Wednesday, July 31, 2013

Pelita Panjut: Bukan Sekadar Cahaya Malam Tujuh Likur (UPDATE)

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelita panjut bukan sesuatu yang janggal dalam masyarakat Melayu, apatah lagi dalam suasana menjelang lebaran tidak berapa lama lagi. Pelita panjut ialah lampu-lampu bertenaga minyak yang diperbuat daripada pelbagai bahan seperti buluh, tin susu dan seumpamanya. Ia dipasang pada sebelah malam dan menceriakan suasana Malam Tujuh Likur.

Budaya ini dikatakan ada kaitan dengan kedatangan Malam Seribu Bulan ataupun Lailatulqadar. Bagaimanapun, ia bukanlah ajaran agama Islam. Sebaliknya, pemasangan pelita panjut ini lebih kepada budaya turun temurun masyarakat Melayu itu sendiri. Saya sendiri tidak pasti sejarah panjut tetapi pada hemat saya, ia tidaklah menjadi masalah kepada kita asalkan niat kita baik. Panjut dipasang bagi menceriakan malam lebaran dan memberi kegembiraan menyambut Syawal, terutama kanak-kanak.

Panjut daripada buluh
Saya masih ingat, ketika zaman kanak-kanak, pelita panjut dibuat sendiri. Anak kampung seperti saya tidak terkecuali. Saya dan adik beradik lelaki; Oun dan Sani, bekerjasama membuat pelita panjut. Kami akan mencari tin susu krimer kosong sebanyak mungkin.

Sesetengah rakan kami mendapatkan buluh di Kampung Permatang, bersebelahan kampung kami. Tapi itu agak berisiko. Kawasan hutan banyak bahayanya. Memikirkan itulah, kami lebih selesa mencari tin-tin susu Cap Junjung dengan gambar wanita Belanda menjunjung baldi berisi susu. 

Ayah biasanya memberikan sokongan di belakang. Misalnya, untuk membeli minyak tanah, kami akan dapatkan bantuan kewangan daripada ayah. Tin susu itu akan ditebuk di bahagian atasnya untuk dimasukkan sumbu daripada tali guni. Sani dan Oun juga membantu menyediakan tiang untuk menyangkutkan panjut apabila siap nanti. Pada sebelah malam, selepas berbuka puasa, kami akan cepat-cepat memasang pelita panjut, supaya suasana di rumah kami juga menarik seperti rumah jiran dan rakan lain. 
Memasang panjut memerlukan kreativiti-gambar hiasan

Usai bermain bunga api dan menikmati keindahan panjut di rumah sendiri, kami akan ke masjid untuk solat tarawih di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah. Panorama keindahan lampu panjut ketika melalui rumah jiran, menimbulkan keterujaan kepada kami. Pelita panjut biasanya bertahan hingga waktu bersahur, bergantung kepada jumlah minyak tanah.  Minyak tanah kami beli di kedai Chu Adam atau pun kedai Ah Kiau.  

kanak-kanak lebih teruja dengan pelita panjut
Dahulu, ada pertandingan panjut peringkat kampung. Seingat saya, kami tidak pernah menang pun, tapi itu bukanlah keutamaan. Apa yang penting adalah kami merasai keseronokan suasana hari raya. Semua kenangan ini amat menarik untuk saya kenangkan apabila meningkat dewasa.
pelita panjut plastik di rumah saya  :-)

Hari ini, pelita panjut melalui evolusi yang lebih menarik dan dikomersialkan. Saya  hanya membeli pelita panjut plastik yang hanya perlu diisi minyak sahaja. Minyak disel dijadikan pengganti kepada minyak tanah, kerana hari ini, minyak tanah sukar dicari.Anak-anak hari ini sudah tidak tahu sangat kehebatan pelita panjut daripada buluh, apatah lagi membuatnya.

Ramadhan bakal berakhir dan Syawal akan menjelang.
Entah bila kita akan bertemu Ramadhan lagi..

Sunday, July 28, 2013

Mercun dan Bunga Api Menjelang Raya, Ibarat Irama dan Lagu

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Mercun yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa
Bunga api dan mercun, sudah sinonim dengan masyarakat Melayu. Entah mengapa, budaya masyarakat Tionghua yang kononnya untuk menghalau roh jahat semasa sambutan Tahun Baharu Cina, kini menjadi kelaziman masyarakat kita. 

Agak sukar menentukan bila budaya bermain mercun dan bunga api dipraktikkan oleh masyarakat Melayu. Apa yang pasti, ketika tahun 80-an, sewaktu saya membesar, bunga api sudah pun ada. Kami bermain bunga api besi yang tidak berbahaya pada malam aidilfitri. Selain itu, ada mercun lidi, yang boleh memecut dan meletup di udara. Ada juga yang agak berani bermain meriam buluh, dengan menggunakan karbaid. Itulah kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu.

