Tuesday, January 29, 2013

Kayuhan Solo Melebihi 45 km.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

 Cuti Thaipusam saya manfaatkan untuk berkayuh melebihi kebiasaan. Selepas solat subuh, saya bertekad berkayuh sejauh yang mampu.

Tepat pukul 7 pagi, roda berputar mengikut hala yang dituju. Saya berkayuh sehingga ke Pasir Panjang Laut dan menuju ke Kg. Koh. Dari situ, kayuhan diteruskan hingga ke Sitiawan. 

Perjalanan masih tidak terasa panas kerana udara pagi begitu nyaman. Apatah lagi cuti begini, jumlah kenderaan tidak banyak menggunakan laluan saya. Kayuhan berterusan hingga ke Seri Manjung dan berhenti di kedai makan setelah saya terserempak Abdul Razak, kawan sekampung semasa remaja  yang sedang  menabar roti canai. Selepas bersarapan dan berbual seketika, saya teruskan kayuhan hingga ke Lekir. Jumlah kayuhan sepanjang 45 km itu adalah yang terjauh untuk laluan solo saya. Tidaklah terlalu teruk untuk seorang pengayuh MTB amatur seperti saya.

Usai tiba di rumah pukul 9.30 pagi, saya pastikan Corratec berkeadaan baik dan bersedia dikayuh untuk aktiviti seterusnya.

Syukur pada-Mu Allah, yang memberi kekuatan untuk hamba-Mu berkayuh. Hargai nikmat kesihatan agar kita tidak rasa rugi jika diberi sakit.

*Maaflah tiada foto, sebab tak bawa telefon.

Monday, January 14, 2013

Peristiwa Sedetik, Ditanggung Seumur Hidup (Update)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pada lewat petang Sabtu, 12 Januari 2013, saya mendapat perkhabaran seorang pelajar tingkatan 5, yang juga atlet harapan sekolah telah ditimpa kemalangan. Saya dimaklumkan oleh Ustaz Mohd Imran, bahawa Muhamad Asyraf Muhamad Haisham telah mengalami kemalangan motosikal bersama rakannya Fakhrul Faiz ketika bersiar-siar di pekan Lumut.

Dalam kemalangan tersebut, Faiz mengalami kecederaan ringan, tetapi Asyraf luka parah di tangan kirinya. Tangannya kemungkinan dipotong, kata rakan saya yang berasal dari Kelantan itu.

Saya menghubungi En. Haisham, yang merupakan ayah Asyraf. Dia dalam perjalanan ke Ipoh bersama Asyraf ketika itu.
"Tak taulah cikgu. Saya serah pada Allah," Katanya dalam nada pilu.
 Saya sendiri terkejut dengan berita ini. Sejujurnya, saya mengenali Asyraf sebagai pelajar yang baik dan berpotensi dalam bidang sukan. Saya hanya mendoakan agar tangannya dapat dirawat sebaik mungkin.
Awal pagi Ahad, saya menghubungi ayah Asyraf sekali lagi.
"Bagaimana dengan Asyraf?" Tanya saya.
"Dia dah dibedah malam tadi, ...dah selamat." Katanya menghela nafas yang kedengaran di hujung talian.
"Syukur... Jadi, tangannya dapat dirawat?" Saya bertanya lagi.
"......Tak dapat... tak dapat, cikgu." En. Haisham berbicara dengan nada tersekat-sekat.
"Tangannya dah selamat kena potong." Katanya sebak, tapi jelas maknanya.
Saya terkesima.
Cikgu Tajul memberi kata-kata semangat untuk Asyraf

Saya dan cikgu Tajul sempat menemui Asyraf selepas pulang dari rawatan di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh petang kelmarin di jeti Lumut.

Semangatnya perlu dipulihkan agar dia terus hidup. Hikmah di sebalik kejadian ini, hanya Allah yang tahu.

Saturday, January 12, 2013

Kalimah Allah: Berbezakah Pandangan Jika MCA Yang Cadangkan?

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Saya terpanggil untuk menyatakan pendapat berkaitan isu kalimah Allah yang dibenarkan oleh Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh DAP. Presiden PAS, TG Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju kalimah itu digunakan oleh mereka bukan Islam, khususnya penganut Kristian.

Saya bukan pakar dalam bidang agama, tetapi saya rasa malu dengan parti PAS yang kononnya berjuang untuk agama, tetapi gagal memahami kehendak masyarakat Islam. Sebaliknya, PAS terikut-ikut rentak DAP dan PKR untuk menjadikan politik adu domba dan kurang ajar dalam masyarakat berleluasa. 
 
Kalimah Allah ini tidak digunakan oleh penganut Kristian dalam rujukan untuk kitab mereka. Anda boleh buat carian artikel dan video Dr. Zakir Naik, seorang ilmuwan Muslim yang dengan tegas menyatakan Islam meletakkan Allah sebagai satu, bukan seperti tafsiran paderi Kristian yang menyatakan Allah mempunyai anak bernama Isa a.s (Jesus). 
 
DAP memberi alasan dangkal untuk mengantikan 'Tuhan' kepada Kalimah Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Melayu adalah tidak relevan dan amat meragukan dari sudut keikhlasan.  Untuk siapakah kitab tersebut, kalau bukan untuk disasarkan kepada anak-anak Melayu? TG Haji Abdul Hadi dan TG Nik Aziz terlalu bersangka baik sehingga gagal membuat andaian di sebalik tuntutan Lim Guan Eng DAP.
 
