Sunday, December 24, 2017

SEJARAH SALASILAH KAMPUNG BHARU LUMUT

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kampung tempat saya dilahirkan, Kampung Bharu Lumut, berdekatan UniKL mempunyai sejarah yang berusia lebih 100 tahun. Bapa saudara saya, Cikgu Md Akhir bin Leman, ada membukukan kisah sejarah kampung ini untuk tatapan generasi akan datang. Saya sertakan bahan bercetak tersebut tanpa mengubah apa-apa perkataan di dalamnya. Mungkin ia berguna kepada mereka yang ingin mengetahui sejarah kampung ini. 








Sumber:
Md Akhir bin Leman

(Guru/Penulis buku Bahagia Sesudah Derita)

Monday, December 18, 2017

PERBARISAN TAHUNAN PUTERA MTD 2017

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Awal pagi 17 Disember 2017, kami sekeluarga sudah sampai di MTD Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk menyaksikan perbarisan putera dalam perbarisan tahunan atau 'Passing Out Parade' (POP) yang menjadi kemuncak acara tahunan di MTD.

Tentunya kami berasa bangga dan ingin memberikan sokongan padu untuk Atif Faizi, yang turut serta dalam perbarisan tahun ini. Ia diadakan saban tahun dan diraikan bersama para ibu bapa, dengan jemputan yang bukan calang-calang. Tahun ini, Pegawai Penerima Tabik Hormat adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum. 

Pengacara memaklumkan seramai 498 putera Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi, Kuala Lumpur mencipta sejarah apabila buat julung kalinya memakai pakaian istiadat pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2017.

Sejak penubuhan MTD pada 3 Julai 1952, putera yang terlibat dalam perbarisan 2017 menjadi kumpulan pertama memakai pakaian istiadat atau 'Parade Jacket' pada perbarisan tahunan.

Majlis perbarisan tahunan terbabit diadakan sebagai tanda penghormatan serta mengiktiraf kejayaan putera tingkatan 5 menamatkan tempoh pengajian selama dua tahun. Pada majlis perbarisan itu, seramai 231 pelatih tingkatan lima dan 267 pelatih tingkatan empat memakai pakaian istiadat berwarna putih dengan seluar hitam berjalur 3 warna MTD.

Dalam majlis tersebut, ia turut menyaksikan beberapa orang putera menerima hadiah hasil kejayaan dalam pelbagai kategori. Sesungguhnya menyaksikan Faizi berada dalam kelompok perbarisan tersebut adalah kebanggaan buat kami sekeluarga. 

Insyaallah, tahun hadapan, masih ada sekali lagi untuk melihat Faizi dalam perbarisan POP.  

Awal pagi lagi astaka sudah dipenuhi para pengunjung

Dari jarak jauh, semua nampak segak dengan pakaian dan senjata

Mereka berlatih setiap hari mulai 6 pagi hingga 1 tgh

POP hanya ada di MTD, tiada di sekolah lain

Semuanya nampak segak

Kami bersama Faizi dan Anjang Hajar

Wednesday, December 13, 2017

PT3: PENCAPAIAN HOLISTIK PELAJAR MENJADI KEUTAMAAN

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Esok, Khamis 14 Disember 2017, keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan diumumkan. Mungkin ada antara kita akan tertanya-tanya, berapa jumlah 'A' yang diperolehi oleh si polan, dan membandingkannya dengan orang lain.