Hari ini, mercun mengalami transformasi yang lebih menggila. Dua hari lalu, tajuk Harian Metro memaparkan berita Mercun Bom dengan foto mercun seakan-akan bom tangan mengejutkan pembaca, termasuk saya. Mercun tersebut didakwa boleh menyebabkan bunyi letupan yang kuat daripada mana-mana mercun yang ada sekarang. Mercun bola pun sudah ada yang lebih besar dan boleh meletup dengan bunyi yang kuat. Keadaan ini tentunya menimbulkan persoalan keselamatan, kerana letupan besar pasti boleh mengakibatkan kecederaan yang besar juga.

Tindakan pihak berkuasa membuat pemantauan di sempadan, masih belum menampakkan hasil yang positif, malahan tangkapan demi tangkapan membuktikan pihak penyeludup tidak berputus asa membawa masuk bekalan bahan terlarang ini ke pasaran gelap dalam negara kerana ia perniagaan bermusim yang menguntungkan. Anak-anak remaja kita agak 'kreatif' apabila bermain mercun. Hasilnya, kita dikejutkan dengan berita kecederaan akibat bermain mercun, seperti kehilangan jari akibat kesilapan memuatkan belerang mercun dalam bekas silinder besi umpamanya. Kita pernah dikejutkan dengan kisah tragis seorang anak kecil yang mayatnya tersangkut di pokok akibat letupan mercun di stor berhampiran rumahnya di Terengganu beberapa tahun yang lalu.

Hakikatnya, menjelang Ramadhan dan Syawal, tragedi akibat bermain mercun bagaikan tidak berkesudahan, selagi masyarakat menerima mercun sebagai satu budaya dalam sambutan perayaan. Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak lebih tegas tanpa ada retorik dan alasan berjela-jela dalam menguatkuasakan tindakan terhadap mereka yang menjual dan memiliki mercun.  Masyarakat juga harus membantu usaha ini dengan tidak membeli mercun terutama yang berbahaya dan boleh meragut nyawa. 

Sekadar bunga api, cukuplah untuk kita memberi kegembiraan pada malam hari raya kepada anak-anak. Itu pun dengan pengawasan ibu bapa. Jika tida, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.


Friday, July 19, 2013

KETAKUTAN SEMASA KECIL

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Perasaan takut atau fobia terhadap sesuatu, tidak dapat dipisahkan dalam jiwa setiap insan. Ketakutan boleh mendorong kita bersikap positif atau sebaliknya. Perasaan takut adalah normal bagi manusia, khususnya kanak-kanak. Semasa kecil, saya pernah mengalami perasaan takut kesan daripada menonton sebuah filem Melayu di TV. 

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya masih bersekolah rendah. Filem tersebut bertajuk PUAKA. Ia dibintangi oleh Ed Osmera dan diarahkan oleh Omar Rojik. Filem ini mengisahkan Tok Demang yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan Mak Esah, seorang bidan yang terkenal, untuk anaknya Mayang yang sedang mengandung. Oleh kerana tidak puas hati, Mak Esah meminta tolong anak saudaranya, Hitam, untuk menggunakan ilmu hitamnya bagi mengganggu keluarga Tok Demang. Hitam mencipta sejenis hantu dengan memotong kepala sahabat baiknya, Singkuang. Hantu Singkuang terus mengganggu Tok Demang, isterinya, anaknya Mayang serta suaminya Indera. Dengan bantuan ayah Indera, seorang bomoh, hantu itu berjaya dimusnahkan. Perkara itu tidak memuaskan hati Hitam, lalu Hitam membunuh ayah Indera. Tidak lama kemudian, Indera pula membalas dendam di atas kematian ayahnya dengan membunuh Hitam dan Mak Esah. Selepas peristiwa itu, kampung Tok Demang kembali aman.

Selepas tamat rancangan tersebut, saya terbayang-bayang hantu berkenaan. Ketakutan saya mula mencengkam apabila dua orang adik lelaki yang sekelambu dengan saya diulit mimpi. Rumah sudah menjadi senyap sunyi, tetapi mata saya masih belum mahu terlelap. Apabila saya memejamkan mata, hantu tersebut terbayang di fikiran. Berkali-kali ia berlaku dan saya menjadi resah. Akhirnya, saya menjerit meminta ayah membantu saya. Ayah pada mulanya 'bengang' kerana tidurnya diganggu. Tetapi perlahan-lahan dia memujuk saya supaya tidur. Malah, ayah tertidur di sisi saya dalam kelambu kami yang agak sempit.  

Apabila dewasa, saya ketawa sendirian menonton filem tersebut buat kali kedua, tanpa ada rasa takut pun. Sebabnya, saya dapati kosmetik untuk 'hantu' filem PUAKA amatlah ringkas dan tidaklah mencerminkan realiti hantu yang sebenarnya. Hantu tersebut digambarkan tinggal rangka dengan wajah buruk berambut panjang. Rupanya, rangka tersebut hanyalah baju hitam dengan ilustrasi tulang di hadapan dan belakang baju. Apabila hantu tersebut muncul pada waktu gelap malam, memanglah kelihatan menggelikan hati kerana penipuan tersebut sudah boleh dibaca oleh pemikiran orang dewasa. Wajahnya pula hanyalah tompok-tompok putih (mungkin cat atau tepung) yang ditempelkan di wajah pelakon tersebut, dengan rambut palsu yang berserongoi.

