Thursday, September 21, 2017

CORAT CORET KEMBARA HAJI (SIRI 2)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


#1 - Polis Mekah Tidak Mesra

Sesiapa yang pergi musim haji 2017, pasti bersetuju bahawa polis Mekah tidak mesra, jauh lebih biadab daripada apa yang sepatutnya mereka lakukan terhadap jemaah haji. Selain mengawal jumlah jemaah yang memasuki Masjidilharam, mereka hanya berbual dan bermain telefon bimbit. Tiada waktu rasmi menutup laluan jalan. Ia dilakukan ikut suka dan tidak sistematik. Jemaah haji yang tua atau uzur, tidak mendapat pengecualian jika jalan ditutup. Akibatnya, laluan ke Masjidilharam yang berjarak 700 meter boleh menjadi 1 km. Mungkin ini juga sebahagian daripada ujian yang harus dilalui oleh para jemaah.  

#2 -  Kemuncak Ibadah Haji Mencabar Kesabaran

Pada 8 Zulhijjah, kami mula bergerak meninggalkan Mekah menuju ke Arafah untuk ibadah wukuf. Wukuf adalah berada di bumi Arafah pada tempoh yang ditetapkan. Bermula dengan wukuf di Arafah, mabit di Mudzdalifah dan di Mina, semuanya memerlukan kekuatan fizikal, mental dan nilai kesabaran yang tinggi. Di Arafah, cabaran berada di khemah besar, dalam cuaca panas  yang sesak, memerlukan kami bersabar dan tabah melaluinya. Cuaca panas mencapai suhu 43 celcius, sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa terutama kepada jemaah yang berusia. 

Benarlah ibadah haji, ganjarannya syurga, dan dijanjikan penghapusan dosa. Namun begitu, jemaah perlu mempunyai kesabaran yang tinggi. Zikir dan tahmid menjadi mainan bibir, sepanjang mengerjakan ibadah  di sini. 
Dalam ihram di Arafah

        Proses meninggalkan bumi Arafah untuk ke Mudzdalifah, juga mencabar kesabaran. Maktab 86 mempunyai lebih 3000 orang jemaah dan bas yang terhad jumlahnya bergilir-gilir mengambil penumpang. Di sini, ia menguji kami. Saya terpisah dengan isteri dan bertemu semula di Muzdalifah, selepas subuh. Ketika itu dia keletihan, tapi akhirnya dapat juga kami menaiki bas sebaik matahari menampakkan wajahnya.  

Di Mudzdalifah, cabaran menunggu bas untuk membawa jemaah juga tidak kurang 'hebat'nya. Ia sebenarnya diluar bidang TH, kerana urusan di Arafah, Mudzdalifah dan Mina adalah di bawah pengurusan muassasah Arab Saudi. Namun, sekalung pujian perlu diberikan kepada para petugas TH yang sabar dengan para jemaah. Batu batu kecil sudah disediakan untuk jemaah melontar, memudahkan kami semasa di Mina nanti.
Bersiap untuk solat jemaah

        Khemah di Mina memang banyak, dan lorongnya berselirat. Di maktab 86, ramai jemaah yang saya temui sesat untuk mencari khemah mereka. Mujurlah saya ambil gambar pelan kedudukan khemah, ia memudahkan saya mencari khemah selepas keluar ke tandas dan seumpamanya. Jarak dari khemah ke tempat melontar di 3 jamrah lebih kurang 7 km (pergi balik). Namun begitu apabila bergerak secara ramai, kepenatan kurang dirasakan. Saya bersyukur kerana mampu lagi berjalan, kerana bagi jemaah yang tua dan uzur, jarak tersebut amat mencabar kemampuan fizikal mereka.
Lakaran peta kedudukan khemah jemaah Malaysia di Mina

#3 - Gelandangan

Terlalu ramai gelandangan di kota Mekah. Begitu juga dengan pengemis wanita dan kanak-kanak. Musim haji, ramai dermawan hadir untuk mencari pahala memberi sedekah. Kekadang saya rasakan bagai ada sindiket menyediakan pengemis kulit hitam, kebanyakkannya wanita dengan pakej anak kecil di ribaan.
         
