Monday, January 24, 2011

PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Saya titipkan kembali intipati satu siri motivasi dalam TV oleh Ustaz Farid Ravi. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita. 
Persaudaraan dalam Islam amat diberi perhatian dalam agama. Beberapa perkara yang perlu dielakkan dalam menjaga batasan persaudaraan dalam Islam:

1- MENGUCAPKAN SALAM
Berilah ucapan salam dengan betul, sebab ia adalah doa. Kalau memberi salam sekadar menyebut "semekum", atau "kum.." sahaja, ia tidak bertepatan dengan konsep salam yang dianjurkan dalam agama. Sebutan "Assalamualaikum" lebih tepat mengikut konteks maksud 'selamat sejahtera ke atas anda..'

2. MENZIARAHI JIRAN/ SAUDARA/ ORANG YANG DITIMPA MUSIBAH
Apabila berkunjung atau menziarahi rakan taulan, ia sebenarnya dapat mengeratkan hubungan. Bawalah buah tangan yang mampu diberi, selain mengucapkan kata-kata yang enak didengar. Usahlah memuji dengan melampau sebab ia tidak ikhlas. Berbaik sangka sepanjang menziarahi si polan, akan membawa kebaikan dalam hubungan. 

3. MENDOAKAN KESEJAHTERAAN SAUDARA SEAGAMA
Apabila kita mendoakan kesejahteraan saudara seagama, ia juga seolah-olah bermaksud kita mendoakan diri sendiri. Ingatlah, antara ciri ahli syurga, adalah mereka yang menjaga hubungan dengan saudaranya. Apabila kita kasih kepada saudara, Allah juga mengasihi kita.

Saturday, January 22, 2011

Tahniah TLDM, PASKAL Memang Digeruni!

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Kapal Auxiliary TLDM Selamatkan Kapal MT Bunga Laurel Dan 23 Krew
 
Antara senjata-senjata yang digunakan oleh lanun dari Somalia dalam cubaan merampas Kapal MT BUNGA LAUREL di perairan Teluk Aden, Jumaat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kapal Auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia Bunga Mas 5 (TLDM BM 5) pada Jumaat, menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel bersama 23 krew kapal itu yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden semalam.
Kejadian rampasan kapal MT Bunga Laurel itu berlaku kira-kira 300 batu nautika timur negara Oman pada pukul 11.40 malam, dua jam selepas ia dipisahkan di kawasan 'selamat' setelah diiringi kapal TLDM itu melalui perairan Teluk Aden.
Kapal MT Bunga Laurel adalah kapal jenis 'Chemical Tanker' yang disewa khas oleh MISC bagi membawa muatan minyak pelincir dan ethylene dichloride dari Timur Tengah ke Singapura.

Beberapa anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) mengawal lanun-lanun berasal dari Somalia ketika di atas Kapal Auxiliary TLDM BUNGA MAS 5.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini, Jumaat, berkata kapal MT Bunga Laurel telah dinaiki tujuh lanun yang berasal dari Somalia bersenjatakan senapang AK-47 dan pistol dengan menaiki bot jenis 'skiff'.
Pihak lanun seramai 18 orang itu juga dipercayai menggunakan sebuah kapal induk bagi melancarkan serangan, kata kenyataan itu.
Krew kapal MT Bunga Laurel bagaimanapun sempat mengaktifkan 'Ship Security Alert System' sebelum berlindung di bilik keselamatan khas yang terletak berhampiran bilik jentera kapal.


Kenyataan itu berkata Helikopter Fennec TLDM yang dilancarkan dari kapal Auxiliary TLDM BM5 turut terlibat dalam operasi itu dengan memberi bantuan pemantauan dan tembakan dari udara.
"Seramai tiga orang lanun mengalami kecederaan dalam kejadian ini dan diberi rawatan di atas Kapal Auxiliary TLDM BM 5.
"Bagaimanapun status kerosakan kapal induk dan kecederaan pada lanun yang berada di atasnya pada ketika ini tidak dapat dipastikan oleh kerana serangan itu dilakukan pada waktu malam," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Wednesday, January 19, 2011

Novel Interlok: Daripada Perspektif Guru Bahasa

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Pelbagai pihak sudahpun memberi respons berhubung penulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain ini. Tajuk Interlok itu sendiri sudah mengundang persoalan.Apatah lagi isinya yang menjadi punca ketidakpuasan sekelompok masyarakat India negara ini. Novel yang ditulis pada zaman penjajahan British mengambil latar tiga masyarakat utama di Tanah Melayu: Melayu, Cina dan India yang masing-masing dengan cerita yang tersendiri.
Nasihat saya, jika anda tidak pernah membaca atau menghayati isinya, jangan terus bercakap dan bertindak bagai orang tiada ilmu. Tindakan Senator M. Murugiah dan beberapa pimpinan politik kaum India yang melatah mengikut rentak yang sumbang, tentulah menimbulkan persoalan yang lebih besar. Apakah kesepakatan yang dibina dalam negara ini begitu rapuh dek prasangka yang membuta tuli? Saya ingin berkongsi isi Interlok dengan pembaca berdasarkan pandangan saya sebagai seorang guru. 