Namun, semasa zaman kanak-kanak, filem itulah yang menjadikan saya tidak tidur malam. Mengenangkannya kembali, saya boleh memahami betapa sayangnya ayah kepada saya. 

Alfatihah kepada arwah ayah dan emak. Moga Allah merahmati roh kedua-duanya.

Tuesday, July 16, 2013

Kebiadapan Terhadap Islam Perlukan Tindakan Tegas Bukannya Retorik

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Penghinaan terhadap agama Islam oleh segelintir rakyat Malaysia kini menjadi-jadi. Akibatnya, perasaan marah umat Islam memungkinkan perkara buruk terjadi. Seorang  lelaki berusia 24 tahun,  telah  dilarikan sekumpulan lelaki  menaiki kenderaan bernombor pendaftaran palsu. Mangsa berasal dari Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor itu kemudian ditinggalkan di sekitar Lebuhraya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dalam keadaan berbogel. 


Badannya diconteng oleh suspek kerana dia mengaku menghina orang Islam dan Melayu di laman sosial facebook dan Twitter. Mangsa dilaporkan tidak membuat laporan polis kerana bimbang kegiatannya terbongkar. Laporan polis hanya dibuat oleh penunggang motosikal menemui mangsa di lokasi. 

Sebelum itu, Alvin dan Vivian, pasangan berkiblatkan seks bebas di laman maya, turut ditahan SKMM dan disoal siasat atas sebab yang sama. 

Persoalannya kini, mengapa kebiadaban mereka semakin berkembang-biak? Jawapannya mudah, kerana pihak berkuasa agak lambat dan tidak bertindak sewajarnya. Tindakan terhadap seorang pengurus alat solek yang menghina YDPA tidak lama dahulu, hanyalah amaran dan percakapannya direkodkan. 
Perasaan marah yang membuak-buak tanpa diselesaikan boleh mengakibatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum berada pada tahap yang meruncing. Persepsi dan buruk sangka yang berterusan boleh mendorong tindakan luar kawalan undang-undang. 

Saya menyeru kepada kerajaan, khususnya pihak berkuasa, agar mengambil tindakan segera dan perlu bagi mengelakkan suasana harmoni yang kita miliki ini berakhir.
*Sumber foto daripada Mazidulakmal.blogspot.com.

Tuesday, July 9, 2013

Kayuhan MCT Sebelum Bercuti Ramadhan

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Seperti biasa, kayuhan hujung minggu MCT diadakan mengikut jadual. Tapi kali ini ia agak istimewa kerana kayuhan ini adalah program akhir sebelum semua ahli menumpukan perhatian kepada ibadah Ramadhan. 
Saya dan Hafiz berkayuh dari Lekir dan berkumpul dengan ahli  MCT di hadapan KWSP. Jumlah kami kali ini agak ramai, sekitar 17 orang, diketuai Hj Zul Kasiman dan Hj Din Estima. 
Hj Zul menerangkan laluan yang bakal kami tempuhi, melalui jarak 50 km, bermula di Seri Manjung-Kg. Koh-Pekan Gurney-Sungai Wangi-Kg. Bharu dan berakhir di Seri Manjung. 
 
Peloton kami di laluan landai selepas Pekan Gurney

Melepas lelah di stesen minyak Shell Sungai Wangi

Kami juga dijangka akan berehat di warung Paksu, sebelum simpang Aeon. Itulah perancangannya. Perjalanan pada awalnya memang mengikut jadual. Jentera Giant TCR saya tidak memberikan masalah. Kami bergerak dalam kumpulan besar dan mengikut arahan Hj Zul. Kayuhan kami agak santai tetapi ada juga ahli yang melepas gian memecut di jalan lurus.

Bagaimanapun, satu musibah terjadi semasa kami melepasi Sungai Wangi menuju ke Kg. Bharu. Kemalangan ketika kumpulan hadapan melakukan 'breakaway' melibatkan tiga orang ahli pasukan, iaitu Hafiz Janggut, Addy dan En. Rizal di selekoh dua kilometer sebelum Kg. Bharu. Kemalangan seperti ini kadang kala tidak dapat dielak. Hafiz dan Addy mengalami kecederaan ringan manakala Rizal patah tulang bahu. Jentera mereka ada yang rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi. 
Hafiz terbaring menunggu ketibaan ambulans

Mujurlah kecederaan mereka tidak parah

'Frame' jentera Addy nampaknya tidak dapat diselamatkan

Ambulans datang membawa rakan kami ke HSM
 
Berehat di warung Paksu selepas melalui 50 km
Kami membantu rakan yang cedera sebelum meneruskan perjalanan ke warung Paksu.
Selepas Syawal, kami akan berkayuh lagi.Insya-Allah. 
Selamat menyambut Ramadhan 1434 Hijrah kepada semua umat Islam. Hiasilah Ramadhan ini dengan ibadah untuk menambah saham di akhirat.