Ada juga gelandangan yang datang sehelai sepinggang, mencari keredhaan Allah, hanya berlantaikan dataran Masjidilharam, beratapkan langit untuk bermalam. Kekadang rasa tidak adilnya kita (atau saya..) apabila sering mengomel dan merungut dengan kemudahan yang disediakan oleh TH. Jika dibandingkan dengan gelandangan yang tidur di dataran, jemaah Malaysia mempunyai kemudahan yang amat selesa.
Bertapa nyenyaknya mereka tidur di dataran


Gelandangan ini membawa anak-anak kecil mereka, 
tidur di kaki lima


#4 Mi Cawan Indomie

Jenama mi cawan dari tanΓ h seberang ini popular sepanjang musim haji, terutama di Mina.

Jemaah pelbagai peringkat umur berjalan ke hulu ke hilir sambil membawa mi cawan mencari air panas, adalah senario biasa yang dapat lihat, terutama lelaki
😁😁😁😁😁😁😁


#5 Jemaah Muda India

Sebenarnya seronok berjumpa dan berbual dengan jemaah negara lain. Pernah saya berbual dengan jemaah muda dari India. Katanya, masyarakat Muslim di India digalakkan untuk menunaikan haji pada usia muda.

Apabila mula bekerja, dia terus menabung untuk ke Mekah. Soal kahwin dan beli rumah diketepikan buat sementara. Selepas dapat menunaikan ibadah haji, baru keperluan lain seperti kereta, rumah dsb akan dipenuhi.

Indiai tiada badan khas seperti TH, semua diuruskan melalui Travel Agency, dan bayaran berbeza beza, itu sebab kita akan dapat temui jemaah wanita India dengan kain tudung berwarna sama, bergerak dalam kumpulan yang sama ketika tawaf atau saei.

Saturday, September 16, 2017

CORAT-CORET KEMBARA HAJI (SIRI 1)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

#1: Kelana Jaya Yang Mendebarkan

Apabila tiba di Kelana Jaya, saya bertemu jiran yang sudah 3 hari terkandas kerana masalah visa. Terkejut juga dengan situasi ini, Manalah tau kalau-kalau saya senasib dengannya. Semua disebabkan Kedutaan Arab Saudi membuat tapisan ketat terhadap visa haji jemaah Malaysia. Tambahan pula, kuota jemaah haji sudah bertambah, pasti ia memberi kesan kepada proses kelulusan visa para jemaah. Akhirnya, pada sebelah awal pagi 2 September, kami dimaklumkan jemaah yang menaiki penerbangan XY16B menggunakan Airbus A330-300 ke Mekah tiada masalah visa. Alhamdulillah.. Perjalanan kami bermula ketiak azan subuh. Ironinya, kami pergi nak melakukan ibadah, tapi semua jemaah penerbangan XY16B tidak dapat menyempurnakan solat subuh kerana bas bergerak terus ke KLIA. Sampai di sana, subuh sudah pun luput. 

Bersama rakan dan saudara yang turut hadir di KJ


#2: Penerbangan Flynas

Pesawat Flynas dengan anak kapal warga Indonesia amat baik dan bersopan. Kata-kata yang lembut seperti 'permisi..' dengan layanan yang baik menghilangkan sedikit kebosanan selama 9 jam berada di awan biru menuju ke Mekah. Rasa hiba meninggalkan bumi Malaysia hilang sedikit demi sedikit. Dalam pesawat, semuanya sudah berpakaian ihram kerana kami berniat miqat di Qarnul Manazil, sejam sebelum tiba. Kami juga dijamu sarapan dan makan tengah hari dalam pesawat. Menjelang 2 petang waktu Mekah, kami tiba di Jeddah. Cuaca panas menyambut ketibaan kami.
Cuaca panas menyambut kami sebaik turun daripada Airbus A330-300


#3: Masjidilharam

Sebak melihat Kaabah di hadapan mata. Sebenarnya ini kali kedua saya ke sini selepas umrah pada tahun 2014. Tapi melihat Kaabah dan Masjidilharam, satu pandangan yang tidak menjemukan. Melihatnya juga memberi pahala. Kami tiba awal, iaitu hampir 28 hari sebelum wukuf. Suasana ketika kami tiba tidak sesak tetapi jemaah India, Pakistan, Bangladesh sudah pun ramai. Masjidilharam sudah tidak ada laluan tawaf sementara seperti semasa kami datang tiga tahun lalu. Kemeriahan di Mekah makin terasa. Jumlah jemaah daripada pelbagai negara semakin bertambah hari demi hari.