Hakikatnya, jumlah 'A' dalam peperiksaan adalah penilaian konservatif yang semakin tidak relevan dalam dunia pendidikan. Malah, ia adalah satu penilaian yang sangat tidak adil kepada anak-anak yang sedang membesar. Pernahkan kita mengenali seseorang, yang semasa zaman sekolahnya, tidak mempunyai 'kepintaran' dan gagal mendapat 'keputusan cemerlang' dalam peperiksaan, namun, setelah dewasa, mereka menjadi orang hebat dalam bidangnya?  
Itulah bukti, bahawa sistem penilaian peperiksaan berasaskan jumlah 'A' atau markah tinggi dalam akademik, bukan kayu ukur yang tepat bagi kejayaan seseorang insan. Tiba masanya masyarakat kita khususnya ibu bapa melihat pencapaian anak masing-masing berdasarkan bidang yang lebih menyeluruh, atau disebut holistik. Berapa banyak A yang anak-anak peroleh dalam peperiksaan yang diduduki, bukan lagi menjadi ukuran kejayaan mereka.
Sebaliknya, pencapaian seorang murid di sekolah rendah sehingga tingkatan 3 di sekolah menengah sewajarnya diukur mengikut kepelbagaian. Inilah yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia apabila mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya akan menjadi satu daripada empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dalam menentukan prestasi seseorang murid berbanding sebelum ini.
Untuk PT3, ia juga tidak jauh berbeza. Selain daripada pencapaian akademik PT3, tiga lagi komponen lain adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pendidikan Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan memberi tumpuan kepada perkembangan sahsiah setiap murid.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senan, dipetik sebagai berkata bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara tidak lagi memfokuskan kecemerlangan murid berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
Apa yang perlu ialah mereka turut melihat pencapaian murid secara holistik sebagai seorang insan.
"Setiap murid memiliki keunikan tersendiri dan potensi mereka tidak hanya semata-mata sebanyak mana mereka meraih A dalam peperiksaan.
"Selain pencapaian akademik yang lebih penting adalah pembangunan karakter, memperkasa pendidikan sejati dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di sekolah," katanya.
Untuk lebih mudah memahami matlamat jangka panjang KPM, usia pelajar pada 13 hingga 15 tahun di sekolah menengah, mereka diberi penekanan kepada nilai dan adab budaya di sekolah, termasuk semangat bekerjasama, menghormati individu dan kerohanian, dan seumpamanya. Mereka akan fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila belajar di tingkatan 4 dan 5. 
Dengan perubahan ini, diharapkan anak-anak kita mampu membangunkan potensi diri mereka dengan lebih menyeluruh.

Monday, December 11, 2017

MASJID BUKAN TEMPAT UNTUK ORANG TUA DAN PESARA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Masjid adalah rumah Allah, tempat beribadat bagi orang Islam, menjadi pusat penyebaran ilmu semasa zaman perkembangan Islam. Hari ini, masjid dibina lebih cantik dan gah, melalui dana perseorangan dan dermawan, termasuk sumbangan kerajaan. 

Namun begitu, perkara yang perlu kita ambil berat adalah pengunjungnya. Rata-rata hari ini, yang memenuhi masjid hanyalah orang tua dan pesara kerajaan. Jumlah orang muda dan remaja yang mengunjungi masjid semasa solat fardhu, amat sedikit.

Hal ini berlaku kerana mentaliti masyarakat kita hanya menganggap masjid bukan tempat yang sesuai untuk anak-anak kecil dan remaja. Saya pernah melihat, kelompok anak remaja yang melepak di bangunan kosong yang tidak jauh daripada masjid, ketika azan maghrib berkumandang. Mengapa ini berlaku?
Ramai antara kita begitu marah dengan tindakan pihak Israel tidak membenarkan masyarakat Palestin beribadah di Masjid Aqsa di Baitulmaqdis. Namun, jika dilihat di negara kita, berapa ramai yang sanggup hadir ke masjid untuk mengimarahkan solat fardhu? Mungkin ada yang memberi alasan sibuk dengan pekerjaan dan seumpamanya. Bagaimana pula dengan waktu Maghrib dan Isyak? Keadaannya hampir sama dengan waktu Zohor dan Asar. 

Oleh yang demikian, para bapa yang sering ke masjid, sepatutnya menggunakan sedikit paksaan agar anak anak dapat mengikuti mereka ke masjid untuk solat berjemaah. Selain itu, pihak masjid melalui AJK yang dilantik, perlu membuat program mesra masjid agar anak anak remaja dapat mengubah mentaliti 'masjid hanya untuk orang tua dan pesara'. 

Jawatan tertentu dalam jawatankuasa masjid boleh diisi oleh anak muda yang sekaligus dapat menarik minat golongan ini hadir dalam pelbagai program kuliah yang dianjurkan oleh masjid. Melalui cara ini, kita dapat mengubah tanggapan negatif, dan masjid menjadi tempat  yang menyeronokkan untuk dikunjungi oleh generasi muda. 


