lagi pada masa yang lain. Saya doakan SMKBS berjaya dalam apa jua bidang. Maafkan segala kesilapan dan kelemahan sepanjang saya bertugas di sini. 

Kalau kentang menjadi gulai, ubi tidak berguna lagi
Kalau wang menjadi nilai, budi tidak berguna lagi.



Wednesday, December 10, 2014

UWAIS ALQARNI, TERKENAL DI LANGIT DIHINA DI BUMI

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa 'akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu. (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw)'
Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra). Rasulullah s.a.w juga menjelaskan Uwais boleh dikenali melalui tanda penyakit kulit pada tubuhnya.
Mengapa begitu istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat mencari dan meminta doa daripadanya?
 Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah saw sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji. di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan. 
Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.
Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 
Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas 8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:
Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi:
Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.
Ibunya berkata lagi:
Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.
Uwais Al-Qarni berkata:
Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.
Ibunya menambah:
Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.
Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. 
Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:
“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:
“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni. 
Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut :
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit, kerana jasa dan pengorban terhadap ibunya.