Kaabah sentiasa dipenuhi jemaah yang bertawaf


#4: Umrah

Selesai umrah wajib, lepaslah 13 larangan ihram buat waktu ini. Saya mengambil peluang membuat 3 kali ibadah umrah sunat. Untuk ibadah umrah, niat miqat di Tanna'im, kami perlu ke sana dalam jarak lebih kurang 10km daripada Mekah, dengan menaiki teksi. Pemandu teksi di sini mengenakan bayaran SR40 - SR80. Kalau hampir musim haji, atau waktu puncak, tambang boleh mencecah SR100. Inilah dugaan yang ditempuh demi mendapatkan pahala beribadah di sini. Adakalanya saya fikir golongan yang tamak haloba sengaja mengambil kesempatan terhadap jemaah haji yang datang untuk mengerjakan ibadah. 
Selesai semua rukun semasa ibadah umrah sunat, saya dan Haji Munsi Abdullah, mencari kedai untuk bercukur. Banyak kedai di bawah menara Safwa, menawarkan harga antara SR5-SR10. Akhirnya, kami memilih sebuah kedai (pencukurnya dari India) yang begitu cekap membotakkan kepala saya. Dalam masa tidak lebih 10 minit, kulit kepala saya kelihatan buat kali pertama di bumi Mekah. Seingat saya, ini kali kedua saya membotakkan kepala selepas melakukannya semasa tingkatan 2!

#5: Air Zamzam

Air zamzam adalah penghulu segala air. Ia hanya ada di Mekah. Telaga zamzam terletak bersebelahan Kaabah. Bekalan air zamzam di Madinah pun datangnya daripada Mekah. Saya tidak lepaskan peluang untuk minum air suci ini. Beberapa botol kecil saya simpan dalam beg sandang. Saya isikan setiap kali ke Masjidilharam untuk solat fardhu. Saya juga ambil kesempatan minum sebanyak mungkin. Cuaca di mekah yang agak panas menyebabkan jemaah perlu minum banyak air supaya tidak berlaku rehidrasi. Saya simpan air zamzam di bilik selepas pulang ke hotel. Ini membolehkan saya menyediakan bekalan untuk air zamzam semasa di Arafah nanti. 

Air zamzam sebenarnya boleh dihantar pulang ke Malaysia. Untuk penghantaran 10 liter, bayaran dikenakan SR130, dan ia terus ke pintu rumah penerima. Itulah yang saya lakukan untuk beberapa orang kenalan yang membuat pesanan air zamzam. Antaranya adalah Juliana Johari yang bertarung maut akibat kanser payudara. Begitu juga cikgu Razali yang menghidap kanser hati. Opah jabariah dan anaknya di Teluk Intan, saya turut kirimkan air zamzam. Alif Sabri, anak Kak Habsah di Pasir Panjang, juga mengirimkan kepada saya air tersebut untuk merawat sakitnya.

#6 Ikan Patin

Ikan patin adalah menu yang sering dihidangkan di hotel kami. Namun begitu, masih banyak juadah lain yang boleh dicuba di Mekah. Antaranya nasi Arab dan roti Syis, iaitu makanan ruji masayarakat Mekah yang dicicah dengan kari kambing. Telur ayam di sini berkulit putih seperti telur itik. Harga susu segar dalam kotak lebih murah berbanding Malaysia. Berbalik tentang ikan patin, akhirnya ditukar menunya oleh pihak hotel kerana ramai jemaah sudah terlalu jemu dengan cara masakannya yang tiada kelainan. 


#7 Kemudahan Oleh TH

TH menyediakan pelbagai kemudahan yang membantu jemaah. Contohnya, kaunter pengeluaran wang, hanya memerlukan kad lencana jemaah semasa berurusan. Begitu juga dengan khidmat pengeposan barangan yang menjadi tumpuan para jemaah untuk mengirim ole ole buat keluarga di tanah air. Selain itu, klinik TH disediakan dalam kawasan maktab.   

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...