Sunday, December 10, 2017

BAITULMAQDIS: KEBODOHAN TRUMP TERSERLAH

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.


Presiden AS, Donald Trump bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, walaupun dibantah oleh banyak pihak. Alasan Trump, sebagai negara 'berdaulat', Israel berhak mengubah ibu kotanya daripada Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Baitulmaqdis, atau disebut oleh masyarakat Palestin sebagai "AlQuds" merupakan tempat letaknya Masjidil Aqsa, satu daripada masjid penting dalam sejarah Islam. Israel menamakan kota ini sebagai Jerusalem, dan bercita-cita menjadikannya ibu kota negara haram tersebut sejak tercetusnya Perang Arab-Israel 1967.
Masjid Aqsa: Nasibnya memerlukan kesatuan ummah dunia

Bagi saya, tindakan Donald Trump bolehlah dianggap bagai mencurah minyak ke dalam api. Ia bukan sahaja mencetuskan kebangkitan semula Intifada rakyat Palestin, sebaliknya menyebabkan sokongan terhadap Amerika oleh Kesatuan Eropah dan negara Arab semakin pudar. Saya pernah menyatakan kebimbangan terhadap tindak tanduk Trump di sini.

Tindakan bodoh Trump pastinya dicetuskan oleh pelobi Yahudi yang selama ini menyokong kempennya. Trump dipetik sebagai berkata, presiden lain hanya berjanji semasa kempen, tapi dia berjanji dan mengotakannya. Begitulah sombongnya Trump, seorang presiden yang sering bertindak tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Memetik kata-kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapan beliau selepas keputusan Trump tersebut, presiden negara kuasa besar sepatutnya menjadi pendamai konflik, bukan memburukkannya. Malah, negara lain termasuk Malaysia tidak mengiktiraf keputusan Trump yang jelas menyebelahi negara zionis tersebut. Arab Saudi, yang diketahui proksi setia AS, juga menyatakan kekesalan atas tindakan AS tersebut.  

Umat Islam seluruh dunia, berdoa dan membuat demonstrasi di hadapan kedutaan AS sebagai membantah keputusan tersebut.  Perkembangan ini tentu mewujudkan rasa tidak puas hati yang berpanjangan terhadap AS, dan menyebabkan Israel semakin berani meratah rakyat Palestin yang sememangnya sudah menderita di penjara terbesar di dunia itu. 

Kita berharap, Sidang Tergempar OIC yang dipengerusikan oleh Turki, minggu ini menghasilkan keputusan yang berani, konsensus dan sepakat. Kita merindukan kekentalan pemimpin seberani Muhamad Alfateh, dan Salahuddin Al-Ayubi. Moga ada sinar di bumi Palestin. 

Monday, December 4, 2017

PILIHAN RAYA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pilihanraya umum (PRU), merupakan sebahagian proses demokrasi di negara ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR adalah badan bebas di bawah Yang DiPertuan Agong yang melaksanakan tanggungjawab merancang, mengendalikan urusan berkaitan pilihanraya umum atau pilihan raya kecil di mana-mana Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. 

Akhir-akhir ini, tarikh  PRU dikatakan semakin hampir, dan sudah mula dicongak oleh parti-parti politik yang bertanding. Tidak kurang juga, kempen melalui media massa dan media sosial sudah mula digembleng demi memastikan mereka meraih undi rakyat.

Pastinya PRU ke-14 akan datang menentukan survival Barisan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, dengan timbalannya, Dato' Ahmad Zahid Hamidi. Ia juga bakal melihat sejauh mana pengaruh PAS selepas berpisah dengan parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan dan DAP. Munculnya Amanah dan Bersatu, sebagai entiti baharu dalam warna warni politik tanah air tampak memberi ruang pilihan kepada rakyat dalam mencorakkan pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Apa pun situasi dan keadaan, politik sebenarnya adalah alat untuk mentadbir negara. Parti politik boleh berjanji itu ini kepada rakyat, tetapi pada akhirnya, pihak yang mendapat undi majoriti di DUN dan Parlimen, akan pasti diisytiharkan pemenang oleh SPR. 

Kuasa mengundi di tangan rakyat, dan jangan sia-siakan apa juga peluang yang anda miliki. Bersyukurlah kerana di negara kita, demokrasi masih subur. 

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...