Wednesday, March 23, 2011

SPM Dahulu dan Sekarang

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Hari ini, Rabu 23 Mac 2011, keputusan SPM 2010 bakal diumumkan. Pelbagai reaksi bekas calon dapat dilihat. Ada seribu cerita yang akan dipaparkan di dada akhbar esok. Kisah anak petani, penanam sayur dan penjual kacang putih yang berjaya mendapat keputusan cemerlang mungkin mengambil tempat, menggantikan kempen pilihan raya Sarawak. 

SPM hari ini, jauh bezanya dengan SPM zaman saya dahulu. Memanglah zaman sudah berlalu dan ia tidak sama. SPM dahulu, mengambil kira pangkat 1, 2, 3 dan SAP. Saya garapkan ia secara umum. Pangkat 1, bermakna cemerlang. Calon mendapat jumlah gred antara 6 hingga 23. Bagi Gred 2, calon memperoleh gred 24 hingga 33. Begitulah seterusnya. SAP pula bermaksud Sijil AM Pelajaran, iaitu calon tersebut gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Senang bicara, cukup-cukup makan.

Hari ini, keputusan SPM mengambil kira jumlah A bagi setiap mata pelajaran. Ia sesuai dengan pensijilan terbuka yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak A yang diperoleh, bermakna pelajar itu cemerlanglah. Hakikatnya, tidak semua yang gagal dalam SPM itu gagal segalanya.

Mengambil keputusan SPM dahulu, tak sama seperti sekarang.   Hari ini, keputusan SPM boleh diperoleh melalui SMS. Dahulu, calon mesti ke sekolah dan bertemu guru-guru untuk mendapatkan keputusan. Kalau berhutang atau tidak memulangkan buku teks, keputusannya akan digantung sementara.

Apa pun, saya berdoa semua calon SPM 2010 mendapat keputusan seperti yang diusahakan. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hari ini, anda kutiplah 'sagu' itu. Moga berjaya! Jika tidak mendapat seperti yang diharapkan, usahlah kecewa. Ia bukan penamat kehidupan anda. Banyak lagi ruang untuk kita mencapai kejayaan. Loh Boon Siew, Syed Mokhtar Al-Bukhary adalah contoh mereka yang tidak cemerlang dalam SPM tetapi berjaya menjadi jutawan hasil usaha dan titik peluh yang tidak mengenal erti putus asa. Fikirkan.

No comments:

Post a Comment

Jejak yang ditinggalkan