Saya percaya, terdapat penganut Kristian sendiri tidak bersetuju dengan akan penggunaan Kalimah Allah untuk mengantikan perkataan Tuhan dalam kitab injil versi Bahasa Melayu -  kerana ianya bukan sahaja mampu mengelirukan Umat Islam malah penganutnya juga turut akan terkeliru dalam hal ini. 
 
Saya juga percaya bahawa DS Anwar Ibrahim, DS Abdul Hadi Awang dan DS Nik Aziz Nik Mat tidak mewakili suara seluruh Umat Islam di Malaysia, dan tafsiran mereka dalam hal berkaitan agama lebih bersifat politik  berbanding tafsiran para ilmuan dan cendiakawan Islam.

Ini soal Akidah kita, Ini soal kesucian Islam, "Allah Itu Satu dan Allah tiada anak, dan tidak diperanakkan." (Al-Ikhlas)

Kita harus mampu untuk mempertahankan Kalimah Allah, demi anak-anak pada masa hadapan. Usah bicara nak berjihad jika asas ketauhidan kepada Allah pun tak mampu nak ditegakkan.

Sedarlah, old testament ditulis dalam bahasa hebrew -  Tidak ada Perkataan 'Allah'. Dan di dalam new testament yang ditulis dalam bahasa Yunani juga tidak ada perkataan 'Allah'. Malah bible yang pelbagai versi yang menggunakan bahasa wajib iaitu bahasa Inggeris juga tidak ada perkataan 'Allah'. GOD - (Rangkuman kenyataan Dr. Zakir Naik)

Tanyalah diri kalian semua wahai saudara seagamaku, jika MCA yang mengutarakan cadangan kalimah Allah, dan ia disokong oleh UMNO, apakah tindak balas anda serupa seperti mana sokongan anda kepada Anwar dan Haji Hadi? 
 
Moga Allah memberi keampunan kepada kita semua.

Tuesday, January 8, 2013

Kemalangan Jalan Raya-Karya Pelajar

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Dasawarsa ini, kita sering membaca berita mengenai kamalangan jalan raya. Hal ini sebenarnya sudah lali dan seolah-olah tidak boleh dielakkan. Tambahan pula, setiap kali musim cuti perayaan, bilangan kes kemalangan pasti bertambah. Kadar kematian juga sangat membimbangkan. Apakah puncanya? Bagaimana pula langkah mengatasinya? Wajarlah kita membincangkan cabaran ini sebagai satu agenda penting dalam memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan.
Punca utama adalah kerana sikap pemandu dan pengguna jalan raya yang mementingkan diri. Mereka tidak memikirkan hak orang lain dan mengambil mudah peraturan lalu lintas yang sepatutnya dipatuhi. Memotong kenderaan di kawasan garisan berkembar, membelok tanpa memberikan isyarat, memandu melebihi had laju dan memandu dalam keadaan letih, merupakan sikap pemandu yang tidak berhemah. Sesetengah pemandu kurang bertoleransi semasa menggunakan jalan raya, menyebabkan berlakunya kemalangan yang akhirnya meragut nyawa. Sikap negative seperti ini harus dikikis bagi mengelakkan tragedi kemalangan daripada berlaku.
Sikap cuai pemandu terhadap penjagaan kenderaan juga menjadi faktor berlakunya kemalangan. Kerajaan telah menyediakan agensi pemantauan kenderaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan penambahbaikan sistem pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menunjukkan kerajaan telah berusaha memastikan kenderaan yang bakal digunakan di jalan raya mempunyai kualiti yang memuaskan.  Bagaimanapun, sesetengah pemandu tidak mengikut jadual pemeriksaan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Ada yang bersikap lepas tangan kerana ingin keuntungan berganda. Sikap pemandu seperti ini merupakan virus yang sukar dibuang. Biarpun saman dikenakan, sikap seperti ini sukar dihapuskan kecuali jika kita melatih generasi muda untuk bersikap positif ketika di jalan raya.
Sesetengah ibu bapa acuh tidak acuh terhadap anak-anak bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen. Malah, penunggang ‘cilik’ dibenarkan menunggang motor ke sekolah atau ke kedai tanpa sebarang perlindungan seperti topi keledar dan lesen yang sah. Dalam hal ini, pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan melarang pelajar tanpa lesen membawa masuk kenderaan ke sekolah. Polis trafik dan JPJ   harus mengambil tindakan tegas terhadap remaja yang melanggar peraturan jalan raya. Usaha berterusan seperti rondaan dan menyita motosikal yang tidak lengkap, hendaklah dibuat secara berterusan.  Dengan cara ini, ia boleh mengajar sikap remaja agar menghormati undang-undang jalan raya.

Peranan ibu bapa, masyarakat dan sekolah penting dalam mendidik generasi muda hari ini agar patuh kepada undang-undang. Seringkali anak-anak perlu diingatkan tatacara menggunakan jalan raya secara berhemah kerana ia adalah milik rakyat, bukannya hak individu. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya kerana pendidikan sejak kecil akan melahirkan rakyat yang menghormati undang-undang jalan raya.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengangkutan  adalah untuk memberi pendedahan undang-undang lalu lintas kepada pelajar sekolah dalam sukatan pelajaran yang baru. Hal ini amat dialu-alukan kerana ia dapat mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Kempen-kempen kesedaran di media massa dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa, agar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Sekiranya semua pihak bekerjasama memainkan peranan,matlamat ini pasti dapat dicapai.

NUR ASHA AFIEKA BT ARBANI


MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...