Interlok mengisahkan kisah Seman, anak tunggal Pak Musa dan Mak Limah yang kemudiannya berkembang dalam plot Buku Satu. Dalam Buku Dua, ia mengisahkan keluarga Ching Huat anak Kim Lock. Anak Ching Huat iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim, seorang pemuda Melayu. Ini tidak disenangi oleh Ching Huat menyebabkan akhirnya Yew Seng dihalau dari rumahnya. Watak Maniam, dalam Buku Tiga menjadi pertikaian segelintir masyarakat India. Maniam adalah watak kuli datang melalui Sistem Kangani dari India. Maniam yang bekerja di Pulau Pinang berusia 30 tahun,  berasal dari Kerala dan kasta paria (kasta paling rendah dalam mobiliti sosial masyarakat Hindu di India). tindakan Maniam berkahwin secara senyap menjadi sebab dia dihalau dari estet tempat tinggalnya. 
Watak kaum yang berasingan itu kemudiannya disatukan dalam Buku Empat. Maniam dinaikkan pangkat menjadi mandur (tandil) dan membantu Seman mencari pekerjaan di ladang getah. Seman berkahwin dengan Gayah anak Mat Ranggi. Ketiga pendudukan Jepun, keadaan di Tanah Melayu menjadi kacau bilau. Prasangka antara kaum diketepikan demi kelangsungan hidup. Seman membantu Poh Eng selepas kedainya dimasuki perompak Yew Seng terlibat dengan gerakan komunis berpaksikan fahaman di Tanah Besar China. Maniam dan Mak Limah ditangkap oleh tentera Jepun kerana dituduh memberi bantuan kepada komunis. Watak Inspektor Rama yang kemudiannya disahkan anak Maniam dan Malini, menjadikan cerita ini semakin menarik.

Pengajaran novel ini sarat dengan pelbagai nilai moral. Bagi generasi muda, penghayatan kisah novel Interlok membantu mereka memahami keadaan perit jerih generasi terdahulu yang hidup pada zaman peperangan. Zaman penjajahan yang penuh penderitaan khususnya kepada golongan marhaen, turut digambarkan secara jelas. Fitnah Suppiah terhadap Maniam dan Malini menjadikan sebuah keluarga berpecah belah. Kasih sayang anak dan bapa, seperti digambarkan oleh watak Seman, Ching Huat dan Kim Lock turut diketengahkan oleh SN Abdullah Hussain.

Novel ini sarat dengan tema perpaduan antara tiga kaum yang melalui pelbagai cabaran untuk mendirikan sebuah negara yang bebas dan bermaruah. Hakikatnya, kedatangan buruh India dari selatan benua kecil itu memang ada benarnya. British membawa masuk buruh kasta rendah ke Tanah Melayu melalui sistem Kangani dan Sistem Kontrak. Apakah hanya kerana perkataan paria, maka pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mudah menidakkan kemampuan novel itu mengangkat mesej yang lebih besar, iaitu soal perpaduan? 
Saya bersetuju dengan pandangan SN Abdullah Hussain, bacalah sebelum menilai karya ini. Jika tidak, pemikiran anda juga akan jadi paria (rendah) biarpun anda berpangkat besar dan menjadi politikus yang oportunis.

Sunday, January 16, 2011

Akhirnya Teh Yah Dijemput Allah Jua

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Sudah lebih sebulan, ibu saudara saya Teh Yah @ Wan Kamariah bt Wan Mamat dirawat di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ), Kuala Terengganu. Pada usia 59 tahun, beliau diserang angin ahmar dan kegagalan fungsi buah pinggang. Selama itulah, Ayah Teh, suaminya tidak jemu-jemu memberi semangat dan menaruh harapan agar isterinya pulih.  Begitulah juga dengan anak-anaknya dan saudara mara.

Lewat malam Jumaat lalu, Teh meninggalkan dunia dan penderitaan menanggung sakitnya. Allah lebih menyayangi Teh Yah. Moga dia ditempatkan di sisi orang yang beriman. AMIN.

Saturday, January 15, 2011

Pelik Tiada Elektrik

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Petang tadi, tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Saya menjangkakan TNB akan bertindak cepat lalu membiarkan masa berlalu dengan memotong rumput keliling rumah. Hampir maghrib, keadaan semakin gelap. Isteri dan anak-anak mulai gusar.
"Rumah kau ada 'api' tak?" saya bertanya jiran melalui panggilan telefon.
Jawapannya mengejutkan. Rumahnya tidak mengalami gangguan bekalan elektrik. Malah, lebih membimbangkan saya apabila meronda di rumah jiran lain, saya dapati rumah mereka kelihatan 'baik-baik' sahaja. Lampu jalan pun elok nyalaannya.
Sah, hanya rumah saya yang terjejas, lalu saya menghubungi TNB. Mereka menghantar pekerja untuk memeriksa kerosakan. Rupanya, kabel yang menghubungkan bekalan elektrik ke rumah saya terlucut akibat dihempap pokok di kawasan tanah rezab JPS.
Beberapa orang petugas termasuk Panjang@ Firdaus, bekas pelajar saya yang kini bekerja di TNB, membaiki 'jumper' di tiang yang dikenal pasti. Menjelang jam 10 malam, bekalan elektrik kembali pulih.
Terima kasih TNB..

Wednesday, January 5, 2011

Terima kasih kerana sudi membaca di blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini.

Abang Cik kali pertama bergelar murid di SK Lekir, yang jaraknya 7km dari teratak kami. Si kecil Nuha, nampaknya seronok ke sekolah TASKI, tapi saban petang balik, tertidur dalam kereta. Letih barangkali. Apap pun, kenangan semasa bersekolah rendah dahulu agak berbeza. Semasa kecil dulu, saya seringkali menangis kerana takut dengan suasana baru.
 Selain itu, Kak Yong, Abang Ngah, Abang Yang dan Abang Ude turut belajar seiring dengan usia yang makin meningkat.. Anak-anak kami semuanya bersekolah tahun ini. Letih, tapi menyeronokkan.

MENJALA TALAPIA

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Saya menghargai perkongsian pendapat dan cerita di sini. Agak lama juga saya tidak menjala ik...